Bagaimana Caranya Solat Taubat Dengan Betul
“Awak nak masuk syurga tak?”
“Ehh..mestilah nak. Ada ke yang tak nak masuk syurga?” “Kalau nak masuk
syurga, tak boleh ada dosa kan? Kalau...
“Awak nak masuk syurga tak?”
“Ehh..mestilah nak. Ada ke yang tak nak masuk syurga?”
“Kalau nak masuk syurga, tak boleh ada dosa kan? Kalau nak hilangkan
dosa, mesti kena banyak taubat dan minta ampun kan? Jadi, dah berapa
kali awak solat taubat dan istighfar dalam minggu ini?”
Krik. Krik. Krik…
Ya, manusia itu sifatnya pelupa dan alpa. Malah penuh dengan dosa.
Namun, itu tidak bermakna yang kita tidak ada peluang untuk menebus
dosa-dosa kita itu. Tidak ada cita-cita atau impian yang lebih besar
daripada mendapat redha Allah dan seterusnya mendiami syurga Allah yang
hakiki di akhirat nanti.
Maka, segeralah bertaubat. Istighfar dan memohon keampunan Allah.
Allah kan Maha Pengampun, Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Allah sangat
suka apabila hamba-Nya sentiasa ingat dan memohon ampun kepada-Nya.
Jangan sesekali putus asa dengan rahmat Allah. Jika sudah bertaubat,
namun kemudiannya kembali mengulangi dosa itu kembali, teruskan taubat!
Taubat, taubat dan taubat sehinggalah ajal menjemput kita.
“Maka Aku katakan kepada mereka, “Mohonlah ampun kepada Tuhanmu. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun. Nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan memperbanyak harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untuknya kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.” Surah an-Nuh: ayat 10-12
Berbalik kepada soal solat taubat. Secara mudah, cara solat taubat
lebih kurang sama sahaja sepertimana solat sunat yang lain. Solat taubat
boleh dilakukan dua, empat atau enam rakaat pada bila-bila masa yang
dikehendaki.
Namun lebih baik sekiranya solat ini dilakukan pada waktu tengah
malam atau sepertiga malam ketika suasananya lebih sunyi dan tenang.
Asas Solat Taubat
1. Menyesal di atas segala perbuatan dosa yang dilakukan.
2. Menyucikan diri daripada perbuatan dosa dan berhenti daripada
melakukan maksiat serta meminta ampun di atas apa yang telah dilakukan
daripada Allah SWT, memohon maaf kepada manusia terhadap dosa yang
berkaitan dengan harta benda, maruah dan jiwa. Mengqadhakan segala apa
yang telah terluput seperti amalan-amalan sembahyang, puasa dan
lain-lain sekadar yang termampu.
3. Berazam tidak akan melakukan lagi segala perbuatan tersebut serta menjauhkannya.
Cara Melaksanakan Solat Taubat
1. Niat solat taubat
“Sahaja aku mengerjakan solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”
2. Bacaan semasa solat
Pada rakaat pertama hendaklah membaca surah al-Fatihah dan
al-Kafirun. Manakala pada rakaat yang kedua pula hendaklah membaca surah
al-Fatihah dan al-Ikhlas.
3. Bertasbih
Semasa sujud terakhir pada rakaat kedua iaitu selepas membaca tasbih biasa, bacalah Tasbih berikut sebanyak 40 kali:
“Tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau Ya Allah, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim.”
4. Beristighfar
Banyakkan beristighfar selepas memberi salam.
1. Bacalah istighfar berikut sebanyak 10 atau 100 kali.
“Aku
memohon keampunan Allah yang Maha Besar, tiada Tuhan melainkan Allah,
Dialah yang Maha Hidup, Maha berdiri sendiri dan aku bertaubat
kepadaNya.”
2. Istighfar Tauhid berikut sebanyak 10 atau 100 kali.
“Aku
memohon ampun kepada Allah yang Maha Agung yang tiada Tuhan melainkan
Dia, Yang Maha Hidup Lagi Maha Mengurus! Aku bertaubat kepada-Nya selaku
taubatnya seorang hamba yang banyak dosa yang tiada menguasai akan
dirinya dan tidak mampu membuat, menolak mudharat dan manfaat serta
tidak dapat menguasai kematian, hidup dan kebangkitan.”
3. Penghulu istighfar sebanyak 3 kali
“Ya,
Allah Engkaulah Tuhanku, Tidak ada Tuhan selain Engkau, Engkaulah yang
menjadikan aku. Sedang aku adalah hamba-Mu dan aku di dalam genggaman-Mu
dan di dalam perjanjian setia ( beriman dan taat ) kepada-Mu sekuat
mampuku.
Aku berlindung kepada-Mu dari
kejahatan yang telah aku lakukan. Aku mengakui atas segala nikmat yang
telah Engkau berikan kepada ku dan aku mengaku segala dosaku. Maka
ampunilah aku. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni segala dosa
kecuali Engkau. ”
5. Baca doa taubat
Bacalah doa yang biasa dibaca untuk memohon keampunan dan taubat
daripada Allah SWT. Berdoalah dengan penuh harapan untuk mendapat
keampunan daripada Allah.
Luahkan segalanya kepada Allah dengan sebenar-benar taubat. Anggaplah
seolah-olah sekejap lagi kita akan mati. Pasti kita akan berdoa dengan
penuh khusyuk dan bersungguh-sungguh.
Mudah sahaja kan untuk solat taubat? Ambil masa dan muhasabah diri
setiap hari. Saban hari, ada saja dosa yang kita lakukan. Bersihkan
kembali diri kita daripada dosa dengan membanyakkan istighfar dan
memohon keampunan kepada-Nya. Amalkan solat sunat taubat setiap hari
jika boleh.
Mari kita renungkan, Rasulullah s.a.w yang bebas dosa itu pun
beristighfar tidak kurang dari 70 kali setiap hari. Jadi, sudah tentu
kita manusia yang setiap detiknya sentiasa menambah koleksi dosa
seharusnya lebih banyak beristighfar dan memohon keampunan Allah.
Lalu, bagaimana pula dengan kita yang mahu mengikut dan menjadi umat
Rasulullah? Sudahkah kita beristighfar lebih 70 kali pada hari ini?
Comments
Post a Comment