Shah Iskandar wrote a new note: BERAKHLAK BAIK TP X TUTUP AURAT vs BERAKHLAK BURUK TP TUTUP AURAT...
Melihat
komentar di nota saya berkenaan 'Don't Judge A Book By Its Cover',
masih wujud soalan-soalan berkait berkenaan menutup aurat, bertudung
tetapi berperangai buruk dan bercanggah dengan akhlak Islam. Justeru,
bagi menjawab dan mengulas hal itu, saya siarkan sekali lagi artikel
yang telah pernah disiarkan di nota FB saya pada bulan Januari yang
lalu sebagai bacaan semula dan rujukan semua.
SOALAN:
Untuk pengetahuan ustaz,ibu saya telah menyuruh saya memakai tudung
ketika saya berumur 13 tahun lagi. Saya hanya menurut katanya kerana
bimbang dimarahi. Walaupun begitu, sekarang saya tidak lekat memakai
tudung. Ini diketahui oleh ibu saya, dia hanya mampu membebel dan
berkata, adik nak buat dosa, adik tanggung la sendiri, ibu dah buat apa
yang patut. Sekarang saya sudah bekerja dan hanya memakai tudung di
tempat kerja sahaja kerana di tempat saya, tindakan undang-undang akan
dikenakan sekiranya pekerja tidak memakai tudung. Saya tahu hukum tidak
menutup aurat, tetapi buat waktu sekarang, hati saya tidak terbuka lagi
untuk terus menutup aurat (rambut dan leher). Cara pemakaian saya
tidak seperti rakan-rakan saya yang menutup aurat. Mereka bertudung
tetapi pemakaian mereka tidak melambangkan imej mereka. Baju, seluar
ketat yang menampakkan susuk tubuh. Bagi yang memakai baju kurung, ada
yang dari kain yang nipis dan jarang. Bagi yang berbaju kebaya, ianya
terlalu ketat, berkain belah sehingga menampakkan betis dan jarang. Ada
yang tidak memakai seluar tetapi memakai skirt panjang. Walaupun
begitu, ianya ketat dan menampakkan garis pakaian dalam yang
dipakainya. Tudung yang dipakai pula tidak menutupi dada. Lelaki-
lelaki yang memandang tidak berkelip melihat mereka.
Ada
juga rakan saya yang betul-betul menutup aurat tetapi perangai dan
kelakuan mereka lebih teruk dari perempuan yang tidak memakai tudung.
Tidak menunaikan solat, panjang tangan, mengumpat, melayan lelaki yang
bukan muhrim, pengotor dan pelbagai karenah lagi. Walaupun saya tidak
memakai tudung, saya menjaga solat, pemakaian dan tingkah laku saya.
Kawan-kawan saya ini ada menyuruh saya supaya terus memakai tudung
tetapi saya tidak mahu menjadi hipokrit. Saya mahu berubah kerana saya
sendiri yang ingin berubah. Saya mahu melakukannya dengan ikhlas, bukan
kerana disuruh. Saya tahu hari itu akan tiba tetapi bukan sekarang.
Semoga ALLAH membuka hati saya untuk terus memakai tudung. Amiin... - Diera -
JAWAPAN: Ada beberapa perkara yang saudari utarakan dalam soalan dan ingin saya berikan respon ringkas. Iaitu :-
1) Isu
tidak mahu bertudung (menutup aurat) tanpa ikhlas kerana tidak mahu
hipokrit serta tidak mahu berubah kerana disuruh. Sebenarnya isu ini
telah agak banyak saya sentuh di dalam artikel-artikel yang lalu seperti
berikut :-* Aurat wanita apa sudah jadi? * Wanita, aurat dan Kerjaya
Namun
demikian, disebabkan soalan ini ada menyentuh beberapa isu yang agak
semasa dan kerap, saya berasa perlu untuk memberikan ulasan tambahan.
Begini ulasannya, Allah swt dan RasulNya telah mengarahkan seluruh
wanita muslimah untuk menutup aurat dan bukan hanya bertudung. Justeru,
sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, suka atau tidak, disuruh oleh
orang lain atau terbit dari hatinya sendiri, dia tetap WAJIB di sisi
Allah untuk melaksanakan kewajiban itu.
Sebagaimana
seorang pemandu tidak berhemah warganegara Malaysia yang menetap di
United Kingdom (UK), dia akan terpaksa mengubah cara pemanduannya kerana
hemah pemandu di UK amat tinggi, sesiapa sahaja yang kurang berhemah
akan segera mendapat teguran pemandu lain, malah adakalanya pemandu lain
akan segera menelefon polis atau mencatat nombor plat kereta untuk
diadukan kepada polis. Atas sebab itu, pemandu yang asalnya ‘brutal' di
Malaysia, TERPAKSA berubah di UK. Tidak kiralah sama ada dia berubah
kerana hipokrit, terpaksa, tidak ikhlas atau apa jua sebab lauaran.
Hakikatnya, dia MESTI berubah, kerana itu adalah system dan regulasinya.
Mengabaikannya akan membawa mudarat kepada diri sendiri dan pemandu
orang lain.
Sama seperti menutup aurat dan bertudung, itu
adalah regulasi oleh agama Islam, mengabaikannya akan membawa mudarat
spiritual kepada diri sendiri dan juga orang lain (kerana setiap lelaki
yang melihat aurat wanita bukan mahram, akan berdosa dan dosanya
dikongsi bersama oleh wanita tersebut).! Justeru itu, hipokrit tidak
boleh sama sekali menjadi PENGHALANG untuk mengerjakan semua KEWAJIBAN
agama, termasuk menutup aurat. Ia adalah arahan Allah dan hak Allah
untuk menguji hambanya. Sama seperti mendirikan solat, membayar zakat,
puasa Ramadhan dan semua arahan serta larangan Islam yang lain, sama ada
seseorang itu ikhlas atau tidak, terpaksa atau tidak. Kewajiban untuk
melakukan semua arahan wajib dan menjauhi larangan yang diharam tetap
tertanggung di atas bahunya, walaupun dia tidak ikhlas atau masih gagal
mencapai tahap Ikhlas. Apa yang perlu diusahakan adalah terus menerus
berusaha memperoleh ikhlas semasa melaksanakan perintah dan menjauhi
larangan itu. Itu boleh dianggap sebagai adalah level kedua kesempurnaan
ibadah. Level pertama adalah mesti melaksanakan tuntutan Islam. Perlu
diingat, jika seseorang menutup aurat dan menunaikan solat secara
ikhlas atau separa ikhlas, maka dia akan beroleh ganjaran sekadar
keikhlasannya. Namun tanggungjawab fizikal yang diwajibkan oleh agama
dikira sudah terlaksana secara zahirnya. ATAU kata lainnya, tatkala itu
dia hanya BERDOSA SEKALI iaitu kerana tidak melaksanakannya secara
ikhlas, tetapi dia terhindar dari dosa tidak mengerjakan yang wajib ke
atasnya secara zahir.
Namun jika dia degil dan tidak
menutup aurat, tidak juga solat atas alasan TIDAK IKHLAS, TIDAK MAHU
HIPOKRIT dan sebagainya. Tindakannya itu menjadikannya BERDOSA di sisi
Allah secara fizikal dan juga spiritual, atau dalam kata lainnya, dia
berdosa DUA KALI. Dosa di level pertama dan kedua sekaligus, malah lebih
musnah apabila dosa level pertama itu sangat mudah bercambah apabila
ia berjangkit kepada orang lain, seperti apabila sahaja ada mata lelaki
bukan mahram yang melihat, ketika itu dosa bukan hanya dua kali tetapi
sebanyak mata lelaki yang melihat. Adapun bagi mereka yang tidak
ikhlas tadi, at least dia sudah terselamat dari cambahan dosa dari mata
lelaki.
Kesimpulannya, ‘ingin berubah hasil hati
sendiri', ‘tidak ikhlas' dan ‘tidak mahu hipokrit' itu semuanya hanya
bisikan syaitan yang ingin menyesatkan hamba Allah agar terus menerus
menjauhi kewajibannya. Sedarlah agar jangan lagi terpedaya, ingatlah
berterusan dalam dosa sedang mengetahui hukumnya akan terus menerus
menambah besar kemurkaan Allah swt dan akan menjadikan diri sama sekali
TIDAK MAMPU berubah di satu hari nanti yang diharapkan.
2) MEREKA
YANG BERTUDUNG TAPI TIDAK SEMPURNA DAN BERAKHLAK BURUK. Sebelum
mengulas, isu sebegini telah pernah saya ulas sbeelum ini di artikel :
Bertudung Sambil Hina Hukum Kembali kepada persoalan saudari, dari
bait-bait ayat saudari, kelihatan saudari begitu benci dan terganggu
serta terkesan dengan keburukan akhlak dan cara tutupan aurat rakan
sekerja yang lain yang dikatakan memakai tudung tetapi ketat dan
sebagainya. Sehingga saudari merasa mereka semua hipokrit, buruk
perangai, pengotor dan sebagainya, walau bertudung. Sebelum itu, saya
perlu ingatkan saudari dikira bertuah kerana mendapat kerja di sebuah
syarikat yang begitu perihatin dalam masalah agama sehingga mewajibkan
kakitangan mereka untuk menutup aurat.
Satu perkara mesti
jelas juga, semua wanita yang bertudung tetapi berbaju ketat, skirt
panjang terbelah, berbaju kebaya sempit dan sebagainya, semua mereka
berada di satu level pada pandangan Islam. Iaitu SEMUA SEDANG MELAKUKAN
DOSA DAN SEMUA TIDAK MENUTUP AURAT. Justeru, adalah SALAH bagi saudari
menganggap ‘rakan sekerja itu' SEBAGAI MENUTUP AURAT TETAPI BURUK
AKHLAK DAN BEROSA. Sebabnya, mereka juga TIDAK MENUTUP AURAT. Malah
jika mereka benar-benar menutup aurat sekalipun, adalah SALAH untuk
merujuk kepada mereka dalam menetap pendirian sama ada saudari perlu
sudah sampai masa untuk menutup aurat atau tidak. Ingatlah bahawa yang
diwajibkan oleh Allah bukanlah hanya bertudung kepala dan menutup
leher, tetapi menutup seluruh bahagian aurat tubuh sebagaimana yang
telah saya terangkan di dalam artikel ‘Aurat Wanita Apa Sudah Jadi'
Selain itu, adalah salah sama sekali dalam hal ehwal agama, untuk kita
membandingkan diri kita dengan mereka yang lebih buruk agama dan akhlak.
Ia adalah teknik Syaitan uuntuk menghentikan seseorang dari melakukan
usaha pemulihan diri kepada yang lebih baik. Jelas dari hadis Nabi
s.a.w, dalam hal agama dan kepatuhannya, kita mesti sentiasa melihat
mereka yang lebih dari kita, agar kita terus berusaha Manakala dalam hal
keduniaan, barulah kita disuruh oleh Islam untuk melihat mereka yang
kurang berbanding kita, agar kita lebih tahu untuk bersyukur dan tidak
dijangkiti penyakit tamak.
Sabda Nabi :- خَصْلَتَانِ
من كَانَتَا فيه كَتَبَهُ الله شَاكِرًا صَابِرًا وَمَنْ لم تَكُونَا فيه
لم يَكْتُبْهُ الله شَاكِرًا ولا صَابِرًا من نَظَرَ في دِينِهِ إلى من
هو فَوْقَهُ فَاقْتَدَى بِهِ ونظر في دُنْيَاهُ إلى من هو دُونَهُ
فَحَمِدَ اللَّهَ على ما فَضَّلَهُ بِهِ عليه
Ertinya
: Dua perkara yang sesiapa dapat perolehinya akan ditulis dirinya
sebagai hamba yang bersyukur dan sabar, sesiapa yang gagal dalamnya,
tidak akan ditulis sebagai orang bersyukur dan sabar. Iaitu sesiapa yang
melihat tentang agamanya kepada mereka yang jauh lebih baik darinya,
lalu ia berusaha mengikutinya, dan dalam hal keduniaan mereka melihat
kepada orang- orang yang kurang darinya sehingga ia memuji Allah atas
nikmat yang diperolehinya ..
( Riwayat At-Tirmidzi, 4 /665 ; Hadis Sohih menurut Tirmidzi dan Albani)
3) WALAUPUN
TIDAK MEMAKAI TUDUNG (MENUTUP AURAT) TETAPI MASIH JAGA SOLAT DAN MAMPU
MENJAGA TINGKAH LAKU.Tahniah atas kemampuan saudari untuk terus
menjaga solat dan menjaga tingkah laku, namun solat yang hakiki dan
ikhlas akan menghasilkan seorang yang gerun melakukan dosa, serta akan
mendorong sesoerang untuk tanpa lengah menunaikan tanggungjawab yang
diarahkan Allah. Namun apabila saudari terus redha dalam pembukaan
aurat sedangkan saudari menunaikan solat, ia bermakna solat saudari
juga bermasalah. Tapi jangan pula mengatakan, "kalau begitu saya tak
mahu solat kerana tak mahu hipokrit", ia telah kita bincang di atas
tadi. Juga, buktikan kepada diri bahawa jagaan solat saudari adalah
benar-benar sebuah ketaatan dan bukan hanya kosong tanpa isi. Tanda
awal ia adalah benar-benar sebuah solat adalah saudari akan terbuka
hati dengan cepat untuk menutup aurat tanpa terkesan dek buruk perangai
orang sekitar yang kononnya menutup aurat tetapi buruk. Justeru, saya
menasihatkan saudari agar segera keluar dari jenis individu yang
saudari sendiri benci (bertudung atau tutup aurat tapi tak solat,
mengumpat dsbgnya). Saudari membenci perangai mereka tetapi dari sudut
pandangan agama, saudari sebenanrya adalah sebahagian dari mereka
kerana : Mereka yang menutup aurat dan buruk perangai adalah sama
darjatnya dengan mereka yang solat tapi tidak menutup aurat.
Kedua-duanya tidak bertanggungjawab terhadap Allah dan sedang melakukan
dosa. Malah saudari juga patut bersyukur mendapat ibu yang prihatin
soal kewajiban agama, terlalu ramai ibu di zaman ini yang hanyut dan
lebih suka anak perempuan mereka mengikuti gaya yang disukai syaitan
iaitu seksi. Lalu apabila ibu menyuruh, Allah juga mengarahkan, maka
saudari bukan sahaja berdosa kerana aurat saudari yang terbuka, malah
juga berdosa kerana tidak mematuhi suruhan dan harapan ibu, selain
berdosa melanggar arahan Allah. Bukankah mentaati ibu dalam hal yang
tidak membawa dosa adalah WAJIB. Dan jatuh derhaka bagi seorang anak
yang mengguris perasaan ibu, khususnya dalam hal nasihat ibu untuk kita
mentaati arahan Allah swt.
4) BUKAN
SEKARANG MASA UNTUK BERUBAH? Jika bukan sekarang, maka adakah apabila
sudah terlantar di rumah mayat baru ingin beurbah. Sedarilah wahai diri,
bahawa kematian akan datang secara tiba-tiba dan tiada sebarang
jaminan umur masih panjang beberapa minggu lagi. Kebaikan dan
pelaksanaan tanggungjawab jangan sesekali ditangguhkan, kelak tidak
kempunan di hadapan Allah. Moga Allah membantu saudari untuk segera
berubah dan terbuka untuk menerima jawapan ini. Saya juga doakan
saudari untuk segera berHIJRAH KE ARAH kebaikan, dan teruslah kita
semua berusaha untuk ikhlas dalam semua amalan kita. Sekian.
Comments
Post a Comment