Empat Belas Kebaikan di Dunia yang Perlu di Miliki Oleh Orang Mukmin
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala
puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat
junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan
pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap
manusia akan melalui lima fasa alam, bermula daipada alam roh, alam
kandungan ibu, alam dunia, alam barzakh dan alam akhirat.
Semasa
di dalam alam roh (alam arwah) Allah S.W.T berfirman dalam Surah
al-'Araf ayat 172 yang bermaksud, "Tidakkah Aku ini Tuhan kamu? Mereka
menjawab, 'bahkan kami menyaksikan'." Kesemua roh makhluk telah membuat
pengakuan kepada Allah S.W.T. bahawa mereka semuanya mengakui bahawa
Tidak ada Tuhan lain melainkan Allah S.W.T.
Selepas berada di alam arwah, roh manusia pula di turunkan kebumi melalui perut kandungan ibu. Seperti hadis di bawah :
Dari ‘Abdullah bin Mas’ud r.a katanya:
“Rasulullah
S.A.W. telah menceritakan kepada kami sedang baginda adalah orang
benar yang telah dibenarkan kata-katanya- sabdanya: 'Bahawa seseorang
kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari, kemudian
dijadikan segumpal darah seumpamanya, kemudian dijadikan seketul daging
seumpamanya, kemudian Allah mengutuskan seorang Malaikat untuk menulis
empat kalimah dan diarahkan agar menulis; amalannya, ajalnya, rezekinya
dan untung jahat atau untung baik, kemudian ditiupkan rohnya…”. (Hadis
Sahih Riwayat Bukhari)
Firman Allah S.W.T.
maksudnya : “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari “pati”
(yang berasal) dari tanah; Kemudian Kami jadikan pati itu (setitis) air
mani pada penetapan yang kukuh; Kemudian Kami ciptakan air mani itu
menjadi segumpal darah beku lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi
seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa
tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah
sempurna kejadian itu Kami bentuk ia menjadi makhluk yang lain sifat
keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik
Pencipta”.
(Surah al-Mukminun ayat 12-14).
Apabila
manusia dilahirkan di dunia ini maka bermulalah tanggungjawab manusia
kepada Allah apabila mencapai umur akil baligh. Manusia dilahirkan dalam
keadaan fitrah ibu bapanyalah yang akan membentuk anak tersebut samaada
menjadi Yahudi, Nasrani, Majusi atau Islam.
Sabda
Rasulullah S.A.W. maksudnya : "Anak itu dilahirkan dalam keadaan
fitrah. Maka ibu bapanyalah yang menyahudikannya, atau menasranikannya
atau memajusikankannya."
Manusia dilahirkan kedunia adalah untuk menyembah Allah S.W.T.
Firman
Allah S.W.T. maksudnya : "Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia
kecuali untuk beribadah kepada-Ku" (Surah az-Zariyat ayat 56)
Setelah
manusia faham bahawa hidup di dunia ini hanyalah untuk mengabdikan diri
kepada Allah S.W.T. kemudian manusia melaksanakan pula tanggungjawabnya
sebagai khalifah dimuka bumi ini iaitu memakmurkan muka bumi Allah
S.W.T. ini dengan kebaikan.
Allah S.W.T. berfirman tentang kriteria khalifah-Nya yang bermaksud :
"Allah
telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kalian dan
beramal soleh (kebaikan), bahwa Dia akan menjadikan mereka sebagai
khalifah di bumi, Sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum
mereka sebagai khalifah. Sesungguhnya Dia akan meneguhkan bagi mereka
agama mereka, yang telah diredai-Nya untuk mereka, serta Dia benar-benar
akan mengubah (keadaan) mereka menjadi aman setelah mereka ketakutan.
Mereka akan menyembah-Ku dan tidak menyekutukan apapun dengan-Ku. Dan
barang siapa kafir setelah itu, maka mereka adalah orang-orang yang
fasik." (Surah an-Nur ayat 55).
Pada ayat
tersebut, jelas sekali Allah berjanji akan menjadikan hamba-hamba-Nya
sebagai khalifah yang akan menguasai dan memimpin dunia. Tetapi janji
itu akan ditepati-Nya bagi manusia yang beriman dan beramal kebaikan.
Dengan demikian dapat disimpulkan, bahwa kriteria lain dari seorang
khalifatullah adalah iman dan amal soleh.
Terdapat
14 ciri-ciri kebaikan di dunia ini yang dikurniakan Allah S.W.T kepada
orang-orang mukmin sebagai bekalan untuk dia melaksanakan fungsi sebagai
khalifah Allah (pemimpin) di dunia ini dengan adanya kebaikan ini akan
menjadi bekalan untuk dua alam lagi iaitu alam barzakh dan hari akhirat.
Ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut :
1. Mendapat taufik dan hidayah Allah SWT.
Orang
yang mendapat taufik dan hidayah ertinya dia seorang yang dibantu oleh
Allah untuk mengamalkan Islam. Islam bererti selamat. Orang Islam kalau
kekal mendapat taufik dan hidayah dari Allah, akan selamat di dunia dan
akhirat.
Sabda Rasulullah SAW : "Sungguh beruntung orang yang beragama Islam…" (Hadis Riwayat Muslim)
Dari
Abi Zar r.a., Rasulullah SAW bersabda, (Hadis qudsi) "Firman Allah
Taala: 'Wahai hamba-hamba-Ku, Aku telah haramkan ke ats diri-Ku
kezaliman dan Aku jadikan kezaliman itu juga haram ke ats kamu semua
maka janganlah berlaku zalim sesama sendiri.
Wahai
hamba-hamba-Ku, semua kamu adalah sesat kecuali orang-orang yang
mendapat petunjuk-Ku, maka mintalah hidayah daripada-Ku, nescaya akan
Aku berikan.
Wahai hamba-hamba-Ku semua kamu
adalah dalam kelaparan kecuali orang yang mendapat makanan daripada-Ku,
maka mintalah daripada-Ku nescaya Aku berikan kepadamu.
Wahai
hamba-hamba-Ku semua kamu adalah tidak berpakaian kecuali orang yang
Aku berikan kepadanya pakaian, maka mintalah daripada-Ku nescaya akan
Aku berikan.
Wahai hamba-hamba-Ku, kamu semua
melakukan salah dan silap setiap masa dan Aku adalah pengampun
dosa-dosa, maka pohonlah keampunan daripada-Ku nescaya Aku akan
ampunkan...'." (Hadis Riwayat Muslim)
2. Diberi kefahaman dalam agama.
Untuk
amalkan Islam perlukan kefahaman. Siapa yang diberi kefahaman tentang
Islam juga dikira telah mendapat kebaikan di dunia. Orang Islam yang
tidak diberi kefahaman tentang Islam oleh Allah SWT akan mengamalkan apa
yang disangkanya dari ajaran Islam tetapi sebenarnya menyeleweng dari
Islam. Hidupnya tak akan benar-benar selamat dan tidak mampu
menyelamatkan orang lain.
Sabda Rasulullah SAW
maksudnya : "Barangsiapa yang Allah menghendaki kebaikan kepadanya, Dia
akan menjadikannya faham dalam agama." (Hadis Riwayat Bukhari dan
Muslim)
3. Dapat berbuat amalan soleh.
Dengan
kefahaman agama yang Allah SWT beri, seseorang itu dapat berbuat amal
soleh. Ini juga merupakan kebaikan di dunia kerana hidup akan terisi
perkara baik dan tidak terumbang-ambing.
Firman
Allah SWT yang bermaksud: "Katakanlah: 'Hai hamba-hamba-Ku yang beriman,
bertakwalah kepada Tuhanmu. Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini
memperolehi 'hasanah' (kebaikan). Dan bumi Allah itu adalah luas.
Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala
mereka tanpa batas'." (Surah Az-Zumar ayat 10)
4. Mendapat ilmu yang bermanfaat.
Ilmu
yang bermanfaat adalah panduan untuk mengisi hidup dengan
perkara-perkara baik dan selamat. Sebab itu Rasulullah SAW berdoa yang
bermaksud : "Ya Allah ya Tuhanku, berikanlah manfaat kepadaku dari
apa-apa Engkau ajarkan kepadaku dan ajarkan daku apa-apa yang bermanfaat
buat diriku." (Hadis Riwayat at-Tabrani)
Rasulullah
SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang berkehendakkan dunia maka
hendaklah ia berilmu, sesiapa yang berkehendakkan akhirat maka hendaklah
ia berilmu dan sesiapa yang berkehendakkan kedua-duanya maka hendaklah
ia berilmu."
(Hadis Riwayat Tirmidzi)
Ilmu
pengetahuan menurut Islam sama ada yang berunsur keduniaan mahupun
keakhiratan adalah bersifat sepadu (integrated) dan saling berhubung di
antara satu sama lain. Berasaskan pegangan inilah maka kehidupan dunia
akan dapat dijadikan persediaan untuk kehidupan di akhirat.
Ilmu
terbahagi kepada dua iaitu ilmu naqliyah (fardu ain) yang berteraskan
wahyu seperti akidah, syariah dan akhlak dan ilmu akliyah (fardu
kifayah) iaitu ilmu yang pada zahirnya dipandu oleh akal bagi
memperolehi kejayaan dan kemajuan duniawi. Kedua-dua jenis ilmu ini
bersepadu bagi mencapai satu matlamat iaitu keredaan Allah SWT.
Islam
menggalakkan umatnya memiliki seberapa banyak ilmu dalam usaha mencari
kehidupan yang baik dan sempurna disamping memajukan masyarakat menurut
lunas-lunas yang dibenarkan oleh Islam.
5. Mendapat isteri yang solehah.
Kebahagiaan
hidup adalah perkara yang semua orang impikan. Kebahagiaan selalunya
bermula di rumah. Siapa yang mendapat pasangan hidup yang baik patut
bersyukur kerana di situlah tanda kebahagiaannya. Isteri atau suami yang
baik ini juga membantu seseorang mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Itulah antara kebaikan di dunia buatnya.
Sabda
Rasulullah SAW maksudnya : "Empat dari tanda-tanda kebahagiaan
seseorang: Isterinya solehah, anak-anaknya abrar (soleh), teman-temannya
orang soleh dan sumber rezekinya di negerinya sendiri." (Hadis Riwayat
ad-Dailami dari Ali r.a.)
Rasulullah SAW bersabda
yang maksudnya:“Sebaik-baik isteri ialah yang dapat menyenangkan hati
suaminya apabila engkau (suami) melihatnya dan apabila disuruh dia
menurut perintahmu, dan dia dapat menjaga kehormatan dirinya dan hartamu
ketika engkau tiada di rumah.”(Hadis Riwayat Thabrani)
Rasulullah
SAW bersabda yang maksudnya: "Apabila seseorang isteri meninggal dunia
dan suaminya reda kepadanya, maka ia akan masuk syurga." (Hadis Riwayat
Tirmidzi dan Ibn Majah)
Islam telah menggariskan
peranan suami dan isteri dengan jelas di mana suami mestilah bersedia
untuk mentadbir rumah tangga dan isteri pula mestilah bersedia untuk
mentaati perintah suami.
Syurga anak adalah di
telapak kaki ibunya manakala syurga isteri adalah apabila taatkan
suaminya. Taat di sini bererti patuh kepada perintah dan kehendak suami
kecuali apabila suami menyuruh melakukan dosa. Ia menduduki tempat kedua
selepas taat kepada Allah dan Rasul-Nya.
Ketaatan
isteri berkait rapat dengan keperibadian suami di mana kuasa suami
bukan terletak pada kekuatan fizikalnya tetapi terletak pada iman, ilmu
dan kesabarannya. Dengan demikian barulah kepimpinannya menjadi lebih
mantap dan dihormati isteri.
Kunci kerukunan rumah
tangga adalah persefahaman antara suami isteri. Oleh itu Islam telah
menyarankan bahawa dalam mencari isteri idaman hendaklah dari kalangan
wanita yang mempunyai empat ciri seperti berketurunan baik, elok paras
rupanya, berharta, dan kuat pegangan agamanya.
Namun
yang perlu diutamakan adalah yang solehah (beriman) agar mudah untuk
dididik dan beberapa masalah rumah tangga dapat dielakkan seperti isteri
nusyuz dan sebagainya.
Setiap wanita Islam
hendaklah menyedari tentang hak-haknya yang telah digariskan oleh syarak
agar tidak berlaku kekeliruan dalam mentaati suami sehingga menjadi
mangsa penderaan oleh suami yang tidak bertanggungjwab.
Oleh
itu seorang isteri yang solehah adalah yang mencakupi erti kata wanita
yang berilmu dan beriman. Dengan demikian rumah tangga akan sentiasa
aman dan bahagia.
Dalam sebuah hadis Rasulullah
SAW telah bersabda yang bermaksud : "Empat perkara yang membawa
kebahagiaan iaitu wanita yang solehah, rumah yang luas, jiran yang baik
dan kenderaan yang selesa." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban)
Namun
ada juga orang yang Allah SWT beri kebaikan walaupun tidak mendapat
pasangan hidup yang soleh atau solehah. Buat mereka Allah SWT kurniakan
pahala sabar dalam mendidik atau sabar dalam menghadapi kerenah
pasangannya.
6. Mendapat zuriat penyejuk hati.
Betapa
sejuknya hati kalau anak-anak taat, hormat dan tahu berbakti. Tanpa
tiga perkara ini, tidak ada erti kepandaian, kedudukan dan jawatan
tinggi yang dibangga-banggakan pada anak. Anak yang soleh (baik) akan
terus memberi manfaat setelah kematian kita. Pahala amalan baiknya hasil
didikan kita terus mengalir kepada kita dan kita juga menerima kebaikan
dari doa mereka.
Nabi SAW bersabda maksudnya :
"Apabila seorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah
amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang
bermanafaat dan doa anak soleh yang mendoakannya." (Hadis Riwayat
Muslim)
Untuk melahirkan anak-anak yang soleh dan
penyejuk hati perlulah kepada empat elemen iaitu isteri yang solehah
(menjadi ibu yang solehah mendidk anak-anak) , rumah yang luas (susana
tarbiah berlaku dirumah), jiran yang baik (akan mempengaruhi peribadi
anak-anak) dan kenderaan yang baik (keselesaan dalam kehidupan harian).
Kehidupan yang selesa adalah suatu bentuk kehidupan yang dialu-alukan
oleh Islam di mana kehidupan yang sempurna memerlukan empat elemen di
atas seperti hadis Nabi SAW yang bermaksud :
"Empat perkara
yang membawa kebahagiaan iaitu wanita yang solehah, rumah yang luas,
jiran yang baik dan kenderaan yang selesa." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban)
Wanita
yang solehah-iaitu isteri yang baik juga akan menjadi ibu yang solehah
yang dapat menguruskan keluarga dan rumahtangga dengan sempurna. Rumah
yang luas yang boleh memberikan keselesaan untuk bermesra dengan
keluarga dan anak-anak di samping dapat melapangkan fikiran dengan baik
dan tenang.
Jiran yang baik kerana jiran merupakan
orang yang paling rapat selepas sanak saudara dan keluarga. Jiran yang
baik dapat menjamin keharmonian hidup bermasyarakat sehinggakan ikatan
kejiranan itu boleh bertukar seakan-akan sebuah kelurga yang
kasih-mengasihi dan saling mengambil berat di antara satu sama lain.
Kenderaan yang selesa kerana ia memberikan kemudahan dalam segala
urusan.
Antara tabiat buruk yang mengancam
kebahagiaan hidup ialah berfoya-foya dengan kehidupan mewah, boros harta
dan membazir ketika berbelanja.
Tabiat ini sering disebut dalam al-Quran sebagai punca kehancuran beberapa umat yang terdahulu.
Kemewahan
hidup berbeza antara satu zaman dengan zaman yang lain, mungkin mewah
pada suatu ketika dahulu, tidak dianggap mewah pada hari ini, kerana
perbezaan masa, suasana dan pendapatan menjadikan ukuran kemewahan turut
berbeza.
7. Mendapat sahabat-sahabat yang soleh.
Nabi
SAW bersabda maksudnya : “Seseorang yang duduk (berteman) dengan orang
soleh dan orang yang buruk adalah bagaikan berteman dengan pemilik
minyak wangi dan tukang besi. Jika engkau tidak dihadiahkan minyak wangi
olehnya, engkau boleh membeli darinya atau sekurang-kurangnya dapat
baunya. Adapun berteman dengan tukang besi, jika engkau tidak mendapati
badan atau pakaianmu hangus terbakar, paling kurang engkau dapat baunya
yang tidak elok.” (Hadis Riwayat Bukhari dari Abu Musa.)
Perkara
ini juga disebut dalam hadis sebagai tanda kebahagiaan. Sahabat yang
baik akan tegur kesalahan kita dan mengajak kita buat baik. Sahabat yang
soleh atau solehah ini akan bawa kita ke jalan hidup selamat. Mereka
tempat berkongsi masalah dan kegagalan, bukan hanya berkongsi senang dan
kejayaan.
Rasulullah SAW bersabda, maksudnya,
"Manusia yang paling dikasihi Allah ialah orang yang memberi manfaat
kepada orang lain dan amalan yang paling disukai oleh Allah ialah
menggembirakan hati orang-orang Islam atau menghilangkan kesusahan
daripadanya atau menunaikan keperluan hidupnya di dunia atau memberi
makan orang yang lapar.
Perjalananku bersama
saudaraku yang muslim untuk menunaikan hajatnya, adalah lebih aku sukai
daripada aku beriktikaf di dalam masjid ini selama sebulan, dan sesiapa
yang menahan kemarahannya sekalipun ia mampu untuk membalasnya nescaya
Allah akan memenuhi keredaannya di dalam hatinya pada hari Qiamat, dan
sesiapa yang berjalan bersama-sama saudaranya yang Islam untuk
menunaikan hajat saudaranya itu hinggalah selesai hajatnya nescaya Allah
akan tetapkan kakinya (ketika melalui pada hari Qiamat) dan
sesungguhnya akhlak yang buruk akan merosakkan amalan seperti cuka
merosakkan madu." (Hadis Riwayat Ibnu Abi Dunya)
Berbuat
baik dan memberi keselesaan kepada orang lain akan diganjari Allah
dengan balasan yang berlipat ganda sama ada berupa pahala, kebaikan dan
kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
Semua ini
akan dapat dilakukan sekiranya seseorang itu mempunyai keimanan dan
keikhlasan di hatinya sehingga segala tindakan-tindakan yang
dilakukannya sentiasa melahirkan kebaikan pada dirinya dan dalam
hubungannya dengan orang lain serta masyarakat di sekelilingnya.
8. Kesihatan, kesejahteraan dan kelapangan.
Dengan
kesihatan yang baik, banyak perkara dapat dilakukan dalam hidup ini.
Orang mukmin memanfaatkan kesihatan untuk buat sebanyak mungkin kebaikan
sebelum datangnya sakit. Kesihatan juga sering dikaitkan dengan
kesejahteraan hidup.
Rasulullah SAW berdoa yang
bermaksud : "Ya Allah, ‘afiatkanlah tubuh badanku dan ‘afiatkanlah
pendengaranku." (Hadis Riwayat Ibnu Syaibah)
Daripada
Abdullah ibn Abbas r.a. katanya, Rasulullah SAW bersabda, "Dua jenis
nikmat yang kebanyakan manusia menerima kerugian yang besar iaitu
kesihatan dan kelapangan." (Hadis Riwayat Bukhari)
Seseorang
itu hendaklah menjaga kesihatan yang mana kesihatan itu adalah satu
nikmat daripada Allah, hendaklah digunakan masa sihat itu dengan amal
kebajikan dan amalan saleh sebelum sakit. Seseorang itu janganlah
mensia-siakan masa lapangnya terbiar begitu sahaja, ianya hendaklah
digunakan untuk melakukan semua perintah Allah yang diredai.
Kedua
nikmat sihat dan kelapangan itu adalah cubaan Allah SWT ke atas
manusia. Oleh itu hendaklah digunakan masa sihat dan lapang itu untuk
memerangi hawa nafsu. Sesiapa yang berjaya pasti akan mendapat
kemenangan begitu juga sebaliknya.
9. Panjang umur di dalam ketaatan.
Setiap
orang muslim diantara kita tentu menginginkan berumur panjang supaya
bertambah kebaikannya. Seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW
tatkala baginda ditanya: Siapakah orang yang paling baik itu? Baginda
menjawab: “Iaitu orang yang panjang umurnya dan baik amalannya.” (Hadis
Riwayat Tirmidzi dan Ahmad).
Hampir setiap orang
mahu hidup lama, kecuali orang yang putus asa dengan hidup. Paling baik
kalau dapat panjang umur sambil berbuat ketaatan kepada Allah SWT. Sabda
Rasulullah SAW : "Sesungguhnya sehabis-habis kebahagiaan itu ialah
panjang umur di dalam mentaati Allah." (Hadis Riwayat Khotib daripada
Abdullah dari bapanya)
Rasulullah SAW bersabda,
maksudnya: "Sesiapa yang mati pada masa ia dalam keadaan taatkan Allah,
beramal soleh, maka ia dibangkitkan oleh Allah hidup kembali dengan
keadaan yang menyukakannya; dan sesiapa yang mati pada masa ia dalam
keadaan derhaka kepada Allah, berbuat jahat, maka ia dihidupkan kembali
dengan keadaan yang mendukacitakannya." (Hadis Riwayat Jabir r.a.)
10. Mendapat rezeki yang halal.
Rasulullah
SAW menekankan agar umatnya berusaha mendapatkan rezeki halal kerana ia
akan memberkatkan hidup. Dalam satu hadis, baginda mengatakan bahawa
mencari rezeki yang halal itu satu jihad. Malah sabdanya: "Amalan yang
paling utama itu ialah mencari rezeki dari usaha yang halal." (Hadis
Riwayat al-Hakim)
Dari Abdullah bin Amru bin ‘Ash
r.a. katanya, Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Sungguh amat
beruntunglah orang yang Islam (berserah diri) dan merasa cukup dengan
apa yang direzekikan Allah serta berpada dengan apa yang diberikan-Nya."
(Hadis Riwayat Muslim)
Rasulullah SAW telah
menasihatkan kita agar melihat kepada orang yang di bawah. Jangan
melihat kepada orang yang di atas (lebih bernasib baik) kerana yang
demikian itu akan membuatkan kita menjadi tidak bersyukur. Namun itulah
masalahnya yang berlaku pada setiap daripada kita. Sentiasa mengejar
peluang yang lebih baik. Sentiasa mahukan yang lebih banyak. Tetapi ini
bukan pula bererti bahawa kita tidak boleh mengejar yang lebih baik.
Rezeki itu hak dan kepunyaan Allah. Maka bermohonlah kepada Yang
Memiliki rezeki itu kerana tiada rezeki untuk kita tanpa ada keizinan
daripada-Nya.
11. Beroleh keimanan dan ketakwaan.
Dengan
iman dan takwa, seseorang itu mulia di sisi Allah dan di sisi manusia.
Siapa yang tak sukakan kemuliaan? Sabda Rasulullah SAW maksudnya :
"Semulia-mulia manusia adalah orang yang paling bertakwa di antara
kamu." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Baginda
juga bersabda yang bermaksud : "Hendaklah kamu bertakwa, kerana ia
merangkumi semua kebaikan." (Hadis Riwayat Abu Ya’ala)
Sabda
Rasulullah SAW lagi yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah mengasihi
hambanya yang bersifat takwa, kaya jiwa serta tidak menonjolkan diri
(merendah diri walaupun berpangkat tinggi)." (Hadis Riwayat Muslim)
Yang
dimaksudkan dengan kaya di sini ialah kaya jiwa bukan kaya harta
sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis. Tiga perkara yang apabila
dilakukan oleh seseorang maka ia dikasihi oleh Allah SWT ialah
:1.Bertakwa, 2. kaya jiwa (berakhlak mulia) dan 3. tidak menonjolkan
diri.
Setiap umat Islam hendaklah sentiasa
memperbaiki dirinya dari masa ke semasa dengan menanamkan tiga sifat
tersebut diatas secara berperingkat-peringkat. Islam menyuruh umatnya
supaya bertakwa kepada Allah dan mempunyai sifat-sifat yang mulia dan
berbudi bahasa, jangan bersifat sombong, ego dan sebagainya yang boleh
menjatuh dan merendahkan mertabat kemuliaan manusia itu sendiri.
12. Banyak mengingati Allah SWT.
Nikmat
paling besar yang manusia cari-cari dalam hidup ialah nikmat
ketenangan. Orang mukmin adalah orang yang hidupnya penuh ketenangan.
Firman-Nya:
"...orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan
mengingat Allah. Sesungguhnya hanya dengan mengingati Allah itu, hati
akan menjadi tenteram (tenang)." (Surah Ar-Ra’ad, ayat 28)
Sabda
Rasulullah SAW maksudnya : "Aku berpesan kepada kamu semua supaya
mengingati Allah, kerana hal itu dapat menghiburkan hati kamu dari
segala kesulitan duniawi." (Hadis Riwayat ad-Dailami)
Rasulullah
SAW bersabda yang bermaksud : "Tujuh golongan manusia yang akan diberi
perlindungan oleh Allah dalam naungannya di hari yang tiada naungan
melainkan perlindungan Allah itu sendiri iaitu: Imam (pemimpin) yang
adil, pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah, lelaki yang hatinya
sentiasa terpaut dengan masjid, dua orang yang saling cinta mencintai
kerana Allah di mana keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah,
seorang lelaki yang diajak oleh wanita rupawan serta berkedudukan tinggi
untuk melakukan zina, lalu ia menjawab, “Aku takut kepada Allah”,
seseorang yang bersedekah dengan sesuatu sedekah lalu menyembunyikan
sedekahnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang
dibelanjakan oleh tangan kanannya, seseorang yang mengingati Allah di
tempat yang sunyi lalu mengalir air matanya." (Hadis Riwayat
at-Tirmidzi)
Orang yang mencintai Allah SWT dengan
hati yang ikhlas semestinya akan merasa keagungan dan kebesaran Allah.
Oleh itu di saat ia bertafakur kepada Allah akan keluarlah air mata
kerinduan dan keinsafan dari dalam dirinya.
Dalam
riwayat yang lain pula, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : "Tanda
cintakan Allah SWT ialah mengingati Allah SWT (zikrullah) dan tanda
Allah SWT murka kepada hamba ialah dia tidak suka mengingati Allah."
(Hadis Riwayat Baihaqi)
Ciri khas dalam akidah
yang wajib ada dalam diri setiap individu adalah perasaan cintakan Allah
kerana ia merupakan kayu ukur terpenting dalam menilai kualiti iman
seorang muslim yang sebenar.
Antara sifat mereka
ialah sentiasa merasa bahagia apabila mengingati Allah iaitu mereka
banyak berzikir, mengerjakan sembahyang, membaca al-Quran dan sebagainya
sebaliknya bagi orang yang tidak cintakan Allah, dia merasa bosan dan
rimas apabila mendengar kalimah-kalimah Allah dan malas untuk berzikir
(mengingati Allah) jauh sekali untuk beribadat kepada Allah.
Sesungguhnya
orang yang selalu mengingati Allah (di kala senang mahupun susah) akan
mendapat pemeliharaan daripada Allah SWT, kehidupannya sentiasa terkawal
dan terpimpin, jalan hidupnya sentiasa sejahtera dan selamat.
Sebaliknya mereka yang lalai daripada mengingati Allah, kehidupannya akan didapati kosong, kecewa dan hampa.
13. Berjaya menyucikan jiwa dari mazmumah.
Hidup
tak akan tenang jika hati penuh hasad dengki, tamak, takut, benci,
keluh-kesah dan lain-lain sifat mazmumah. Tidak hairanlah dikatakan,
orang yang bersih hatinya dari sifat mazmumah ini adalah orang yang
mendapat kebaikan di dunia. Bila menghadapi musibah, dia sabar dan
bersangka baik dengan Allah.
Misalnya jika ada
orang terganggu dengan turunnya hujan pada waktu hujan itu ‘tak
diperlukan’, dia sentiasa mencari hikmah di sebaliknya. Bila dapat
nikmat pula, dia bersyukur. Hatinya tak pernah keluh-kesah. Firman Allah
SWT maksudnya : "Sesungguhnya berjaya dan beruntunglah orang yang
menyuci (membersihkan) jiwanya." (Surah Al-A’la, ayat 14)
14. Mati di dalam kebaikan (Husnul Khotimah).
Ini
merupakan penutup segala kebaikan di dunia. Firman Allah SWT :
"….demikianlah Allah memberi balasan kepada orang-orang yang bertakwa,
(iaitu) orang-orang yang dimatikan dalam keadaan baik oleh para malaikat
dengan mengatakan (kepada mereka) Salamun ‘Alaikum." (Surah An-Nahl,
ayat 32)
Sabda Rasulullah SAW maksudnya :
"Sebaik-baik amalan itu ialah bahawa kamu berpisah dengan dunia ini
sedangkan lidahmu basah berzikir kepada Allah." (Hadis Riwayat Abu
Na’im)
Para ulama yang beramal dengan ilmunya
melihat sesuatu dengan mata hati. Oleh itu, dalam senarai kebaikan di
dunia yang mereka turunkan di atas, tidak ada perkara-perkara berbentuk
nikmat zahir semata-mata. Misalnya mereka tidak kata kebaikan di dunia
itu ada pada rumah besar, kedudukan tinggi, isteri cantik, duit banyak,
nama popular, kenderaan mewah dan lain-lain yang sering kita buru hari
ini. Semua ini tidak ada dalam senarai para ulama. Bermakna, mendapat
semua itu belum bererti mendapat kebaikan yang hakiki.
Kebaikan
di dunia itu sebenarnya milik hamba-hamba Allah yang taat – hamba yang
lebih utamakan akhirat dari dunia. Dalam surah an-Nahl ayat 122
dinyatakan bahawa Allah telah mengurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s.
hasanah (kebaikan) di atas kehidupan dunia.
Ayat
ini menjadi dalil bahawa ada kebaikan duniawi yang Allah akan beri
kepada hamba-hamba-Nya yang dikehendaki. Walaupun mengutamakan akhirat,
Allah akan dahulukan bermacam-macam kebaikan buat mereka di dunia lagi.
Dan segala kebaikan itu pula bermanfaat untuk akhirat mereka.
Firman
Allah S.W.T. maksudnya : "Maka di antara manusia ada yang berdoa : 'Ya
Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia', dan di akhirat dia tidak
memperoleh bahagian apa pun. Dan di antara mereka ada yang berdoa : 'Ya
Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan
peliharalah kami dari siksa neraka' ."
(Surah al-Baqarah ayat 200-201)
Sahabat yang dikasihi,
Marilah
kita sama-sama kita jadikan kebaikan hidup di dunia ini untuk mencapai
kebahagiaan kita di hari akhirat. Kita tidak mahu berbahagia semata-mata
di dunia sahaja, kerana kehidupan yang sebenarnya dan kehidupan di hari
akhirat yang mendapat balasan syurga.
Comments
Post a Comment