Salam,
ustaz baru-baru ni heboh pasai Tun cakap hudud tak wajib ke atas orang
Islam sebab tiada dalam al-Quran katanya hanya kata-kata ahli fiqah
saja. Apa pendapat ustaz pula, sedangkan para ulamak-ulamak memperjuang
hukum hudud Allah kerana terdapat dalam al-Quran juga mengatakan wajib
melaksanakan hukum Allah…
Jawapannya
Memang
semua orang kenali bahawa Tun Mahathir adalah orang yang bijak. Banyak
jasa-jasanya yang dilakukan terhadap pembangunan negara sewaktu ia
menjadi perdana menteri Malaysia dahulu. Cuma kekurangan yang ada pada
Tun adalah ilmu-ilmu agama, sebab itulah ada sebahagian hujah-hujah
agama yang dikeluarkan oleh Tun sangat bertentangan dengan disiplin ilmu
agama yang ada. Berlakulah pandangan-pandangan yang sangat meleset dari
kebenaran yang telah dirungkaikan oleh ulama dari dua manhaj yang
ditinggalkan Rasulullah SAW iaitu al-Quran dan sunah.
Mengenai
kata-kata Tun bahawa hukum hudud tiada di dalam al-Quran itu merupakan
satu kesalahan yang sangat besar. Kerana dari segi hakikatnya banyak
ayat-ayat al-Quran yang menceritakan tentang pelaksanaan hukum hudud.
Untuk makluman pembaca budiman, hudud adalah sebahagian kecil
undang-undang Islam yang terdapat di bab Jenayah Islam. Sebenarnya
undang-undang Islam meliputi semua perkara yang dinamakan syariat Islam
termasuklah hukum qisas, hudud dan takzir.
Mari kita singkap ayat-ayat al-Quran yang menceritakan kewajipan melaksanakan hukum hudud, antaranya ialah :
Kesalahan mencuri. Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Lelaki
yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan kedua-dua
mereka (sebagai) pembalasan terhadap apa yang telah mereka lakukan dan
sebagai seksaan (kemurkaan)dari Allah. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha
Bijaksana”.(Surah Al-Maidah : 38)
Kesalahan berzina. Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Perempuan-perempuan
yang berzina dan lelaki-lelaki yang berzina, maka deralah tiap-tiap
seorang dari keduanya seratus kali sebatan dan janganlah belas kasihan
kepada keduanya menghalang kamu dari menjalankan agama(hukuman) Allah,
jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, dan hendaklah
perlaksanaan hukuman terhadap mereka berdua disaksikan oleh sekumpulan
orang-orang yang beriman”.(Surah an-Nur : 2)
Kesalahan menuduh zina tanpa empat orang saksi. Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Dan
orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik melakukan zina
dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka sebatlah mereka
(penuduh) dengan 80 kali sebatan dan janganlah kamu menerima penyaksian
mereka selama-lamanya dan mereka itulah orang-orang yang fasiq”.(Surah an-Nur : 4)
Kesalahan minum arak. Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Hai
orang-orang yang beriman, sesungguhnya meminum arak, berjudi, berkorban
untuk berhala, mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji dari
perbuatn syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu
mendapat keuntungan. Sesungguhnya syaitan itu ingin menimbulkan
permusuhan dan kebencian di kalangan kamu dengan meminum arak dan
berjudi, dan menghalangi kamu dari mengingati Allah dan mendirikan
sembahyang, maka adakah kamu mahu berhenti (dari melakukan perkara
tersebut)”.(al-Maidah : 90-91)
Kesalahan murtad. Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Barangsiapa
yang murtad di kalangan kamu dari agamanya lalu dia mati dalam keadaan
kekafiran itu, maka sia-sialah segala amalannya di dunia dan di akhirat,
dan mereka inilah penghuni neraka dan kekal di dalamnya selama-lamya”.(Surah al-Baqarah : 217)
Kesalahan menderhaka kepada pemerintah Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Balasan
orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana
kerosakan di muka bumi, ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka
membunuh sahaja dengan tidak merampas, atau dipotong tangan dan kaki
mereka dengan berselang (kalau mereka merampas sahaja) atau di buang
negeri (kalau mwereka mengganggu ketenteraman awam. Hukuman yang
demikian adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat
kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar.”(al-Maidah : 33)
Hudud
ini bukan rekaan ahli fekah, tetapi sudah lama termaktub di dalam kitab
al-Quran dan hadis. Jadi dakwaan mengenai rekaan ahli fekah itu adalah
tuduhan yang salah tanpa menyelidiki dahulu sumber-sumber yang
dibincangkan oleh ulama fekah. Inilah musibah yang dihadapi oleh kita
semua apabila orang yang tidak ahli berhujah mengenai hukum-hukum Islam.
Amat malang semua ini dirujuk pula kepada mereka yang jelas ingin
menentang kebenaran Islam dengan menolak dalil-dalil hadis dan mereka
berkata al-Quran sudah lengkap tidak perlu lagi hadis-hadis dan hujah
ulama.
Gambaran
yang dapat saya buat di sini seperti sebuah kapal yang berlayar di
lautan luas, ia memerlukan satu enjin yang kuat, body yang tahan dari
pukulan ombak, nahkodanya juga cukup arif dalam bidang pelayaran.
Insyaallah semua anak kapalnya akan selamat tiba ke distinasi yang
dituju. Cuba anda bayangkan bagaimana jadinya kapal tersebut apabila
kurang salah satu dari tiga komponen yang penting ini. maka sudah pasti
ia tidak boleh belayar, sekiranya belayar ia akan melencung jauh dari
distinasinya.
Begitu
juga Islam terdiri daripada beberapa asas utama iaitu al-Quran,
al-Hadis dan ijmak ulama. Di sini bukan bermaksud al-Quran itu lemah,
tetapi ia menjadi sokongan atau penguat antara satu sama lain.
Sebenarnya setiap hadis dan ijmak ulama itu datangnya juga dari
al-Quran. Jadi tidak ada satupun hukum Islam itu yang direka oleh ahli
fekah. Buktinya boleh lihat di dalam kitab-kitab fekah setiap hujah
dikuatkan dengan al-Quran dan hadis.
Akhir
sekali, diharapkan Tun dan juga mereka yang berpandangan sama dengannya
kembalilah bertaubat dan perbetulkan pandangan agar ia selaras dengan
apa yang dinyatakan oleh al-Quran, hadis dan ijmak ulama. Sebelum
mengeluarkan sesuatu hujah mengenai Islam, maka sebaiknya rujuklah
kepada mereka yang ahli mengenainya, supaya setiap pandangan dibuat
tidak sesat jauh dari jalan yang dibawa oleh Islam.
Comments
Post a Comment