BEBERAPA KESILAPAN YANG MENGAKIBATKAN SEMBAHYANG TIDAK SAH

بسم الله ، والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله وصحبه ومن والاه
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)


Dalam sembahyang mempunyai rukun yang wajib dilaksanakan dan perkara-perkara sunat jangan diabaikan. Kecuaian seseorang dalam melaksanakannya boleh menyebabkan sembahyang itu tidak sah atau sekurang-kurangnya tidak sempurna.

Oleh itu, apa yang ingin dijelaskan di sini ialah berhubung dengan beberapa kesalahan yang sering dilakukan dalam mengerjakan sembahyang yang mana ia boleh mengakibatkan sembahyang itu batal atau tidak sah.

(1) Membaca Di Dalam Hati

Jika seseorang mengerjakan sembahyang dengan hanya membaca di dalam hati rukun-rukun qauli atau bacaan-bacaan yang sunat, adakah perbuatan seumpama ini memadai atau ia boleh menjejaskan sembahyang?

(i) Rukun Qauli (Bacaan-Bacaan Yang Wajib)

Di dalam sembahyang adalah disyaratkan ketika melafazkan setiap rukun qauli iaitu takbiratulihram, surah al-Fatihah, tasyahhud akhir dan salam melafazkannya dengan suara yang dapat didengar oleh diri sendiri iaitu jika keadaan pendengarannya baik dan tiada halangan untuk
mendengarnya seperti bunyi bising.

Namun jika keadaan pendengarannya tidak baik seperti tuli ataupun ada halangan untuk mendengarnya seperti bunyi bising, maka tidaklah diwajibkan dia mendengarnya, akan tetapi dia tetap wajib melafazkan bacaannya dengan suara yang sekira-kira boleh didengarnya ketika keadaan pendengarannya baik atau ketika keadaan tidak bising.

Oleh itu adalah tidak sah bacaan setiap rukun qauli apabila ia tidak dilafazkan dengan suara yang dapat didengar oleh dirinya sendiri seperti hanya dibaca dalam hati. Ini menyebabkan sembahyang yang dikerjakannya tidak sah.

(ii) Bacaan-Bacaan Sunat

Sementara bacaan-bacaan atau zikir-zikir yang sunat seperti doa al-iftitah, at-ta‘awwudz, ayat atau surah dari al-Qur’an selepas al-Fatihah, tasyahhud awal dan seumpamanya adalah dituntut juga untuk melafazkannya dengan suara yang didengar oleh diri sendiri bagi mendapatkan pahala sunat. Jika tidak dilafazkan dengan suara demikian seperti dibaca dalam hati sahaja tidaklah menjejaskan sahnya sembahyangnya, tetapi dia tidak mendapat pahala sunat.

(2) Mengerjakan Sembahyang Dengan Cepat

Disebabkan seseorang itu ingin cepat selesai dari mengerjakan sembahyang, kadangkala terabai tuntutan melakukan thuma’ninah di dalam sembahyang itu. Kecuaian dan kelalaian dalam melakukan thuma’ninah ini boleh menyebabkan sembahyang itu tidak sah. Thuma’ninah merupakan salah satu rukun sembahyang. Thuma’ninah bermaksud tetap anggotanya ketika melakukan suatu rukun fi‘li di dalam sembahyang sekurang-kurangnya dengan kadar bacaan zikir: “ سبحان الله ” sebelum beralih ke rukun fi‘li seterusnya.

Thuma’ninah itu diwajibkan ketika ruku‘, i‘tidal, kedua-dua sujud dan duduk antara dua sujud, sebagaimana diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawa ketika mana seorang lelaki selesai mengerjakan sembahyang di masjid, kemudian dia memberi salam kepada Baginda dan Baginda menjawab salamnya lalu bersabda:

Maksudnya: “Kembalilah dan kerjakan sembahyang (semula), sesungguhnya engkau belum sembahyang.” Maka lelaki itu pun kembali dan mengerjakan sembahyang seperti sembahyang yang telah dia kerjakan. Kemudian dia datang kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam lalu memberi salam kepada Baginda. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Dan ke atasmu salam kesejahteraan.” Kemudian Baginda bersabda:


“Kembalilah dan kerjakan sembahyang (semula), sesungguhnya engkau belum sembahyang.” Sehinggalah dia melakukan yang demikian itu sebanyak tiga kali. Lalu berkata lelaki itu: “Demi Yang Mengutusmu dengan kebenaran, aku tidak dapat mengerjakan sembahyang yang lebih baik daripada ini, ajarkanlah aku.” Baginda bersabda: “Apabila engkau mengerjakan sembahyang maka bertakbirlah, kemudian bacalah ayat al-Qur’an yang mudah bagimu. Lalu ruku‘lah sehingga engkau thuma’ninah dalam ruku‘mu, kemudian bangkitlah sehingga engkau lurus berdiri dengan berthuma’ninah. Lalu sujudlah sehingga engkau berthuma’ninah dalam sujudmu, kemudian bangkitlah sehingga engkau thuma’ninah dalam dudukmu. Kemudian lakukanlah yang demikian itu di dalam sembahyangmu pada setiap rakaat.”

(Hadits riwayat Muslim)

Thuma’ninah ketika ruku‘ ialah tetap anggotanya semasa melakukan ruku‘ sebelum bangkit untuk melakukan i‘tidal. Sementara thuma’ninah ketika i‘tidal ialah tetap anggotanya semasa i‘tidal sebelum bergerak untuk melakukan sujud. Adapun thuma’ninah ketika melakukan sujud ialah tetap anggotanya semasa sujud sebelum bangkit daripada sujud.Thuma’ninah ketika duduk antara dua sujud pula tetap anggotanya semasa duduk antara dua sujud sebelum melakukan sujud kedua.

Jika seseorang itu ruku‘ lalu terus berdiri tanpa thuma’ninah, maka wajib dia kembali semula melakukan ruku‘ berserta thuma’ninah, kemudian baharulah dia berdiri untuk i‘tidal. Maka sembahyang yang dikerjakan dengan cepat atau tergesagesa boleh mengakibatkan tertinggalnya rukun thuma’ninah ini. Sebagaimana yang kita ketahui bahawa rukun sembahyang jika tidak ditunaikan menyebabkan sembahyang tidak sah.

(3) Sujud Dengan Tidak Mengendahkan Kedudukan Jari Kaki

Kecuaian dalam melakukan sujud juga kadang-kadang terjadi, seperti kedudukan jari kaki yang tergantung-gantung atau hanya meletakkan belakang jari kaki ke bumi. Ketika melakukan sujud diwajibkan meletakkan kesemua tujuh anggota sujud ke bumi. Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma:

Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam diperintahkan (oleh Allah) untuk sujud di atas tujuh anggota dan tidak mengikat rambutnya (supaya tidak terburai ketika sujud) serta tidak menyingsing pakaian: (Iaitu) dahi, kedua tangan, kedua lutut dan kedua kaki.”

(Hadits riwayat al-Bukhari)

Apa yang dimaksudkan dengan sujud di atas tujuh anggota itu ialah meletakkan sebahagian dahi, sebahagian kedua lutut, sebahagian telapak tangan atau perut jari kedua tangan dan sebahagian perut jari kedua kaki. Oleh itu, tidak sah sujud itu dengan hanya meletakkan belakang telapak tangan, hujung-hujung jari atau tepi-tepinya. Begitu juga, tidak memadai sujud dengan hanya meletakkan belakang jari kaki apatah lagi membiarkannya tergantung-gantung.

Ini berbeza halnya jika ada keuzuran seperti putus tangan atau putus jari-jari kaki, maka gugurlah kewajipan untuk meletakkannya.


(4)Dahi Tertutup Oleh Sesuatu

Sebagaimana yang telah dijelaskan, bahawa dahi adalah salah satu anggota sujud. Jika tidak diletakkan sebahagiannya di tempat sujud, maka ia belum dikira sebagai sujud.

Demikian juga, jika seseorang itu melakukan sujud sedang keseluruhan dahinya tertutup oleh songkok, serban atau tempat sujudnya (tempat ia meletakkan dahinya) dilapiki oleh sesuatu yang bersambung dengannya yang ikut bergerak apabila dia bergerak seperti ekor/hujung serban, tudung atau seumpamanya, maka tidak sah sujudnya itu.
 
Berbeza halnya, jika sesuatu yang bersambung dengannya itu tidak ikut bergerak apabila dia berdiri, duduk atau seumpamanya. Sebagai contoh, hujung kain serban yang dipakainya itu terlalu panjang dan ia menutupi tempat sujudnya sedang hujung kain itu tidak ikut bergerak apabila dia bergerak, maka dalam hal ini sah sujudnya itu.
 
Demikian juga, sah sujudnya apabila sesuatu yang menutupi tempat sujudnya itu tidak bersambung dengannya. Sebagai contoh, kain serban yang dipakai oleh orang lain menutupi tempat sujudnya, maka dalam hal ini sah sujudnya itu. Sekiranya seseorang itu tersujud atas permukaan yang tajam dan menyakiti dahinya, bolehlah dia mengalihkan dahinya itu tanpa mengangkatnya. Jika dia mengalihkan dahinya dengan mengangkatnya, maka batal sembahyangnya kerana menambah perbuatan sujud. Akan tetapi jika dia mengalihkan dahinya itu dengan mengangkatnya sebelum thuma’ninah, maka tidaklah membatalkan sembahyangnya.
 
(5)Berdaham
 
Sembahyang menjadi batal apabila seseorang senghaja atau dipaksa berkata-kata, sekalipun dengan melahirkan dua huruf yang boleh difahami ataupun tidak seperti ‘ahem’, atau berkatakata dengan melahirkan satu huruf yang boleh difahami seperti ‘k’ yang bermaksud okey atau setuju. Begitu juga berdaham tanpa keuzuran jika ia melahirkan dua huruf sama ada difahami atau tidak adalah membatalkan sembahyang. Namun jika tidak melahirkan dua huruf, maka tidaklah batal sembahyang tersebut. Adapun jika seseorang itu berdaham sedikit ketika sembahyang kerana tidak dapat ditahan, maka tidaklah membatalkan sembahyangnya itu.

Demikian juga, jika dia tidak dapat membaca rukun qauli seperti surah al-Fatihah melainkan dengan terpaksa berdaham, maka ia dimaafkan dan tidak membatalkan sembahyangnya kerana terpaksa melakukannya untuk kesempurnaan bacaan al- Fatihahnya.
Namun jika dia berdaham sedang dia boleh membaca rukun qauli itu tanpa berdaham atau dia berdaham bagi membolehkannya membaca dengan suara jahr (nyaring) atau membolehkannya membaca bacaan-bacaan yang sunat, maka yang demikian itu tidaklah dimaafkan kerana bacaan-bacaan sunat atau membaca dengan suara jahr itu adalah perkara sunat sahaja.
 
(6)Salah Bacaan
 
Rukun-rukun qauliah (rukun-rukun yang berupa bacaan) seperti takbiratulihram, surah al-Fatihah, tasyahhud akhir dan seumpamanya hendaklah dijaga huruf dan sebutan hurufnya dengan betul dan sempurna. Ini kerana bacaan yang tidak betul itu boleh merosakkan sembahyang.

Sebagai contoh pada bacaan surah al-Fatihah, jika huruf sin ( (س pada kalimah ( ن  س ت ع ي  ن ) dibaca dengan huruf tsa ( ث) atau bacaan yang mengubah makna seperti baris atas pada kalimah (َ ع  م  ت أ ن
dibaca dengan baris bawah menjadi ( َأ ن ع  م  ت ), maka batal sembahyang jika seseorang itu senghaja berbuat demikian sedang dia tahu perbuatan itu salah.
Adapun jika dia tidak senghaja berbuat demikian, maka hendaklah dia memperbetulkan bacaan yang salah itu sebelum lagi dia ruku‘ tanpa mengulangi dari awal bacaan al-Fatihah. Itu pun jika waktu dia melakukan kesalahan itu belum lama berlalu. Jika waktu melakukan kesalahan itu sudah lama berlalu, maka hendaklah dibaca dari awal surah al-Fatihah tersebut.
 
Jika dia senghaja ruku‘ sedangkan dia tahu hukum yang dia wajib memperbetulkan bacaan al-Fatihah itu sebelum ruku‘, maka batallah sembahyangnya. Adapun jika dia tidak senghaja ruku‘ misalnya kerana lupa ataupun tidak tahu hukumnya, maka rakaatnya itu tadi tidak dikira.
 
(7)Kembali Melakukan Perkara Sunat Yang Tertinggal
 
Apabila seseorang itu terlupa melakukan perkara-perkara sunat sembahyang seperti tasyahhud awal, qunut atau seumpamanya
daripada perkara-perkara yang melibatkan perbuatan sunat, maka dalam hal ini sama ada ia menjejaskan sahnya sembahyang atau sebaliknya dilihat kepada dua keadaan, iaitu:

Pertama: teringat belum melakukan perbuatan sunat yang tertinggal itu setelah sampai ke perbuatan seterusnya.
Kedua: teringat sebelum sampai ke perbuatan seterusnya.
Contoh bagi keadaan pertama; imam atau orang yang bersembahyang sendiri terlupa melakukan tasyahhud awal. Kemudian dia teringat bahawa dia belum lagi melakukan tasyahhud awal setelah dia sampai ke paras sekurang-kurang berdiri tegak. Maka dalam hal ini, dia tidak boleh kembali  duduk untuk melakukan tasyahhud awal. Jika dia senghaja kembali duduk sedangkan dia tahu hukumnya, maka batal sembahyangnya itu kerana menambah perbuatan sembahyang dengan senghaja. Adapun jika dia kembali duduk disebabkan terlupa atau tidak tahu hukumnya, maka tidaklah membatalkan sembahyangnya itu.
Contoh bagi keadaan yang kedua pula; imam atau orang yang bersembahyang sendiri terlupa melakukan tasyahhud awal. Kemudian dia teringat bahawa dia belum lagi melakukan tasyahhud awal sebelum dia sampai ke paras sekurang-kurang berdiri tegak. Dalam hal ini, jika dia kembali duduk untuk melakukan tasyahhud awal tidaklah membatalkan sembahyang, bahkan disunatkan dia melakukannya.
 
Demikianlah juga halnya, apabila imam atau orang yang sembahyang sendiri itu terlupa membaca qunut. Jika dia teringat setelah sujud dengan meletakkan semua anggota sujud, maka tidak boleh dia kembali berdiri untuk membaca qunut. Namun jika dia teringat sebelum sampai ke perbuatan sujud, maka sunat dia kembali berdiri untuk membaca qunut.
 
Berbeza pula halnya dengan makmum yang mana makmum jika terlupa tasyahhud awal, kemudian dia terus berdiri tegak sedangkan imam duduk melakukan tasyahhud awal ataupun makmum dan imam terlupa tasyahhud awal akan tetapi imam teringat sebelum berdiri tegak, lalu imam duduk melakukan tasyahhud awal sedang makmum telah berdiri tegak, maka dalam kedua keadaan ini, makmum wajib kembali duduk untuk melakukan tasyahhud awal kerana mengikut imam. Jika dia tidak kembali duduk untuk bertasyahhud awal bersama-sama imam, sembahyangnya menjadi batal jika dia tidak berniat untuk mufaraqah yakni berpisah daripada mengikut imam.
 
Adapun jika imam dan makmum telah berdiri tegak, lalu imam kembali duduk untuk melakukan tasyahhud awal, maka makmum hendaklah mufaraqah yakni berpisah daripada mengikut imamnya.
Jika makmum senghaja mengikut imamnya kembali duduk dan dia tahu akan hukumnya (tidak harus kembali unutk duduk tasyahhud awal), maka batal sembahyang makmum itu. Adapun jika makmum itu terlupa atau tidak tahu akan hukumnya, maka tidaklah batal sembahyangnya.
 Sebagai kesimpulan, laksanakanlah ibadah sembahyang itu dengan bersungguh-sungguh dengan menyempurnakan segala rukun dan syaratnya sebagaimana yang dituntut. Sembahyang yang dilakukan sambil lewa dengan tidak melakukan rukun dan syaratnya yang terkandung di dalamnya dengan sempurna akan mengakibatkan sembahyang seseorang itu tidak sah.
 
Di samping menjaga rukun-rukun sembahyang, perkara-perkara sunat juga hendaklah dilakukan dengan sebaiknya kerana ia akan menambahkan lagi kualiti sembahyang itu di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Dari itu peliharalah sembahyang dan tunaikanlah dengan sebaikbaiknya dan janganlah mengerjakannya bagai melepaskan batuk di tangga.

Sumber : Mufti Brunei

Comments

Popular posts from this blog