wajah kehidupan di cermin kematian

Belajar Dari Wajah

wajah, jiwa, Iman, hati
Kehidupan ini akan lebih bermakna sekiranya kita menjadikan alam sekeliling kita ini sebagai guru untuk kita mengenali kehidupan. Perhatikan setiap yang ada di keliling kita dengan jiwa dan perasaan kita, tentu banyak yang dapat kita pelajari. Setiap sesuatu memerlukan persediaan jiwa. Kalau kita baca Al Quran pun, kita akan dapati seolah-olahnya ada ayat-ayat baru yang kita belum pernah dengar dan faham. Begitu juga alam ini yang juga merupakan kitab Allah (Kitab Kauniyah; kitab yang menggambarkan kebesaran dan keagungan Allah SWT, Al Quran pula adalah kitab Qauliyah; kata-kata dari Allah SWT) akan kita fahami maknanya sekiranya kita menghadapinya dengan persediaan jiwa.

Cuba kali ini kita belajar dari wajah. Ya, wajah manusia. Ada orang bertanya apa yang ada pada nama, apabila dibongkar-bongkarkan memang banyak rahsianya pada nama, sekurang-kurangnya nama kita adalah doa. Kalau nama kita memberi makna yang tidak baik, jadi setiap kali orang memanggil kita maka dia sedang mendoakan keburukan bagi kita. Ada juga larangan supaya tidak berikan nama pada anak dengan nama kemudahan ( Yasir) dan sebagainya kerana nanti apabila datang orang ke rumah kita ditanyakannya “ Yasir (kemudahan) ada di rumah?” kitapun menjawab “ Tak ada (Kemudahan), ia tak ada di rumah” maknanya kita kata yang ada di rumah kita adalah kesukaran, kepayahan dan nasib yang tak baik”. Begitu juga wajah manusia tentu banyak rahsia yang boleh kita gali dan pelajari. Tentu banyak rahsianya.

Ketika datangnya hari baru, tekadkan dalam diri : "hari ini, saya ingin tahu wajah yang paling mententeramkan hati itu bagaimana? Wajah yang paling menggelisahkan itu bagaimana?" Kerana tentunya setiap hari kita akan banyak melihat pelbagai wajah. Ya, kerana setiap orang yang akan kita temui pastilah mempunyai wajah. Wajah isteri, suami, anak, jiran, teman sepejabat, orang di perjalanan, dan sebagainya. Nah, ketika kita berjumpa dengan siapapun hari ini, marilah kita belajar ilmu tentang wajah.

Subhanallaah, pastilah kita akan bertemu dengan beraneka macam bentuk wajah. Dan, tiap wajah ternyata kesannya berbeza-beza kepada kita. Ada yang mententeramkan, ada yang menyejukkan, ada yang menggelikan, ada yang menggelisahkan, dan ada pula yang menakutkan. Hairan! Menakutkan? Kenapa? Apa yang menakutkan, adakah kerana bentuk hidungnya? Tentu saja tidak! Sebab ada yang hidungnya besar dan kasar berparut tapi mententeramkan. Ada yang sorot matanya tajam tapi menyejukkan. Ada yang kulitnya hitam, tapi penuh wibawa.

Pernah suatu ketika berjumpa dengan seorang teman dari benua Afrika, subhanallaah, walaupun kulitnya tidak putih bahkan sehitam belakang kuali di rumah tetapi ketika apabila memandang wajahnya... sejuk sekali! Senyumnya begitu tulus meresap ke relung hati yang paling dalam. Sungguh bagai disiram air sejuk menyegarkan di pagi hari.

Ada pula seorang ulama yang tubuhnya kecil, dan ditakdirkan Allah lumpuh sejak kecil. Namanya Syekh Ahmad Yassin, pemimpin ruhani gerakan Intifadah, Palestin. Ia tidak punya daya, duduknya pun di atas kerusi roda dan suaranya pun tidak normal…bunyinya begitu berbeza dari manusia biasa. Hanya kepalanya saja yang bergerak. Tapi, saat menatap wajahnya, terpancar kesejukan yang luar biasa. Padahal, beliau jauh dari ketampanan wajah sebagaimana yang dianggap rupawan dalam versi manusia. Tapi, ternyata dibalik kelumpuhannya itu beliau memendam ketenteraman batin yang begitu dahsyat, tergambar saat kita memandang sejuknya pancaran rona wajahnya.

Jadi kalau hari ini kita berjaya mengenali atau bertemu struktur wajah seseorang yang mententeramkan, maka carilah rahsianya bagaimana dia memiliki wajah yang mententeramkan itu. Tentulah, benar-benar kita akan rasa hormat. Betapa senyumannya yang tulus; pancaran wajahnya, nampak ingin sekali ia membahagiakan siapapun yang menatapnya. Dan sebaliknya, bagaimana kalau kita menatap wajah lain dengan sifat yang berlawanan; (maaf, bukan bermaksud meremehkan) ada pula yang wajahnya bengis, struktur katanya kasar, sorot matanya kejam, senyumannya sinis, dan sikapnya pun tidak ramah. Begitulah, wajah-wajah dari saudara-saudara kita yang lain, yang belum mendapat ilmu; bengis dan kasar. Dan ini pun perlu kita pelajari.

Ambillah kelebihan dari wajah yang mententeramkan, yang menyejukkan tadi menjadi sebahagian dari wajah kita, dan buang jauh-jauh raut wajah yang tidak ramah, tidak mententeramkan, dan yang tidak menyejukkan.

Tidak ada salahnya jika kita menilai diri di depan cermin. Tanyalah; raut seperti apakah yang ada di wajah kita ini? Memang ada di antara hamba-hamba Allah yang bibirnya ditakdirkan agak berat ke bawah. Kadang-kadang menyangkanya dia kurang senyum, sinis, atau kurang ramah. Subhanallaah, bentuk seperti ini pun kurniaan Allah yang patut disyukuri dan boleh dijadikan sebagai ladang amal bagi siapapun yang memilikinya untuk berusaha senyum ramah sebaik mungkin.

Sedangkan bagi wajah yang untuk seulas senyum itu sudah ada, maka hanya perlu meningkatkan lagi kualiti senyum tersebut, iaitu untuk lebih ikhlas lagi. Kerana senyum di wajah, bukan hanya persoalan menyangkut hujung bibir saja, tapi yang utama adalah, ingin atau tidak kita membahagiakan orang lain? Ingin atau tidak kita membuat persekitaran kita bercahaya? Nabi Muhammad SAW, memberikan perhatian yang luar biasa kepada setiap orang yang bertemu dengan beliau sehingga orang itu merasa puas. Kenapa puas? Diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW – bila ada orang yang menyapanya – menganggap orang tersebut adalah orang yang paling utama di hadapan beliau. Sesuai kadar kemampuannya.

Padahal, ketika Rasulullah SAW berbincang dengan siapapun, maka orang yang diajak berbincang ini sentiasa menjadi curahan perhatian. Tidak hairan bila cara memandang, cara bersikap, ternyata menjadi ciri kemuliaan yang baginda contohkan. Dan itu ternyata berpengaruh besar terhadap sikap dan perasaan orang yang diajak bicara.

Adapun kemuram durjaan dan kegelisahan itu muncul apabila kita belum menganggap orang yang ada dihadapan kita orang yang paling utama. Makanya, terkadang kita melihat seseorang itu hanya separuh mata, berbicara hanya separuh perhatian. Misalnya, ketika ada seseorang yang datang menghampiri, kita pun menyapa orang itu sambil baca surat khabar. Padahal, kalau kita sudah tidak mengutamakan orang lain, maka curahan kata-kata, cara memandang dan sikap kita itu tidak akan mempunyai daya sentuh. Tidak mempunyai daya pancar yang kuat.

Orang kerana itu, marilah kita melatih diri meneliti wajah, tentu saja bukan maksud untuk meremehkan tetapi untuk mengambil tauladan wajah yang baik, menghindari yang tidak baiknya serta mencari kuncinya menghasilkan wajah yang terbaik? Lalu praktikkan dalam perilaku kita sehari-hari. Selain itu belajarlah untuk mengutamakan orang lain!

Mudah-mudahan kita dapat mengutamakan orang lain di hadapan kita, walaupun hanya beberapa minit sahaja, walaupun hanya beberapa saat, subhanallaah.

Di Adaptasi dengan sedikit pindaan Dari Pak Agym (MQ)

Comments

Popular posts from this blog