Wilma Bakal Ketuai Pasukan Gerila Selimut Merah

Wilma Bakal Ketuai Pasukan Gerila Selimut Merah

KUALA LUMPUR – Pelakon jelita yang telah lama menyepikan diri, Wilma Muhammad, bakal mengetuai sebuah pasukan gerila Selimut Merah yang dianggotai oleh kaum Hawa bagi menentang musuh negara yang mengancam keselamatan tanahair.
Ekoran melihat kekejaman komunis yang bermaharajalela memberkas, menyeksa dan membunuh kaum Adam di bumi bertuah, Wilma mengepalai pasukan gerila tersebut mengganti posisi dan menyambung perjuangan suaminya mempertahankan kedaulatan negara.
Skrip dan watak Tengku Suraya di dalam filem 1945: Malaya Without Malay itu berjaya menambat hati ibu tunggal kepada lima orang anak tersebut untuk kembali ke dunia industri hiburan tanahair sejak ‘bersara sekejap’ 11 tahun lalu.
“Saya teruja bawa watak berat ini. Ia bukan saja menuntut saya menjadi wanita bangsawan berjiwa rakyat tetapi sanggup berjuang demi keamanan negara dan menyelamatkan suami tercinta yang ditawan komunis.
“Pada masa sama, saya berdebar-debar. Maklumlah, sudah lama tinggalkan dunia lakonan. Risau memikirkan adakah persembahan saya mencapai piawaian yang penerbit serta pengarah mahukan kerana jika ikutkan, ini baru filem ketiga saya,” katanya yang dipetik dari media online, myMetro, baru-baru ini.
Menurut Wilma, dia yang ‘dilamar’ oleh rakannya, Asri Abdul Rahman, yang juga merupakan penerbit filem berkenaan, Northstar Acres Sdn Bhd, mengaku bersetuju untuk membintangi watak utama filem tersebut setelah meneliti skrip dan syarat yang membenarkannya kekal bertudung.
Wilma Bakal Ketuai Pasukan Gerila Selimut Merah
“Nak dijadikan cerita, rakan saya, Asri Abdul Rahman, bertanya adakah saya minat untuk berlakon semula. Disebabkan banyak kali bertanya saya pun jawab dengan gurauan, kalau ada tawaran filem, watak utama, jalan cerita dan bayaran bagus serta saya boleh kekal bertudung, tidak mustahil.
“Tiba-tiba dia keluarkan surat kelulusan Finas untuk bikin filem. Saya terkedu, saya ingat dia main-main. Tidak lama selepas itu, dia bawa saya jumpa sahabatnya, Emran Ismail yang akan mengarah filem 1945: Malaya Without Malay.
“Saya teliti skrip dan jatuh cinta dengan jalan ceritanya yang lain dari lain. Selepas berfikir panjang, saya menyatakan persetujuan dan keputusan ini mendapat restu keluarga,” jelas Wilma.
Wilma turut difahamkan bahawa seramai 200 orang anggota tentera akan beraksi sebagai pelakon tambahan di dalam filem tersebut dan barisan pelakon dikehendaki menjalani latihan ketenteraan, hasil kerjasama pihak penerbit dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Filem ini mendapat kerjasama Angkatan Tentera Malaysia di mana saya difahamkan kira-kira 200 anggota tentera darat akan beraksi sebagai pelakon ekstra.
“Sebelum penggambaran bermula, barisan pelakon akan diberi latihan ketenteraan. Pengalaman ini sangat menarik malah saya rasa sangat bersemangat di lokasi penggambaran,” katanya penuh semangat.
Wilma Bakal Ketuai Pasukan Gerila Selimut Merah
Selain itu, pengalaman di zaman remaja bersama ayah dan bapa saudaranya yang gemar memburu di Sabah dahulu menjadikan Wilma tidak punya sebarang masalah dengan aktiviti menembak atau watak lasak di dalam hutan.
“Ayah dan bapa saudara saya suka menembak dan berburu. Saya belajar menembak daripada mereka dan sesekali ikut mereka berburu. Mungkin kerana sudah terbiasa jadi saya tidak kisah menjalani penggambaran dalam hutan,” ujarnya.
Wilma yang merupaka ibu kepada Raida Thaqifa, 10, Athira Inara, 8, Mahira Aqila, 6, Muhamad Yusuf, 4 dan Umar Al Faruq, 3, itu mula berlakon sebagai heroin kepada penyanyi dan Raja Pop, Jamal Abdillah, menerusi filem pertamanya, Ghazal Untuk Rabiah.
Dia kemudiaannya meninggalkan dunia lakonan sejurus selepas filem keduanya, Pasrah, yang menggandingkannya bersama Erra Fazira dan Norman Hakim ditayangkan di pawagam ekoran perkahwinannya dengan Allahyarham Mahir Effendi Mahmud yang kembali ke rahmatullah pada awal tahun lalu.
Oleh: ZAMZUKHAIRI NOORDIN

Comments

Popular posts from this blog