Sindiran atau nasihat Ibn al-Muqaffa’ itu
memanglah bernas dan jitu. Sesungguhnya ia amat bertepatan dengan
ancaman Allah dan Rasul-Nya. Dalam hubungan ini terdapat banyaknya ayat
al-Quran dan hadis mengingatkan kita agar jangan lalai.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Munafiqun, ayat 9:
“Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu
dilalaikan oleh (urusan) harta dan anak-anak kamu daripada mengingati
Allah (dengan menjalankan perintah-Nya). (Ingatlah) sesiapa yang
melakukan demikian maka mereka itulah orang yang rugi.”
Seterusnya, terdapat banyak lagi firman
Allah mengenai peringatan supaya hamba-Nya jangan lalai, antaranya dalam
Surah at-Takathur ayat 1-8. Kelalaian mengundang kesengsaraan pada
kehidupan yang kekal abadi di alam akhirat. Ini kerana, kadang-kadang
perkara melalaikan itu tidaklah sangat berharga yang membolehkan kita
hidup selama-lamanya.
Dalam pada itu, terdapat bidasan pedas oleh
Imam al-Ghazali berhubung dengan kelalaian manusia terhadap kehebatan
dunia yang tidak seberapa menyebabkan kita lupa kepada kehidupan di
akhirat.
Ujar beliau: “... ketahuilah wahai
saudaraku! Jika anda tergila-gila terhadap seorang wanita hingga sanggup
berbunuh-bunuhan kerananya, percayalah bahawa apa yang direbutkan pada
wanita itu tidak lebih daripada hanya bahagian tempat keluar darah
uzurnya. Jika anda terasa hebat kerana mampu memiliki minuman paling
disanjung ramai iaitu madu lebah, ketahuilah wahai saudara! Ketakjuban
anda terhadapnya tidak lebih daripada ia hanyalah luahan air liur
beberapa ekor lebah. Jika anda berbangga dengan pakaian sutera yang
dimiliki, maka ketahuilah bahawa kain sutera itu tak lain tidak bukan
hanyalah sejenis benang yang keluar daripada beberapa ekor ulat.
Alangkah remehnya!.”
Seterusnya telah lama kita dipesankan oleh
Nabi Muhammad SAW berhubung hinanya dunia jika tidak dikaitkan dengan
kehidupan di akhirat. Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada
Abu Said al-Khudri r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: “..Sesungguhnya
dunia ini manis lagi menarik, dan sesungguhnya Allah melantik kamu
mengendalikannya, lalu Dia memerhatikan apa yang kamu lakukan, takutlah
kepada Allah daripada godaan dunia, dan takutlah kepada Allah daripada
godaan wanita. Sesungguhnya kemusnahan kaum bani Israil adalah berpunca
daripada wanita.”
Pasti anda sering mendengar ancaman
Allah dalam surah al-Fajr ayat 25 dan 26: “Maka pada hari itu tiada
sesiapapun yang dapat menyeksa seperti azab (yang ditimpakan oleh)
Allah. Dan tiada sesiapa pun yang dapat mengikat serta membelenggu
seperti ikatan dan belenggu-Nya”.
Contoh senario:
AL-KISAH tersebutlah perihal seorang pemuda
yang sedang merayau-rayau dalam hutan belantara. Tiba-tiba dia
terserempak dengan seekor gajah yang sedang naik minyak, tidak
semena-mena gajah itu meluru dan ingin merempuh pemuda tersebut. Tanpa
berlengah-lengah, pemuda itu lari sekuat hatinya menyelamatkan diri.
Nasib pemuda itu agak malang, tiada lagi tempat untuk melarikan diri
kerana dia berhadapan dengan sebuah gaung curam lagi dalam, sedangkan
gajah yang sedang menggila itu terus mengejarnya dari belakang. Tiada
jalan lain bagi pemuda itu melainkan terjun ke dalam gaung tersebut.
Pemuda itu bernasib baik kerana tersangkut
di atas dahan pohon kayu yang tinggi, dia terasa lega dan menarik nafas
panjang kerana terselamat daripada gajah yang menggila itu, dia cuba
bertenang dan berfikir bagaimana untuk turun daripada pohon tinggi
tersebut.
Dalam pada itu, sedang dia melihat-lihat ke
bawah tiba-tiba ternampak beberapa ekor ular besar berlingkar di
pangkal pohon tersebut. Dia kebingungan dan fikirannya bertambah gusar
lebih-lebih lagi apabila mendapati dua ekor tikus besar sedang menggigit
pangkal dahan tempatnya berpaut, dahan tersebut semakin lama menjadi
semakin genting dan dalam suatu masa yang tidak terjangka, pasti akan
patah terkulai jua akhirnya.
Helah demi helah diandaikan dalam benaknya,
tiba-tiba dia ternampak sekumpulan lebah yang sedang bersarang di dahan
sebelah atas tempatnya berpaut.
Pemuda tersebut dengan serba kepayahan
memberanikan diri menjolok sarang lebah itu dengan menggunakan jarinya,
ia dapati setitis madu melekat di hujung jarinya lalu dia menjilat dan
terus menjilat demi menikmati madu yang tak seberapa itu.
Dia terus menerus berbuat begitu berulang kali hingga akhirnya alpa dan lupa tentang nasib yang pasti menimpanya. Jatuh!!!!!!!!!
Comments
Post a Comment