Tahukah Anda: Bilangan ayat, perkataan dan huruf al-Quran? 6666 ayat?
Soalan:
Assalamualaikum.
Berapakah bilangan ayat, perkataan dan huruf yang terdapat di dalam al-Quran?
Sekian.Terima kasih.
Jawab:
Oleh: Ustaz Pendekar
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
Bismillahir Rahmanir Rahim
Berikut adalah jawapannya, dengan izin
dan taufiq daripada Allah Ta’ala, berdasarkan sedikit ilmu mengenai
Al-Quran Al-Karim yang dianugerahi kepada kami, Amin.
A- Soalan yang
saudara kemukakan ini, dan yang seumpama dengannya, tergolong di dalam
kategori ilmu yang digelar sebagai “Ulumul Quran” (Ilmu-Ilmu Mengenai
Al-Quran), yang biasanya ilmu ini membicarakan mengenai bagaimana
caranya untuk menafsirkan Al-Quran menurut disiplin ilmu (bukannya
menurut hawa nafsu).
Di antara bidang kajian ilmu ini ialah: Ayat yang Nasakh & Mansukh, Cara mengenal Ayat & Surah yang
diturunkan di Mekkah Al-Mukarramah ataupun di Madinah Al-Munawwarah,
Fadhilat-Fadhilat, Ilmu Kepelbagaian Cara Membaca Al-Quran, Sebab-sebab
sesuatu ayat itu diturunkan, Ilmu Pembukuan Al-Quran, Ilmu Penghuraian
Al-Quran menurut Kaedah-Kaedah Bahasa Arab, Ilmu Ayat-Ayat Tamsilan di
dalam Al-Quran dan berbagai lagi.
B- Sebenarnya,
pengetahuan mengenai berapakah jumlahnya ayat-ayat Al-Quran,
huruf-hurufnya & surah-surahnya, bukanlah merupakan satu kewajipan
yang fardhu ‘ain kepada setiap umat Islam. Namun begitu, para ulama’
dari kalangan mufassirin (ahli-ahli Tafsir) sendiri, di dalam mengkaji
Al-Quran Al-Karim, mereka tidak terlepas drp menkaji dan membicarakan
berkenaan dengan jumlah surah, ayat-ayat, bahkan huruf-huruf di dalam
Al-Quran Al-Karim.
C- JUMLAH SURAH-SURAH DI DALAM AL-QURAN AL-KARIM :
Para Mufassirin berbeza pendapat di
dalam hal ini, satu golongan menyatakan jumlahnya sebanyak 114 surah,
manakala satu golongan lagi menyatakan ianya sebanyak 113 surah.
Punca Perbezaan pendapat : Golongan
pertama menyatakan bahawa Surah Al-Anfal dan Surah At-Taubah (Al-Baraah)
merupakan 2 surah yang berasingan. Manakala golongan kedua pula
berpendapat kedua-dua surah itu sebenarnya adalah surah yang sama (satu
surah). Ini juga disebabkan, tiadanya Basmallah di permulaan Surah
At-Taubah, yg menyebabkan ada golongan yang menyangka bahawa Surah
At-Taubah itu adalah sambungan Surah Al-Anfal (satu surah).
D- JUMLAH AYAT-AYAT DI DALAM AL-QURAN AL-KARIM :
Ini juga merupakan isu khilafiah ( yang diperselisihi keputusannya ) :
Menurut atsar (kata-kata sahabat r.a)
yang dinisbahkan kepada Ibnu Abbas r.a ialah : 6600 ayat – menurut atsar
lain yang juga disandarkan kepadanya r.a , ialah sebanyak : 6666 ayat.
Pendapat ke-3 : 6204 ayat.
Pendapat ke-4 : 6014 ayat.
Pendapat ke-5 : 6019 ayat.
Pendapat ke-6 : 6025 ayat.
Pendapat ke-7 : 6036 ayat.
PUNCA PERBEZAAN PENDAPAT DI DALAM HAL INI :
1- Disebabkan Baginda s.a.w
kadang-kadang di dalam membaca Al-Quran, Baginda s.a.w berhenti di
setiap pangkal ayat-ayat sebagai satu pengajaran kepada Para Sahabat r.a
bahawa di situlah pangkal setiap ayat.
2- Kadang-kadang pula, Baginda s.a.w
tidak berhenti di setiap pangkal ayat tersebut, setelah Para Sahabat
r.a tadi sudah mengetahui di manakah terletaknya setiap pangkal ayat dan
dengan tujuan untuk menyempurnakan makna ayat-ayat. Maka, ini
menyebabkan satu pihak yang lain drp kalangan sahabat r.a menyangka
bahawa ayat-ayat tersebut bersambung di antara satu sama lain.
3- Disebabkan sebahagian sahabat r.a
sendiri ada yang menganggap bahawa Basmallah itu juga merupakan satu
ayat bagi setiap surah (kecuali Surah At-Taubah).
Manakala, satu pihak lain drp kalangan
sahabat r.a pula menganggap bahawa Basmallah itu bukanlah dikira
sebagai satu ayat bagi setiap surah.
4- Perbezaan di dalam menghitung
huruf-huruf “Muqotto’ah” (terpotong) seperti ‘ ALIF LAM MIM “ , “ YA SIN
“, “ KAF HAM YA ‘AIN SOD “ dan seumpamanya. Kerana adanya huruf-huruf
muqotto’ah itu dihitung sebagai satu ayat, dan ada pula yang sebaliknya.
5- Sesuatu ayat itu dibaca secara
bersambung dengan ayat selepasnya. Ini juga menyebabkan ada yang
menyangka bahawa kedua-dua ayat itu merupakan ayat yang satu , bukannya
ayat-ayat yang berasingan.
PERBEZAAN ini tidaklah sama-sekali
menjadi satu mudharat kepada umat Islam, SELAGI MANA, ianya tidak
meyebabkan adanya sebarang korupsi terhadap ayat-ayat Al-Quran Al-Karim.
E- JUMLAH HURUF-HURUF DI DALAM AL-QURAN :
Menurut Ibnu Abbas r.a : 323, 671 huruf.
FAEDAH-FAEDAH MENGETAHUI JUMLAH BILANGAN AYAT-AYAT AL-QURAN :
1- Dapat mengetahui bahawa bukan
ayat-ayat Al-Quran yang jenis panjang-panjang (At-Tiwal) sahaja yang
melambangkan KEMUKJIZATAN AL-QURAN drp sudut sastera Bahasa Arab, tetapi
ayat-ayat Al-Quran yang pendek-pendek juga melambangkannya. Dan Allah
Ta’ala bukan sahaja pernah mencabar mereka yang tidak mempercayai
kemukjizatan Al-Quran agar dapat mereka kemukakan satu karya sastera
mereka yang berjumlah seumpama satu surah, bahkan pernah juga dicabar
mereka itu untuk mengemukakan satu ayat sahaja !.
2- Menurut satu pendapat, berhenti di
setiap pangkal ayat merupakan sunnah kerana berdalilkan perbuatan
Baginda Rasulullah s.a.w yang berhenti di setiap pangkal ayat-ayat
Al-Quran.
3- Dapat diketahui kadar ayat yang dibaca selepas Al-Fatihah di dalam solat.
4- Dengan mengetahui jumlahnya,
melahirkan satu perasaan cinta dan menggesa (motivasi) bagi setiap orang
yang menghafal ayat-ayat Al-Quran, untuk meneruskan hafalan mereka
setiap kali mereka sudah berjaya menghafal ayat-ayat sebelumnya.
Sumber Rujukan :
AL-MIZAN FI ‘ULUMIL-QURAN
Oleh : Prof. Dr. Ahmad Muhammad Siroh
(Profesor Fak. Usuluddin, Universiti Al-Azhar Cawangan Al-Mansoora. Mesir).
LAIN-LAIN RUJUKAN:
Saranan Pembacaan ( Di dalam B. Melayu ) :
‘ULUM AL-QURAN (Tingkatan 6)
Oleh : Ustaz Joni Tamkin Borhan (M.A Syriah U.M)
Dan Ustazah Che Zarina Shaari (M.A Syriah U.M).
Terbitan : Cahaya Pantai Publishing (M_ Sdn. Bhd, K.L.
Cetakan : 1995
Harga : RM 8. 95
MENGENAL AL-QURAN
Oleh : Drs. Ruslan Adjun (Pensyarah IAIN Sunan Kalijaga , Yogyakarta).
Terbitan : Pustaka Al-Mizan, Kg. Baru, K.L.
Harga : RM 2. 50
TAFSIR AL-FURQAN
Oleh : Kiyai A. Hassan
Terbitan : Pustaka Aman Press
Demikanlah sahaja jawapan-jawapannya
berdasarkan soalan yang dikemukakan. Walhal Allah Ta’ala Lebih
Mengetahui akan hakikat sebenar segala sesuatu.
Wassalam.
Comments
Post a Comment