Kenyataan Akhbar Berhubung Isu Kemurkaan Baginda Sultan Selangor Terhadap Ahli Parlimen Shah Alam 

 


Saya terkejut apabila mendengar ucapan DYMM Sultan Selangor yang menyatakan bahawa Baginda murka dengan saya. Ianya datang secara tiba-tiba dan amat menyedihkan bagi diri saya secara peribadi.

Laporan akhbar yang dirujuk DYMM Sultan adalah bertarikh 18 Jun 2014 iaitu sebulan sebelum ini. Selepas tarikh itu, saya telah dijemput ke majlis berbuka puasa di Masjid Negeri bersama DYMM Sultan pada 30 Jun. Saya sempat bersalaman dengan Baginda sebelum meninggalkan majlis untuk ke majlis lain selepas Solat Maghrib dan berbuka bersama. Pada ketika itu Baginda Sultan bersalaman baik dengan saya dan tidak dikatakan apa-apa. Oleh itu, apabila isu ini meletup sebegini rupa, saya amat sedih dan terkejut.

Pada masa sama saya dikatakan bertindak biadap, jahil dan mempersoalkan serta mencabar kuasa DYMM Sultan. Saya meminta maaf dan ampun sekiranya apa yang saya sebut atau tulis memberikan gambaran sedemikian rupa kepada DYMM Sultan Selangor. Saya tiada niat walaupun seberat zarrah untuk bertindak biadap apatah lagi mencabar kuasa DYMM Sultan.

Saya yakin ini semua adalah hasil salah faham dan maklumat kerana kesetiaan saya kepada Negeri Selangor dan Sultannya tidak berbelah bagi. Walaupun tidak dilahirkan di Selangor dan kedua ibu bapa berasal dari Muar Johor, saya telah bermastautin di Selangor lebih 50 tahun dan mencurah bakti semasa zaman berkerja di negeri Selangor untuk berpuluh tahun. Ibu saya turut bermastautin di Selangor dan Almarhum ayah saya dikebumikan juga di Selangor.

Cadangan saya supaya kerajaan Negeri mengkaji kemungkinan kuasa eksekutif ditarik dari MAIS adalah demi menjaga nama baik MAIS dan juga Baginda. Cadangan yang saya kemukakan bukan bertujuan mencabar kuasa Sultan sebagai ketua agama Islam di Negeri Selangor, atau MAIS sebagai penasihat kepada DYMM Sultan dalam menjalankan tugas Baginda. Kedudukan Baginda dan MAIS tetap tidak berubah sebagai pihak yang berkuasa atas agama Islam apabila bertindak sebagai penggubal dasar dalam semua urusan berhubung agama Islam di Negeri Selangor. Perubahan yang dicadangkan adalah hanya sekadar dari sudut perlaksanaan di mana dasar yang telah ditentukan Baginda melalui MAIS diserahkan kepada Kerajaan Negeri di bawah port-folio exco agama untuk dilaksanakan.

Cadangan ini dikemukakan kerana yang selalu menimbulkan masalah adalah dari sudut perlaksanaan, samada berhemah atau sebaliknya. Maka apabila perlaksanaan diserahkan kepada kerajaan, segala permasalahan yang timbul hasil perlaksanaan, termasuk kemarahan pihak-pihak tertentu, akan ditujukan bukan kepada MAIS dan dengan itu DYMM Sultan, tetapi sebaliknya terhadap kerajaan dan exco agama itu sendiri. Kerajaan yang rapat dengan masyarakat, memahami selok-belok politik seharusnya bertindak dengan lebih berhemah menepati keperluan keadaan dan suasana sambil mencapai hajat yang diinginkan Baginda.

Mengikut cadangan ini maka kedudukan MAIS boleh disamakan dengan Dewan Undangan Negeri Selangor yang menentukan dasar untuk dilaksanakan oleh kerajaan sebagai badan eksekutif. Hanya bezanya ialah MAIS menjurus khusus kepada persoalan agama Islam dan urus tadbir hal ehwal agama Islam di Negeri Selangor.

Cadangan yang saya kemukakan bertujuan menyelamatkan Tuanku dari cemuhan, yang terbuka dan tertutup dan sekiranya cadangan ini tidak diterima sekali pun, lebih-lebih lagi oleh DYMM Sultan, maka ianya hanya cadangan yang berniat baik terhadap peribadi DYMM Sultan sendiri.

Pada masa sama cadangan ini mampu mengurangkan ‘pergeseran’ antara Kerajaan Negeri dan MAIS atas isu-isu tertentu di mana ‘pergeseran’ ini juga menjejas imej Islam.

Saya akui akan pentingnya peranan MAIS dalam soal menjaga kesucian agama Islam dan urus tadbir ini dan ingin menegaskan bahawa saya turut kongsi kommitmen yang sama sepertimana juga saya yakin, PAS dan kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor.

Dalam soal menetang fahaman golongan ekstremis agama, liberalis agama dan pluralisme agama, saya ingin menjelaskan bahawa saya turut bersama dalam persoalan ini sepertimana juga saya yakin PAS dan kerajaan PR Selangor. Wawasan Tuanku supaya rakyat Selangor berpegang kepada Islam ‘moderate’ berdasarkan aqeedah Ahli Sunnah Wal Jamaah juga dikongsi bersama.

Kenyataan DYMM Sultan Selangor dalam ucapan sama bahawa MAIS menjamin hak kebebasan agama dan menghormati orang bukan Islam adalah amat dialu-alukan. Dan dalam soal ini saya turut ingin berperanan menjamin bahawa hak ini yang dijamin Islam sentiasa terzahir.

Saya yakin bahawa keadaan kemurkaan Baginda terhadap diri saya adalah hasil dari salah faham dan maklumat. Saya harap oleh itu DYMM Sultan Selangor akan berkenan memberikan kebenaran untuk saya mengadap untuk memperjelaskan keadaan. Atas apa-apa kesilapan dan keterlanjuran saya memohon ampun dan maaf.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD
 
 http://www.khalidsamad.com/2014/07/kenyataan-akhbar-berhubung-isu.html#more
 
 

Comments

Popular posts from this blog