Soal jawab sekitar solat
1. SOALAN :
- Berkenaan dengan semua perkara berkenaan solat sunat. Adakah perlu membaca Doa Iftitah?
- Solat sunat Rawatib, perlukah membaca surah pendek selepas Al Fatihah seperti solat fardhu?
JAWAPAN :
- Disunatkan membaca doa iftitah dalam solat sunat kerana Rasulullah S.A.W. tidak pernah meniggalkannya walaupun dalam solat Sunat.
- Sunat membaca surah selepas al-Fatihah di dalam solat sunat Rawatib.
2. SOALAN :
Persoalan saya berkaitan dengan sembahyang Jumaat ditempat saya
mengajar, Untuk makluman SMK Batang Igan merupakan sekolah yang berada
ditepi sungai dan mengambil masa sejam perjalanan untuk ke bandar atau
pekan berhampirn menggunakan jalan air. Kawasan sekolah tidak mempunyai
kemudahan masjid untuk orang Islam kerana majoritinya kaum Iban yang
bukan Islam, dan permasalahan utama ialah status sembahyang Jumaat di
tempat saya bertugas tu bagi guru lelaki yang muslim. Memang pada
dasarnya, syarat wajib sembahyang Jumaat sudah gugur kalau mengikut
syarat kewajipan solat Jumaat, tetapi saya musykil, sebab ada banyak
pendapat samada perlu, ditunai atau tidak solat Jumaat itu. Ada pendapat
yang mengatakan perlu dilakukan cukup sekadar jemaah yang ada. Apa-apa
pun saya berharap agar pihak tuan dapat memberi pandangan atau kata
putus bagi permasalahan ini.
JAWAPAN :
Apabila seseorang muslim mempunyai 7 syarat wajib (Islam, Baligh,
Berakal, Merdeka, Lelaki, Sihat tubuh badan dan bermukim) maka wajiblah
dia menunaikan Solat Jumaat. Walau bagaimanapun, solat Jumaat tersebut
hanya akan sah apabila memenuhi 4 Syarat sah yang berikut :
a) Didirikan di dalam kawasan binaan sama ada di bandar atau kariah.
b) Bilangan jamaah tidak kurang daripada 40 orang yang memenuhi
syarat-syarat wajib Jumaat iaitu lelaki, baligh dan bermastautin.
c) Didirikan dalam waktu Zuhur.
d) Didirikan satu Jumaat sahaja dalam satu kariah.
Bagi seseorang yang bermusafir bagi perjalanan 92km (2 marhalah) maka gugurlah kewajipan menunaikan solat Jumaat.
3. SOALAN:
Pada waktu Subuh saya pergi solat ke masjid yang jauhnya lebih kurang
6 KM dan meninggalkan surau di tempat saya. Adakah salah perbuatan saya
ini?
JAWAPAN:
Tidak menjadi satu kesalahan untuk saudara pergi bersolat di masjid
yang agak jauh selagi ianya tidak mendatangkan kesulitan dan tidak
menghalang saudara dari berjemaah. Dalam sebuah hadis daripada Abu Musa,
beliau berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda:
‘’Sesungguhnya seseorang yang lebih banyak dapat pahala dalam solat adalah orang yang lebih jauh perginya ke tempat itu.”
4. SOALAN:
- Bagaimankah susunan di dalam solat jika imam ialah perempuan (ibu) dengan makmum lelaki (anak) dan anak perempuan (yang belum baligh)?
- Adakah diniatkan imaman sekiranya ibu sebagai imam, sedangkan anak-anaknya belum baligh.
JAWAPAN:
1. Susunan makmum dalam solat adalah seperti berikut:
a)Imam (lelaki)
b)Makmum lelaki dewasa
c)Makmum kanak-kanak-lelaki
d)Makmum perempuan dewasa
e)Makmum kanak-kanak perempuan
2.Imam perempuan hanya untuk makmum perempuan sahaja. Jika anak
lelaki puan sudah pandai solat walaupun belum baligh adalah lebih baik
dia yang menjadi imam. Ini kerana apabila budak kecil itu sudah pandai
berfikir dan dia cukup syarat sah solat maka sah dia menjadi imam kepada
lelaki dan perempuan yang baligh.
Ini berdasarkan hadith dari sahabat Nabi S.A.W. Amru bin Salamah R.A.,
Beliau berkata:“Aku menjadi imam di zaman Rasulullah S.A.W. ketika aku masih berumur tujuh tahun.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Tetapi jika anak puan belum pandai solat, puan bolehlah solat
bersendirian dan anak-anak puan bolehlah sekadar mengikut dibelakang
sebagai proses pembelajaran.
5. SOALAN:
Saya berasal dari Semenanjung dan bekerja di Lawas, Serawak.
Saya berada di Lawas selama 20-23 hari dan balik ke Semenanjung selama 7-10 hari.(Jumlah 30hari)
Apakah kedudukan saya untuk menunaikan solat jamak dan qasar.
Apakah kedudukan saya untuk menunaikan solat jamak dan qasar.
Adakah saya dibolehkan jamak qasar selama 3 hari di Semenanjung
semasa balik dan 3 hari di Sarawak semasa bekerja. Diharap mendapat
penjelasan dari pihak tuan.
JAWAPAN:
Berhubung dengan solat jamak dan qasar yang dikemukakan oleh pihak
tuan ialah sekiranya tuan telah mengetahui lebih awal berapa hari tuan
akan singgah ke sesuatu tempat seperti 20-23 hari di Lawas dan
Semenanjuang 7-10 hari, maka tuan tidak boleh mengerjakan solat jamak
dan qasar kerana telah dikira bermukim. Akan tetapi sekiranya tuan
bermusafir tidak melebihi tempoh 5 hari termasuk hari perjalanan pergi
dan balik sama ada ke Lawas mahupun Semenanjung, maka dibolehkan tuan
untuk solat jamak dan qasar. Walau bagaimanapun ketika dalam satu-satu
masa perjalanan yang melebihi 2 marhalah (90 km) yang dianggap musafir,
maka tuan boleh mengqasar dan menjamakkan solat.
6. SOALAN:
Saya ada mendengar seorang ustaz mengajar sekiranya ada sebesar sebiji nasi dalam mulut ketika solat dan sekiranya ditelan tidak membatalkan solat? Mohon jawapan dari tuan, Sekian terima kasih.
JAWAPAN:
Makan dengan sengaja sama ada lebihan di celah gigi tersebut banyak
atau sedikit akan membatalkan solat. Imam an-Nawawi menyatakan di dalam
kitab al-Majmuk bahawa :
“solat akan terbatal jika menelan makanan yang terselit di celah
gigi dengan sengaja. Dan tidak batal jika bukan sengaja hendak menelan
air liur yang bercampur dengan lebihan makanan”.
7. SOALAN:
Bolehkah zikir selepas solat Subahanallah.Alhamdullilah dan
Allahhuakbar digabung dibaca 33 kali. Ada imam yang lakukan demikian.
JAWAPAN:
Zikir Subahanallah, Alhamdullilah dan Allahuakbar boleh digabung dalam satu bacaan.
8. SOALAN:
Bagaimanakah dan apakah kaedah yang diguna pakai untuk kita menentukan arah kiblat di dalam rumah dan lain-lain?
JAWAPAN:
Terdapat banyak kaedah untuk menentukan arah kiblat. Walau
bagaimanapun kaedah yang paling mudah ialah melalui fenomena Istiwa’
Utama Matahari di Kaabah.
Bagi Negara Malaysia, fenomena ini akan berlaku setiap tahun pada 28
Mei pukul 5.16 petang waktu Malaysia dan sekali lagi pada 16 Julai pukul
5.28 petang.
Pada waktu tersebut pihak tuan dinasihatkan memacak sebatang kayu
yang lurus di atas tanah. Arah kiblat adalah arah yang bertentangan
dengan arah bayang kayu tersebut.
Selain dari tiang yang anda pacakkan, anda juga boleh menggunakan
tiang-tiang bendera, tiang-tiang lampu atau sisi-sisi rumah yang tegak
untuk menyemak arah kiblat ketika itu. Oleh kerana waktu yang sepadan di
Malaysia aebelah petang, bayang tiang akan jatuh ke arah timur, arah
kiblat ialah yang menghadap ke barat.
9. SOALAN:
Semasa saya pergi Out Station, Saya beimamkan dengan seorang imam
yang sama-sama musafir bersama saya untuk menunaikan Solat Jamak. Ketika
itu, imam tersebut menunaikan solat zuhur 4 rakaat dan selepas memberi
salam kami solat asar 4 rakaat pada waktu yang sama. Adakah solat kami
itu sah dari hukum syarak? Harap Ustaz dapat jelaskan.
JAWAPAN:
Solat yang tuan lakukan adalah sah.
i. Sebagai panduan, untuk melakukan solat jamak (menghimpunkan), syarat-syarat berikut hendaklah dipatuhi:
- Musafir melebihi 2 marhalah atau 56 batu (92 kilometer)
- Perjalanan yang dilakukan bukan bertujuan maksiat.
- Solat yang boleh dijamak ialah zohor dan Asar, maghirib dan Isyak atau sebaliknya.
- Berniat jamak
- Berturut-turut
- Tertib (mendahului solat yang masuk waktunya dahulu)
ii. Kekal dalam perjalanan itu hingga selesai takbiratulihram solat yang kedua.
Selain daripada jamak, tuan juga boleh mengqasarkan (memendekkan)
solat yang 4 rakaat kepada 2 rakaat ketika musafir. Solat yang boleh
diqasarkan ialah Solat Zuhur, Asar dan Isyak. Syarat-syarat sahnya
ialah;
- Solat yang hendak diqasarkan adalah solat yang 4 rakaat.
- Jarak perjalanan sekurang-kurangnya 2 marhalah.
iii. Hendaklah dia mengetahui bahwa hukum solat qasar itu adalah harus baginya.
iv. Mestilah berniat qasar ketika takbiratul ihram.
- Solat yang diqasarkan mestilah dilakukan dalam waktunya sendiri seperti mengqasar solat Zuhur dalam waktu Zuhur dan tidak boleh diqasarkan solat Zuhur dalam waktu Asar.
10. SOALAN:
Saya ingin tahu waktu sebenar dari mula hingga akhirnya ikut kiraan jam bagi waktu untuk solat sunat dhuha bagi bahagian Mukah.
Mengikut syarak waktu Dhuha bermula apabila matahari naik setinggi satu galah selepas terbit.
Pengiraan Waktu Dhuha secara astronomi adalah berdasarkan formula
Waktu Syuruk ditambah dengan satu pertiga perbezaan waktu Syuruk dan
Waktu Subuh atau secara purata waktu Dhuha bermula 28 minit selepas
waktu Syuruk dan ia berakhir setelah masuk waktu Zuhur.
Contoh pengiraan berdasarkan formula astronomi;
Waktu Dhuha = Waktu Syuruk + 1/3 (waktu Syuruk – Waktu Subuh)
Contoh Jadual Waktu Sembahyang di Mukah (Zon 4) pada 16 Mac 2011 ;
Waktu Syuruk: 0638 pagi
Waktu Subuh : 0524 pagi
Waktu Dhuha di Mukah pada 16 Mac 2011 ialah :
Waktu Syuruk ( 0638 pagi) + 1/3 (waktu Syuruk – Waktu Subuh) (0638 pagi – 0524 pagi = 1jam 14 Minit @ 74 minit)
= 0638 pagi + 1/3 (74 Minit)
= 0638 pagi + 25 minit
= 0703 pagi.
11. SOALAN:
Saya ke surau hendak berjemaah solat zuhur tetapi tiada orang lain
yang datang, 10 minit kemudian saya meneruskan solat secara
bersendirian. Kemudian datang seorang hamba Allah terus menjadi makmum
dan apa hukumnya, sedangkan saya tidak berniat sebagai imam.
JAWAPAN:
Sah solat yang dilakukan oleh tuan dan makmum tersebut. Menurut
Syarak makmum wajib berniat mengikut imam sedangkan imam tidak wajib
berniat menjadi imam. Walau bagaimanapun, untuk mendapat pahala
berjamaah imam hendaklah berniat menjadi imam pada waktu tersebut.
12. SOALAN:
Ketika imam sedang solat jemaah, makmum terlihat pakaian imam terkena najis. Bagaimanakah caranya makmum hendak menegur imam.
JAWAPAN:
Makmum yang mengetahui dengan yakin hal keadaan imam yang sedemikian
(pakaian bernajis) diwajibkan berniat mufaraqah. Setelah selesai solat
makmum tersebut hendaklah memaklumkan kepada imam dan imam wajib
mengulangi solatnya. Bagi makmum yang tidak mengetahui ketika solat
tersebut didirikan solatnya adalah sah.
13. SOALAN:
Semasa di alam remaja, seseorang itu berkelakuan nakal dan memiliki
tatu..selepas di alam dewasa beliau telah bertaubat dan telah dilantik
oleh pegawai masjid sebagai imam dan pada masa yang sama segelintir
makmum berasa was-was untuk berjemaah. Apakah hukumnya?
JAWAPAN:
Seorang yang telah bertaubat dan tatu tersebut tidak dapat
dihilangkan walaupun beliau telah berusaha layak untuk menjadi imam
dalam solat. Para makmum hendaklah berimam dengan imam tersebut tanpa
was-was.
14. SOALAN:
Apakah hukumnya memakai wangian beralkohol dalam solat?
JAWAPAN:
Wangian beralkohol adalah diharuskan penggunaannya. Jika alkohol
tersebut yang dibuat bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak
najis tetapi haram diminum. Sementara alkohol yang terhasil dari lebihan
proses pembuatan makanan seperti tapai sama ada daripada ubi kayu atau
pulut ianya adalah tidak najis dan harus dimakan.
15. SOALAN:
1.Solat adalah kewajipan ke atas tiap-tiap orang Islam. Apakah kewajipan ini masih fardhu ke atas orang tua yang agak nyanyuk?
2. Bagaimana keadaan sembahyang orang tua yang sudah agak nyanyuk
tetapi dia masih ingin sembahyang, masalahnya sembahyang yang
dilakukannya itu tidak cukup rukun seperti sembahyang 4 rakaat jadi 3
rakaat. Sembahyang berjamaah tetapi dia dahulu daripada imam kerana
kenyanyukannya.
JAWAPAN:
Sembahyang wajib ke atas umat Islam yang mencapai umur dewasa
(baligh) serta berakal, yang tidak ada sebarang halangan seperti haid
dan nifas. Syarat wajib solat ialah :
1) Islam
2) Baligh
3) Berakal
Menurut jumhur ulama’ sembahyang tidak wajib ke atas orang gila,
terencat akal dan yang seumpamanya seperti orang pengsan, kecuali jika
dia sedar dan masih ada lagi waktu sembahyang. Ini disebabkan berakal
adalah tanda mukallaf, sebagaimana hadith Rasulullah S.A.W. yang
bermaksud :
“Tiga orang yang tidak dikira sebagai bertanggungjawab ke atas
perbuatannya iaitu orang gila sehingga ia siuman dan orang tidur
sehingga ia sedar daripada tidurnya dan kanak-kanak sehingga ia bermimpi
(baligh).”
(Hadis riwayat : Ahmad, Abu Daud dan Al-Hakim)
16. SOALAN:
Assalaamu’alaikum wbt. saya nak bertanya tentang hukum seseorang yang
bertatu dan kemudian dia bertaubat serta melakukan solat..adakah sah
solatnya diterima Allah atau tidak. Adakah tatunya perlu dibuang habis
dahulu..dan bagaimana dengan mandi junubnya adakah ia sah. Sekian harap
tuan dapat membalas pertanyaan saya ini…terima kasih.
JAWAPAN:
Solat dan mandi hadas (junub) nya sah. Walau bagaimanapun tuan
dinasihatkan berusaha untuk membuang tatu tersebut jika mampu dan tidak
memudaratkan.
17. SOALAN:
Saya salah seorang guru yang mengajar di kawasan pedalaman. Isu solat
Jumaat merupakan isu hangat bagi guru-guru yang mengajar jauh di
kawasan pedalaman di sarawak. Seperti mana yang kita ketahui meniggalkan
solat jumaat adalah tidak boleh sama sekali kecuali di sebabkan keuzuran atau sakit.
Ada juga yang menyatakan jangan lebih dari tiga kali berdasarkan hadis
yang tidak sahih. Seperti mana yang saya fahami dan lakukan selama ini
sekirannya tidak berkesempatan semasa keluar hari Jumaat saya singgah di
masjid yang dilalui sekiranya tidak sempat saya cuma solat zuhur
sahaja. Ada juga rakan ustaz yang saya tanya, sekiranya perjalanan yang
kita lalui ada masjid ataupun surau maka wajib untuk kita kerjakan
solat. Boleh tak jelaskan hadis mana yang patut kita ikuti. Adakah boleh
kita selang selikan minggu dalam bulan semasa untuk keluar bersolat ini
adalah kerana kita cuma keluar ke bandar 2 minggu sekali. Sekian terima
kasih.
JAWAPAN:
Apabila seseorang muslim sudah cukup 7 syarat wajib (Islam, Baligh,
Berakal, Merdeka, Lelaki, Sihat tubuh badan dan bermukim) maka wajiblah
dia menunaikan Solat Jumaat. Walau bagaimanapun, solat Jumaat tersebut
hanya akan sah apabila memenuhi 4 Syarat sah yang berikut :
a) Didirikan di dalam kawasan binaan sama ada di bandar atau kariah.
b) Bilangan jamaah tidak kurang daripada 40 orang yang memenuhi
syarat-syarat wajib Jumaat iaitu lelaki, baligh dan bermastautin.
c) Didirikan dalam waktu zuhur.
d) Didirikan satu Jumaat sahaja dalam satu kariah.
Bagi seseorang yang bermusafir bagi perjalanan 92km (2 marhalah) maka gugurlah kewajipan menunaikan solat Jumaat.
Hadis mengenai meninggalkan solat Jumaat 3 kali berturut-turut ialah:
“Sesiapa yang meninggalkan tiga kali sembahyang Jumaat kerana
mengambil ringan terhadapnya, nescaya Allah akan menutupkan hatinya”
(Riwayat Ahmad dan Ibn Majah)
18. SOALAN:
Ketika sembahyang sunat ada orang yang begitu cepat rukuk dan sujud
nya. Pada perkiraan saya jika dibaca ayat ketika rukuk dan sujud
sebanyak 3 kali tidak lah sepantas itu. Persoalaan saya ialah wajib atau
sunat dibaca ayat ketika sujud dan rukuk itu sebanyak 3 kali atau
memadai dengan baca sekali sahaja.
JAWAPAN:
a) Rukuk dan sujud merupakan rukun solat dan jika ditinggalkan
maka solat akan terbatal. Tetapi bacaan dalam rukuk dan sujud adalah
sunat hai’ah (iaitu jika ditinggalkan tidak sunat digantikan dengan sujud sahwi) dan solat itu sah.
19. SOALAN:
Mengqasar dan menjamak sembahyang. Apabila kita berjalan jauh.
contohnya saya dari Limbang pergi ke Miri dan bermalam di miri selama 2
malam. Bolehkah saya mengqasar atau menjamak solat apabila sudah
bermalam di Miri?
JAWAPAN:
Sebagai panduan , untuk melakukan solat jamak (menghimpunkan), syarat-syarat berikut hendaklah dipatuhi;
a) Musafir melebihi 2 marhalah atau 56 batu (92 kilometer).
b) Tidak berniat menetap selama empat hari di tempat yang dituju selain pada hari mula sampai dan pada hari akan keluar.
c) Perjalanan yang dilakukan bukan bertujuan maksiat.
d) Solat yang boleh dijamak ialah zohor dan Asar, maghirib dan Isyak atau sebaliknya.
e) Berniat jamak.
f) Berturut-turut.
g) Tertib (mendahului solat yang masuk waktunya dahulu).
h) Kekal dalam perjalanan itu hingga selesai takbiratulihram solat yang kedua.
Selain daripada jamak, tuan juga boleh mengqasarkan (memendekkan)
solat yang 4 rakaat kepada 2 rakaat ketika musafir. Solat yang boleh
diqasarkan ialah Solat Zuhur, Asar dan Isyak. Syarat-syarat sahnya
ialah;
a) Solat yang hendak diqasarkan adalah solat yang 4 rakaat.
b) Jarak perjalanan sekurang-kurangnya 2 marhalah.
c) Hendaklah dia mengetahui bahwa hukum solat qasar itu adalah harus baginya.
d) Mestilah berniat qasar ketika takbirratul ihram.
e) Solat yang diqasarkan mestilah dilakukan dalam waktunya sendiri
seperti mengqasar solat Zuhur dalam waktu Zuhur dan tidak boleh
diqasarkan solat Zuhur dalam waktu Asar.
20. SOALAN:
Tuan, apakah hukum air liur manusia. Adakah ianya najis atau tidak?.
Sekiranya najis apakah sisa makanan yang ada dalam mulut kemudian
diludahkan sedikit ketika solat dan terkena baju. Adakah solat itu sah
atau tidak?
JAWAPAN:
Air liur manusia bukanlah dikira sebagai najis, tetapi haram dimakan
kerana dianggap jijik. Maka sah solat yang didirikan sekiranya air liur
tersebut terkena baju.
21. SOALAN:
Saya dengar pak imam baca surah selepas Al-Fatihah tidak betul tajwid, saya baru lagi di surau berkenaan. Macam mana tu?
JAWAPAN:
Tajwid itu sememangnya penting dalam bentuk yang sederhana. Al-Quran
adalah kalam Allah S.W.T. dan kita seharusnya membaca dengan betul.
Sekiranya kesalahan bacaan tidak sampai mengubah makna dan telah cuba
dibaca mengikut kemampuan, maka tidaklah kesalahan itu menjadi bebanan
kepada pembaca. Tuntutan kepada kefahaman terutamanya al-Fatihah di
dalam solat adalah lebih perlu diutamakan.
22. SOALAN:
Saya pernah tindih telinga….sekiranya telinga yang saya tindih sudah tertutup….bolehkah saya menjadi imam?
JAWAPAN:
Boleh menjadi imam bagi yang pernah bertindik kerana ia bukan
daripada syarat sah untuk menjadi imam. Walau bagaimanapun, bertindik
merupakan amalan bagi wanita dan diharamkan bagi lelaki untuk meniru
wanita. Melakukan perbuatan haram secara berterusan adalah perbuatan
orang yang fasiq.
https://fitrahislami.wordpress.com/2012/04/28/soal-jawab-sekitar-solat/
Comments
Post a Comment