Yayasan Pesara Kerajaan Perjuang Kebajikan Pesara - Najib

Diterbitkan: Isnin, 13 April 2015 3:10 PM
Najib mendapat sokongan para pesara kanan kerajaan pada majlis pelancaran Yayasan Pesara Kerajaan Malaysia dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Keempat Kelab UMNO Pesara Kanan Kerajaan Malaysia di Perbadanan Putrajaya, Isnin
.
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penubuhan Yayasan Pesara Kerajaan Malaysia merupakan wadah bagi memperjuangkan kebajikan dan kepentingan pesara-pesara kerajaan.

Beliau berkata, sebuah organisasi diperlukan untuk menjadi perantara antara pesara dan kerajaan yang boleh diajak berunding bagi merumus sesuatu supaya kesejahteraan pesara dapat dipertimbangkan oleh kerajaan mengikut kemampuannya.

"Penubuhan ini bukan (membincangkan) soal menambah pencen semata-mata walaupun ia akan dibangkitkan dari semasa ke semasa. Sistem pencen di negara kita adalah antara yang terbaik di dunia sebab itu hari ini ramai yang ingin menjadi penjawat awam.

"Melalui penubuhan yayasan ini, kita boleh bertemu dengan semua pesara kerajaan dan ini menunjukkan kerajaan sentiasa mengambil berat dan (utamakan)kepentingan para pesara," katanya pada majlis pelancaran Yayasan Pesara Kerajaan Malaysia di sini, Isnin.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi Yayasan Pesara Kerajaan Malaysia Tan Sri Aseh Che Mat dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Yayasan itu menaungi 25 buah persatuan dan kelab pesara yang akan menjadi penyelaras antara pesara dan kerajaan.
Pada majlis itu, Najib yang juga Presiden UMNO turut merasmikan mesyuarat agung Kelab Umno Pesara Kanan Kerajaan.

Selain isu elaun dan pencen, Najib berkata, soal perumahan dan kesihatan harus dibincangkan 'dari hati ke hati' bagi melindungi kebajikan penjawat awam selepas mereka bersara.
"Satu badan sosial juga harus diwujudkan kerana tiada sesuatu yang lebih menekankan jiwa apabila bersara, seolah-olah dunia telah melupakan kita.

"Saya tahu, para pesara kerajaan ini siapa lagi akan membantu melainkan kerajaan... saya lebih suka tuan-tuan dan puan-puan cari saya daripada (mencari) orang lain.

"Saya berharap melalui pelancaran yayasan ini akan wujud hubungan yang lebih mesra antara pesara dan kerajaan serta kebajikan pesara akan lebih terbela," katanya.

Najib juga mengumumkan kelulusan RM5 juta sebagai geran permulaan bagi yayasan itu.

"Kalau ada projek dan program yang baik, tentu yayasan ini akan kemukakan kepada kerajaan untuk diberi pertimbangan," katanya.
 

720,000 Pesara Masih Boleh Beri Sumbangan Kepada Kerajaan


KOTA BARU: Kira-kira 720,000 pesara kerajaan masih boleh membantu membangunkan negara dengan menggunakan pengalaman luas mereka ketika berkhidmat dengan kerajaan.

Justeru itu, Pengerusi Yayasan Pesara Kerajaan Malaysia Tan Sri Aseh Che Mat meminta pesara supaya bersatu dan bekerjasama rapat antara satu sama lain bagi terus menyalurkan idea dan pandangan terhadap sesuatu perkara berhubung pembangunan negara.

"Bayangkan dari segi pengalaman, sumbangan kepada negara begitu banyak dan kalau kita bersatu, banyak benda yang kita boleh buat bersama," katanya kepada pemberita selepas majlis pertemuan Yayasan Pesara Kerajaan Malaysia bersama pesara kerajaan Kelantan di sini, Sabtu.

Pada majlis itu, seramai 500 pesara kerajaan yang terlibat bencana banjir pada bulan lepas diberi bantuan berupa wang tunai sebanyak RM500 bagi mangsa yang kehilangan rumah, manakala RM300 kepada mangsa terlibat banjir.

Dalam pada itu, Aseh berkata yayasan berkenaan akan bertindak menaungi pelbagai persatuan pesara yang lain dan menjadi penyelaras antara pesara dan kerajaan.

Selain itu, ia akan memberi fokus kepada kebajikan pesara terutama berkaitan kesihatan dan pelajaran anak-anak mereka.

Comments

Popular posts from this blog