Wahai pemimpin! kemewahan diri bukan kehebatanmu

Oleh: DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN

Saya terbaca dialog yang menarik antara khalifah yang sangat adil, Umar bin Abdul Aziz dan penasihatnya yang jujur Rajak bin Haiwah. Kata Rajak: Ketika Umar bin Abdul Aziz menjadi Gabenor Madinah, beliau pernah berkata kepadaku: Wahai Rajak! pergi belikan untukku sehelai baju.

Aku pun belikan untuknya sehelai baju yang bagus, harganya 500 dirham. Apabila aku membawanya kepada beliau, maka beliau memegangnya dan berkata: Bagus, cuma ia murah. Selepas beberapa tahun beliau menjadi khalifah, suatu hari beliau berkata kepadaku: Belikan untukku sehelai baju. Maka aku membeli untuknya baju yang murah lagi amat sederhana, harganya hanya 5 dirham. Apabila aku membawanya kepada beliau, maka beliau memegangnya dan berkata: Bagus, cuma ia mahal. Aku kehairanan, bagaimana mungkin baju yang aku beli untuknya di Madinah beberapa tahun lalu dengan harga 500 dirham dianggap murah dan baju yang aku beli sekarang dengan harga 5 dirham dianggap mahal. Perasaanku tersentuh dengan perkataan beliau dan aku pun menangis. Umar bertanya: Apa yang membuatkan engkau menangis wahai Rajak? Kataku: Perkataanmu wahai Amirulmukminin, bagaimana mungkin engkau menganggap baju lepas yang berharga lima ratus dirham murah, dan baju sekarang yang berharga lima dirham mahal? Kata Umar: Wahai Rajak, sesungguhnya aku memiliki jiwa yang sentiasa berkeinginan. Setiap kali aku mencapai sesuatu, jiwaku inginkan sesuatu yang lebih dari itu. Wahai Rajak! Jiwaku inginkan sepupuku Fatimah binti Abdul Malik, lalu aku mengahwininya. Kemudian jiwaku inginkan jawatan gabenor, lalu aku dilantik memegangnya. Kemudian jiwaku inginkan jawatan khalifah, lalu aku mencapainya. Sekarang jiwaku inginkan syurga, aku harap aku dapat menjadi penghuninya. (lihat: Salah al-Khalidi, Al-Khittah al-Barraqah lizi al-Nafs al-Tauwaqah, 93-94, Damsyik: Dar al-Qalam).

Demikianlah jiwa seorang pemimpin yang mencatatkan sejarah keadilan kepimpinannya dengan tinta emas. Dia hanya memerintah dua tahun, tetapi mengukir namanya dengan penuh keindahan di persada sejarah. Hubungan jiwanya dengan habuan kekal yang diharapkan di sisi Allah pada hari akhirat menjadikan kepimpinannya penuh keadilan dan rahmat Allah sekalipun pakaiannya hanya dari kain murahan, tetapi keadilannya tidak dapat dibeli dengan apa-apa harga. Sejarah tidak pernah mengenangkan kemewahan harga baju atau kediaman seorang pemerintah dengan kenangan indah. Bahkan dalam sejarah, sikap suka bermewah-mewah pemerintah menggunakan harta rakyat banyak menghasilkan mimpi ngeri dan babak hitam bagi kehidupan rakyat. Namun sejarah indah hanya akan mengingati keadilan dan amanahnya seorang penguasa, sekalipun bajunya buruk. Lihatlah tampungan pada baju Khalifah Umar bin al-Khattab r.a., namun jiwa rakyatnya tidak pernah berlubang seperti bajunya. Amanah dan keadilan meliputi pemerintahannya. Entah berapa ramai pemimpin yang baju mereka megah dan mewah, namun jiwa dan perasaan rakyat mereka sentiasa terkoyak dan carik. Kesilapan besarlah seorang pemimpin jika merasakan dia dihormati kerana gaya mewahnya yang menjulingkan mata rakyat. Dia lupa pemimpin dihormati kerana jasa, prihatin, amanah dan keadilan pemerintahannya. Bukan kerana kenderaan mewah, rumah yang megah, paip yang panjang, isteri yang berhias permata berlian atau cermin mata yang pekat hitam sehingga dia buta penderitaan rakyatnya. Tidak! Sesungguhnya tidak. Itu semua menimbulkan curiga, prasangka dan kedengkian perasaan yang memburukkan kasih sayang antara orang bawahan dan atasan.

Saya tidak pernah menyeru pemimpin dunia Islam hidup kemiskinan, kelaparan, memakai pakaian buruk dan tinggal di rumah yang nak roboh atau berkenderaan cabuk. Tidak! Mungkin gaya yang hebat juga diperlukan untuk politik zaman kini yang terpaksa menghadapi persaingan musuh-musuh yang pelbagai. Mereka boleh bermewahan jika itu adalah harta mereka yang halal. Mereka boleh memakai dan memiliki apa yang mereka mahu, jika itu datang dari sumber yang Allah reda. Saya tahu, ada pemimpin yang berharta hasil usahanya sendiri. Bahkan kekayaan sesetengah pemimpin melimpah untuk rakyatnya dengan keikhlasan dan kasih sayang. Perlis barangkali antara contoh yang baik dalam hal ini. Namun di sesetengah negara dan negeri, keranggian pemimpin yang bergaya dengan hartanya menimbulkan kejengkelan dalam jiwa rakyat. Sehingga seakan perlambangan seorang pemimpin itu, bukan kerana kewibawaannya atau adab dan karismanya, keadilannya, sebaliknya adalah harta dan kekayaannya yang ditunjuk- tunjukkan. Rumah pemimpin dikenali bukan kerana dipenuhi rakyat yang mengadu hal derita mereka tetapi kerana pagarnya yang besar, dan kemewahan luar dan dalamnya. Kereta pemimpin dikenali bukan kerana kerap sampai ke tempat rakyat tetapi kerana luar biasa harganya. Isteri pemimpin dikenali bukan kerana adab dan sopannya terhadap rakyat, tetapi kerana gaya ranggi dan hiasan diri yang mahal- mahal. Maka sesetengah pemimpin merasakan dirinya berada pada kasta yang tinggi dan rakyat pada kasta bawahan. Maka wakil rakyat ada yang bertukar menjadi tokeh rakyat. Jika hal ini berlaku, politik kedengkian akan subur dan terus merebak lalu umat ini terus bergolak. Saya terbaca dalam Musannaf Abi Syaibah riwayat yang menceritakan apabila dibawa kepada Sayidina Umar harta rampasan Maharaja Kisra Parsi yang begitu banyak dan menakjubkan, maka beliau pun menangis. Lalu ditanya kepadanya: Apa yang membuatkan engkau menangis wahai Amirulmukminin, padahal hari ini adalah hari kesyukuran, kegembiraan dan keseronokan. Jawab Umar: Tidak ada kaum yang banyak pada mereka benda ini (harta) melainkan Allah campakkan di antara mereka permusuhan dan kebencian (8/147). Islam bukanlah anti harta, tetapi Islam memusuhi penyalahgunaan harta dan kemewahan yang mengheret kemusnahan. Masyarakat Islam perlu kaya, tetapi kekayaan yang membawa kekuatan kepada umat, bukan hanya untuk keborosan individu. Jika ramai yang kaya tetapi tidak berbakti kepada umat, untuk apa kita berbangga dengan kekayaan mereka?

Jika pemimpin menjadikan harta dan gaya mewah teras kekuatannya, bukan keadilan dan kewibawaannya, maka insan-insan munafik dan pelahap harta akan mengelilinginya. Dia dipuji kerana harta yang boleh diberi. Dia akan sukar menemui insan jujur yang sudi menegur tanpa minta dibalas dan menasihati kerana ikhlas. Maka kesilapannya tidak dibetulkan, kesalahannya tidak diingatkan. Lalu dia tenggelam dalam pujian dusta dan khianat, kerana setiap yang ada di kelilingnya tidak pernah berfikir tentang nasib pemimpin mereka di akhirat sebaliknya hanya berfikir tentang untung mereka di dunia. Jika ada tokoh berlabel agama di sekitarnya pun, tidak akan berfungsi jika harta yang dicarinya. Akhirnya, ulama hanya mainan orang politik, bukan orang politik dipandu oleh ulama. Allah berfirman dalam surah al-Ahzab ayat 66-68: (maksudnya) Pada masa muka mereka dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata (dengan sesalnya): Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah serta taat kepada Rasul Allah. Dan mereka berkata lagi: Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar. Wahai Tuhan kami, berilah mereka azab sengsara dua kali ganda, dan laknatkanlah mereka dengan laknat yang sebesar-besarnya! Justeru itu dalam hadis baginda menyebut: Sesungguhnya Allah meredai kamu tiga perkara, dan memurkai kamu tiga perkara. Dia meredai kamu jika (pertama) kamu beribadah kepada-Nya dan tidak menyekutukan-Nya sedikit pun, (kedua) kamu berpegang teguh dengan tali Allah kesemuanya. (ketiga) Kamu menasihati sesiapa yang Allah jadikan dia memerintah urusan kamu. Dia memurkai kamu banyak bercakap (yang tiada faedah), menghilangkan harta dan banyak bertanya (maksudnya pertanyaan yang tidak berfaedah) (Riwayat Malik dalam al-Muwatta).

Hari ini, banyak sukatan dan ukuran berubah. Ramai yang tidak memiliki idealisme atau karisma kepimpinan menjadi pemimpin hanya kerana harta atau kem politiknya yang berjaya, lalu dia pun dibakulkan sekali. Apabila seseorang naik dalam politik kerana hasil umpan hartanya semata, tentu dia inginkan pulangan modalnya. Maka rasuah dan politik wang akan berleluasa. Jika dia naik dalam politik kerana ketajaman idealisme dan karismanya, maka sudah pasti dia ingin membuktikan kemampuan pemikiran yang bernas itu untuk dimanfaatkan masyarakat. Maka rakyat mendapat pulangan faedah yang besar daripada pemimpin yang berwibawa dan berkarisma, tetapi akan terpaksa membayar harga yang tinggi terhadap pemimpin yang diangkat kerana umpan hartanya. Maka akhirnya, golongan Ruwaibidoh akan menguasai masyarakat. Al-Ruwaibidoh adalah satu istilah yang diguna pakai oleh Nabi s.a.w. untuk menggambarkan golongan yang akan muncul menjelang kiamat. Mereka adalah kelompok yang tidak berkualiti tetapi ingin berbicara persoalan besar. Sabda baginda: Sesungguhnya sebelum kedatangan dajjal-dalam riwayat yang lain: sebelum kiamat  adanya tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu didustakan orang yang benar, dianggap benar orang yang dusta, dianggap khianat orang yang amanah, dianggap amanah orang yang khianat, dan bercakap ketika itu al- Ruwaibidoh. Para sahabat bertanya: Siapakah al-Ruwaibidoh? Sabda Nabi s.a.w.: Orang lekeh yang berbicara mengenai urusan awam (orang ramai). Hadis ini diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, Abu Yala, al-Bazzar, Ibnu Majah, al-Kharaiti, dan al- Hakim. Al-Hakim menyatakan isnadnya sahih dan ini disetujui oleh Al-Zahabi.

Maka menjadi tanggungjawab rakyat dan kepimpinan memastikan setiap tokoh yang akan dilantik adalah kerana kewibawaannya. Karisma atau kewibawaan dirujuk kepada dua persoalan asas; pertama; pegangannya kepada agama secara menepati al- Quran dan sunah. Ini kerana kemuliaan umat ini mempunyai kaitan yang tidak boleh dipisah dengan penghayatan seseorang terhadap ajaran Allah dan Rasul-Nya. Kedua; kemampuannya memegang amanah kepimpinan dalam erti kata mampu memimpin umat ke arah kecemerlangan hidup di dunia dan akhirat. Bukan semestinya lebai atau ustaz, tetapi iltizam dan keupayaan. Bukan kemewahan harta atau lebar serbannya tetapi kewibawaannya. Firman Allah: (maksudnya) Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. (an-Nisa ayat 58).

Amatlah dukacita bagi sebuah masyarakat yang apabila disebut pemimpin politik lalu terus terbayang dalam pemikiran tentang limpahan harta dan gaya mewahnya, bukan ketajaman minda atau keprihatinannya kepada rakyat. Kita suka pemimpin yang berharta, jika itu membolehkannya membantu rakyat khususnya muslimin. Namun hendaklah kekayaan hasil titik peluhnya atau usahanya yang tidak mencemarkan kepentingan harta rakyat. Jika itu dapat dilakukan, dia bukan sahaja memimpin idea yang baik, juga penderma yang membawa kebaikan untuk rakyat. Kekayaan pemimpin mesti untuk manfaat rakyat. Maka dengan itu dia dipilih di samping kewibawaannya juga kerana kesudiannya menghulurkan bantuan, bukan membisneskan harta rakyat.

Dalam Musannaf Abi Syaibah juga meriwayatkan surat Amirulmukminin Umar bin al-Khattab r.a. kepada gabenornya Abu Musa al-Asyari r.a., antara isinya: Sesungguhnya pemimpin yang paling bahagia ialah mereka yang menyebabkan rakyatnya bahagia, dan pemimpin yang paling celaka ialah yang menyebabkan rakyatnya celaka. Jaga-jaga engkau jangan bermewah-mewahan, nanti pegawai-pegawaimu juga akan bermewah-mewahan. (8/147).
Maka seorang pemimpin itu mestilah mempunyai penasihat-penasihat yang baik. Mereka menasihatinya dengan jujur, dan hendaklah selalu dia berkata berikan pendapat yang ikhlas lagi diredai Allah kepada saya. Sabda Nabi s.a.w.: Tidak dilantik seorang khalifah melainkan akan ada baginya dua bitanah (penasihat yang rapat). (Pertama) Bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kebaikan serta menggalakkannya. (Kedua) bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kejahatan serta menggalakkannya. Hanya selamat ialah sesiapa yang selamatkan Allah (Riwayat al- Bukhari dan al-Nasai). Semua pemimpin hendaklah memastikan perdampingan dengan penasihatan yang baik itu benar-benar dihayati dalam kepimpinannya. Inilah jalan selamat setiap kepimpinan. Umara jujur hendaklah selalu bersama para ulama yang ikhlas. Keikhlasan para ulama menyuburkan keadilan pemerintah. Maka haram dan khianatlah ulama jika mereka mengampu sehingga pemimpin terbuai nyenyak dalam kesalahan.

- DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN ialah Bekas Mufti Kerajaan Negeri Perlis. 
E-mel: moasriza@yahoo.com

Comments

Popular posts from this blog