Beratnya Dosa Lalu Di Hadapan Orang Yang Sedang Bersembahyang


 
Beratnya Dosa Lalu Di Hadapan Orang Yang Sedang Bersembahyang
Oleh:
Dr. Arieff Salleh bin Rosman,
Felo Fatwa
 
Apabila kita memerhatikan gelagat masyarakat Islam dalam negara kita ketika dalam masjid, maka sering kita terlihat perbuatan lalu di hadapan orang yang sedang sembahyang. Tanpa rasa bersalah, malah dengan bangga pula boleh lalu di hadapan orang yang sedang bersembahyang. Nampaknya, perbuatan ini semacam menjadi kebiasaan dan tidak dianggap salah. Tidakkah pernah terlintas dalam fikiran kita, apakah yang sedang dilakukan oleh orang yang sedang bersembahyang itu. Adakah dia sengaja berdiri? Tidakkah kita tahu bahawa seorang yang sedang sembahyang itu sedang bermunajat dengan Tuhannya.
 
Pernahkah kita mendengar hadis Nabi Muhammad yang dilaporkan oleh Anas bin Malik, "Seseorang yang sedang sembahyang itu sebenarnya sedang bermunajat kepada Tuhannya. Oleh itu jika dia hendak meludah, maka janganlah meludah di hadapan atau di sebelah kanannya. Tetapi ludahlah di bahagian kirinya, di sebelah kaki kirinya." (Hadis sahih direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim). Kalau hendak meludah pun tidak dibolehkan di bahagian hadapan tempat kita sujud, adakah boleh kita dengan selamba lalu di hadapan orang yang sedang sembahyang yang sedang bermunajat dengan Tuhannya?
 
Abu Soleh al-Samman melaporkan, "Saya pernah melihat Abu Sa'id al-Khudri sembahyang sunat pada hari Jumaat di masjid. Di hadapannya diletakkan sesuatu sebagai tanda ruang untuk beliau sujud. Beliau meletakkan tanda itu agar orang tidak lalu lalang dalam ruang antara dia dan barang tersebut. Kemudian ada seorang pemuda daripada keluarga Abu Mu'it hendak lalu di hadapannya. Apabila pemuda itu hendak lalu, Abu Sa'id pun mendepakan tangannya melarang pemuda itu daripada lalu. Pemuda itu pun melihat wajah Abu Sa'id. (Mungkin merasa pelik kenapa Abu Sa'id mendepakan tangannya melarang dia daripada lalu) Pemuda itu mencuba sekali lagi untuk lalu di hadapan Abu Sa'id. Pada kali kedua ini Abu Sa'id melarang dengan cara yang lebih keras. (Mungkin tangan yang didepakan itu terkena dada pemuda itu dengan agak kuat berbanding kali pertama). Kemudian pemuda itu berjumpa dengan Marwan. Beliau mengadu kepada Marwan terhadap apa yang telah dilakukan oleh Abu Sa'id itu tadi. Sejurus selepas itu Abu Sa'id pun datang, lantas Marwan pun bertanya kepadanya, ‘Apa yang saudara telah lakukan terhadap pemuda ini wahai Abu Sa'id?' Abu Sa'id pun menjawab, ‘Sebenarnya saya pernah mendengar Nabi Muhammad berkata, ‘Jika salah seorang daripada saudara sedang sembahyang dan di hadapannya ada sekatan (tanda) agar orang lain tidak lalu di hadapannya itu. Kemudian ada orang yang ingin lalu di hadapannya (antara orang yang sedang bersolat dan sekatan), maka hendaklah dia melarang orang yang ingin lalu itu." (Hadis sahih direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim).
 
Oleh sebab itu Nabi Muhammad s.a.w. menjelaskan bahawa lalu di hadapan orang yang sedang bersembahyang adalah satu dosa besar. Abu al-Nadr; pembantu peribadi Umar bin Ubaidillah melaporkan, Bisyr bin Sa'id melaporkan daripada Abu Juhaym, nama sebenarnya Abdullah bin al-Harth bin al-Sammah al-Ansari, beliau berkata, "Rasulullah s.a.w. pernah berkata, ‘Jika orang yang lalu di hadapan orang yang sedang bersolat mengetahui apa yang akan dikenakan ke atasnya (dari dosa yang besar), maka lebih baik untuk dia berdiri menunggu (sehingga orang itu selesai solat) selama empat puluh (hari/bulan/tahun) daripada dia lalu di hadapan orang yang sedang bersolat itu." Abu al-Nadr berkata, "Saya tidak pasti sama ada empat puluh hari atau bulan atau tahun." (Hadis sahih direkodkan oleh Imam Bukhari, Muslim dan lain-lain).
 
Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dalam bukunya ‘Fath al-bari syarah sahih al-Bukhari' dan Imam al-Syawkani dalam bukunya ‘Nayl al-awtar' menjelaskan bahawa bilangan empat puluh itu tidaklah difokuskan kepada bilangannya tetapi ia adalah bertujuan sebagai menggambarkan betapa besarnya dosa lalu di hadapan orang yang sedang bersolat berbanding dengan berdiri walau terlalu lama sehingga orang itu selesai daripada solatnya.
 
Manakala Imam Nawawi dalam bukunya ‘Syarah sahih Muslim' memberikan komentarnya, "Hadis ini menjelaskan betapa besarnya dosa lalu di hadapan orang yang sedang bersolat, di mana balasannya di akhirat kelak akan dihumbankan ke dalam api neraka. Solat yang sedang didirikan itu sama ada solat wajib atau sunat."
 
Para ulama' berbeza pendapat dalam menentukan jarak yang dilarang lalu di hadapan orang yang sedang solat. Pendapat pertama mengatakan, lalu di tempat sujud. Kedua, lalu di hadapan sejauh kurang dari 3 hasta. Dan ketiga, lalu di hadapan sejauh kurang dari jarak balingan batu.
 
Oleh itu jelas kepada kita bahawa lalu di hadapan orang yang sedang sembahyang adalah satu dosa. Sebelum kita lalu, pastikan adakah di hadapan orang yang sedang solat itu diletakkan sesuatu sebagai tanda penghadang, seperti tongkat, beg, tasbih, sejadah, dan seumpamnya. Jika ada, kita boleh lalu di luar kawasan solat orang itu iaitu di hadapan penghadang itu. Jika tiada penghadang, tukarlah arah kita. Cari laluan lain untuk lalu. Perlu dijelaskan bahawa perbezaan warna pada permaidani; sebagaimana yang ada di dalam masjid di negara kita, itu tidak dianggap sebagai penghadang. Ia hanya untuk memudahkan para jemaah meluruskan saf sahaja.
 
Seterusnya kalau kita hendak sembahyang; khususnya sembahyang sunat dalam masjid, maka carilah tempat yang sesuai kerana biasanya apabila kita hendak sembahyang fardhu, kita akan sembahyang dalam saf. Jadi jarang berlaku orang lalu di antara saf. Nabi Muhammad s.a.w. mengarahkan kita, jika hendak sembahyang, sembahyanglah di mana di hadapan kita ada dinding atau tiang, atau letaklah penghadang di hadapan kita. Cermin mata, tongkat, kunci kereta, sejadah, serban, biji tasbih, beg dan seumpamanya boleh diletakkan sebagai tanda penghadang. Abu Hurairah melaporkan, Rasulullah s.a.w. pernah berkata, "Jika salah seorang daripada kalangan kamu solat, maka solatlah di hadapan sesuatu (seperti dinding atau tiang). Jika tiada, maka letaklah tongkat di hadapannya. Jika tiada maka lukislah garisan di hadapannya. Kemudian tiada masalah jika ada orang lalu di hadapan tanda itu." (Hadis direkodkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah dan Ibnu Hiban). Ibnu Hiban mengatakan hadis ini sahih. Sahal bin Sa'ad al-Sa'idi melaporkan bahawa, "Antara tempat solat Nabi Muhammad s.a.w. dengan dinding jauhnya seperti laluan kambing." (Hadis sahih direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim). Imam Ibnu Solah mengatakan jarak laluan kambing ialah 3 hasta.
 
Jadi jika kita hendak bersembahyang sunat dalam masjid, maka pilihlah kawasan yang dekat dengan dinding atau tiang. Jangan sembahyang dan di hadapan kita itu pintu tempat orang lalu lalang. Kita biasa melihat di masjid-masjid, orang bersembahyang di depan pintu masuk. Imam Ibnu Hajar al-Asqalani menukilkan pandangan ulama' yang memperincikan siapa yang berdosa jika lalu di hadapan orang yang sedang bersembahyang. Ada empat keadaan: Jika orang yang ingin lalu itu mempunyai laluan alternatif lain, namun dia masih lalu di hadapan orang yang sedang solat dan orang itu tidak menyekat laluan, maka hanya orang yang lalu itu sahaja yang berdosa. Jika orang yang sedang solat itu bersolat di hadapan laluan yang tidak mempunyai alternatif lain sedangkan masih ada ruang lain untuk bersolat dan ada orang yang lalu di hadapannya sedangkan orang itu tidak ada laluan lain, maka yang berdosa ialah orang yang sedang solat itu. Manakala orang yang lalu itu tidak berdosa. Jika orang yang bersolat itu menyekat laluan utama dan ada orang lalu di hadapannya sedangkan masih ada alternatif lain yang boleh dilalui, maka kedua-duanya berdosa. Orang yang sedang solat itu berdosa kerana menyekat laluan utama dan orang yang lalu itu pula berdosa kerana tidak menggunakan alternatif lain untuk dilalui. Jika orang yang sedang solat itu terpaksa solat di hadapan laluan utama kerana sudah tiada ruang dan ada orang yang lalu di hadapannya kerana tiada alternatif lain, maka kedua-duanya tidak berdosa.
 
Alangkah ruginya orang yang bersembahyang sunat tetapi terpaksa menanggung dosa orang lain! Walaubagaimanapun, hukum haram lalu di hadapan orang bersembahyang ini tidak melibatkan sembahyang di tanah Haram Mekah. Sekiranya seseorang itu bersembahyang di hadapan Kaabah, kemudian ada orang lalu di hadapannya untuk bertawaf, maka hukum orang yang lalu itu tidak berdosa. al-Mutallib bin Abi Wada'ah al-Sahmi melaporkan, "Saya pernah melihat Nabi Muhammad bersembahyang di hadapan Kaabah dan orang ramai lalu lalang di hadapan baginda, sedangkan di antara baginda dan Kaabah tiada penghadang." (Hadis direkod oleh Imam Abu Daud).
 
Imam Ibnu Qudamah al-Maqdisi menjelaskan dalam bukunya 'al-Mughni', punca perbezaan hukum ini, jika dihalang orang lalu di hadapan orang yang sedang bersembahyang di tanah Haram Mekah, sedangkan orang ramai sibuk mengerjakan ibadah seperti tawaf, sa'i, melontar jamrah dan sebagainya, maka ia akan menambahkan kesesakan.

Comments

Popular posts from this blog