- SELAMAT MELAYARI BLOG INI SEMOGA KITA MEMPEROLEHI MANFAATNYA DAN HARAP DISEBARLUASKAN KEPADA PEMBACA YANG LAIN PULA BERSESUAIAN DENGAN SABDA RASULULLAH S.A.W "SAMPAIKAN DARIPADAKU WALAUPUN DENGAN SATU AYAT"

Sunday, July 31, 2011






ustaz zainul asri - fitnah akhir zaman















titik-titik dosa 

 

 

 




 

 

 






TAZKIRAH RAMADHAN: DOA PALING UTAMA DI BULAN RAMADHAN
APAKAH DOA YANG PALING UTAMA DI BULAN RAMADAN DAN SIAPAKAH DIA UWAIS AL-QARNI?

Oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah sekalian. Kedatangan bulan  Ramadhan walaupun menjadi suatu kebiasaan kepada kebanyakan orang, tetapi sebenarnya ianya menjadi suatu mercu tanda kepada orang-orang yang ingin mencapai kepada matlamat penghidupan yang sebenarnya iaitu seperti yang disebutkan oleh Allah swt;

Surah Al-Baqarah:183

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa (Al-Baqarah:183)

Khususnya dalam kontek kita berpuasa disebutkan sebagai “La‘al lakum tattaqun” maksudnya dengan berpuasa kamu akan memperolehi darjat ketaqwaan kepada Allah swt. Menjadi suatu yang agak lumrah kepada insan, biasa disebut, di hafal dan diingati kalimah ini “La‘al lakum tattaqun”, tetapi pernahkah, sampaikah kita ke tahap “tattaqun” itu bila sampai Ramadan dan berakhir Ramadan?

Sampaikah kita kepada apa yang nabi sebut kepada isteri-isterinya dan kepada sahabat-sahabatnya iaitu “Faya ‘ajaban liman adraka ramada na fala yughfarulah”, iaitu maksudnya “Alangkah hairannya (ajaibnya) bagi orang yang telah sampai umurnya kepada menjelang Ramadan, apabila habis Ramadan hairan kalau dia tidak mengambil kesempatan untuk Allah mengampunkan semua dosa-dosanya”.


Tidak ada insan yang tidak berdosa melainkan nabi yang maksom. Kita lihat dizaman ini banyak perkara yang terpaksa kita telan dan kita tempuh. Akibatnya kita terpaksa menerima kemurkaan-kemurkaan Allah swt. kepada hamba-hambanya. Kita lihat dari bala bencana, musibah demi musibah, kita lihat dari berbagai-bagai kejadian yang tidak menyenangkan menunjukkan bahawa adanya kemurkaan Allah. Allah tidak akan murka melainkan kerana besarnya dosa manusia. Kerana itu datang ramadan, memanglah boleh menghairankan orang yang sempat hidup sampai Ramadan, apabila habis Ramadan dosa dia tidak terampun.

Sebab itu Siti Aisyah radiaAllahhu anha ingin sangat untuk bertemua peluang dengan malam Qadar (Lailatul Qadar), dia bertanya kepada nabi “Bilakah berlaku malam Qadar?”. Nabi bertanya kepada Aisyah semula “Apakah kamu nak buat bila kamu bertemu dengan malam Qadar?”. Aisyah menjawab “Saya tak tahu” kemudian Aisyah bertanya lagi “Apakah yang patut saya buat bila bertemu dengan malam Qadar itu?”. Nabi berkata kepada Aisyah “Malam itu malam yang amat baik untuk beramal dimalamnya dan amat mudah dimakbul Allah doanya”. Aisyah bertanya lagi “Apakah doa yang paling baik untuk aku berdoa pada malam itu?” Nabi jawab “ Kalau kamu sempat berjumpa dan mengetahui malam itu ialah malam Qadar berdoalah

Doa Paling Afdal Dibulan Ramadan
“Allah humma innaka ‘afuu ’un karimun tuhib bul ‘af wa fa’ fu ‘anni” (maknanya Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang sangat suka mengampun, ampunkanlah dosa-dosa ku).

Sebenarnya Nabi dah tahu yang Aisyah itu akan masuk syurga ertinya dosanya telah diampunkan oleh Allah tetapi kenapa Nabi masih menyuruh Aisyah untuk memohon kepada Allah agar diampunkan dosa?. Sedangkan Aisyah memang layak untuk tidak dimasukkan ke dalam neraka, hanya layak ke syurga. Soal dosa dan pahala dia dah tak kisah sangat tapi nabi masih menyuruhnya berdoa supaya Allah ampunkan dosa.
Saya nak kaitkan dengan satu kisah iaitu bila Allah bagi tahu kepada nabi Muhammad s.a.w.  iaitu ada insan yang akan lahir dikalangan Tabiin (“Tabiin” maknanya satu kumpulan insan yang tidak sempat berjumpa dengan nabi tetapi hanya sempat berjumpa dengan sahabat nabi sahaja. Kalau orang yang sempat berjumpa dengan nabi, itu dipanggil “Sahabat”. Kalau orang yang lahir kedunia ini setelah nabi wafat tetapi sempat berjumpa dengan Sahabat ia dipanggil Tabiin).

Nabi berpesan kepada Umar dan Ali, “Akan lahir dikalangan Tabiin seorang insan yang doa dia sangat makbul nama dia Uwais al-Qarni dan dia akan lahir dizaman kamu”.

Kita telah mengenali siapa dia Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali iaitu orang-orang yang telah disenaraikan sebagai “al-Mubasyirun bil Jannah” iaitu mereka dah dijamin masuk syurga.

Nabi seterusnya berkata kepada Umar dan Ali, “Dizaman kamu nanti akan lahir seorang insan yang doa dia sangat makbul. Kamu berdua pergilah cari dia. Dia akan datang dari arah Yaman, dia dbesarkan di Yaman. Dia akan muncul dizaman kamu, carilah dia. Kalau berjumpa dengan dia mintak tolong dia berdoa untuk kamu berdua.”

Sama juga macam kisah Siti Aisyah tadi, Umar dan Ali bertanya kepada nabi soalan yang sama iaitu “Apakah yang patut saya mintak daripada Uwais al-Qarni, Ya Rasulullah? Nabi menjawab “Kamu mintak kepadanya supaya dia berdoa kepada Allah agar Allah ampunkan dosa-dosa kalian”.

Banyak peristiwa sahabat yang berjumpa dengan nabi, mintak sesuatu yang baik kepada mereka, nabi menjawab “Pohonlah al-Maghfirah daripada Allah swt.” Jadi topik al-Maghfirah (keampunan) ini menjadi topik yang begitu dicari yang begitu relevan, hatta kepada orang yang telah disenaraikan sebagai ahli syurga. Kalau logiknya ahli syurga macam dah tak perlu kepada ampun dosa kerana mereka dah dijamin masuk syurga, tetapi tidak, nabi masih tekankan supaya mintak Allah ampunkan dosa.

Siti Aisyah telah bertemu dengan malam Qadar, dia telah berdoa sepanjang malam sampai ke subuh dengan doa yang nabi ajarkan iaitu “Allah humma innaka ‘afuu ’un karimun tuhib bul ‘af wa fa’ fu ‘anni” (maknanya Ya Allah, Kamulah Tuhan yang sangat suka mengampun, ampunkanlah dosa-dosa saya).

Memang benarlah firasat seorang nabi, Uwais al-Qarni telah muncul di zaman Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali. Memang mereka tunggu dan cari kabilah-kabilah yang datang dari Yaman ke Madinah, akhirnya bertemu mereka dengan Uwais al-Qarni.

Dengan pandangan mata luar, tidak mungkin dia orang yang nabi maksudkan. Kerana orang itu pada pandangan insan-insan biasa atau orang-orang yang datang bersama dengannya bersama kabilah menganggapkan dia seorang yang akal tidak sempurna (wire short), sesuatu yang macam tidak betul pada pandangan orang. Tetapi dia ada sesuatu…..

Asal usul Uwais al-Qarni

Dia asalnya berpenyakit sopak, badannya putih, putih penyakit yang tidak digemari. Walaupun dia sopak tetapi dia seorang yang soleh, terlalu mengambil berat tentang ibunya yang uzur dan lumpuh. Dia telah begitu tekun untuk mendapatkan keredhaan ibunya. Bapa dia meninggal dunia ketika dia masih kecil lagi. Dia sopak sejak dilahirkan dan ibunya menjaga dia sampai dia dewasa.

Satu hari ibunya memberitahu kepada Uwais bahawa dia ingin sangat untuk pergi mengerjakan haji. Dia menyuruh Uwais supaya mengikhtiarkan dan mengusahakan agar dia dapat dibawa ke Mekah untuk menunaikan haji.

Sebagai seorang yang miskin, Uwais tidak berdaya untuk mencari perbelanjaan untuk ibunya kerana pada zaman itu kebanyakan orang untuk pergi haji dari Yaman ke Mekah mereka menyediakan beberapa ekor unta yang dipasang diatasnya “Haudat”. Haudat ini seperti rumah kecil yang diletakkan di atas unta untuk melindungi panas matahari dan hujan, selesa dan perbelanjaannya mahal. Uwais tidak mampu untuk menyediakan yang demikian, unta pun dia tidak ada, nak sewa pun tidak mampu.

Ibu Uwais semakin uzur maka ibunya mendesak dan berkata kepada anaknya “Anakku mungkin ibu dah tak lama lagi akan bersama dengan kamu, ikhtiarkanlah agar ibu dapat mengerjakan haji”.

Uwais mendapat suatu ilham, dia terfikir apa nak dibuat. Dia membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan dah habis menyusu. Dia membuat sebuah rumah kecil (pondok) di atas sebuah “Tilal” iaitu sebuah tanah tinggi (Dia buat rumah untuk lembu itu di atas bukit).

Apa yang dia lakukan, pada petang hari dia dukung anak lembu untuk naik ke atas “Tilal”. Pagi esoknya dia dukung lembu itu turun dari “Tilal” untuk diberi makan. Itulah yang dilakukannya setiap hari. Ada ketikanya dia mendukung lembu itu mengelilingi bukit tempat dia beri lembu itu makan.

Perbuatan yang dilakukannya ini menyebabkan orang kata dia ini gila. Memang pelik, buatkan rumah untuk lembu diatas bukit, kemudian setiap hari usung lembu, petang bawa naik, pagi bawa turun bukit.

Tetapi sebenarnya niatnya baik. Kalau lembu kita buat begitu pagi sekali petang sekali daripada lembu yang beratnya 20kg, selepas enam bulan lembu itu sudah menjadi 100kg. Otot-otot (muscle) tangan dan badan Uwais menjadi kuat hinggakan dengan mudah mengangkat lembu seberat 100kg turun dan naik bukit.

Selepas lapan bulan dia buat demikian telah sampai musim haji, rupa-rupanya perbuatannya itu adalah satu persediaan untuk dia membawa ibunya mengerjakan haji. Dia telah memangku ibunya dari Yaman sampai ke Mekkah dengan kedua tangannya. Dibelakangnya dia meletakkan barang-barang keperluan seperti air, roti dan sebagainya. Lembu yang beratnya 100kg boleh didukung dan dipangku inikan pula ibunya yang berat sekitar 50kg. Dia membawa (mendukung dan memangku) ibunya dengan kedua tangannya dari Yaman ke Mekah, mengerjakan Tawaf, Saie dan di Padang Arafah dengan senang sahaja. Dan dia juga memangku ibunya dengan kedua tangannya pulang semula ke Yaman dari Mekah.

Setelah pulang semula ke rumah dia di Yaman, Ibu dia berkata kepada dia “ Uwais, apa yang kamu berdoa sepanjang kamu berada di Mekah?”. Uwais menjawab “Saya berdoa minta supaya Allah mengampunkan semua dosa-dosa ibu”. Ibunya bertanya lagi “Bagaiman pula dengan dosa kamu”. Uwais menjawab “Dengan terampun dosa ibu, ibu akan masuk syurga, cukuplah ibu redha dengan saya maka saya juga masuk syurga”.

Ibunya berkata lagi “Ibu nak supaya engkau berdoa agar Allah hilangkan sakit putih (sopak) kamu ini”. Uwais kata “Saya keberkatan untuk berdoa kerana ini Allah yang jadikan. Kalau tidak redha dengan kejadian Allah, macam saya tidak bersyukur dengan Allah ta’ala”. Ibunya menanbah “Kalau nak masuk syurga, kena taat kepada perintah ibu, Ibu perintahkan engkau berdoa”.

Akhirnya Uwais tidak ada pilihan melainkan mengangkat tangan dan berdoa. Uwais berdoa seperti yang ibu dia minta supaya Allah sembuhkan putih yang luar biasa (sopak) yang dihidapinya itu. Tetapi kerana dia takut masih ada dosa pada dirinya dia berdoa “Tolonglah Ya Allah kerana ibu aku suruh aku berdoa hilangkan yang putih pada badanku ini melainkan tinggalkan sedikit”

Allah swt. sembuhkan serta merta, hilang putih sopak diseluruh badannya kecuali tinggal satu tompok sebesar duit syiling ditengkuknya. (Kalau bagi nabi, baginda ada Khatam Nubuwah iaitu tanda kenabian, tanda pada nabi bersinar) Tanda tompok putih pada Uwais sebab dia mintak agar jangan dibuang kesemuanya, kerana ini (sopak) adalah anugerah, maka nabi sebut kepada Umar dan Ali akan tanda ini. Tandanya kamu nampak dibelakang dia ada satu bulatan putih, bulatan sopak.  Kalau berjumpa dengan tanda itu dialah Uwais al-Qarni.

Selepas tidak lama Uwais berdoa yang demikian, ibunya telah meninggal dunia. Dia telah menunaikan kesemua permintaan ibunya. Selepas itu dia telah menjadi orang yang paling tinggi martabatnya disisi Allah. Doa dia cukup makbul hatta penyakit sopak pun boleh sembuh. Mengikut al-Quran, Nabi Isa Alaihisalam yang pernah berdoa untuk kesembuhan penyakit sopak dizamannya.

Berbalik kita kepada point asal, Sayidina Umar dan Sayidina Ali dapat berjumpa dengan Uwais ini minta satu sahaja  iaitu minta supaya doakan supaya Allah swt. mengampun semua dosa-dosa mereka.

Ketika Uwais al-Qarni berjumpa Umar dan Ali, dia berkata “Aku datang ini dari Yaman ke Madinah kerana aku nak tunaikan wasiat nabi kepada kamu iaitu supaya kamu berdua berjumpa dengan aku. Aku datang ini nak tunaikan wasiat itulah”. Maka Uwais pun telah mendoakan untuk mereka berdua.

Doa yang paling utama di malam Qadar

Seperti yang saya sebutkam dipermulaan tadi “Faya ‘ajaban liman adraka ramada na fala yughfarulah”, Memang hairan orang yang dapat hidup sampai Ramadan ini, tetapi dosa dia tidak diampun.

Kalau malam ini malam Qadar, fokus kita selalunya memanglah nak minta hal-hal keduniaan. Kalau kita dapat rasakan dalam perasaan dalaman seorang insan kecil hamba Allah ini apa yang hendak kita mintak di malam Qadar? Saya rasa orang tidak begitu berminat untuk minta supaya diampunkan segala dosa, mereka akan minta yang lain pula, minta saham naik, perniagaan laris, dapat kahwin lagi dua, kaya, mesti pilihan mereka kepada kesenangan-kesenangan dunia, sedangkan “Wallah yuridul akhirah”. Allah dan RasulNya lebih mengutamakan penghidupan akhirat itulah yang paling mustahak sekali.

Selama ini pun kita tidak tahu bahawasanya terampunkah dosa-dosa yang telah kita buat? walaupun kita rasa macam dosa itu Allah telah ampunkan.

Ada peluang yang macam ini iaitu malam Qadar atau berpeluang berjumpa dengan orang-orang yang konfirm macam tadi iaitu doa-doa mereka makbul seperti orang-orang yang soleh dan seumpamanya doa yang paling utama dan besar diminta ialah minta supaya Allah mengampunkan semua dosa-dosa kita.

Bukan kata orang lain sebagai contoh besar, hatta nabi yang dikatakan “Ghoforollah hu mat taqadaman”, Allah ta’ala ampunkan dosa dia yang telah lalu (jika ada) dan juga ampun untuk yang akan datang.

Tetapi kenapa nabi masih berdoa kepada Allah tiap-tiap hari tidak kurang dari seratus kali iaitu “Astagh firruka humma waatubu ilaih”. Sehari seratus kali , sembahyang baginda, berdoa panjang-panjang sampai dikataka juga (hadith Aisyah) sampai bengkak kaki nabi. Sampai Siti Aisyah berkata kepada nabi, “Ya Rasulullah, kenapalah sampai kamu teruk-teruk beribadah hingga bengkak kaki, sembahyang lama-lama, menangis lama-lama, tidakkah Allah telah ampunkan dosa kamu dahulu dan kemudian?”. Nabi menjawab “Kalau demikian adanya mengapa aku tidak menjadi hamba yang bersyukur”.

Syukur maknanya melakukan ibadah kepada Allah swt. Inilah yang saya katakan tadi, datanglah sistem yang Islam kemukakan kepada ummah, seluruh aktiviti-aktiiti ibadah, penumpuan kepada persiapan-persiapan yang dikatakan “Wa tazau wadu” kesemuanya ditujukan ke arah pembersihan diri, hati, akal dan budi daripada yang dipanggil “al-khush” (yang tidak baik).

Al-Quran memberikan satu analogi iaitu Bumi kalau sudah cantik dan subur dia mudah menumbuhkan pokok-pokok yang bermanfaat dan bagi bumi yang kotor (bagi maksud tidak sesuai ditanam tumbuhan) seperti tempat berbatu dan berpasir, tanam apapun tak tumbuh, kalau tumbuh pun dia tak jadi seperti tempat yang lain.

Maksudnya sama seperti insan, kalau yang disimpan dalam diri kita ini kotor (benda yang jijik) maka tidak akan keluar melainkan yang kotor juga. Kalau dalam diri kita baik, dia akan menumbuhkan yang baik, amal dia baik, kata-kata dia baik, akhlak dia baik, muammalah dia baik dan dia dikatakan orang yang baik.

Allah itu baik, Dia tidak terima amalan melainkan amalan yang baik juga. Sebab itu dari awal Islam datang dah ada sistem seperti contoh ayat-ayat al-Quran yang awal turun surah Al-Mudatsir, firman Allah yang bermaksud “Wahai orang-orang yang sedang tidur, bangunlah kamu beri peringatan kepada manusia (maknanya bergerak dalam satu wadah perjuangan, mengerakkan jiwa diri sendiri dan jiwa insan) dan kepada Tuhanmulah kamu wajib membesarkanNya, jangan mengagungkan yang lain, agungkan Allah swt. sahaja.

Caranya diberikan beberapa analogi seperti apa yang kamu pakai iaitu pakaian biasa, rumah tempat tinggal, kereta yang dinaiki dan apa sahajalah mestilah yang bersih, kamu kena sucikan dia. Sebab ini sangat kena dengan ayat yang nabi hayati. Diantara pakaian yang nabi suka pakai ialah pakaian putih yang melambangkan suci dan bersih. Walaupun kadangkala nabi pakai warna merah dan hitam didalam peperangan tetapi yang paling nabi sukai ialah warna putih.

Sebab itu kita lihat, pakaian haji putih, kain kafan putih (tak pernah nampak lagi kain kafan warna hijau, kain kafan biru lagi tak pernah nampak). Ditempat saya masjid-masjid gunakan kain putih sebagai alas tempat sujud. Serban umumnya putih. Serban nabi putih kadangkala ada yang hijau.

Apabila diluar memakai pakaian putih bersih maka didalam diri perlu buang segala kekotoran. Islam mengajar agar diluar bersih sehingga kedalam diri juga bersih. Kalaulah inilah yang nabi buat dari pada mula memanglah bulan Ramadan ini yang utama ialah untuk membersihkan diri.

Dengan puasa yang kita buat, malam kita bertarawih, berdoa secara bersistematik dari awal ramadan sampai akhir ramadan iaitu doa;

Doa Paling Afdal di Bulan Ramadhan
“Allah humma innaka ‘afuu ’un karimun tuhib bul ‘af wa fa’ fu ‘anni” (maknanya Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang sangat suka mengampun, ampunkanlah dosa-dosa ku).

Kalau dibuat setiap malam dari awal ramadan sampai akhir ramadan pastilah kita jumpa dengan satu malam yang mana malam ini ialah malam Qadar. Sebab dia pasti datang setiap tahun dibulan ramadan. Kalau kena malam itu maka sampailah tujuan tadi kita dapat memohon daripada Allah swt. minta yang paling berharga iaitu bermohon agar Allah mengampunkan semua dosa-dosa kita. Kalau bertemu demikian kita sampailah kepada matlamat tadi iaitu “La’al lakum tat takun” dengannya kamu bertaqwa, dengannya kamu sampai kepada matlamat yang dikatakan tadi.

“Ya ‘ajaban”, memang menghairankan orang yang sempat datang Ramadan kepadanya dia tidak manfaatkan ramadan itu untuk Allah ampunkan semua dosa-dosanya.

Semua krisis-krisis dunia, semua masalah yang insan hadapi didunia, yang kita hadapi hari ini dalam semua masalah, pergaduhan, hutang yang banyak, akan berakhir bila orang itu mati. Kita berjanji dengan orang, bertelagah, bergaduh, semua krisis-krisis dunia ini kepada seorang insan dia habis bila dia mati.

Tetapi krisis dosa dengan Allah ta’ala khasnya krisis keimanan, krisis kerana kita menyimpan dosa yang melibatkan iman dan sebagainya, didunia dia tidak menampakkan masalah tetapi sebenarnya ia akan bermula apabila telah hampir nak mati, masuk kubur lagi masalah, alam barzakh lagi masalah, sampai kepada alam mahsyar lagi bermasalah puncanya balik kepada dosa tadi.

Sebab itu nabi telah bagi satu garis panduan yang cukup senang kita faham. Kita tidak disuruh minta dimalam Qadar supaya turun emas dari langit, minta agar dikasihani oleh semua orang, minta agar dijadikan ketua selama-lamanya, untung berniaga, bukan itu yang patut diminta. Sebaliknya nabi bagi contoh kalau ini dapat kamu capai walaupun dunia kamu susah sekejap tetapi kamu akan berakhir krisis dunia ini bila kamu mati.

Jika kamu ada dosa ini mati bermula suatu penghidupan yang perit, malah dari sejak nak mati sekalipun sudah bermula, sampai kepada peringkat orang-orang yang “Zalimi an fusu hum” orang-orang yang menzalimi diri mereka dalam kehidupan ini kerana membiarkan dosa, banyak melakukan dosa, tidak cuba untuk membuang dosa, bila nak mati akan datang malaikat kepada mereka dengan pemukul untuk pukul muka, belakang hingga ke punggung mereka. Ia bermula daripada nyawa nak keluar, tergantung-gantung diantara langit dan bumi, diantara barzakh dengan tidak barzakh, masuk kubur terseksa.

Sebab itulah nabi nak lepaskan kita daripada seksaan ini semua, nak pastikan kepada isteri dia Siti Aisyah pun berpesan “Kalau kamu dapat malam Qadar jangan minta yang lain selain daripada minta supaya diampunkan Allah segala dosa”.

Ingatlah juga ketika nabi berpesan kepada orang yang dia sayangi iaitu Umar (bapa mertuanya) dan Ali (menantunya) kalau kamu berjumpa dengan Uwais al-Qarni mintalah supaya Allah ampunkan segala dosa kamu. Begitu juga nabi berpesan kepada sahabat-sahabat yang lain supaya bermohon supaya Allah ampunkan segala dosa.

Penutup

Memang telah menjadi tradisi kita di Darussyifa’, kita bertemu sekali dalam bulan Ramadan bersama-sama berbuka puasa, bersolat tarawih dan saya berpeluang untuk berucap mengajak diri saya dan mengajak semua orang. Kita akan manfaatkan Ramadan ini dengan fokus kita supaya tidak ada lagi dosa, kalau ada dosa diampunkan. Caranya kita jangan tambah dosa, yang ada selesaikan. Minta ampun yang berbaki daripadanya.

Dan AlhamdulilLah jika kita diambil oleh Allah dibulan Ramadan lebih-lebih lagi jika kita mati di Mekah di bulan Ramadan. Macam baru-baru ini orang Malaysia yang mati kemalangan jalanraya di Mekah, kita cemburu kerana Allah pilih dia dan tidak pilih kita. Pilih mereka yang dalam musafir, dalam keadaan buat Umrah, dalam bulan Ramadan pula, mati syahid dunia kerana mereka luka parah, kemudian disembahyangkan pula di Masjidil Haram yamg setiap malam sembahyang itu jutaan manusia yang mendoakan mereka masuk syurga. Jadi itu satu keberuntungan kerana Allah pilih mereka. Kita pula menunggu giliran entah dimana..

Maka persediaan kepada kita, pada saya, pada saudara sekalian, kita ambil peluang Ramadan ini untuk Allah ampunkan dosa kita semua. Supaya kita termasuk dikalangan hamba yang akan beruntung khasnya selepas kita kembali kepada Allah swt.

Selamat berpuasa, selamat berhari raya, maaf zahir batin, terima kasih kepada yang menganjurkan majlis malam ini Darussyifa’ dan kita mengharapkan kepada Allah swt.  agar sentiasa menghimpunkan kita sebagai orang-orang yang sentiasa berkasih sayang dan saling bermaaf-maafan menuju kepada kerahmatan dan keberkatan Allah swt.



http://www.darussyifa.org/modules.php?name=News&file=article&sid=32





Ramadhan Mentarbiyah Umat


Mari kita renungkan kenapa bulan Ramadhan dikenali sebagai Bulan Tarbiyah.  Ini adalah kerana pada bulan ini, umat Islam dididik secara langsung oleh Allah swt dan diajarkan olehNya supaya mampu mengatur waktu dalam kehidupan secara baik merangkumi :
 
a.       Bila waktu makan.
b.      Bila waktu bekerja.
c.       Bila waktu istirehat.
d.      Bila waktu ibadah.
 
Tarbiyah adalah wasilah yang sangat penting bagi kehidupan insan dan umat kerana dengan tarbiyahlah akan lahir Syakhshiyah Islamiyah Mutakamilah Mutawazinah’ (Keperibadian Islam Yang Melengkapi Dan Seimbang) yang mampu menghadapi halangan zaman dengan segala permasaalahan, ujian dan cobaannya.
 
Dalam konteks tarbiyah itu sendiri; bagi menghasilkan aktivis-aktivis dakwah yang memiliki Syakhshiyah Islamiyah Mutakamilah Mutawazinah’ (Kepribadian Islam Yang Melengkapi Dan Seimbang), maka manhaj tarbiyah mestilah mampu merealisasikan tujuan-tujuan berikut :
 
PERTAMA :
 
Memahami Islam sebagai manhaj atau pedoman hidup bagi manusia yang bersifat :
 
1.      ‘Syumuliyah’ (sempurna).
2.      ‘Mutawazinah’ (seimbang).
3.      ‘Mutakamilah’ (melengkapi).
4.      ‘Alamiyah’ (sejagat).
5.      ‘Murunah’ (anjal).
6.      ‘Waqi’iyyah’ (realistik).
7.      ‘Rabbaniyyah’ (bersumber dari Allah).
 
KEDUA :
 
Memiliki komitmen pada Islam dalam semua aspeknya meliputi sosial, politik, ekonomi, pendidikan dan lain-lainnya sehingga semua nazhoriyah’ (teori) dapat diaplikasikan di dalam kehidupan yang nyata.
 
KETIGA :
 
Memperhatikan keadaan objektif masyarakat dalam hal aplikasi, komunikasi dan interaksi dengan prinsip-prinsip Islam.
 
Semua itu mesti disesuaikan dengan situasi, keadaan, waktu dan tempat.
 
a.       Apakah dengan kaum muslimin ataukah dengan bukan muslim.
b.      Samada dalam ta’amul da’awi’ (interaksi dakwah) ataupun ta’amul siyasi’ (interaksi politik).
 
Oleh yang demikian, diperlukan pengukuhan hukum syar’ie dalam berinteraksi dengan orang lain dan manhaj tarbiyah mestilah dibangunkan di atas landasan ini.
 
KEEMPAT :
 
Memperhatikan tanggungjawab tarbiyah kerana yang kita inginkan adalah :
 
1.      Mencetak aktivis dakwah dan generasi yang boleh bergaul dengan masyarakat luar.
2.      Mampu mempengaruhi.
3.      Mampu menguasai.
4.      Tidak menganggap mereka sebagai musuh walaupun perlakuan mereka keras, kasar dan menyakitkan.
 
Ini adalah kerana pendakwah sejati dan aktivis yang berjaya adalah justeru orang-orang yang mampu menarik orang-orang yang sukar direkrut. Di sini akan nampak wujudnya perbezaan daya tarikan dan kemampuan di antara para aktivis untuk menguasai dan merekrut massa.
 
Dalam bulan Ramadhan, Allah swt ingin memberikan tarbiyah kepada kaum muslimin agar :
 
a.       Tercetak peribadi yang soleh.
b.      Meningkat keimanannya.
c.       Mereka berakhlak.
d.      Mempunyai ilmu pengetahuan yang lurus.
e.       Komited di jalan dakwah untuk mencapi ridha Allah.
 
Istilah Ramadhan itu sendiri berasal dari kata ‘ramadha-yarmudhu-ramadhan’ ertinya panas membakar. Panas membakar ini boleh sahaja berasal dari sinar matahari.
 
Orang Arab zaman dahulu ketika memindahkan nama-nama bulan dari bahasa lama ke bahasa Arab, mereka menamakan bulan-bulan itu menurut masa yang dilaluinya.
 
Kebetulan bulan Ramadhan masa itu sedang melalui musim panas akibat bersangatan teriknya matahari apalagi bagi pejalan kaki di atas padang pasir pada masa itu.
 
Ramadhan bermakna panas membakar juga difahami kerana perut orang-orang yang berpuasa tengah terbakar akibat menahan makan minum seharian.
 
Panas membakar di bulan Ramadhan boleh juga bererti bahwa bulan Ramadhan memberikan tenaga untuk membakar dosa-dosa yang dilakukan oleh manusia.
 
Pada bulan yang sangat istimewa ini, terdapat sekian banyak wahana yang boleh dimanfaatkan dalam rangka penggembelengan dan pemanasan diri itu.
 
1.      Dari yang wajib seperti puasa dan zakat fitrah hinggalah kepada yang sunnah seperti i’tikaf, tadarus, tarawih, sedekah, dan sebagainya.
2.      Dari yang berbentuk fizikal seperti memberi makanan berbuka kepada fakir miskin hingga yang berbentuk psikologi seperti sabar, tawakkal, amanah, jujur dan sebagainya.
 
Lebih-lebih lagi bagi seorang pendakwah yang mengambil berat tentang aktiviti dakwah; sedar akan nilai-nilai Islam samada secara teori ataupun praktikal, maka Ramadhan merupakan pusat ‘Tarbiyah As-Syumuliyah Dan Mutamatsilah’ (Pembinaan Yang Komprehensif Dan Terpadu) sehingga ketika melalui bulan ini sebelum mereka terjun ke lapangan memberikan perbaikan pada masyarakatnya, seorang pendakwah perlu ditempa dirinya terlebih dahulu.
 
Secara garis besar dapat kita temui bahwa Ramadhan merupakan wasilah tarbiyah yang meliputi perkara-perkara berikut :
 
RAMADHAN MERUPAKAN WASILAH TARBIYAH RUHIYAH (PENBINAAN KEROHANIAN)
 
Pada dasarnya, setiap ibadah yang Allah perintahkan kepada hamba-hambaNya, selain merupakan kewajiban dan alasan diciptakannya manusia dan makhluk lainnya; juga merupakan wasilah untuk membersihkan diri manusia itu sendiri dari kotoran dan dosa yang melumuri jiwa, sehingga tidak ada satu ibadahpun yang terlepas dari arah tersebut.
 
a.       Solat misalnya merupakan wasilah untuk mencegah diri dari perbuatan keji dan mungkar.
b.      Zakat yang dikeluarkan oleh orang kaya merupakan wasilah untuk membersihkan diri dan hartanya dari kotoran yang terdapat dalam hartanya seperti yang tersirat dalam surah At-Taubah ayat 103 : “Ambillah zakat dari sebagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka dan mendoalah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” dan surah Al-Lail,  ayat 18 : “Yang menafkahkan hartanya (di jalan Allah) untuk membersihkannya.”
 
Begitu juga dengan bulan Ramadhan yang di dalamnya terdapat ibadah puasa, ia berfungsi sebagai wasilah bagi “Tazkiyatun Nafs” (perbersihan jiwa), di mana orang yang berpuasa selain menjaga diri untuk tidak makan dan minum, juga dituntut untuk :
 
1.      Mematuhi perintah Allah dan menjauhi laranganNya.
2.      Melatih dirinya untuk menyempurnakan ibadahnya kepada Allah walau dalam keadaan lapar.
3.      Bersikap jujur.
4.      Menjaga diri dari ucapan kotor dan keji.
5.      Menjauhi sifat hasad dengki.
6.      Memenangkan ruh Ilahi ke atas materialistik.
7.      Mengutamakan akal di atas nafsu syahwat.
 
RAMADHAN MERUPAKAN WASILAH TARBIYAH JASADIYAH (PEMBINAAN JASMANI)
 
Ibadah puasa merupakan ibadah yang tidak hanya memerlukan pengendalian hawa nafsu tapi juga memerlukan kekuatan fizikal di mana puasa tidak diwajibkan bagi mereka yang kesihatannya tidak dalam keadaan terbaik seperti orang tua yang telah lanjut usia, orang sakit, wanita yang sedang hamil atau menyusu serta orang yang sedang musafir (dalam perjalanan).
 
Kesemua keadaan-keadaan tersebut merupakan keringanan (rukhsah) bagi mereka disebabkan :
 
a.       Ketidakmampuan fizikal.
b.      Keadaan kesihatan janin dan bayi.
c.       Untuk  menjaga kesihatan bagi orang yang sedang bermusafir.
 
Selain itu juga dengan puasa dari segi kesihatan akan :
 
1.      Membersihkan usus-usus.
2.      Memperbaiki kerja pencernaan.
3.      Membersihkan tubuh dari sisa-sisa endapan makanan.
4.      Mengurangi kegemukan.
5.      Menenangkan kejiwaan atas aspek material yang ada dalam diri manusia.
 
RAMADHAN MERUPAKAN WASILAH TARBIYAH IJTIMA’IYAH  (PEMBINAAN SOSIAL)
 
Selain melatih diri, puasa juga memiliki sisi pendidikan sosial di mana dalam kewajiban puasa Ramadhan, seluruh umat Islam di dunia diwajibkan berpuasa tanpa terkecuali samada :
 
a.       Yang kaya atau miskin.
b.      Lelaki atau wanita, kecuali bagi mereka yang ada uzur.
 
Di sinilah letaknya pendidikan sosial di mana mereka semua sama :
 
1.      Di hadapan perintah Allah swt samada dalam merasakan lapar dan dahaga.
2.      Dalam ketundukan terhadap perintah Allah swt. 
 
Puasa juga dapat membiasakan umat untuk hidup dalam kebersamaan, bersatu, cinta keadilan dan persamaan.
Selain itu, ia juga dapat melahirkan kasih sayang kepada orang-orang miskin sehingga orang-orang yang mampu dan kaya merasakan apa yang di deritai oleh orang-orang fakir dan miskin sehingga ke tahap mahu memberi dari rezeki yang Allah anugerahkan kepadanya. Maka, dari sinilah di harapkan akan timbulnya rasa persaudaraan dan perpaduan.
 
Dalam puasa Ramadhan juga disunnahkan untuk memperbanyakkan sedekah kerana sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadhan.
 
Bersedekah bukanlah hanya memberi wang , tetapi termasuk di dalamnya :
 
a.       Memberi pertolongan.
b.      Mengajak berbuka puasa kepada fakir miskin.
c.       Memberi perhatian.
d.      Memberi seulas senyuman.
 
Jika konsep memberi (secara luas) ini dapat diterapkan secara maksima selama bulan Ramadhan, maka amat luar biasa pengaruhnya terhadap peribadi kita di mana :
 
1.      Sikap kikir akan menyingkir.
2.      Sikap kebergantungan akan menghilang.
 
Dengan memberi sedekah setahap demi setahap, harga diri akan meningkat kerana sesungguhnya ketika kita memberi, seseorang akan memperolehi. Oleh yang demikian, dalam konsep memberi terkandung intipati cinta-kasih.
 
Adanya kewajiban Zakat fitrah dalam bulan Ramadhan merupakan bukti lain adanya tarbiyah ijtima’iyah’ yang dibangun dalam bulan Ramadhan, iaitu zakat atau sedekah yang dihubungkan dengan Aidil Fitri.
 
Pada saat itu, setiap orang Islam diwajibkan membayar zakat fitrah berupa bahan makanan yang jumlahnya telah ditentukan, samada berupa gandum, beras atau apa sahaja yang menjadi bahan makanan pokok daerah setempat dan dihitung menurut jumlah keluarga termasuk orang tua, anak-anak, lelaki dan perempuan.
 
Selain itu, dalam berpuasa juga ditanamkan sifat toleransi dan perpaduan dalam kehidupan yang memiliki pelbagai etnik, warna kulit dan bangsa, apalagi sesama muslim yang memiliki kepelbagaian mazhab, kelompok dan golongan yang berasal dari kepelbagaian kefahaman dalam mengambil intisari dari ajaran Islam.
 
Perbezaan kelompok, mazhab dan golongan adalah merupakan suatu yang lumrah, namun yang patut kita sedari bahwa dengan adanya perbezaan tersebut kita, umat Islam tidak boleh berpecah belah dan tidak bersatu, namun hendaknya ia mampu dijadikan wasilah untuk memupuk persaudaraan dan membangun bangunan Islam agar lebih kukuh lagi sehingga dengannya tidak akan berlaku saling berkelahi, mencela, menuding jari dan menghina semata-mata hanya permasalahan remeh temeh dan berstatus furu’.
 
RAMADHAN MERUPAKAN WASILAH TARBIYAH KHULUQIYAH (PEMBINAAN AKHLAK)
 
Puasa juga mendidik manusia untuk memiliki akhlak yang mulia dan terpuji, sabar dan jujur serta tegar  terhadap segala ujian dan cobaan.
 
Perkara ini boleh dilihat dari arahan Rasulullah saw dalam sebuah Hadits Qudsi bahwa orang yang berpuasa wajib meninggalkan akhlak yang buruk.
 
Segala tingkah lakunya mesti berasaskan kepada budi yang luhur. Ia wajib menjaga diri, jangan sampai melakukan ‘ghibah’ (mengumpat diri orang lain atau gosip), atau melakukan perkara-perkara yang tidak berguna sehingga Allah berkenan menerima puasanya.
 
Rasulullah saw bersabda :
 
“Apabila seorang dari kamu berpuasa, maka janganlah ia berkata kotor dan berteriak. Apabila dicela oleh orang lain atau dimusuhi, maka katakanlah: “Aku ini sesungguhnya sedang berpuasa”.
 
Dalam hadits lain, Rasulullah saw bersabda :
 
“Barangsiapa yang tidak mampu meninggalkan perkataan dusta dan  melakukan perbuatan dusta, maka Allah tidak memerlukan lapar dan dahaga mereka”. (HR Bukhari dan Abu Dawud).
 
Mengenai hadits di atas, Al’Allamah Asy-Syaukani berkata :
 
“Menurut Ibnu Bathal, maksud hadits di atas bukan bererti orang itu disuruh meninggalkan puasa, tetapi merupakan peringatan agar jangan berkata bohong atau melakukan perbuatan yang mengandungi dusta.”
 
Sedangkan menurut Ibnu Arabi, maksud hadits ini ialah bahwa puasa seperti itu tidak berpahala dan berdasarkan hadits ini juga, Ibnu ‘Arabi mengatakan pula bahwa perbuatan-perbuatan buruk tersebut di atas dapat mengurangkan pahala puasa.
 
RAMADHAN MERUPAKAN WASILAH TARBIYAH JIHADIYAH (PEMBINAAN SEMANGAT JIHAD)
 
Puasa juga merupakan wasilah dalam menumbuhkan semangat jihad dalam diri umat, terutama jihad dalam :
 
a.       Memerangi musuh yang ada dalam jiwa setiap muslim.
b.      Mengikis kehendak hawa nafsu.
c.       Berusaha menghilangkan dominasi kecenderungan jahat jiwa yang sentiasa membawanya kepada perbuatan yang menyimpang.
 
Bahkan puasa juga menumbuhkan semangat jihad yang nyata di mana peperangan yang berlaku yang melibatkan Rasulullah saw dan para sahabat kebanyakannya di bulan Ramadhan dan justeru dengan berpuasa mereka mendapat lebih semangat dalam berjihad kerana dengan puasa, hati terasa lebih dekat kepada Allah swt dibanding hari-hari dan bulan-bulan yang lain, walaupun pada dasarnya Rasulullah saw dan sahabatnya tidak pernah merasa jauh dari Allah swt.
 
Bukan pula disebabkan oleh berpuasa, orang lalu boleh bermalas-malasan atau mengutamakan tidur, tapi yang lebih utama adalah kegiatan dan aktiviti orang yang berpuasa tidak kendor dan berkurang hanya kerana alasan sedang berpuasa.
 
Namun sebaliknya, ia mestilah lebih ditingkatkan lagi kerana ganjaran orang yang melakukan kebaikan ketika puasa Ramadhan bahwa pahalanya akan dilipat gandakan sepuluh kali ganda oleh Allah swt.
 
Oleh kerana itulah Allah swt berfirman :
 
“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.” (QS Al Ankabut : 69)
 
Puncak tarbiyah yang dapat di raih oleh seorang muslim pada bulan Ramadhan adalah mencapai maqam taqwa disisi Allah swt sebagaimana firman Allah swt pada penutup perintahNya untuk berpuasa, “agar kamu bertaqwa”, kerana hanya dengan puasalah, kesihatan ‘qalb’ (hati) dan ‘jasad’ (jasmani) akan terjaga.
 
Ya Allah, sesungguhnya kami menanti kedatangan tamu yang agung ini di mana di dalamnya terkumpul segala wasilah tarbiyah yang meliputi pembinaan kerohanian, jasmani, sosial, akhlak dan semangat jihad. Berilah kekuatan untuk kami mentarbiyah diri-diri kami sehingga sampai ke puncak matlamat menjadi insan-insan yang bertaqwa.
 
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS 

http://i-madani.blogspot.com/2011/07/ramadhan-mentarbiyah-umat.html