Ulasan buku: Tiada Paksaan Dalam Agama

  November 9, 2012
1 Star2 Stars3 Stars4 Stars5 Stars (No Ratings Yet)
oleh Taha Jabir al-Alwani
(terjemahan Yodi Indrayani & Al-Mustaqeem M. Radhi)

Orang UMNO yang tak keruan dengan kenyataan YB Nurul Izzah, boleh baca buku ini. Baca! Jangan malas!
Penerbit: Institut Kajian Dasar
Tahun: 2008, Rawang, Selangor
Mukasurat: 192
ISBN: 9789838840873
 
Satu ULASAN BUKU oleh Mohamed Imran Mohamed Taib.

“Persoalan riddah adalah melulu persoalan politik. Dulu, sekarang, dan di hari kemudian, faktor agama di dalam persoalan riddah hanyalah faktor sekunder yang tidak ada ertinya dibandingkan dengan faktor politik.”
– Taha Jabir al-Alwani [1]

Pengenalan

Riddah/irtidad atau murtad merupakan perkara yang sangat kontroversial di dunia Islam. Perbuatan meninggalkan Islam seringkali dilihat sebagai suatu pengkhianatan paling tinggi yang memerlukan hukuman keras, termasuk hukuman mati. Di zaman kontemporari, tidak sedikit kes-kes hukum bunuh yang dijatuhkan kepada si murtad di negara-negara Islam, sama ada secara sah mengikut perundangan negara ataupun tidak, dan disorot media ataupun tidak. Jikapun tidak dibunuh, beberapa negara Islam, termasuk Malaysia, mempunyai undang-undang yang membolehkan instrumen perhakiman negara menghukum mereka yang didapati bersalah meninggalkan Islam dengan rela hati.[2] Oleh itu, terdapat perdebatan hangat di kalangan umat Islam dan juga bukan Islam sama ada hukuman murtad melanggar prinsip ‘kebebasan beragama/berkeyakinan’ yang menjadi salah satu dasar penting hak asasi manusia di dunia moden ini.[3] Di kalangan ulama kontemporari, terjadi juga upaya memikirulang korpus perundangan Islam berkaitan hukuman bagi perbuatan meninggalkan Islam, yang rata-ratanya menggariskan hukuman keras termasuk hukum bunuh.[4] Inilah yang menjadi persoalan utama yang dikupas oleh pemikir dan ulama tersohor kontemporari,  Shaykh Taha Jabir al-Alwani.

Kontroversi Penerbitan

Buku Tiada Paksaan dalam Agama adalah terjemahan dari buku bahasa Arab berjudul La Ikraha fi al-Din. Menurut Taha Jabir al-Alwani sendiri (atau ringkasnya, Shaykh Taha), buku ini bermula sebagai sebuah makalah yang ditulis pada tahun 1992. Namun, ianya tidak diterbitkan kerana ada desakan bahawa penerbitan makalah ini akan mendatangkan kesan buruk kepada institusi yang beliau pimpin, iaitu International Institute of Islamic Thought (IIIT). Enam tahun setelah beliau berundur dari IIIT, iaitu sekitar tahun 2002, barulah La Ikraha fi al-Din mula dibaca. Hanya pada tahun 2011, IIIT menerbitkan versi Bahasa Inggerisnya yang diubahsuai dengan judul Apostasy in Islam: A Historical and Scriptural Analysis.

Sebagai seorang sarjana dan faqih [ahli fikih], keputusan menyebarkan makalah yang berpotensi mendatangkan kontroversi berpijak dari pendirian penulis bahawa beliau “tidak ingin menyembunyikan apa yang kami [penulis] pelajari hanya kerana takut memicu perpecahan atau silang pendapat.” Baginya, “Turats [warisan/tradisi ilmu] umat kami adalahturats yang kaya. Turats umat kami adalah turats yang tidak takut pada kritikan dan penilaian.” Oleh sebab itulah penulis mengambil keputusan menyebarkan hasil kajiannya yang melawan arus pemikiran umum di kalangan ulama terdahulu bahawa perbuatan murtad merupakan jenayah yang harus dihukum sekeras-kerasnya. Pendapat Taha Jabir al-Alwani merupakan suatu upaya memikirulang dan mengkritik pendapat ulama terdahulu melalui kaedah yang berpijak pada sumber yang sama, iaitu al-Qur’an dan Hadis. Pada masa yang sama, beliau menggali pendapat alternatif yang sebenarnya wujud tetapi terpinggir di dalam warisan fikih Islam. Inilah kekuatan utama karya beliau. Kerana beliau merupakan pemikir, pemimpin dan ulama yang disegani dunia Islam umumnya, hasil ijtihadnya mengenai persoalan murtad wajar diketahui umum dan mendapat posisi penting di dalam perdebatan pembaharuan hukum Islam. Malah, pendiriannya bukanlah sesuatu yang pinggiran di kalangan ulama kontemporari yang tidak diragukan kesarjanaan Islam mereka. Menurut Shaykh Taha sendiri, para ulama yang disegani dunia Islam, seperti Mahmud Syaltut [w.1963] dan Muhammad Abu Zahrah [w.1974], berpendirian sama sepertinya, iaitu mendukung prinsip kebebasan beragama dan menolak adanya hukum bunuh di dalam persoalan riddah. “Namun sayang,” jelas Shaykh Taha, “para ulama tersebut tidak mahu menyuarakan pendapat mereka secara terang-terangan.” Kesannya, pembahasan mengenai isu riddah terbuka di dalam keadaan yang tergantung tanpa adanya penyelesaian tuntas. Perkara ini memboleh golongan yang berkepentingan politik mempergunakan persoalan riddah untuk membangkitkan sentimen awam demi kepentingan masing-masing.

Pokok Persoalan

Di dalam buku Tiada Paksaan dalam Agama, Shaykh Taha memulakan perbincangan dengan menolak pendapat adanya ‘ijmak ulama’ [kesepakatan para ulama] mengenai hukum bunuh yang wajib dikenakan bagi orang yang murtad. Menurutnya, mereka yang menggunakan argumen adanya ‘ijmak ulama’ sebenarnya mencari jalan pintas untuk menyelesaikan persoalan fikih yang sebenarnya kaya dengan perbezaan pendapat di kalangan ulama terdahulu.[5] Selama tiga abad pertama zaman permulaan Islam, para sahabat Nabi seperti Umar ibn al-Khattab [w.644], Ibrahim al-Nakha’i [w.715] dan Sufyan al-Tsauri [w.778] telahpun bersilang pendapat dan mengatakan tidak wajib menerapkan hadd riddah[hukuman maksimum untuk pemurtadan]. Jadi, mereka yang menggunakan argumen ‘ijmak ulama’ sebenarnya mahu menutup pintu bagi para ulama generasi mendatang untuk mengkaji ulang persoalan riddah ini.

Pada masa yang sama, penulis juga mengambil pendirian yang berani dalam mengatakan bahawa “persoalan riddah adalah melulu persoalan politik” dan faktor agama di dalam persoalan riddah hanyalah faktor kedua “yang tidak ada ertinya dibandingkan dengan faktor politik.” Apa yang menarik ialah bagaimana penulis tiba kepada kesimpulan ini melalui pengalamannya sendiri sewaktu Parti Ba’ath yang menjatuhkan pemerintahan Iraq melalui kudeta pada tahun 1963, meminta beliau dan tiga ulama ternama Shi’i dan Sunni lainnya memberi fatwa hukum bunuh terhadap ribuan pegawai negara yang kononnya telah ‘murtad’ atas dasar memegang fahaman dan menjadi anggota parti komunis. Ternyata, fatwa yang diminta mempunyai motif politik, iaitu menghapuskan musuh dan pesaing Parti Ba’ath. Beberapa kes lain yang terjadi di dunia Islam juga disebut sebagai contoh memperkuatkan kesimpulan penulis bahawa persoalan riddah terkait dengan persoalan politik – sama ada politik Barat yang menggunakan isu riddah sebagai bahan memomok-momokkan Islam ataupun politik para penguasa Islam sendiri yang menjadikan isu ini sebagai jalan mudah mendapatkan legitimasi kuasa sebagai penegak hukum Islam.[6] Makanya, kita seharusnya awas setiap kali muncul suara-suara yang terlalu gopoh meneriak hukum bunuh terhadap orang yang murtad atas alasan sudah adanya kesepakatan ulama dalam hal ini. Melalui kajian atas sumber-sumber autoritatif Islam, Shaykh Taha mendapat jawapan sebaliknya yang menyokong pendapat adanya prinsip kebebasan beragama (sesuai dengan keyakinan masing-masing) dan tidak adanya hukuman bunuh bagi orang yang murtad kecuali jika perbuatannya itu berunsur pengkhianatan [treason] yang membahayakan negara atau kelompok Islam yang ditinggalkannya.

Sikap dan Nilai dalam Berwacana

Satu sudut persoalan riddah ini tidak dapat diwacanakan secara jernih melalui perspektif fikih di dalam masyarakat, ialah terjadinya polarisasi yang menyimpulkan persepsi terhadap pendirian yang menyokong atau tidak akan prinsip kebebasan dalam beragama. Wujudnya polarisasi berdasarkan persepsi sangat kuat sehingga Shaykh Taha sendiri terpaksa menjelaskan bahawa pendiriannya yang mendukung kebebasan beragama “tidak terpengaruh oleh fahaman liberal atau pandangan-pandangan Barat”. Sebaliknya, beliau menekankan bahawa pendiriannya bersumber dari penggunaan kaedah-kaedah Islam yang tulen sebagaimana ulama-ulama terdahulu memperlakukan nas-nas al-Qur’an dan hadis dalam membina hujah. Turats atau tradisi keislaman, menurutnya, kaya untuk digali demi mencari jalan keluar terhadap berbagai macam persoalan kontemporari yang melanda umat Islam. Namun, ianya memerlukan nilai-nilai keilmiahan, keobjektifan dan kejujuran akal dalam menghadapi persoalan kontemporari.
Di dalam hal ini, jelas sikap progresif penulis yang menyeru kepada (1) proses penglibatan para pemikir dan budayawan yang mempunyai pandangan keislaman objektif dan ilmiah; (2) membantu dan bekerjasama dengan ikhlas dalam membangun, menyokong dan menjaga lembaga-lembaga masyarakat sivil yang dapat membangun kesedaran ke arah perbaikan dan perubahan; (3) memberi kesempatan para fuqaha dan ilmuwan sosial menilaiturats secara ikhlas dan menggunakan metodologi ilmiah yang objektif; dan (4) membezakan antara turats yang memberi daya dorong kepada umat dengan turats yang menghambat dan menghalang gerak umat.

Inti Perbahasan

Secara umum, Shaykh Taha memfokuskan perbahasan pada dua sumber utama yang autoritatif di dalam Islam, iaitu al-Qur’an dan hadis. Sesuai dengan kaedah ulama-ulama terdahulu yang memberatkan pendefinisian masalah terlebih dahulu, beliau menjelaskan bahawa istilah hadd di dalam al-Qur’an sebenarnya bermaksud sekadar “syariat dan hukum Allah” yang umumnya beragam [7], dan bukannya “hukuman” secara khusus. Di sinilah kekeliruan berlaku. Oleh kerana hadd (atau majmuknya, hudud) ditakrifkan oleh ahli fikih sebagai sekadar “hukuman yang bentuknya ditentukan”, ianya membuka ruang kepada “Islam Politik” menggunakan syariat Islam secara sempit dan untuk tujuan politik semata-mata. Baginya, peneriakkan jargon-jargon “penerapan syariat” berpunca dari salahfaham akan istilah hadd di dalam bahasa al-Qur’an. Jadi, langkah pertama ialah untuk kita keluar dari penyempitan istilah yang sering digunakan sebagai sarana politik untuk mendapatkan dukungan majoriti yang juga berfungsi untuk “menipu umat” demi kekuasaan.

Dengan pengertian syariat dan hukum Tuhan yang lebih luas dan beragam, Shaykh Taha mula meneliti sejumlah ayat-ayat al-Qur’an yang berhubungkait dengan persoalan riddah. Melalui pendekatan tafsir corak maudu’i [bertema] ini, beliau menyimpulkan berikut: “Seluruh ayat yang berbicara tentang riddah dan irtidadtidak menyebutkan hukuman duniawi apapun atas dosa atau tindak jenayah ini, juga tidak menunjukkan, baik secara tersurat mahupun tersirat, tentang wajibnya memaksa orang murtad untuk kembali ke Islam atau membunuhnya jika ia menolak.” Sebaliknya, ayat-ayat al-Qur’an jelas menunjukkan bahawa kebebasan berkeyakinan merupakan bentuk kebebasan paling penting yang harus dijamin dan dijaga. Menurut Shaykh Taha lagi, al-Qur’an telah menetapkan bahawa manusia tidak boleh dipaksa untuk memeluk suatu keyakinan tertentu atau mengubah keyakinan yang telah dia yakini kerana keyakinan merupakan urusan peribadi antara manusia dengan Tuhan. 

Cuba kita lihat contoh ayat “la ikraha fiddin” atau “tiada paksaan dalam agama” (Q.2:256) yang sering dikutip untuk membuktikan prinsip kebebasan berkeyakinan.[8] Sebab turunnya ayat ini, menurut tafsir Al-Manar karya Rasyid Rida [w.1935], merujuk pada dua riwayat utama:
  • Yang pertama, melalui sanad Abu Daud, Nasai, Ibn Hibban dan Ibn Jarir yang meriwayatkan dari Ibnu Abbas, menceritakan kebiasaan wanita Arab jahiliyyah. Ketika anak kecil mereka meninggal dunia, mereka akan bernazar bahawa anak yang lahir selanjutnya akan diyahudikan. Lalu, ketika kelompok Yahudi Bani Nadhir diusir dari Madinah, ada di antara mereka merupakan anak orang-orang Ansar. Apabila orang-orang Ansar mahukan anak-anak mereka yang diyahudikan tidak ikut sama diusir, mereka memaksa anak-anak ini diislamkan. Makanya, turunlah ayat yang menegah umat Islam berbuat demikian atas dasar “tiada paksaan dalam agama”. Mengikut riwayat dari Sa’id bin Jubair, Nabi bersabda setelah turunnya ayat ini: “Allah telah memberi kebebasan memilih kepada sahabat-sahabat kalian. Jika mereka memilih untuk bergabung bersama kalian, maka mereka termasuk golongan kalian. Jika mereka memilih untuk bergabung bersama mereka, maka mereka termasuk golongan mereka.”
  • Yang kedua, melalui sanad Ibnu Jarir dan ‘Ikrimah yang meriwayatkan dari Ibnu Abbas, menjelaskan ayat ini turun bagi menegah seorang lelaki bernama al-Hushain dari Bani Salim, yang ingin memaksa kedua orang anak lelakinya yang beragama Nasrani untuk ikut serta memasuki Islam sepertinya.
Rasyid Rida kemudiannya menyimpulkan bahawa hukum agama yang memberikan kebebasan berkeyakinan ini adalah bukti jelas menolak pendapat bahawa Islam berdiri tegak melalui pedang [iaitu, kekerasan]. Pada masa yang sama, beberapa ayat al-Qur’an menegaskan bahawa hukuman bagi mereka yang menyekutukan Tuhan adalah wilayah ketuhanan dan hanya Dia yang berhak menghukum di akhirat kelak.[9] Juga, Rasulullah sering diingatkan melalui wahyu akan tugasnya menyampaikan risalah dan peringatan tanpa pemaksaan.[10] Melalui sejumlah ayat-ayat yang jelas ini, Shaykh Taha berpendapat bahawa “Al-Qur’an menjadikan kebebasan berkeyakinan sebagai kebebasan mutlak yang tidak terbatas, sekaligus menegaskan bahawa perhitungannya merupakan hak khusus Allah yang tidak diwakilkan kepada sesiapa pun.” Dan jika kita melihat ayat di dalam Surah an-Nisa/4:137 (“Sesungguhnya orang-orang yang beriman kemudian kafir, kemudian beriman pula, kemudian kafir lagi, kemudian bertambah kekafirannya, maka sekali-kali Allah tidak akan memberi ampunan kepada mereka, dan tidak pula menunjuki mereka kepada jalan yang lurus.”), jelaslah tidak mungkin orang yang murtad disyariatkan hukum bunuh. Sekiranya orang yang murtad dibunuh, apakah mungkin ayat tersebut menyebut proses beriman dan kafir berkali-kali bagi orang sedemikian?

Persoalan Hadis

Jika sejumlah ayat-ayat al-Qur’an sangat tegas dan jelas menegakkan kebebasan berkeyakinan, dari manakah hukum bunuh ini ditafsirkan oleh para ulama fikih? Jelasnya adalah dari beberapa hadis yang statusnya ahad, iaitu hadis yang diriwayatkan oleh seorang dua perawi sahaja, khususnya pada tingkat pertama (para Sahabat Nabi). Umumnya, hadisahad dipertikaikan para ulama sebagai sumber dalil yang memberi kepastian walaupun kesahihannya terbukti. Salah satu contoh hadis ahad yang terkenal dan sering dikutip sebagai dalil menegakkan hukum bunuh ialah “Siapa yang menggantikan agamanya maka bunuhlah!” Hadis ini termasuk ke dalam kategori sahih menurut kitab-kitab hadis Bukhari dan Muslim. Namun, Shaykh Taha menjelaskan bahawa konteks hadis ini adalah “berkenaan dengan orang-orang Yahudi yang masuk Islam kemudian murtad dengan tujuan melakukan kekacauan di tubuh umat Islam.” Penerangan Shaykh Taha sangat terperinci dan meyakinkan pembaca bahawa hadis ini bermasalah dan tidak boleh diyakini sebagai dalil yang memberikan kepastian bagi menentukan hukum bunuh bagi seseorang yang keluar dari agama Islam.

Secara ringkas, posisi Shaykh Taha adalah seperti berikut:
  • Pertama, kebanyakan riwayat yang menjadi sandaran bagi hukum bunuh pesalah murtad merupakan hadis ahad. Maka janggal jika sesuatu perkara yang penting dan kejadian yang melibatkan ramai orang (contohnya, hadis yang mengatakan khalifah Islam, Ali bin Abi Talib telah membunuh orang-orang yang murtad dan membuang mayat-mayat mereka ke dalam api) hanya diriwayatkan oleh satu atau dua orang sahaja. Secara umumnya juga, hadis-hadis ini banyak menimbulkan keraguan akan aspek-aspek berkaitan sanad (jalur perawi), matan (inti hadis), makna, dan maksudnya.
  • Kedua, berdasarkan perbahasan dari bukti tulen dan masyhur, ternyata Nabi Muhammad sendiri tidak pernah membunuh seorang murtad pun sepanjang hayatnya.[11] Perkara ini ditegaskan juga oleh Imam Syafi’e yang menyebut: “Pada masa beliau [Rasulullah], ada sebahagian mukmin yang murtad, kemudian mukmin kembali. Kerana itu, Rasulullah tidak membunuh mereka.” Dari sudut sejarah dan dari sekian ramai yang beriman, ada yang menjadi murtad atau munafik (Shaykh Taha membahaskan beberapa contoh). Bahkan, ada juga yang sampai menyakiti baginda dan melakukan kejahatan terhadap beliau dan umat Islam. Tetapi, Nabi tidak pernah sampai membunuh mereka walaupun beliau mempunyai kuasa memperlakukan kekerasan terhadap mereka. Alasannya ialah seperti yang diriwayatkan di dalam satu hadis berkenaan Abu Abdullah bin Ubay bin Salul yang menjadi munafik yang berdendam dan ditanya sama ada mahu dibunuh; lalu Rasulullah bersabda, “Kita akan memperlakukannya dengan baik selama ia bersama kita. Agar tidak ada yang berkata: ‘Muhammad telah membunuhi sahabat-sahabatnya’.”
  • Ketiga, dan yang paling utama menurut penulis, ialah persoalan posisi sunnah Nabi yang secara jelas tidak boleh berseberangan dengan apa yang dijelas dan dijamin oleh al-Qur’an (iaitu, kebebasan berkeyakinan serta wewenang Tuhan, bukan manusia, dalam soal hukuman bagi yang murtad – yang hanya terjadi di akhirat kelak). Jadi, tidak sah kalau beberapa buah hadis yang ahad dan didebatkan sanad,matan, makna dan maksudnya, digunakan bagi melewati ayat-ayat al-Qur’an yang jelas dan hampir mencapai jumlah dua ratus ayat yang mendukung prinsip kebebasan berkeyakinan. Di dalam kaedah fikih, penting bagi para pembahas isu murtad ini mengedepankan wahyu (al-Qur’an) daripada sunnah atau hadis-hadis yang lemah dan mendatangkan keraguan.
Kesimpulan:

Kembali Pada Persoalan Politik

Awalnya, Shaykh Taha telahpun membentangkan posisinya mengapa persoalan riddahadalah persoalan politik pertama-tama. Beliau juga menjelaskan bagaimana cara fikir yang asing mula meresap masuk ke dalam corak pemikiran umat Islam sehingga terjadi percampuran antara sesuatu yang bersifat agama dengan sesuatu yang bersifat politik. Antaranya ialah tersebarnya kebudayaan lisan Yahudi di Hijaz yang ada menyebut “wajibnya membunuh orang yang keluar dari Yahudi”; sehingga ianya mempengaruhi cara pandang umat Islam terhadap permasalahan mereka sendiri. Gelombang penaklukan Islam juga membawa umat Islam bersentuhan dengan budaya-budaya lain seperti Romawi-Nasrani yang juga mempengaruhi persoalan bagaimana menangani masalah pemurtadan. Inilah yang menimbulkan cara pandang yang kadangkala dipaksakan atas sumber-sumber Islam.

Pada masa yang sama, Shaykh Taha juga cuba mengangkat isu yang masih didebatkan hingga sekarang di kalangan ulama dan sarjana Islam: bagaimana menanggapi perangriddah sewaktu zaman khalifah Islam pertama, Saiyidina Abu Bakar. Walaupun umumnya perang ini bermotifkan politik (menghalang umat Islam daripada berpecahbelah sejurus selepas kewafatan Rasulullah), ianya tetap memberi kesan terhadap nuansa agama kerana Saiyidina Abu Bakar diriwayatkan sebagai berkata: “Demi Allah! Aku akan membunuh orang yang memisahkan antara solat dan zakat.” Namun, penting dinyatakan sikap sahabat Nabi, Umar ibn al-Khattab yang menegur Abu Bakar dengan melarangnya membunuh mereka yang masih menyebut ‘la illaha illallah’ (‘tiada Tuhan melainkan Allah’). Abu Bakar pula menegakkan pendiriannya dengan melihat isu ini dari sisi yang luas, iaitu pemberontakan. Baginya, kelompok yang tidak mahu memberi zakat itu bertujuan menghancurkan kesatuan umat dan akan mengembalikan semula umat Islam kepada zaman jahiliyah. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa perang riddah “tidak ditujukan untuk memaksa orang yang murtad kembali ke Islam, tapi untuk mendisiplinkan warga yang meninggalkan kewajiban-kewajiban mereka – sebagai anggota umat atau warga negara – yang kekuatan hukumnya bersumber dari agama, juga untuk mengingatkan mereka terhadap kewajiban utama warga negara atau umat – yang telah ditetapkan agama (sebagai sumber syariat) – untuk menghormati kekuasaan yang sah dan tidak melakukan tindakan apa pun yang mengancam keselamatan, keutuhan, kedaulatan, dan kesatuan umat, dengan memisahkan diri dan mendirikan negara-negara kecil atau kabilah-kabilah…” Dalam erti kata lain, perang riddahtidak boleh digunakan sebagai hujah membunuh orang yang murtad, melainkan pemurtadan tersebut mempunyai implikasi mengancam dan meruntuhkan kesatuan umat. Mungkin di dalam istilah moden, kita dapat memahami konsep ini sebagai ‘pengkhianatan terhadap negara’ atau ‘state treason’.

Satu lagi perkara yang memperkuatkan hujah percampuran soal agama dengan politik di dalam isu riddah sehingga menjadikan tuduhan murtad sangat berbahaya, ialah contoh-contoh sepanjang sejarah Islam di mana sekian ramainya alim ulama yang tidak diragukan kesalehan dan ketokohan mereka tetapi mati dibunuh, didera ataupun dibuang negeri atas tuduhan ‘murtad’. Para ulama ini sebenarnya diperlakukan demikian atas sebab tidak bersetuju dengan fahaman Islam yang dipaksakan oleh pihak dominan yang berkuasa. Shaykh Taha menyenaraikan sekitar 16  nama dan ringkasan tuduhan yang rata-ratanya mengenai penyimpangan akidah, berpihak pada kaum zindiq (ateis), memegang mazhab yang dianggap sesat dan menggunakan kaedah yang dianggap salah di dalam memahami Islam. Mereka ini, dan juga ramai lagi yang dikisahkan di dalam biografi-biografi sejarah, dituduh murtad atas sebab “berseberangan dengan penguasa atau memiliki pendapat atau mazhab yang berbeda dengan ulama-ulama yang jahat”. Kekejaman yang tejadi terhadap mereka, tambah Shaykh Taha, adalah kesan “eksploitasi hukum murtad”.

Melalui perbahasan yang diangkat oleh buku Tiada Paksaan dalam Agama ini, Shaykh Taha cuba memposisikan semula syariat Islam sebagai sesuatu yang membawa “keringanan dan rahmat”. Sekiranya ulama terdahulu ada yang berpendirian orang yang murtad harus dihukum bunuh atau diperlakukan takzir [hukuman gantian seperti penjara, sebat, denda dan sebagainya], ianya adalah atas dasar pemurtadan mereka disertai oleh kejahatan lain seperti merosakkan citra Islam atau menghancurkan kesatuan umat.

Persoalannya, apakah orang yang murtad kerana sekadar tidak lagi yakin pada Islam, juga harus dilihat sebagai melakukan pengkhianatan dan jenayah sepertimana jenayah-jenayah lain yang menggangu ketenteraman negara seperti orang yang membunuh, mencuri, merogol, pecah amanah, rasuah dan sebagainya? Sejauhmanakah kita berani mengatakan syariat Islam sebenar (yang mendukung kebebasan berkeyakinan) telah dikaburkan dengan teriakan-teriakan bermotifkan politik – sepertimana yang kita lihat di kebanyakan negara-negara majoriti Muslim yang mempunyai aktor-aktor politik yang cuba mendapatkan legitimasi kuasa melalui Islam? Beranikah para ulama dan sarjana Islam kita mengangkat seruan Shaykh Taha agar mengkaji ulang turats secara serius supaya “kita tidak menjadi permainan orang-orang yang bodoh”? Sejauhmanakah kita dapat mengembalikan potensi syariat Islam yang dapat membebaskan umat dari kesulitan dan tidak menjadikan syariat itu sebagai sesuatu yang membebankan dan membelenggu perkembangan sihat masyarakat Islam? Dapatkah kita menghentikan tuduhan-tuduhan murtad yang sering menzalimi sesama umat dan memecahbelahkan masyarakat Islam tanpa berkesudahan? Sekiranya buku Shaykh Taha dapat meyakinkan pembaca akan wujudnya prinsip kebebasan berkeyakinan di dalam al-Qur’an, maka ianya menjadi satu langkah yang membawa harapan terhadap perubahan positif.

Sosok Shaykh Taha selaku ‘alim yang bertauliah dan disegani dunia Islam seharusnya meyakinkan kita. Dan secara umum, ramai lagi ulama dan sarjana Islam dari aliran-aliran yang beragam yang tidak meragukan prinsip kebebasan berkeyakinan dan tidak adanya hukum di dunia apapun kepada orang yang meninggalkan Islam atas dasar tidak lagi yakin akan Islam. Masalahnya ialah adanya anasir-anasir yang mempolitikkan isu riddah sehingga polarisasi sentimen terjadi. Seringkali apa yang disebut Shaykh Taha sebagai ‘akal awam’ akan mudah melontarkan tuduhan perjoratif ‘liberal’, ‘sekular’, ‘kebaratan’, ‘akidah terpesong’, dan sebagainya semata-mata kerana pendapat yang diajukan dianggap berbeza dari fahaman tunggal mereka terhadap Islam.[12] Bagi Shaykh Taha, ‘akal awam’ ini adalah orang-orang yang “cepat menyimpulkan dan tidak suka mengkaji, kerana wawasan mereka sempit.” Tambahan, “Allah mengurniakan kepada manusia kemampuan berhujah dan fitrah mencari dalil dan bukti. Ia mengizinkan manusia untuk menuntut dalil dan bukti dari Allah dan dari para rasul-Nya. Namun sayang, banyak penuntut ilmu dan masyarakat umum yang hanya membebek dengan membunuh atau mengistirehatkan akal mereka.”
Dari mereka yang ber’akal awam’ ini, tuduhan murtad menjadi permainan lidah dan jari di ruang awam (termasuk ruang siber), tanpa adanya pertanggungjawaban serius dalam menilai persoalan hukum dan pemikiran secara objektif, waras dan sistematik. Inilah cabaran utama yang dihadapi oleh Shaykh Taha. Namun beliau akur akan risiko yang harus dihadapi (seperti pertuduhan “liberal” dan “sekular”) demi ketulusannya dalam menghurai masalah secara jujur dan berani. Oleh itu, wajarlah buku Shaykh Taha mendapat tempat di tengah-tengah masyarakat yang masih mudah dieksploitasi oleh suara-suara ekstrim yang kecil tapi lantang menyalak tanpa hujah. Sumbangannya di dalam menjernihkan persoalan hukum Islam terhadap orang yang murtad harus diiktiraf tanpa ragu.

Mohamed Imran Mohamed Taib
Leftwrite Center, Singapore
Berikut ialah ulasan buku “Tiada Paksaan dalam Agama” karya Shaykh Taha Jabir al-Alwani yang diterbitkan di jurnal TAFKIR edisi 2, No. 2, terbitan Leftwrite Center dan The Reading Group, Singapore.

 Bagi sesiapa yang berminat untuk mendapatkan naskhah jurnal ini, sila hubungi: publications@thereadinggroup.sg.
=====================================================
NOTA AKHIR
[1] Taha Jabir al-Alwani lahir pada tahun 1935 dan kini menjadi presiden Universiti Cordoba, Virginia, Amerika Syarikat. Pendiri dan pengerusi Fiqh Council of North America ini juga memegang Imam al-Shafi’i Chair in Islamic Legal Theory di The Graduate School of Islamic and Social Sciences, Universiti Cordoba. Sarjana yang medapat pendidikan dari peringkat diploma hingga ke peringkat PhD di Universiti Al-Azhar, Mesir, juga pernah mengajar selama sepuluh tahun di Universiti Imam Muhammad Ibn Sa’ud, Riyadh, Arab Saudi.

Pada tahun 1983, beliau berhijrah ke Amerika Syarikat dan menjadi sarjana Islam pertama yang menjawat kerusi di Washington Theological Consortium. Beliau telah menerbitkan berbagai buku dan makalah di dalam bahasa Arab dan Inggeris, termasuk Source Methodology in Islamic Jurisprudence (1990), The Ethics of Disagreement in Islam (1993), Issues in Contemporary Islamic Thought (2005), dan Islamic Thought: An Approach to Reform (2006). Beliau merupakan penggagas utama konsep fiqh aqalliyyat atau fikih minoriti, dan pernah aktif bergiat di International Institute of Islamic Thought (IIIT) di Virginia, Amerika Syarikat.

[2] Antara negara yang membenarkan hukum bunuh bagi seorang Muslim yang murtad ialah Arab Saudi, Yaman dan Sudan. Di Malaysia, terdapat tiga pendekatan bagi mereka yang murtad di bawah Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam ataupun Enakmen Undang-Undang Jenayah Syariah Negeri-Negeri: (1) denda sehingga RM5000.00 atau penjara sehingga tiga tahun atau disebat sehingga enam sebatan atau campuran mana-mana daripada ketiga-tiga bentuk hukuman ini; (2) tahanan mandatori di Pusat Pemulihan Akidah sehingga 36 bulan; dan (3) tiada hukuman tetapi diwajibkan menjalani kaunseling sebelum kebenaran keluar Islam diluluskan. Lihat, Mohamed Azam Mohamed Adil, “Murtad – Status Semasa” dlm. Ann Wan Seng, ed., Murtad: Jangan Pandang Sebelah Mata (Kuala Lumpur: Must Read, 2009), h. 7-9. Namun, ini tidak bermakna bahawa pelaksanaan hukum bagi pemurtadan tidak menghadapi kerumitan, pertembungan dan perlawanan secara legal. Dua kerumitan timbul di dalam beberapa kes. Pertama, ialah wilayah kehakiman – sama ada di tangan mahkamah Syariah ataupun mahkamah sivil. Kedua, ialah persoalan keabsahan hukuman yang dilihat sebagai melanggar jaminan kebebasan beragama yang termaktub di dalam Artikel 11 perlembagaan negara. Untuk perbincangan khusus persoalan hukuman murtad di Malaysia, lihat Abdullah Saeed dan Hassan Saeed, Freedom of Religion, Apostasy and Islam (England: Ashgate, 2004), h. 123-167.

[3] Umumnya, masyarakat dunia – termasuk negara-negara Islam – adalah penandatangan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (1948) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengandungi Artikel 18: “Everyone has the right to freedom of thought, conscience and religion; this right includes freedom to change his religion or belief, and freedom, either alone or in community with others and in public or private, to manifest his religion or belief in teaching, practice, worship and observance.

[4] Untuk senarai serta makalah-makalah sarjana-sarjana Islam kontemporari yang mendukung kebebasan beragama, lihat:http://apostasyandislam.blogspot.com/2007/03/signatories-to-statement-about-islam.html. Juga, karya penting seorang ketua hakim Pakistan, S.A. Rahman, berjudulPunishment of Apostasy in Islam (New Delhi: Kitab Bhavan, 1996) yang membahaskan persoalan murtad menurut perundangan Islam secara sistematik dan terperinci. Untuk tinjauan dan penilaian umum persoalan murtad di kalangan para sarjana Islam terdahulu dan kontemporari serta isu-isu utama, lihat Abdullah Saeed dan Hassan Saeed, Freedom of Religion, Apostasy and Islam (England: Ashgate, 2004).

[5] Argumen yang merujuk kepada ‘ijmak ulama’ ini ketara digunakan oleh mereka yang mendukung hukum bunuh. Salah satu contoh ialah karya seorang pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Malaysia, yang menulis: “There was no disagreement, rather a consensus of the companion of the prophet (ijma’ al Sahabah) with regard to the capital punishment of an apostate based on the Sunnah of the prophet. This has been the law as well as belief of Muslim ummah all over the world for the last 1400 years. Disagreement among the contemporary Muslim intellectuals, authors and writer are recent phenomenon only.“ Lihat, ABM Mahbubul Islam, Freedom of Religion in Shari’ah: A Comparative Analysis(Kuala Lumpur: A.S. Noordeen, 2008), h. 181. Pandangan ini ditolak pula oleh seorang mantan pensyarah dari universiti yang sama, Mohammad Hashim Kamali, yang menulis: “It may be said by way of conclusion that apostasy was a punishable offence in the early years of the advent of Islam due to its subversive effects on the nascent Muslim community and state. Evidence in the Qur’an is, on the other hand, clearly supportive of the freedom of belief, which naturally includes freedom to convert. Moreover the Qur’an provides no punishment for apostasy despite the fact that it occurs in a large number of places in the text, and this remains to represent the normative position of the Shari’ah on non-subversive apostasy that is due purely to personal conviction and belief.” Lihat, Islamic Law in Malaysia: Issues and Developments (Kuala Lumpur: Ilmiah Publishers, 2000), h. 219.

[6] Antara kes-kes yang disebut, walaupun tanpa kupasan mendalam, ialah kes Salman Rushdie yang difatwakan dengan hukum bunuh oleh Ayatollah Khomeini atas novel Satanic Verses yang dianggap menghina Islam dan Nabi Muhammad; kes Abdurrahman Abdul Mannan, seorang warga Afghanistan yang memeluk agama Kristen dan dipenjarakan pada tahun 2006; kes penikaman mati terhadap Farag Fouda oleh kelompok ekstrimis Jamaah Islamiyyah Mesir pada tahun 1992 dan kesaksian ulama ternama waktu itu, Muhammad al-Ghazali [w.1996] yang mengatakan Farag Fouda telah murtad dan layak dibunuh; dan kes-kes tuduhan murtad terhadap para pemikir dan ilmuwan seperti Nasr Hamid Abu Zayd [w.2010], Hassan Hanafi dan Nawal El-Sa’dawi yang diancam bunuh berkali-kali oleh kelompok ekstrimis.

[7] Ragam bentuk syariat dan hukum Allah ini termasuk (a) perkara yang tidak boleh ditambah dan dikurangi – seperti jumlah raka’at di dalam solat yang wajib; (b) perkara yang tidak boleh dikurangi tetapi boleh ditambah – seperti kadar pembayaran zakat; (c) perkara yang tidak boleh ditambah tetapi boleh dikurangi – seperti had berpoligami, iaitu empat isteri tetapi boleh kurang dari itu; dan (d) perkara yang boleh ditambah dan dikurangi – seperti ibadah-ibadah sunat, jumlah sedekah dan sebagainya. Selain itu, ada juga bentuk syariat yang hanya boleh dilakukan secara individu dan ada juga yang harus dilakukan secara kolektif.

[8] Bagi kelompok yang menolak prinsip kebebasan berkeyakinan, ayat ini difahami sebagai “tidak ada paksaan untuk menganut Islam dan bukannya untuk keluar agama!” [Lihat, Riduan Mohamad Nor dan Mohd Asri Mat Daud, Murtad: Implikasi Hukum dan Fenomena(Selangor: MHI Publication, 2006), h. 26.] Corak pemikiran begini yang diangkat oleh sarjana Islam kontemporari yang berhaluan tradisionalis-konservatif, disebut sebagai posisi “pra moden” oleh Abdullah Saeed. Antara tokoh terkenal yang mewakili pandangan sebegini ialah Muhammad Mutawalli al-Sha’rawi [w.1998] dari Mesir yang menyebut bahawa seorang individu bebas mengikut keyakinan agama masing-masing, tetapi apabila dia menjadi Muslim, dia seharusnya terikat dengan keseluruhan anjuran agama termasuk hukuman bagi pemurtadan. [Lihat, Al-Jami’ li al-Fatawa (1998) yang dipetik dlm. Abdullah Saeed dan Hassan Saeed, Freedom of Religion, Apostasy and Islam (England: Ashgate, 2004), h. 89.] Namun, fahaman seperti ini jelas tidak ada dukungan kuat dari konteks ayat tersebut sertaasbab al-nuzul [sebab musabab turunnya wahyu], sepertimana yang dijelaskan oleh paramufassir [ahli tafsir] terkemuka dan dibahaskan oleh Shaykh Taha.

[9] Contoh: “Dan barangsiapa menyembah Tuhan yang lain disamping Allah, padahal tidak ada satu dalil pun baginya tentang itu, maka sesungguhnya perhitungannya di sisi Tuhannya. Sesungguhnya orang-orang kafir itu tiada beruntung.” (Q. al-Mukminun/23:117)

[10] Antaranya, ayat-ayat berikut: Q. al-Ghasyiyah/88:22; al-Kahf/50:45; ar-Ra’d/13:40; al-An’am/6:107; Yunus/10:99; Yusuf/12:103; dan An-Nahl/16:125.

[11] Perkara ini dijelaskan juga oleh sarjana perundangan Islam terkemuka yang mengatakan hukuman bagi mereka yang meninggalkan Islam “reflects a later reality and does not stand in accord with the deeds of the Prophet.” Lihat, Wael Hallaq, “Apostasy” dlm. Jane Dammen McAuliffe, ed., Encyclopaedia of the Qur’an, I (Leiden: Brill, 2001), h. 120.

[12] Sebagai contoh, lihat Abdul Halim El-Muhammady, “Murtad dari Perspektif Syariah” dlm. Ann Wan Seng, ed., Murtad: Jangan Pandang Sebelah Mata (Kuala Lumpur: Must Read, 2009), h. 91. Beliau menulis: “Pandangan [sarjana-sarjana Islam kontemporari yang menolak pandangan ulama silam] yang sebegini [iaitu, menolak hukuman bagi mereka yang keluar Islam tanpa mengancam keamanan umat Islam ataupun bergabung dengan musuh-musuh Islam] jika diperhatikan terdiri daripada sarjana-sarjana yang terdedah dengan pemikiran Barat terutama yang terpengaruh dengan pemikiran kebebasan hak-hak asasi manusia yang dibawa sarjana-sarjana Barat. Hal ini barangkali ada kaitannya dengan perisytiharan Bangsa-Bangsa Bersatu tentang hak-hak asasi manusia yang diberi kebebasan dalam memberi pendapat, kecenderungan dan agama dan hak kebebasan ini berkuat kuasa pada 23hb. Mac 1976.” Kaitan pemurtadan dengan gerakan “liberal” juga menjadi bahan tuduhan di dalam satu lagi tulisan yang menyebut “Di antara kerancakan fenomena murtad di negara ini [Malaysia] ialah kerana peranan yang dimainkan oleh kumpulan liberal yang memainkan isu hak kebebasan beragama.” Lihat, Riduan Mohamad Nor dan Mohd Asri Mat Daud, Murtad: Implikasi Hukum dan Fenomena (Selangor: MHI Publication, 2006), h. 57.

http://www.projekdialog.com

Comments

Popular posts from this blog