Skip to main content

Sekolah Menengah Kebangsaan Derma

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sekolah Menengah Kebangsaan Derma
Jenis Sekolah menengah kebangsaan, Sekolah kerajaan
Kod sekolah REE0059
Lokasi Jalan Penjara01000, Kangar,, Perlis Indera Kayangan,  Malaysia
Telefon 6049761202
Faks 6049771277

Sekolah Menengah Kebangsaan Derma atau nama ringkasnya SMK Derma, merupakan sebuah Sekolah menengah kebangsaan yang terletak di Jalan Penjara.
Pada 2009, Sekolah Menengah Kebangsaan Derma memiliki 321 pelajar lelaki dan 545 pelajar perempuan, menjadikan jumlah keseluruhan murid seramai 866 orang. Ia mempunyai seramai 69 orang guru.2009
Sekolah Menengah Derma merupakan sekolah menengah aliran Bahasa Inggeris yang pertama di negeri Perlis. Sekolah ini dahulunya dikenali sebagai "Derma English School" dan ditubuhkan pada tahun 1948. Dari awal-awal lagi sehinggalah masa lepas Perang Dunia II yang berakhir pada tahun 1945, tiada sebuah sekolah Inggeris pun wujud dalam negeri Perlis ini. Yang ada pada masa itu hanyalah sekolah Melayu, sekolah Cina dan sekolah Arab iaitu Sekolah Menengah Alawiyah Arau, Perlis.
Bagi ibu bapa yang ingin anak-anak mereka mendapat pelajaran Inggeris, terpaksalah menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah Inggeris di Pulau Pinang seperti Penang Free School. Dan pada ketika itu, juga ada dua tiga orang murid yang telah dihantar belajar dengan biasiswa kerajaan negeri Perlis ke Kolej Melayu Kuala Kangsar yang ketika itu disebut "Babuddarajat", selepas itu dikenali pula sebagai MCKK (Malay College Kuala Kangsar Perak). Penuntut-penuntut yang tersebut itulah yang kembali menjawat jawatan-jawatan Pentadbir Negeri Perlis ini. Dengan keadaan itu, hanya segelintir ibu bapa sahaja yang mampu menghantar anak-anak mereka ke luar negeri. Mereka itu tergolong daripada pegawai-pegawai tinggi Kerajaan Negeri Perlis, manakala anak-anak orang miskin tidak dapat peluang yang tersebut itu.
Apabila berakhir Perang Dunia II, iaitu selepas Semenanjung Tanah Melayu berada di bawah pemerintahan tentera Jepun selama tiga tahun lapan bulan, maka pemikiran orang-orang Melayu pun berubah terhadap politik, ekonomi dan pelajaran. Sebilangan orang-orang Melayu di negeri Perlis ini telah sedar betapa pentingnya pelajaran Inggeris kepada anak-anak mereka. Pada ketika itu juga Duli Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis dengan bersungguh-sungguh mendorongkan dan menyedarkan keseluruhan rakyat negeri Perlis ini supaya berikhtiar dan berusaha bagi mewujudkan sebuah sekolah Inggeris dalam negeri Perlis ini. Dengan dorongan dan kesedaran itulah maka sebuah jawatankuasa induk telah ditubuhkan dalam satu perjumpaan pada tahun 1946. Jawatankuasa yang terlantik itulah yang membuat perancangan untuk mendapatkan wang yang secukupnya bagi mewujudkan sekolah Inggeris dalam negeri Perlis ini.

Isi kandungan

Kewangan

Kutipan daripada pesawah-pesawah

Derma yang terbanyak sekali terkumpul ialah daripada pesawah-pesawah Mukim Sanglang/Kayang iaitu sebanyak RM50,000.00. Derma itu diperolehi daripada pesawah-pesawah dalam mukim ini yang telah menyahut seruan penghulu mereka iaitu Encik Ahmad Musa, Penolong Encik Jaafar bin Hassan (Dato' Jaafar Hassan - Bekas Menteri Besar Perlis) dan setiausahanya Tengku Abdullah Tengku Mahamud dengan mengusahakan sebahagian sawah mereka selama tiga tahun (tiga musim padi) yang mana semua hasilnya adalah khas untuk derma yang dimaksudkan. Begitulah caranya dibuat hingga mendapat jumlah tersebut. Wang RM 50,000.00 itu telah diserahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis di dalam satu upacara khas yang diadakan di Sekolah Melayu Simpang Empat Perlis pada tahun 1947. Pesawah-pesawah dalam mukim lain diseluruh negeri Perlis pula menderma hasil padi mereka mengikut yang termampu selama tiga tahun juga. Derma-derma ini diserahkan melalui penghulu masing-masing.

Kutipan daripada pegawai kerajaan dan guru

Semua kakitangan kerajaan dan guru di negeri Perlis ini dengan rela hati telah menderma sebanyak tiga (3) peratus daripada gaji masing-masing dengan cara potongan gaji tiap-tiap bulan selama dua tahun. Satu pertunjukkan sandiwara dan Taman Selera telah dianjurkan oleh anggota Kaum Ibu UMNO yang diketuai oleh Che Gayah dan Che Shaharom Bee bagi mengutip derma daripada orang ramai.

Derma perseorangan

Ada juga penderma perseorangan menghulurkan derma pribadi mereka secara sekaligus sahaja kepada jawatankuasa yang dilantik.

Pembinaan sekolah

Dengan derma yang terkumpul yang dianggarkan lebih RM 70,000.00 itulah digunakan untuk mendirikan sebuah sekolah. Bangunan sekolah itu dibina di atas tapak yang ada sekarang berhampiran dengan tapak penjara. Bangunan itu berdinding buluh, beratap rumbia dan berlantaikan simen. Tingkapnya dibuat daripada dinding buluh juga, dibuka dengan cara menolak keluar dan ditungkat dengan kayu, supaya tetap terbuka.
Kerja-kerja pembinaan sekolah ini telah dijalankan oleh seorang kontraktor Melayu bernama Pak Shariff. Bangunan ini mengandungai empat (4) buah bilik darjah dan dua buah rumah guru. Jumlah pelajar pada permulaannya ialah seramai 180 orang yang terdiri daripada 129 orang pelajar lelaki dan 51 orang pelajar perempuan. Pengetua pertamanya ialah Encik P. M. Ibrahim, merupakan seorang guru kanan dari Alor Star, Kedah. Beliau telah memegang jawatan sebagai Guru Besar di Derma English School mulai 15 April 1949 sehingga 28 Februari 1953. Setelah itu digantikan oleh Tuan Haji K.S. Merican yang telah menjadi pemangku Guru Besar sehingga bulan Mei 1954.

Pembukaan rasmi

Setelah siap bangunan sekolah itu pada awal tahun 1949, maka Encik Jaafar Hassan telah ditugaskan oleh jawatankuasa induk untuk menyelenggarakan persiapan pembukaan rasmi, akhirnya pada awal tahun 1949, pembukaan rasmi sekolah telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis dan dengan ini nama "Derma English School Kangar" dirasmikan dengan mengambil sempena bahawa kewangan untuk mendirikan bangunan sekolah dan penyelenggaraannya hanyalah datang daripada derma rakyat negeri Perlis. Maka dengan itu wujudlah sebuah Sekolah Inggeris yang terulung di Negeri Perlis Indera Kayangan ini. Turut hadir dalam majlis pembukaan itu ialah Dato' S. Thuraisinggam. Beliau berucap sebagai ahli bagi Pelajaran Kerajaan Semenanjung Tanah Melayu pada ketika itu.

Jawatankuasa yang dilantik

  • Pengerusi: Allahyarham Encik Abdul Wahab haji Abdullah (Majistret Negeri Perlis)
  • Setiausaha: Allahyarham Tan Sri Dato' Sheikh Ahmad Mohamad Hashim (Pegawai Audit Negeri Perlis
  • Bendahari: Allahyarham Encik Harun Ayob (Pegawai Kewangan Negeri Perlis)
  • Ahli Jawatankuasa:
    • Allahyarham Wan Ahmad Wan Daud (Dato' Wan Ahmad bin Wan Daud - Pegawai Syarikat Kerjasama Negeri Perlis)
    • Allahyarham Tuan Syed Bahaldin Syed Noh (Penolong Pegawai Syarikat Kerjasama Negeri Perlis)
    • Allahyarham Encik Taharim Haji Ibrahim (Pegawai Kerani Kerajaan)
    • Allahyarham Encik Hashim Abdul Rahman (Wakil Pejabat Pelajaran Perlis)
    • Allahyarham Cik Abdullah Ahmad (Timbalan Pesuruhjaya Tanah dan Galian Negeri Perlis - Wakil Pejabat Tanah dan Galian)
  • Semua Penghulu Mukim
    • Allahyarham Encik Ahmad Musa (Penghulu Mukim Sanglang/Kayang, Bekas Pemangku Menteri Besar Perlis)
    • Allahyarham Encik Omar Said (Penghulu Mukim Kuala Perlis)
    • Allahyarham Encik Abdul Rahim Haji Yadali (Penghulu Mukim Bintong/Abi/Padang Pauh/Paya)
    • Allahyarham Encik Taib Haji Mohamad Saad (Penghulu Mukim Beseri/Titi Tinggi)
    • Allahyarham Encik Ahmad Samah (Penghulu Mukim Kurung Anai)
    • Yang Mulia Tengku Adnan Tengku Yahaya (Penghulu Mukim Arau)
    • Allahyarham Tuan Syed Osman Syed Mohamad (Penghulu Mukim Jejawi/Sungai Adam/Sena)
    • Allahyarham Encik Ahmad Mat Saman (Penghulu Mukim Utan Aji/Seriab)
    • Encik Mustaffa Mohamad Saad (Penghulu Mukim Chuping/Oran/Ngulang) Dato' Indera Perkasa Mustaffa Mohamad Saad.
Penghulu-penghulu yang terlibat dalam jawatankuasa induk telah menubuhkan jawatankuasa kecil di Mukim masing-masing.

Sejarah ringkas

Pada tahun 1952, jawatankuasa sekolah memutuskan supaya pentadbiran sekolah diserahkan kepada kerajaan kerana masalah kewangan. Penyerahannya dipersetujui dengan syarat nama "Derma" dikekalkan. Mulai tahun 1953 sekolah ini diambilalih oleh kerajaan dan sejak itu telah mengalami perkembangan pesat dari segi kemudahan infrastrukturnya. Perkembangan tersebut dapatlah diringkaskan seperti berikut:
  • 1953: Sebuah asrama kayu yang boleh menampung seramai 40 orang telah siap dibina.
  • 1954: Sebuah bangunan batu dua tingkat dengan 10 buah bilik darjah dan sebuah makmal sains telah didirikan.
  • 1957: Kelas tingkatan satu aliran Bahasa Melayu dimulakan dengan 40 orang pelajar.
  • 1958: Pentadbiran bahagian rendah dan menengah telah diasingkan. Lembaga Pentadbiran Sekolah (Board of Governors) telah diwujudkan.
  • 1963: Sebuah dewan telah siap dan mula digunakan. Dewan ini dikenali sebagai "Dewan Syed Mahmud".
  • 1964: Kelas aliran Bahasa Melayu telah dipindahkan ke Sekolah Menengah Dato' Sheikh Ahmad di Arau.
  • 1967: Sekolah ini dinaikkan taraf sebagai sebuah sekolah menengah atas dan pengambilan pelajar-pelajar Tingkatan 1 telah diberhentikan.
  • 1969: Kelas aliran Bahasa Melayu dimulakan kembali atas desakan orang ramai.
  • 1970: Asrama Puteri telah didirikan dan Asrama Putera dirobohkan.
  • 1972: Nama sekolah ditukar daripada "Derma English School" kepada "Sekolah Menengah Derma".
  • 1973: Sekolah merayakan ulang tahun ke-25 (Jubli Perak).
  • 1976: Sebuah bangunan tiga tingkat mengandungi 4 makmal sains (fizik, kimia dan biologi), 7 buah bilik darjah dan sebuah bilik guru dirasmikan oleh D.Y.M.M. Tuanku Raja Perlis.
  • 1984: Sebuah blok tiga tingkat mengandungi sebuah bilik guru, bilik sumber dan bilik-bilik darjah mula digunakan.
  • 1990: Sekolah menerima "Anugerah Sekolah Harapan "(Kategori Sekolah Menengah Bandar).
  • 1994: Menerima anugerah "Seri Cemerlang Operasi Cerdik Jabatan Pendidikan Perlis".
  • 1995: Menerima anugerah "Sekolah Harapan Negara", Kategori Sekolah Menengah Bandar.
  • 1996: Dua blok tiga tingkat asrama putera dan puteri beserta dengan dewan makan siap dibina dan diduduki oleh pelajar.
  • 1997: Menerima anugerah "Sekolah Harapan Negara", Kategori Sekolah Menengah Bandar serta pengiktirafan MS ISO 9002 (SIRIM). Juga menerima anugerah kualiti Menteri Pendidikan.
  • 1998: Perasmian Dataran Putra.
  • 1999: Perlaksanaan Sekolah Bestari. Perayaan Jubli Emas penubuhan Sekolah Menengah Kebangsaan Derma.
  • 2007: Perlaksanaan Sekolah Kluster.

Alamat

Sekolah Menengah Kebangsaan Derma
Jalan Penjara
01000, Kangar
Perlis,  Malaysia
Telefon = 6049761202
Fax = 6049771277

Pautan luar

Comments

Popular posts from this blog