KENYATAAN MEDIA
 
 
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
BERKENAAN
PENGANJURAN KEMPEN “I WANT TO TOUCH A DOG”
________________________________________

Pertama sekali Jakim ingin membuat teguran kepada 
pihak penganjur yang telah mengadakan kempen memegang
anjing secara sengaja dan terbuka kepada umum 
termasuk mereka yang beragama Islam tanpa sebarang 
sebab yang munasabah. Hal ini sekaligus telah 
menimbulkan keresahan awam khasnya dikalangan umat 
Islam kerana secara jelas telah menyanggah pegangan
mazhab dan ‘uruf/ adat di Malaysia. 
 
Menurut Mazhab Syafie, umat Islam adalah dilarang
menyentuh anjing secara sengaja kerana menajiskan diri
tanpa tujuan yang munasabah adalah haram disisi Islam.

Walaupun Islam meletakkan kaedah sertu apabila terkena
najis yang dikategorikan sebagai ‘mughallazah’ namun
kaedah tersebut bukanlah alasan untuk membolehkan 
seseorang itu memegang najis mughallazah secara sengaja. Tindakan tersebut 
samalah seperti orang yang sengaja melakukan dosa dengan alasan akan bertaubat 
kemudiannya.

Justeru, tindakan pihak penganjur adalah dikhuatiri 
mempunyai agenda terselindung dan secara jelas dilihat 
seolah-olah cuba mencipta budaya baru dan boleh membawa
kepada perbuatan menghina Islam.

Suka Jakim tegaskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang berpegang kepada 
mazhab Syafie sebagai mazhab rasmi. Justeru, peranan
Jakim adalah untuk memastikan umat Islam di negara ini 
mengamalkan syariat yang tidak menyalahi Mazhab Syafie.
 
Pada dasarnya Islam tidak memandang keji kepada binatang anjing sebagai salah 
satu makhluk Allah. Apatah lagi untuk menyeksa, memukul dan membunuh anjing 
tanpa sebab adalah sama sekali bertentangan dengan ajaran Islam. Malah anjing 
tetap wajar diberi kasih sayang, belas ehsan dan dijaga kebajikannya. 

Walau bagaimanapun, dalam Mazhab Syafie, umat Islam 
tidak dibenarkan untuk menjadikan haiwan tersebut sebagai binatang peliharaan. Jakim telah mengulas 
lanjut isu berhubung kedudukan anjing dalam Islam serta hukum berkaitannya 
melalui portal fatwa Jakim di www.e-fatwa.gov.my.

Kedua, Islam mewajibkan semua umatnya untuk memelihara 
kesucian diri, pakaian dan tempat agar ia tidak menjejaskan amal ibadah seharian. 

Dalam perkara ini, Jakim bercadang untuk memanggil 
pihak penganjur bagi mendapatkan penjelasan selanjutnya.

Sekian, terima kasih. 

‘BERKHIDMAT UNTUK NEGARA’

Saya Yang Menurut Perintah

DATO’ HAJI OTHMAN MUSTAPHA
20 Oktober 2014
 
 
Penjelasan yang sangat tuntas telah diberikan oleh al-fadhil ustaz Abu Zulfaqar ketika majlis "i want to touch a dog". al-fadhil ustaz dengan jelas menyatakan bahawa anjing adalah najis mughallazoh dan berlumuran atau bersentuhan dengan anjing tanpa sebarang alasan adalah dilarang oleh Islam (minit 3:33 - 4:17)

Malangnya inilah perkara yang sering berlaku di dalam masyarakat kita iaitu kita suka mengambil atau mendengar perkara-perkara yang kita suka sahaja daripada apa yang telah disampaikan oleh para daie. Kemudian kita mengamalkan agama ini berdasarkan apa yang kita suka dan akhirnya menyandarkan amalan tersebut kepada ustaz-ustaz dan para daie seolah2 mereka yang memberikan endorsement terhadap apa yang kita lakukan.
 
Saudara Mohd Iqbal cuma dijemput untuk ceramah di majlis itu. Penganjurnya Syed Azmi Al Habshi. Perlakuan peserta/pengunjung  Melayu-Islam yang bermesra2 dengan anjing tersebut berlaku di luar kawalan / pengetahuan penganjur dan sauadara Mohd. Iqbal sendiri dan hal itu telah di manipulasi oleh media (TVKINI & MALAYSIAINSIDER) untuk nyalakan api fitnah.
 
  Terima kasih Ustaz kerana memberikan pencerahan tentang isu 'I want to Touch a Dog'. Kita sekarang dikelilingi pihak liberal bandar yang terlalu memaparkan mereka berfikiran terbuka dan 'world' terhadap non Muslim tanpa mempunyai pegangan ilmu agama yang cukup. Ada pihak tertentu pula cuba mengambil kesempatan kelemahan ini untuk mencelarukan, melagakan lagi masyarakat Melayu Muslim supaya berpecah belah memenuhi agenda tersembunyi mereka melemahkan agama Islam dan orang Melayu. Wallahua'lam.
https://www.facebook.com/abu.zulfaqar?fref=ts 
 
 
 
 
 
 
 
 
  

Ustaz Dr Asri: Sentuh anjing tak haram


Mohd Asri
Hukum menyentuh anjing tidak haram walaupun haiwan itu tergolong dalam najis berat, kata bekas mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Asri berkata ulama sepakat mengatakan anjing yang kering tidak najis, namun ‎najis boleh disentuh tetapi dengan syarat perlu dibasuh jika hendak beribadat atau pun berurusan dengan masyarakat.

“Mazhab Syafie agak tegas dalam hal ini. Namun, pendapat mazhab lain lebih luas dan mudah.

“Sebahagian fuqaha hanya membataskan najis anjing itu hanya jilatannya kerana itu sahaja yang disebut dalam hadis, “Apabila anjing menjilat bekas seseorang kamu, maka basuhlah sebanyak tujuh kali. Salah satunya dengan tanah,” katanya memetik Riwayat al-Bukhari dalam responnya terhadap program “I Want To Touch A Dog”, semalam.

Katanya, jika najis itu dianggap haram, ‎maka haram juga seseorang menyentuh najis dirinya, ataupun anaknya ataupun sesiapa di bawah jagaannya ketika membersihkannya. ‎

Begitu juga dengan ‎mereka yang bekerja yang membabitkan bahan bernajis seperti mencuci tandas ataupun darah ataupun nanah dan lain-lain, katanya.‎

“‎Begitu juga dengan doktor veterinar. Maka itu kesimpulan hukum yang cetek.”

‎Menyentuh isu memelihara anjing dalam rumah, katanya jika tiada tujuan selain buruan atau menjaga ternakan, hukumnya adalah makruh.

Katanya, walaupun ada ulama yang mengharamkan, tetapi hadis Islam tidak menyebut dosa, tetapi pengurang pahala sahaja.

“Maka hukum makruh dipilih oleh sebahagian ahli fekah.
“Hikmahnya mungkin atas beberapa sebab yang berkaitan kerohanian dan kemasyarakatan,” katanya.

Menurut pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Islam ada sebab menghalang penganutnya memelihara anjing, antaranya baunya dan salakannya menakutkan sesetengah orang.‎


Katanya aspek fizikal anjing itu bertentangan dengan agama yang mementingkan kemasyarakatan dan hubungan baik antara jiran, saudara dan sahabat sandai.‎

“Sesiapa yang pernah pergi ke rumah pemelihara anjing, atau menaiki kenderaan yang ada anjing dia akan tahu baunya yang bukan semua orang dapat bertahan.

“Salakan anjing dan bulu di sana sini bagaikan tidak mengalu-alukan tetamu,” katanya.

Tambahnya, anjing juga berisiko dari segi keselamatan dan kesihatan termasuk gigitan, najis, serta jilatannya.

Namun beliau menegaskan, cubaan Islam mengelakkan bahaya anjing yang dipelihara dalam rumah dengan melarang penganutnya berbuat demikian tidak bererti membenarkan penindasan terhadap anjing.

“Un‎tuk mengelak jilatan anjing yang sentiasa menjelir lidah, yang dianggap najis dari segi agama dan saintifik, maka Islam melarang kita memelihara anjing dalam rumah tanpa alasan yang diizinkan,” katanya.

Program itu dianjurkan bagi menghapuskan perasaan takut dan skeptikal masyarakat terutamanya Melayu dan Islam terhadap anjing.

Walaupun mendapat sambutan, namun ia juga mendapat kecaman termasuk mufti di beberapa negeri yang menganggapnya melanggar budaya masyarakat.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapa dilaporkan berkata pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci berhubung anjuran tersebut yang dianggap tidak sepatutnya berlaku.

Kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab pihak penganjur yang tidak prihatin dengan sensitiviti umat Islam di negara ini, katanya Islam di Malaysia yang berpegang teguh kepada mazhab Syafie sudah jelas memperincikan bahawa anjing dan babi itu tergolong dalam najis berat.

“Acara itu tidak pernah dianjurkan sebelum ini dan ia merupakan kali pertama didedahkan kepada masyarakat, kita orang Islam dan agama sudah menetapkan dengan jelas hukum berkaitan anjing.

“Jakim akan segera menyiasat perkara ini dan sebarang tindakan akan dirujuk pada peruntukan yang ada,” katanya dipetik laporan Bernama.

Comments

Popular posts from this blog