Wajah sebenar Rusia

St. Petersburg - bandar kedua terbesar Rusia, antara bandar tercantik dunia dikenali sebagai Venice of the North mempunyai 60 jambatan bersejarah. 
 
MENARIK ke Rusia? Itu soalan sinis seorang teman apabila kami menyuarakan hasrat ke Rusia - sebuah negara bekas Soviet Union yang sering dilabelkan media Barat sebagai tidak mesra pelancong.
Malah Perbadanan Penyiaran British (BBC) menyenaraikan Rusia sebagai sebuah daripada lima negara tidak popular di dunia, namum pengalaman kami membuktikan sebaliknya. Selain Iran, Pakistan, Korea Utara dan Israel - membuatkan saya dan suami semakin teruja menjejakkan kaki di negara ini.

Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Domodedova, Moscow, kami ke terminal domestik untuk menaiki penerbangan Aeroflot ke St. Petersburg. Sebut sahaja Aeroflot - penerbangan nasional Rusia, terasa gerun dan terbayang pesawat lama era Soviet jenis Ilyushin. 

Namun bila menjejak kaki dalam pesawat, sangkaan kami meleset, Aeroflot menggunakan pesawat moden - Airbus 319. Lega! Pesawat lama era Soviet dilihat tersadai di pinggir lapangan terbang.
Setelah 55 minit, kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulkova, St. Petersburg - antara yang terbesar dan termoden di Rusia. St. Petersburg - bandar kedua terbesar Rusia, antara bandar tercantik dunia dikenali sebagai Venice of the North mempunyai 60 jambatan bersejarah, terletak di tebing Sungai Neva di hulu Teluk Finland yang terletak di Laut Baltik. 

Nama St. Petersburg diambil daripada nama pengasasnya Tsar Peter 1 atau Tsar Peter the Great pada 1703. Ia dijadikan ibu kota Empayar Rusia pada tahun berikutnya hingga ke 1918 bila ibu kota Rusia dipindahkan ke Moscow. Pada 1914, nama St. Petersburg ditukar menjadi Petrograd - bermakna Peter's City sehingga 1924 bila namanya ditukar menjadi Leningrad sempena nama pemimpin Revolusi Bolshevik 1917 - Vladimir Lenin. Selepas kejatuhan Empayar Soviet Union pada 1991, nama Leningrad ditukar ke asalnya iaitu St. Petersburg.

Bandar St. Petersburg dihuni lima juta penduduk, bukan sahaja sebagai pelabuhan dagang Rusia di Laut Baltik tetapi simbol sejarah Rusia baru, kaya dengan peradaban, warisan dan senibina menakjubkan. Tidak hairanlah pusat sejarah dan peninggalan St. Petersburg diisytihar UNESCO sebagai tapak warisan dunia dengan 8,000 monumen dalam pemantauan badan dunia itu.

Semasa di St. Petersburg, waktu siang lebih panjang kerana semasa musim panas (pertengahan Mei hingga Julai) kedudukan bandar ini terletak di Garisan Lintang 60 Darjah Utara. Keadaan seperti senja sepanjang malam dipanggil white night

Hari pertama, kami melawat banyak tempat menarik termasuk Palace Square dan menyaksikan The Angel Crowning Alexander Column setinggi 47.5 meter di tengahnya. 

Seterusnya melawat Winter Palace iaitu kediaman rasmi Tsar Rusia dari 1732 hingga 1917 - antara lima bangunan yang digabungkan sebagai State Heritage Museum. Muzium terbesar dunia ini menyimpan lebih tiga juta artifak dan mempamerkan pelbagai lukisan dari seluruh dunia.

Sebelah petangnya kami ke gereja St. Isaac yang dibina pada abad ke-19 dan menjadi mercu tanda St. Petersburg. Tidak jauh dari situ, terletaknya Dataran St. Isaac di mana terdapat Monument of Nicholas 1. Seterusnya kami ke Decembrist Square yang menempatkan monumen Peter the Great dikenali sebagai the Bronze Horseman

Kami kemudiannya ke masjid St. Petersburg - iaitu yang terbesar di Eropah semasa pembukaannya pada 1913, terletak di tebing kanan Sungai Neva. Kami bersolat di sana.

Esoknya kami ke Vasilievsky Island, di Delta Neva bertentangan Winter Palace. Pulau tersebut sebahagian daripada St. Petersburg dan dihubungkan dua jambatan terkenal dari tanah besar - Palace Bridge dan Blagovshchensky. 

Dalam perjalanan, kami melihat Rostral Column berwarna merah dengan reka bentuk dan hiasan cantik - mercu tanda pelabuhan lama St. Petersburg. Seterusnya kami ke bangunan Peter and Paul Cathedral yang dibina dalam kota bersejarah dan tertua St. Petersburg. Sebenarnya Peter and Paul Cathedral adalah tempat pemakaman Maharaja dan Maharani Rusia sejak Peter the Great hingga Alexander III.

Berikutnya kami ke Artillery Museum iaitu muzium tentera terbesar dikendalikan Kementerian Pertahanan Russia. Pelbagai senjata dan peralatan tentera dari zaman Dzar Russia hingga kini dipamerkan.
Penulis dan suami bergambar di hadapan State Historical Museum di Red Square, Moscow. 
 
Selepas makan, kami ke Summer Garden dan Kamenny Island yang diasaskan oleh Peter the Great di abad ke-20. Di situ letaknya Summer Palace - muzium yang menempatkan pelbagai artifak peninggalan Peter the Great dan keluarga. Kami turut melawat Church on the Spilled Blood - yang asalnya gereja ortodoks Rusia sebelum ke Kazan Cathedral.

Setelah penat melawat tempat bersejarah, kami membeli-belah di kawasan terkenal di Nevsky Prospekt. 

Esoknya, kami ke Great Palace of Petrohof atau Petrodvorets - dipinggir Teluk Finland, 25 kilometer ke barat St. Petersburg. Kompleks istana dan taman berkenaan dibina pada awal kurun ke-18 oleh Tzar Peter the Great, mengandungi istana dan gereja serta taman indah dengan patung keemasan serta pancuran air serta Grand Cascade dan Grand Canal yang dihubungkan sehingga ke Teluk Finland. 

Di sana kami menyaksikan pelbagai khazanah Empayar Rusia tersimpan di istana yang telah dijadikan muzium. Selepas itu kami melawat kapal perang penjelajah yang dijadikan muzium laut pada 1957 - Aurora Battle Cruise Museum, diikuti Monument of the Heroic Defenders of Leningrad iaitu tugu peringatan untuk tentera dan penduduk yang mempertahankan Leningrad daripada serangan Tentera Nazi semasa Perang Dunia Kedua. 

Seterusnya kami ke Nikolsky Cathedral, Art Square dan Mikhailocsky Palace untuk menikmati keindahan senibina unik. Kami tidak melepaskan peluang mengelilingi St Petersburg dengan cruise. 

Petangnya, kami ke Vitebsky Railway Terminal untuk menaiki kereta api malam ke Moscow. Walaupun mengambil masa tujuh jam, kami tidak bosan kerana menikmati pemandangan indah sepanjang jalan. 

Moscow adalah ibu negara Rusia sejak 1918 hingga kini. Ia adalah pusat politik, ekonomi, kewangan, pendidikan dan pengangkutan utama di Rusia. Terletak di tebing Sungai Moskva - ia antara bandar raya terbesar di Eropah dengan penduduk 11.5 juta orang.

Tiba di Moscow, kami terus ke Moscow Cathedral Mosque atau Tartar Mosque yang dibina pada 1904 tetapi diruntuhkan pada 2011 untuk pembinaan masjid baru dan moden yang dijangka siap pada 2014 atau 2015.

Seterusnya kami ke Moscow's Metro atau Underground Palace iaitu salah satu sistem subway tercantik dunia, sangat terkenal kerana lukisan, hiasan dinding, mozaik dan perhiasan chandelier. Metro Moscow yang dibuka pada 1935, antara tersibuk di dunia dengan purata tujuh juta penumpang sehari. 

Sebelah petang kami ke Arbat Street, luntuk membeli-belah. Kebersihan kawasannya sangat terjaga.

Hari terakhir, kami melawat Red Square di tengah Moscow- dataran awam yang biasa digunakan untuk pengisytiharan dan upacara rasmi Kerajaan Rusia. Dari situ, kami dapat melihat dengan jelas gejera St. Basil - mercu tanda terkenal Moscow dengan menara dan kubah berbentuk bawang dan warna-warni.

Di sebelahnya, Spasskaya Bell Tower berwarna merah yang dibina pada 1491. Jam menara ini biasa dirujuk sebagai Jam Loceng Kremlin (Kremlin Chimes) menjadi jam rasmi Moscow. Di puncak Spasskaya Tower terdapat lambang bintang Kremlin Star. Di sisinya, Lenin's Mausoleum tempat bersemadinya Vladimir Lenin pengasas Parti Komunis Soviet.

Kami membeli-belah di GUM Department Store - yang terkenal dengan butik dan kedai berjenama sebelum ke kota Kremlin - kawasan kompleks dikelilingi tembok bersejarah berbentuk tiga segi di mana sempadan selatannya Sungai Moskva, baratnya Alexander Garden dan timur, gereja St. Basil dan Red Square. 

Di kompleks tersebut terdapat lima istana dan empat gereja. Kremlin adalah kediaman rasmi Presiden Rusia. Ia dirujuk sebagai Kerajaan Soviet Union dari 1922 hingga 1991 dan Kerajaan Republik Persekutuan Rusia dari 1991 hingga kini. Kami sempat melawat State Armory Museum - muzium tertua Rusia yang menyimpan pelbagai artifak sejak kurun ke-14. Juga menempatkan tiga gereja serangkai - Cathedrals Assumption, Annunciation and the Deposition of the Robe.

Malam terakhir di Moscow, kami menonton Russian Circus yang terkenal di sebuah panggung klasik. Pertunjukan ini agak istimewa kerana kami dapat menonton di tempatnya sendiri - Moscow.

Selepas sarapan kami ke Lapangan Terbang Antarabangsa Domodedovo, Moscow untuk pulang ke Malaysia dengan kenangan manis. 

Terbukti apa yang dikatakan oleh Barat tidak benar. Rusia adalah negara yang menarik untuk dilawati.


Comments

Popular posts from this blog