Indah Khabar


Indah khabar dari rupa – frasa yang sering dikaitkan dengan keadaan di mana apa yang nyata tidak seperti yang dinyatakan.

Dalam perkataan lain – kita tertipu.


Keadaan ini mungkin kita kata sering berlaku dalam aktiviti pemasaran terutamanya pengiklanan (bukan semua tetapi kebanyakannya).


Cuba semak saja iklan – sama ada bercetak mahupun elektronik – ia begitu memikat dan menyakinkan namun apabila kita mendapatkan (membeli) barangan atau perkhidmatan yang diiklankan itu, baru kita sedar apa yang dinyatakan indah khabar dari rupa.


Dalam hubungan sosial pula, senario sebegini sebaik mungkin kita cuba elakkan dan kita berasa amat tidak suka menghadapinya.


Kita berasa bukan sahaja tertipu malah berasa dikhianati apabila seseorang itu bersikap indah khabar dari rupa.


Dalam interaksi professional seperti dalam dunia pekerjaan, senario indah khabar dari rupa membawa implikasi yang besar dalam pencapaian matlamat dan produktiviti.


Dalam dunia pekerjaan kini, semakin sukar kita mendapati pekerja yang bagus – disiplin, dedikasi, berintegriti dan melaksanakan amanahnya – sebaliknya ramai sangat yang menggunakan projeksi diri yang tidak benar – memerangkap orang lain dengan penampilan dan kepetahan berkata-kata semata-mata untuk mencapai serakah diri sahaja.


Jika kita berasa yakin dengan hasil kerja yang diharapkan tetapi penghasilannya indah khabar dari rupa, sudah tentunya hasilnya itu tidak mencapai piawaian dan apa yang dihasratkan.


Ini melibatkan banyak pembetulan perlu dilakukan.


Keadaan itu pastinya mengakibatkan lebih masa dan sumber diperlukan.


Menggunakan lebih banyak masa dan sumber maksudnya menyebabkan kos operasi meningkat.


Kos operasi meningkat maknanya manfaat atau keuntungan yang diharapkan akan terjejas.


Bagi perkhidmatan yang ditawarkan kepada orang awam oleh jentera kerajaan, keadaan ini pastinya menimbulkan rasa jengkel malah mungkin jelek di kalangan mereka yang berurusan untuk memperolehi perkhidmatan berkenaan terutama perkhidmatan kaunter.


Apabila sudah ada yang berasa jengkel dan jelek, dengan peredaran masa ia akan melahirkan suatu tanggapan yang negatif.


Tanya sahaja sesiapapun, sudah pastinya ada yang akan menyatakan rasa tidak puas hatinya terhadap perkhidmatan yang ditawarkan oleh jentera pentadbiran kerajaan.


Tanggapan negatif itu tidak menjadi masalah jika hanya seorang sahaja yang beranggapan sedemikian, namun jika lebih seorang, ia boleh membentuk aliran pandangan dan ini boleh merebak seperti selsema yang berjangkit dari seorang ke seorang (yang lemah ketahanan dirinya) dengan hanya berada dekat dengan puncanya itu.


Apabila sudah dijangkiti, mengubatnya tidak sukar tetapi akan melibatkan banyak kos dan masa.


Kita usah hidup dalam kepura-puraan.  Biar kita jadikan rupa yang dikhabarkan itu sememangnya indah dan nyata kerana kita hidup dalam dunia yang nyata.


Biarlah lidah itu lembut kerana tidak bertulang agar dengannya lidah kita dapat membantu kita melafazkan kata-kata lembut yang baik-baik.

 http://sembangahad.wordpress.com/2013/01/16/indah-khabar/

Comments

Popular posts from this blog