Iman Dan Amal Adalah Dua Perkara Yang Seiring


Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:
”Iman dan amal adalah dua perkara yang seiring.”
(Riwayat al-Hakim)

Huraian
Pengajaran hadis
:

Iman mengikut pengertian syarak adalah keyakinan yang teguh dalam hati, mengakui dengan lidah dan melaksanakan dengan anggota. Inilah yang dinamakan ketaatan, amal yang soleh dan perlakuan yang baik.

Seorang yang benar-benar beriman adalah mereka yang zahirnya sama dengan batinnya, mereka benar dalam keimanan dan ikhlas dalam melakukan amalan. Merekalah golongan ‘as-Sodiqun’ yang diperintah oleh Allah S.W.T agar kita sentiasa mendampingi mereka (bersahabat dengan mereka).

Oleh sebab tingginya kedudukan iman maka Allah S.W.T telah menjadikan iman itu sebagai syarat asas penerimaan terhadap sesuatu amalan yang dilakukan di mana tidak akan ada satu amalan pun yang akan diterima oleh Allah melainkan setelah ada iman di dalam diri pelakunya.

Sesiapa yang mendakwa beriman dengan lidahnya tetapi iman itu tidak meresap ke dalam hatinya maka dia merupakan orang yang munafiq. Ciri-ciri munafiq itu ialah kata-katanya bercanggah dengan perbuatannya dan amalannya ketika di khalayak ramai dan ketika dia bersendirian serta apa yang dizahirkannya adalah berbeza dengan apa yang disembunyikannya.

Iman dan amal soleh adalah seiring. Iman tidak akan sempurna tanpa amal soleh di mana Allah telah menyebutkan perkara ini sebanyak 60 kali di dalam al-Quran.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
————————————————————-
Nurjeehan:

Hari ini saya bersyukur kpd Allah kerana dengan kurnia-Nya saya dpt menghadiri seminar ilmiah anjuran Pertubuhan Al-Nida’ Malaysia. Pada akhir pembentangan kertas kerja tersebut, telah diadakan sesi soal jawab. Salah satu soalan yang berkaitan dengan hadith di atas telah diajukan oleh seorang pelajar IPT. Isunya menyentuh respon segelintir orang yang terkenal,  bila ditanya mengapa berpakaian seperti ‘itu atau ini’, dijawab: “Jangan ukur lahiriah saja, hati saya tetap beriman kepada Allah”. “Biarlah saya menutup aurat bila hati ikhlas, kan lebih afdhal?” Bukankah jawapan seperti ini amat mengelirukan akidah lebih-lebih lagi kepada anak-anak remaja yang menjadikan mereka idola? Pernahkah kita berani berkata kpd majikan di ofis “Sorry boss, even this is clearly my job function, wouldn’t it be more afdhal if I do when I’m sincere at it. For now, I’d rather not do it ok. (But, pls, I still expect you to pay my salary and keep me in this office).”

Renungkanlah, bayangkan kita berkata begitu kpd Allah, Tuhan Segala Kerajaan, yg mencipta kita, mengurniakan sekian byk rezeki dan anugerah. Subhanallah. Alangkah pengasih & belasnya Allah, kerana azab tidak menimpa secara direct, on the spot...

Aren’t we ashamed, that we use His name bila nak kahwin, kenduri akikah bila dpt anak (kurnia Allah btw), berdoa penuh khusyuk (sebelum naik pentas?), dsb – but when it comes to the obvious obligations (solat? tutup aurat?) – nope, not now. Clearly, there’s something funda’mentally‘ wrong with us if we think and live that way?

How long the boss at the office will keep us if we act similarly, do you think?

Tentu pembaca juga pernah atau sering mendengar, kata-kata seperti :
  • “Mulut saya ini sahaja jahat, tetapi hati saya baik.”
  • “Walaupun saya berkelakuan seperti ini atau itu, hanya Tuhan sahaja yang mengetahui apa yang ada di dalam hati saya.”
  • “(Walaupun telah menganiayai & menyebabkan teman yang percayakan saya menderita), saya tidak kejam. Saya baik sebenarnya. Semua kawan-kawan saya tahu sayalah lelaki pelindung wanita.”
  • “Saya bukannya hendak memburukkan dia (mengumpat), apa yang saya katakan ini semuanya benar belaka. Berdasarkan fakta!” (Mungkin terlupa pada ayat Al Quran yang melaknat para pengumpat & larangan Rasulullah s.a.w. dari ‘memakan daging saudara sendiri’).
  • “Niat saya menyebarkan gambar ini hanya utk menyedarkan dia dan masyarakat bukan untuk mengaibkan individu itu atau memalukan keluarga dia. (Sedangkan pilihan lain yang lebih berhemah untuk berdakwah kepada individu terbabit masih ada & belum di buat – kalau benar niatnya ikhlas untuk berdakwah?)”
  • Dalam situasi berbeza, tapi dalam konteks yang sama, pernah seorang yang saya kenali ditegur secara ramah-tamah, “Allah memberi kurnia yang sangat banyak kepada you (isteri yang cantik, anak-anak yang comel, dulu rumah kecil sekarang rumah besar, kereta besar), don’t you think you should be grateful by performing the compulsory prayers? Sujud setiap hari berterima kasih pada-Nya?” Jawapan beliau : “Ibadat bukan kuantiti, tapi kualiti.”
Fenomena ini di garap dengan begitu sempurna dalam Bab Niat, Ikhlas dan Benar - Kitab Bimbingan Mukmin (Ringkasan Ihya’ Ulumuddin karangan Imam Ghazali oleh Al Syeikh Muhammad Jamaluddin Al Qasimi Ad Dimasqi, Victory Agencie), ms 538-539 :

“Hubungan niat dengan maksiat :
 
Maksiat itu sama sekali tidak dapat berubah daripada kedudukannya sebagai maksiat sekalipun disertai dengan niat, ertinya maksiat tidak dapat menjadi ketaatan, hanya dengan disertai niat sahaja, contohnya seseorang yang mengumpat orang lain dengan niat kerana hendak menjaga hati sahabatnya sendiri, atau seseorang yang memberi makan orang miskin dari harta milik orang lain atau seseorang yang mendirikan madrasah atau masjid dengan harta yang diperolehinya dari jalan yang haram dan berniat untuk tujuan kebaikan. Semua ini hanyalah suatu kebodohan semata-mata. Sebenarnya niat dalam keadaan seperti itu tidak memberi kesan atau mengeluarkan serta melepaskan keadaan asalnya.

Oleh itu, kalau asalnya merupakan penganiayaan, tetaplah ia suatu penganiayaan, yang asalnya pelanggaran, tetaplah ia suatu pelanggaran dan yang asalnya maksiat, tetap juga maksiat, sekalipun disertai niat yang pelbagai corak. Malahan sekiranya niat hendak ditujukan pada kebaikan sedang keasliannya adalah keburukan, itu benar-benar menyalahi ketentuan syariat dan perkara ini adalah suatu keburukan yang tersendiri lagi. Jikalau perkara ini sudah dimaklumi, tetapi tetap juga diniatkan pada perkara yang tidak sewajarnya, nyatalah orang seperti itu melawan syariat, menentang agama dan berani melakukan maksiat. Sebaliknya jikalau perkara itu tidak difahami, orang tersebut dikira melakukan maksiat disebabkan kebodohannya. Sesungguhnya, menuntut ilmu pengetahuan itu, hukumnya WAJIB ke atas setiap orang Islam.

Apakah sebab maksiat itu tidak dapat menjadi kebaikan?
 
Ingatlah bahawa kebaikan itu sudah terang dan jelas baik di segi pandangan syariat. Oleh sebab itu bagaimana sesuatu keburukan itu dapat berubah menjadi kebaikan. Sungguh jauh sekali.
Sahl rahimahullah berkata: “Tidak ada sesuatu yang dianggap sebagai kemaksiatan kepada Allah Ta’ala yang lebih besar dari kebodohan.” Seorang kawannya bertanya: “Hai Abu Muhammad, apakah saudara mengetahui sesuatu yang lebih buruk dari kebodohan?” Ia menjawab: “Ya, memang ada, iaitu tidak mengerti bahawa dirinya sendiri yang bodoh.”

Sesungguhnya, sepenting-penting ketaatan kepada Allah Ta’ala ialah berilmu atau berpengetahuan, sedang kemuncak daripada berilmu itu ialah mengerti bahawa dirinya itu memang berilmu. Jadi perkara ini adalah berlawanan dengan tidak mengetahui bahawa dirinya bodoh dan itu amatlah buruk. Oleh sebab itu, Allah Ta’ala berfirman yang maksudnya:

“Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik), kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.” (Surah An-Nahl : 43)

Terdapat hubungan di antara niat dengan maksiat iaitu apabila maksiat tadi disertai dengan niat atau tujuan yang buruk dan hina. Dalam keadaan ini, dosanya akan berlipat kali ganda dan bahaya serta seksaannya semakin besar.

Fikirkanlah, bahaya kejahilan kepada akidah dan akhlak.
Renungan yang dapat saya pelajari dari ahli-ahli panel adalah :
  • Allah tidak melihat kepada rupa, harta benda, kedudukan manusia itu, tetapi Allah menilai daripada hati dan amal. Jika hati beriman, sudah tentu, seluruh jasad, perlakuan akan taat pada perintah Allah, Tuhan yang kita sujud dan sembah. Jikalau amal tidak sama dengan iman, itu bermakna kita engkar, derhaka, berdusta.
  • Amat sukar untuk menerima kebenaran apabila hati sudah terlalu cintakan dunia. “As you know, it is hard for the ego to accept the truth. It is more so to accept it when it is presented in a sharp manner.” (Shaikh Nasirud-Deen al-Albani). Amal yang baik dan akhlak yang mulia, berasal dari hati yang hidup dan sihat. Hati yang tertutup oleh dosa maksiat diselubungi penyakit nafsu dan syubhat. Hati perlu di ubati. Kalau tidak di ubati, di bimbangkan hati akan mati. Alangkah celakanya nasib, kalau tanpa disedari hati di pateri Allah dari hidayah. Na’uzubillahi min zalik. Mari kita renungkan firman Allah s.w.t. yang maksudnya:
Sesungguhnya Kami jadikan (kesombongan dan keengganan mereka tunduk kepada kebenaran sebagai) belenggu yang memberkas kedua tangan mereka ke batang leher mereka; (lebarnya belenggu itu) sampai (menongkatkan) dagu mereka lalu menjadilah mereka terdongak. Dan Kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta benda dan pangkat itu sebagai) sekatan (yang menghalang mereka daripada memandang kepada keburukan dan kesingkatan masa dunia yang ada) di hadapan mereka dan sekatan (yang menghalang mereka daripada memikirkan azab yang ada) di belakang mereka (pada hari kiamat). lalu Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar). Dan (dengan sebab itu) sama sahaja kepada mereka, engkau beri amaran atau engkau tidak beri amaran kepadanya mereka tidak akan beriman. (Surah Yaasin : 8-10)
  • Berdiam diri, berusaha bermuhajadah melawan nafsu di samping tingkatkan ilmu adalah lebih baik dari menjawab soalan tentang akidah, jika menyedari diri memang tidak pernah berusaha untuk taat kepada Allah dan diri sendiri bukan orang yang pakar di bidang itu. Hikmahnya supaya tidak mengelirukan orang lain (terutama orang-orang di bawah pengaruh kita). Jangan juga menegakkan benang yang basah (melindungi maksiat dengan niat), ia hanya akan menzahirkan kejahilan & kezaliman diri sendiri.
  • Kejahilan adalah racun kepada umat Islam. Faktor jahil adalah antara sebab sesetengah manusia melampau-lampau dalam agama mereka sehingga menjadi terlalu taksub, dan sesetengah lagi pula terlalu cuai (meringan-ringankan) terhadap pelbagai perkara yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. sehingga ada yang meninggalkan terus amalan syariat. Berlebih-lebihan dalam amalan dan kecuaian dalam menjalankan ketaatan harus dibanteras dari akar umbi. Ia selalunya bermula dari perkara yang begitu kecil, jika dibiarkan berterusan, ia boleh mengakibatkan kesesatan lebih nyata dan menggoyahkan pegangan agama yang benar.
Sebagai penutup, saya ingin memetik beberapa perenggan dari kertas kerja seminar ini yang telah disediakan oleh Dr Hj Juanda bin Hj Jaya (Ketua Penolong Mufti, Pejabat Mufti Negeri Sarawak), beliau menulis:
  • “Islam sebagai agama al-Wasat (sederhana) dalam segala bidang kehidupan (seimbang, saksama dan adil) yang kerana itulah Islam masih mampu kembali ke tempat asalnya memimpin dunia sekiranya umat Islam memahami Islam secara yang sahih. (ms 4)” 
  • “Umat Islam hendaklah menggambarkan ajaran Islam yang sebenar pada tauhid yang bersih dari noda syirik, iman yang benar, ilmu yang bermanfaat, amal yang saleh, akhlak yang mulia, usaha dakwah kepada kebaikan, saling berpesan atas kebenaran dan kesabaran, saling bertolongan dalam kebaikan dan takwa, dan berjihad untuk menegakkan semua elemen ini hinggalah mereka dapat menjelma sebagai ‘khairu ummah’ (umat terbaik) untuk semua manusia. Sifat mereka adalah menjalankan amar makruf nahiy munkar dan mengajak beriman kepada Allah s.w.t. Akhirnya akan lahirlah sebuah masyarakat Islam yang sebenar pada akidah dan tasawurnya, syiar dan peribadatannya, pemikiran dan perasaannya, akhlak dan moralnya, adab dan budayanya, kehakiman dan perundangannya, ekonomi dan hartanya, serta pada perayaan dan keseniannya. Mereka bukanlah masyarakat malaikat, bahkan mereka adalah masyarakat manusia yang wujud di bumi tetapi bertunjangkan petunjuk dari langit. (ms 4-5)”
  • “Oleh itu umat Islam perlu kembali kepada pangkuan Islam yang sahih, memperkuatkan semula imannya dan mengelakkan diri daripada terkena penyakit yang menimpa tamadun masakini (ms 5).”
  • “Islam yang Wasatiyyah (sederhana) jauh dari penyimpangan dan penyelewengan (ms 7). Bukan sederhana yang dimaksudkan oleh musuh-musuh Islam – pengamalan Islam dalam skop yang sempit. Sedangkan konsep Islam luas sebagai rahmat untuk semesta alam. (ms 26)”
Inilah pemerhatian saya yang agak panjang, saya memohon ampun dari Allah s.w.t. jika ada kesilapan, pinta diperbetulkan. Semoga kita dapat sama-sama bermuhasabah dan berdoa Allah memimpin kita di jalan yang lurus, di berikan kemudahan utk taat & mendapat ilmu yang bermanfaat sehingga ke akhir hayat. Amin.

Comments

Popular posts from this blog