MUFLIS HARI AKHIRAT
Abu Basyer Jauhi Lima Golongan Yang Akan Menjadi Muflis di Hari Akhirat.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala
puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat
junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan
pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Kehidupan
masa kini dizaman ICT dan teknologi tanpa sempadan, seseorang itu boleh
mencari kebaikan dan pahala dengan mudah atau menghimpun dosa-dosa
besar tanpa disedarinya.
Apabila seorang penguna internet
menyebarkan informasi dan ilmu yang bermanfaat untuk dikongsikan bersama
dengan penguna internet yang lain, disitu terbuka ruang kebaikan dan
pahala disisi Allah SWT. Satu butang di klik sahaja boleh dikongsikan
bersama ratusan ribu pengguna diseluruh dunia. Inilah kelebihan dunia
alam siber yang dicipta oleh manusia. Di zaman tahun 80 an atau 70 an
keadaan seperti ini tidak pernah dirasai oleh generasi masa itu, kerana
penggunaan talipon bimbit, komputer, internet dan sistem satilet jarang
digunakan. Perhubungan masa itu banyak menggunakan surat menyurat atau
perjumpaan secara fizikal. Penyampaian maklumat hanya bergantung kepada
surat akhbar, radio dan television. Manakala ilmu pula di perolehi
melalui kuliah di masjid atau membaca buku-buku sahaja.
Begitu
juga sebaliknya dengan kecangihan teknologi masa kini seseorang boleh
menghimpun dosa besar yang banyak apabila suka melayari gambar-gambar
lucah, menyebarkan fitnah, mendedahkan aib seseorang dan mengajak kepada
perbuatan mungkar dan maksiat.
Seorang pengguna internet
samaada melalui blog atau facebook hanya menulis dua atau tiga baris
perkataan yang berbentuk fitnah atau berita palsu kemudian disebarkannya
hanya dengan di klik satu butang sahaja maka dalam masa beberapa saat
sahaja berita tersebut boleh diterima oleh ratusan ribu manusia di
seluruh dunia maka pada saat itu juga dosa-dosanya datang mencurah-curah
dan dicatat oleh malaikat pencatat amal (Raqib dan Atid), sebagaimana
firman Allah SWT yang bermaksud ; "(Ingatlah) ketika dua malaikat
mencatat (perbuatannya) yang satu duduk disebelah kanan dan yang satu
duduk disebelah kiri." (Surah Qaf ayat 17).
Semua pahala
dan kebaikannya dicatat oleh malaikat sebelah kanannya (Raqib) manakala
dosa dan keburukannya akan di catat oleh malaikat yang duduk sebelah
kirinya (Atid).
Kenapakan manusia tidak merasa takut
dengan dosa dan seksaan Allah SWT yang dahsyat dihari akhirat nanti
apabila dia berseronok-seronok untuk menjatuhkan maruah seseorang dengan
berita fitnah atau mengaibkan orang lain? Bukan itu sahaja malahan
melalui internet juga seseorang amat mudah untuk "bercinta" dengan
isteri orang atau suami orang dan meruntuhkan rumah tangga orang lain,
ini juga satu dosa yang besar disisi Allah SWT.
Semasa
peristiwa Israk dan Mikraj, Rasulullah SAW di nampakkan beberapa
seksaan-seksaan yang akan di terima umatnya di hari akhirat nanti kerana
dosa-dosa yang pernah mereka lakukan di dunia. Salah satu seksaan yang
dahsyat yang akan diterima oleh umatnya adalah mereka yang suka
bermusuhan sesama saudara muslim dan suka cari aib orang lain dan
didedahkan kepada orang ramai.
Nabi SAW bersabda maksudnya
: "...ada sekelompok lagi kukunya terbuat daripada tembaga api neraka,
panjang kukunya lalu mencakar-cakar mukanya.dan mengoyak-ngoyakan
mukanya sendiri, hancur muka dan dikembalikan lagi ke bentuk asal
begitulah berulang-ulang. Ini balasan untuk mereka yang sentiasa
bermusuh-musuhan sesama saudara muslim, suka cari aib orang lain,
menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri."
Sahabat yang dimuliakan,
Setiap
hari apabila kita baca sahaja akhbar arus perdana atau berita dalam
blog dan facebook kita akan bertemu berpuluh-puluh berita-berita fitnah
memfitnah, mengaibkan orang lain, tuduh menuduh, hina menghina, cabar
mencabar, maki-hamun, dan berbagai-bagai andaian yang negatif
dilemparkan kepada golongan yang lain.
Masing-masing rasa
bangga dan riak di atas usaha-usaha mereka mengaibkan orang lain.
Perkara yang paling mendukacitakan ada terdapat pemimpin lama (umur
melebihi 80an) tetapi masih suka membuat fitnah dan tuduhan kepada musuh
politiknya. Sedikitpun tidak merasa bersalah dan tidak mahu bertaubat
diatas segala kesalahan-kesalahannya masa lampau kerana mungkin dia
merasakan umurnya masih panjang lagi. Ingatlah pesan Nabi SAW kepada
Saidina Ali k.w yang bermaksud : "Wahai Ali ! Sebaik-baik manusia di
sisi Allah SWT. adalah yang memberi kemanfaatan bagi manusia. Adapun
seburuk-buruknya di sisi Allah adalah orang yang berumur panjang tetapi
buruk amal perbuatannya."
Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW. bersabda yang bermaksud :
“Tahukah kamu siapakah dia Orang Muflis?”
Sahabat-sahabat baginda menjawab :
“Orang Muflis di antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada harta benda.”
Nabi
SAW. bersabda yang bermaksud : “Sebenarnya Orang Muflis dari kalangan
umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat membawa sembahyang,
puasa dan zakat , sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun
orang ini, dan menuduh orang itu , memakan harta orang orang ini
,menumpah darah orang itu dan juga memukul orang . Maka akan di ambil
dari amal kebajikannya serta di beri kepada orang ini dan orang itu ,
kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis di bayar
kesalahan-kesalahan yang di tanggungnya , akan di ambil pula dari
kesalahan-kesalahan orang yang di aniayakannya serta di timpakan
keatasnya , kemudian ia di humbankan kedalam neraka.”
(Hadis Riwayat Muslim dan Turmizi)
Dalam hadis di atas Nabi SAW menyatakan secara khusus mereka yang akan menjadi muflis di hari akhirat adalah mereka yang suka :
1. Kesalahan memaki hamun orang ini.
2. Menuduh orang itu.
3. Memakan harta orang orang ini.
4. Menumpah darah orang itu dan
5. Memukul orang.
Huraiannya :
1. Kesalahan memaki hamun orang ini.
Golongan
yang suka memaki hamun orang lain adalah pemimpin dan ahli-ahli politik
(dalam ceramah dan kempennya terutama menjelang pilihan raya), wartawan
politik dan penulis blok (penyokong pemimpin tertentu) . Apabila
terkeluar daripada lidah mereka perkataan maki-hamun langsung tidak
pernah teringat akan seksaan Allah SWT di akhirat.
Nabi
SAW bersabda yang bermaksud : “Orang mukmin bukan seorang pencela, bukan
seorang pengutuk, bukan seorang yang keji dan bukan seorang yang
berkata kotor (maki hamun).” (Hadis Riwayat Ibnu Mas'ud)
Dalam
hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : “Bukankah manusia
terjerumus ke dalam neraka kerana tidak dapat mengendalikan lidahnya?”.
(Hadis Riwayat Tirmidzi)
Nabi SAW berwasiat kepada Saidina
Ali k.w maksudnya : "Wahai Ali ! Janganlah engkau mencaci-maki orang
Islam atau mencaci-maki binatang kerana cacian itu akan kembali dirimu
sendiri. Wahai Ali ! Kuasailah lisanmu dan biasakanlah dia mengucapkan
yang baik, kerana tidak ada yang lebih berbahaya bagi manusia pada hari
kiamat yang melebihi ketajaman lisannya. Wahai Ali ! Jauhilah tukang
caci-maki kerana ia suka membuka aib orang dan ia tidak akan masuk
syurga."
2. Menuduh orang itu.
Golongan yang suka menuduh orang lain atau membuat fitnah adalah :
2.1.
Pemimpin dan ahli politik (tuduhan ini dibuat supaya menjatuhkan maruah
musuh politiknya supaya rakyat mengalihkan sokongan kepada kumpulannya)
2.2.
Wartawan akhbar (ketua pengarang dan wartawan). Menyerang habis-habisan
parti lain yang bukan parti yang mereka sokong. Manipulasi ucapan
seseorang dengan andaian-andaian negatif.
2.3. Wartawan hiburan yang suka memfitnah para aris untuk melariskan jualan majalah hiburan mereka.
2.4.
Penulis blog yang "mencari makan" dan mendapat upah daripada golongan
tertentu terutama daripada parti politik. Penulis ini tidak beretika
semasa menulis kerana fitnah yang ditulis tidak mempunyai bahan bukti
yang sahih dan hanya berbentuk sangkaan dan andaian sahaja.
2.5. Ahli perniagaan dan individu tertentu.
Golongan
ini sanggup membuat sumpah palsu menggunakan al-Quran . Sumpah palsu
ini pula dilakukan dimasjid untuk megelirukan orang ramai. Golongan ini
juga sanggup membuat vedio seks palsu, mengadakan sidang akhbar menuduh
seseorang melakukan zina dan liwath tanpa membawa empat orang saksi yang
adil.
2.6. Pengguna internet yang tidak berakhlak.
Golongan
ini adalah golongan yang suka mengaibkan rakannya yang lain melalui
status dan wall rakannya dan membuat tuduhan dan fitnah kerana sifat
marah dan benci kepada seseorang. Kadangkala dia sanggup meyebarkan
cerita palsu kepada rakan-rakan orang yang di bencinya supaya maruh
dirinya tercalar dan dia merasa puas hati. Inilah sifat yang paling
buruk dan bukan daripada akhlak Islam. Sifat suka mengaibkan orang lain
akan menyebabkan aibnya akan didedahkan oleh Allah SWT di dunia dan
akhirat.
2.7. Bekas pemimpin politik dan pensyarah universiti (bahagian penyiaran atau undang-undang)
Golongan
ini kadangkala berat sebelah apabila membuat komen dan ulasan terhadap
seseorang individu dan mudah membenarkan tuduhan yang diterimanya
melalui media masa. Apabila mereka membenarkan berita fitnah, mereka
juga termasuk di dalam golongan yang buruk akhlaknya.
2.8. Suami dan isteri yang tidak bersefahaman yang sedang untuk bercerai.
Golongan
ini suka mendedahkan keburukan pasangan masing-masing di dalam facebook
atau akhbar untuk mencari pubisiti dan simpati orang lain. Jika tidak
berhati-hati akan mendapat dosa besar di sisi Allah SWT iaitu suami akan
menjadi dayus dan isteri pula akan menjadi nusyuz.
Rasulullah
SAW pernah bertanya sahabatnya: "Adakah aku belum pernah menerangkan
kepadamu orang yang paling jahat daripada kamu?" Sahabat menjawab:
"Belum!", lalu Nabi bersabda bermaksud: "Mereka yang berjalan ke sana ke
mari membawa fitnah, mereka yang membuat kerosakan antara sesama
sahabat dan mereka yang mencari-cari kekurangan pada orang yang tidak
bersalah." (Hadis riwayat Ahmad)
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Tidak akan masuk syurga pembawa fitnah"
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Nabi
SAW bersabda maksudnya : "Yang paling dikasihi oleh Allah di antara
kamu adalah : mereka yang baik akhlak, yang merendahkan sayapnya (diri),
yang suka dengan orang dan yang disukai orang. Manakala yang dimurkai
oleh Allah adalah : mereka yang pergi membawa fitnah, yang
menceraiberaikan di antara saudara dan mencaci orang yang tidak bersalah
akan kesalahannya" (Hadis riwayat Tabharani dan Abu Hurairah r.a.)
3. Memakan harta orang orang ini.
Golongan
yang suka mengambil harta orang adalah golongan peragut, pencuri,
perompak, menipu dalam perniagaan, pemimpin yang mengambil harta dan
tanah rakyat (memberikan kepada kroninya sahaja bukan kepada mereka yang
layak) dan mengambil rasuah ( untuk berlaku tidak adil)
Dari
Abu Salamah r.a., terdapat banyak permusuhan antara dirinya dengan
orang banyak. Hal ini diberitakannya kepada Aisyah r.a. Aisyah berkata:
Hai Abu Salamah! Hindarilah perbuatan mengambil tanah orang lain! Nabi
SAW pernah bersabda: "Barangsiapa yang mengambil tanah orang lain tanpa
hak agak sejengkal, maka akan dikalungkan kepadanya tujuh lapis
bumi."(Hadis Riwayat Bukhari)
Dari Abu Hurairah r.a.,
Rasulullah SAW bersabda: "Siapa yang merosak nama baik atau harta benda
orang lain, maka minta maaflah kepadanya sekarang ini, sebelum datang
hari di mana mata wang tidak laku lagi. Kalau ia mempunyai amal baik,
sebahagian dari amal baiknya itu akan diambil, sesuai dengan kadar
aniaya yang telah dilakukannya. Kalau ia tidak mempunyai amal baik, maka
dosa orang lain itu diambil dan ditambahkan kepada dosanya."
(Hadis Riwayat Bukhari)
Dari Abdullah Umar r.a., Nabi SAW. bersabda: "Aniaya itu menjadi kegelapan di hari kiamat."
(Hadis Riwayat Bukhari)
4. Menumpah darah orang itu dan 5. Memukul orang.
Golongan
ini adalah golongan pemimpin yang zalim (berlaku di Mesir, Libya, Syria
dan ditempat-tempat lain) membunuh rakyatnya yang tidak berdosa,
perompak (cara bersenjata mencederkan mangsanya), membunuh manusia lain
termasuk ibu yang membunuh bayi baru dilahirkan (kerana berzina),
pembunuh upahan, pengawal keselamatan yang memukul orang ramai yang
berhimpun secara aman hingga tercedera (pihak atasan yang mengarahkannya
akan mendapat saham yang sama) dan suami (yang bengis) yang suka
memukul isterinya hingga cedera.
Dari Abu Sa'id Al-Khudri
r.a., bahawa Nabi S.A.W. bersabda: "Tidak ada seseorang yang melakukan
sesuatu perbuatan aniaya terhadap orang lain di dunia dengan tidak
menyerah dirinya kepada orang itu untuk membalasnya, nescaya Tuhan akan
menyerahkannya kepada orang itu supaya membalasnya pada hari kiamat."
(Hadis Riwayat Baihaqi)
Sahabat yang dimuliakan,
Marilah
sama-sama kita menjauhkan diri daipada terlibat sama di dalam
perkara-perkara dosa yang melibatkan lima golongan manusia yang akan
mendapat pangkat MUFLIS di hari akhirat. Jika kalian tidak melakukan
tetapi kalian bersubahat dan menyokong lima golongan tersebut di atas di
khuatiri kalian juga akan mendapat saham yang sama. Kerena redha
perkara dosa akan sama seperti melakukan dosa tersebut.
Berhati-hatilah
kerana biasanya dimusim pilihan raya dosa-dosa fitnah dan mengaibkan
orang lain akan datang bertali-arus sehingga kalian boleh mempercayainya
dan "tumpang semangkuk" di atas dosa orang lain yang kalian tidak
lakukan. Semoga kalian semua dilindungi Allah SWT daripada kerosakkan
ini oleh itu sentiasalah kalian istiqamah dengan Islam dan akhlak Islam
dan menjauhkan diri daripada fitnah dunia akhir zaman ini. Waullahualam.
Comments
Post a Comment