Janji ALLAH Ta`ala Buat Mukmin

ALLAH Ta`ala berfirman:

إِنَّ الْمُتَّقِينَ فِي جَنَّاتٍ وَعُيُونٍ .  ادْخُلُوهَا بِسَلَامٍ آمِنِينَ .  وَنَزَعْنَا مَا فِي صُدُورِهِم مِّنْ غِلٍّ إِخْوَانًا عَلَىٰ سُرُرٍ مُّتَقَابِلِينَ . لَا يَمَسُّهُمْ فِيهَا نَصَبٌ وَمَا هُم مِّنْهَا بِمُخْرَجِين

Maksudnya:  “Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga, dengan mata air – mata air terpancar padanya.  (Mereka dipersilakan oleh malaikat dengan berkata): Masuklah kamu ke dalamnya dengan selamat sejahtera serta beroleh aman.  Dan Kami cabut akan apa yang ada di hati mereka dari perasaan hasad dengki sehingga menjadilah mereka bersaudara (dalam suasana kasih mesra), serta mereka duduk berhadap-hadapan di atas pelamin masing-masing.  Mereka tidak akan disentuh susah payah dalam Syurga itu dan mereka pula tidak sekali-kali akan dikeluarkan daripadanya.”
(Surah Al-Hijr, 15 : 45-48)
ALLAH Ta`ala berfirman:

يَا عِبَادِ لَا خَوْفٌ عَلَيْكُمُ الْيَوْمَ وَلَا أَنتُمْ تَحْزَنُونَ .  الَّذِينَ آمَنُوا بِآيَاتِنَا وَكَانُوا مُسْلِمِينَ .  ادْخُلُوا الْجَنَّةَ أَنتُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ تُحْبَرُونَ .  يُطَافُ عَلَيْهِم بِصِحَافٍ مِّن ذَهَبٍ وَأَكْوَابٍ ۖ وَفِيهَا مَا تَشْتَهِيهِ الْأَنفُسُ وَتَلَذُّ الْأَعْيُنُ ۖ وَأَنتُمْ فِيهَا خَالِدُونَ .  وَتِلْكَ الْجَنَّةُ الَّتِي أُورِثْتُمُوهَا بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ .  لَكُمْ فِيهَا فَاكِهَةٌ كَثِيرَةٌ مِّنْهَا تَأْكُلُونَ

Maksudnya:  ”(Mereka yang bertakwa itu, diberi penghormatan serta diseru oleh Allah Taala dengan firmanNya): Wahai hamba-hambaku! Pada hari ini kamu tidak akan merasai sebarang kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) dan kamu pula tidak akan berdukacita.  (Mereka itu ialah) orang-orang yang beriman akan ayat-ayat keterangan Kami, serta mereka menjadi orang-orang Islam yang taat patuh,  (Mereka diberi sebaik-baik balasan dengan dikatakan kepada mereka): Masuklah kamu ke dalam Syurga bersama-sama isteri-isteri kamu (yang beriman), dengan menikmati sepenuh-penuh kegembiraan dan kesenangan.  Diedarkan kepada mereka pinggan-pinggan besar dan piala-piala dari emas dan di dalam Syurga itu pula disediakan segala yang diingini oleh nafsu serta di pandang indah oleh mata dan (dikatakan kepada mereka): Kamu adalah tetap kekal di dalamnya.  Dan (dikatakan lagi kepada mereka): Inilah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya, disebabkan apa yang kamu telah kerjakan.  Kamu beroleh di dalamnya berbagai jenis buah-buahan, untuk kamu makan daripadanya.”
(Surah az-Zukhruf, 43 : 68-73)
ALLAH Ta`ala berfirman:

إِنَّ الْمُتَّقِينَ فِي مَقَامٍ أَمِينٍ .  فِي جَنَّاتٍ وَعُيُونٍ .  يَلْبَسُونَ مِن سُندُسٍ وَإِسْتَبْرَقٍ مُّتَقَابِلِينَ .  كَذَٰلِكَ وَزَوَّجْنَاهُم بِحُورٍ عِينٍ .  يَدْعُونَ فِيهَا بِكُلِّ فَاكِهَةٍ آمِنِينَ .  لَا يَذُوقُونَ فِيهَا الْمَوْتَ إِلَّا الْمَوْتَةَ الْأُولَىٰ ۖ وَوَقَاهُمْ عَذَابَ الْجَحِيمِ .  فَضْلًا مِّن رَّبِّكَ ۚ ذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

Maksudnya:  “Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa (akan ditempatkan) di tempat tinggal yang aman sentosa.  Dia itu di dalam beberapa taman Syurga, dengan mata air-mata air terpancar padanya,  Mereka memakai pakaian dari kain sutera yang halus dan kain sutera tebal yang bersulam; (mereka duduk di tempat perhimpunan) sentiasa berhadap-hadapan (di atas pelamin masing-masing).  Demikianlah keadaannya dan Kami jadikan kawan teman mereka bidadari-bidadari yang putih melepak, lagi luas cantik matanya.  Mereka meminta di dalam Syurga itu tiap-tiap jenis buah-buahan (yang mereka ingini), dalam keadaan aman sentosa.  Mereka tidak merasai kematian dalam Syurga itu selain daripada mati yang mereka rasai (di dunia) dahulu dan Allah selamatkan mereka dari azab Neraka;  (Mereka diberikan semuanya itu) sebagai limpah kurnia dari Tuhanmu (wahai Muhammad); yang demikian itulah kemenangan yang besar.”
(Surah ad-Dukkhan, 46 : 51-57)
ALLAH Ta`ala berfirman:

إِنَّ الْأَبْرَارَ لَفِي نَعِيمٍ .  عَلَى الْأَرَائِكِ يَنظُرُونَ .  تَعْرِفُ فِي وُجُوهِهِمْ نَضْرَةَ النَّعِيمِ .  يُسْقَوْنَ مِن رَّحِيقٍ مَّخْتُومٍ .  خِتَامُهُ مِسْكٌ ۚ وَفِي ذَٰلِكَ فَلْيَتَنَافَسِ الْمُتَنَافِسُونَ .  وَمِزَاجُهُ مِن تَسْنِيمٍ .  عَيْنًا يَشْرَبُ بِهَا الْمُقَرَّبُونَ

Maksudnya:  “Sesungguhnya orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada di dalam Syurga yang penuh nikmat:  Mereka berehat di atas pelamin-pelamin (yang berhias), sambil melihat (segala keindahan dan kemuliaan yang disediakan untuk mereka di situ).  Engkau dapat melihat pada muka mereka: Cahaya nikmat yang mereka perolehi.  Mereka diberi minum dari satu minuman yang termeterai bekasnya,  Meterainya kasturi; dan untuk (memperolehi nikmat kesenangan) itu hendaknya berlumba-lumba mereka yang ingin merebut kelebihan dan kesenangan;  Dan campuran minuman itu adalah dari “Tasnim”:  Iaitu mata air yang diminum daripadanya oleh orang-orang yang di dampingkan (Tuhan di sisiNya).”
(Surah al-Muthaffifin, 83 : 22-28)

Daripada Hadith Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam

1.  Dari Jabir radhiAllahu `anhu berkata bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda yang maksudnya:
“Ahli Syurga itu makan dan minum di dalam Syurga.  Tetapi mereka tidak buang air besar, tidak buang hingus dan tidak kencing.  Akan tetapi apa yang mereka makan di dalam Syurga itu menjadi sendawa seperti bau minyak kasturi.  Mereka diilhamkan untuk bertasbih dan bertakbir sebagaimana mereka diilhamkan untuk bernafas.”
(Diriwayatkan oleh Muslim)
2.  Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu berkata, Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam telah bersabda yang maksudnya:
“ALLAH Ta`ala berfirman:  “AKU telah menyediakan buat hamba-hambaKU yang soleh sesuatu yang belum pernah terlihat oleh mata, belum pernah terdengar oleh telinga serta belum pernah terlintas di hati seseorang.  Dan cubalah kamu baca:  فَلَا تَعْلَمُ نَفْسٌ مَّا أُخْفِيَ لَهُم مِّن قُرَّةِ أَعْيُنٍ (Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan mengembirakan) (Surah as-Sajdah, 32 : 17)”.”
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)
3.  Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu berkata, Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam telah bersabda yang maksudnya:
“Rombongan pertama kali yang masuk Syurga itu bagaikan bulan pada malam purnama.  Kemudian rombongan yang berikutnya bagaikan bintang yang paling cemerlang menerangi langit.  Mereka tidak pernah kencing, buang air besar, meludah dan tidak pernah berhingus.  Sisir mereka diperbuat dari emas.  Keringat mereka berbau minyak kasturi.  Kerikil mereka kayu cendana yang sangat harum.  Isteri mereka bidadari yang cantik jelita.  Bentuk tubuh mereka sama iaitu seperti bentuk tubuh ayah mereka Nabi Adam, tingginya enam puluh hasta.”
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat al-Bukhari dan Muslim yang lain dikatakan:
“Bejana mereka di dalam Syurga terbuat dari emas, keringat mereka berbau minyak kasturi.  Masing-masing dari mereka mempunyai dua isteri yang dapat terlihat sumsum betisnya dari balik daging kerana sangat cantiknya.  Di antara mereka tidak pernah terjadi pertengkaran mahu pun saling benci-membenci.  Hati mereka seperti hati orang yang satu.  Mereka senantiasa bertasbih kepada ALLAH baik pagi mahu pun petang.”
4.  Dari al-Mughirah bin Syu`bah radhiAllahu `anhu dari Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam, Baginda bersabda yang maksudnya:
“Nabi Musa sallAllahu `alaihi wa sallam bertanya kepada Tuhan:  “Bagaimana serendah-rendah tingkatan ahli Syurga itu?” 
Tuhan menjawab:  “Iaitu seseorang yang datang setelah ahli Syurga dimasukkan ke dalam Syurga, kemudian diperintahkan kepadanya:  “Masuklah kamu ke dalam Syurga.”  Ia berkata:  “Wahai Tuhan, bagaimana saya harus masuk sedangkan manusia telah masuk pada masing-masing tempatnya dan telah mengambil bahagiannya?”  Dikatakan kepadanya:  “Puaskah kamu apabila disediakan bagimu seluas kerajaan seorang raja di dunia?”  Ia menjawab:  “Wahai Tuhan, saya puas.”  Tuhan berfirman:  “Bagimu seluas itu, dan sepadan dengan itu, dan sepadan dengan itu, dan sepadan dengan itu, dan sepadan dengan itu.”  Sewaktu Tuhan berfirman untuk yang kelima kalinya, ia berkata:  “Saya puas.”  Tuhan berfirman:  “Inilah bahagianmu dan sepuluh kali dari itu, serta segala apa yang diingini dan disenangi oleh nafsu dan matamu.”  Ia berkata:  “Wahai Tuhanku, saya puas.” 
Nabi Musa bertanya:  “Wahai Tuhan, bagaimana setinggi-tinggi tingkatan ahli Syurga itu?” 
Tuhan berfirman:  “Iaitu orang-orang yang telah AKU sediakan kehormatan mereka dengan tangan-KU dan kemudian AKU tutup, sehingga tidak terlihat oleh mata, tidak terdengar oleh telinga, dan tidak terlintas di hati manusia.”
(Diriwayatkan oleh Muslim)
5.  Dari Ibnu Mas`ud radhiAllahu `anhu berkata, Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda:
“Sesungguhnya aku mengetahui ahli Neraka yang terakhir keluar dari Neraka dan ahli Syurga yang terakhir masuk ke dalam Syurga, iaitu seseorang yang keluar dari Neraka dengan merangkak, kemudian ALLAH `Azza wa Jalla berfirman kepadanya:  “Pergilah dan masuklah ke dalam Syurga.” 
Kemudian pergilah ia menuju Syurga dan ia membayangkan bahawa Syurga itu telah penuh.  Maka ia kembali dan berkata:  “Wahai Tuhan, saya berpandangan Syurga itu telah penuh.” 
ALLAH `Azza wa Jalla berfirman kepadanya:  “Pergilah dan masuklah ke dalam Syurga kerana bahagianmu seluas dunia dan sepuluh kali ganda daripada dunia.” 
Kemudian ia berkata:  “Apakah ENGKAU mengejek saya atau mentertawakan saya sedangkan ENGKAU adalah Maharaja?” 
Ibnu Mas`ud berkata:  “Sungguh, saya melihat Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam tertawa sehingga nampak gigi-gigi gerahamnya, serta beliau bersabda:  “Demikian itulah serendah-rendah tingkatan ahli Syurga.”
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)
(bersambung lagi… in shaa’ ALLAH)
*Dipetik dari kitab Riyadhus Solihin susunan al-Imam an-Nawawi, rahimahullah.

 http://muzir.wordpress.com

Comments

Popular posts from this blog