BATAS-BATAS AURAT & MAHRAM DALAM ISLAM
BATAS-BATAS AURAT DALAM ISLAM
بسم الله الرحمن الرحيم، الحمد لله رب
العالمين، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن والاه، وبعد.
Aurat dari segi bahasa; ialah keaiban.
Manakala dari segi istilah Syarak; ialah
bahagian-bahagian tertentu pada tubuh manusia yang wajib ditutup.
Jadi, aurat bermaksud bahagia-bahagian tertentu yang
wajib dilindungi daripada pandangan orang ajnabi (orang yang boleh berkahwin dengannya) kerana
perbuatan tersebut dianggap suatu yang mengaibkan di sisi agama Islam.
AURAT KETIKA BERSENDIRIAN
1. Ulama’ Mazhab Hanafi dan Hambali berpendapat:
“Sebagaimana dilarang seorang mukallaf (orang yang dituntut beramal
dengan suruhan dan meninggalkan larangan) mendedahkan aurat ketika berhadapan
dengan orang yang dilarang melihat auratnya, maka demikian juga dilarang
mendedahkan auratnya ketika ia bersendirian kecuali ketika dharurat atau
terpaksa dibuka seperti ketika qadha’ hajat atau ketika mandi. Ketika dharurat
diharuskan membukanya”.
2. Sementara Ulama’ Mazhab Maliki dan Syafi’ie
berpendapat: “Ketika seseorang itu bersendirian, tidak diharamkan mendedahkan
auratnya hanya makruh kecuali ketika dharurat kerana ketika dharurat diharuskan
membukanya”.
BATAS-BATAS AURAT LELAKI
Rasulullah SAW bersabda:
عنِ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:
((لَا يَنْظُرُ الرَّجُلُ
إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ، وَلَا الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ، وَلَا يُفْضِي
الرَّجُلُ إِلَى الرَّجُلِ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ، وَلَا تُفْضِي الْمَرْأَةُ إِلَى الْمَرْأَةِ
فِي الثَّوْبِ الْوَاحِدِ)) [صحيح مسلم]
Maksudnya: “Seorang lelaki tidak boleh melihat aurat
lelaki lain, demikian juga wanita tidak boleh melihat aurat wanita yang lain.
Tidak boleh dua orang lelaki berada (tidur) dalam satu selimut demikian juga
dengan wanita dilarang berbuat demikian”. [HR Muslim].
Ulama mempunyai pelbagai pendapat dalam hal had atau
batas aurat lelaki ini;
1. Mazhab Hanafi dan Hambali berpendapat: “Lelaki
diwajibkan menutup auratnya di antara pusat hingga lutut daripada dilihat oleh
lelaki atau perempuan yang bukan mahramnya kecuali kepada isterinya. Selain
dari isterinya diharamkan melihat aurat di antara pusat hingga lututnya”.
Isteri boleh (harus) melihat aurat suami kecuali pada
kemaluan kerana melihat kemaluan masing-maisng adalah MAKRUH.
2. Imam Malik dan Imam Syafi’ie berpendapat: “Aurat
lelaki ada dua keadaan:
(1) Auratnya dengan sesama lelaki dan
perempuan yang mahram dengannya. Auratnya ialah di antara pusat hingga lutut
sahaja.
(2) Auratnya dengan perempuan yang bukan mahramnya.
Auratnya adalah seluruh tubuh badannya.
[Rujuk Kitab al-Fiqh ’Ala al-Mazahib Al-Arba’ah, jilid
1 dalam bab Mabhas Sitr Al-Aurah].
BATAS AURAT WANITA DENGAN LELAKI
Para Ulama’ bersepakat berpendapat bawah aurat
perempuan kepada lelaki yang bukan MAHRAMNYA ialah seluruh tubuh kecuali muka
dan kedua tapak tangannya. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT adalam surah
An-Nur ayat 31, Al-Ahzab ayat 53 dan ayat 59 serta riwayat beberapa buah
hadith.
Firman Allah SWT:
{وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ
إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ}
Maksudnya: {Dan janganlah mereka (wanita) menampakkan
perhiasannya kecuali apa yang biasa nampak daripadanya dan hendaklah mereka
menutup kain tudung mereka hingga ke bawah dada}. [An-Nur: 31].
{يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ
لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ
ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا}
الأحزاب (59)
Maksudnya: {Wahai Nabi, katakanlah kepada
isteri-isteri dan anak-anak perempuan kamu serta kepada para isteri orang
mukmin sekalian, hendaklah menghulurkan JILBAB mereka ke seluruh tubuh badan
mereka kerana dengan itu mereka akan mudah dikenali (sebagai wanita mukminah)
dan mereka selamat daripada gangguan. Dan sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun
lagi Maha Penyayang}. [Al-Ahzab: 59].
Firman Allah lagi:
{وَإِذَا سَأَلْتُمُوهُنَّ مَتَاعًا
فَاسْأَلُوهُنَّ مِنْ وَرَاءِ حِجَابٍ ذَلِكُمْ أَطْهَرُ لِقُلُوبِكُمْ وَقُلُوبِهِنَّ}
الأحزاب (53)
yang bermaksud: {Apabila kamu bertanya atau
meminta sesuatu keperluankepada mereka (isteri-isteri Nabi SAW), maka hendaklah
di sebalik tabir. Cara demikian adalah lebih mensucikan hati kamu dan hati mereka
…} [Al-Ahzab: 53]
Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari disebut
riwayat dari Ibn Syihab dari ’Urwah dan dari Aishah, R.anha berkata:
“Semoga Allah mencucuri rahmat kepada wanita-wanita
Muhajirin yang mulia iaitu tatkala Allah menurunkan ayat 31 surah An-Nur,
mereka teus mengoyak kain selendang lalu menutup diri mereka dengannya”. [Tafsir
Ibn Kathir juz 3 halaman 284]
HR Abu Daud daripada Saidatina Aisyah R.anha
bahawa suatu hari kakaknya iaitu Asma’ binti Abu Bakar datang mengadap
Rasulullah SAW sedangkan ia berpakaian nipis (jarang). Melihatkan keadaan itu,
Rasulullah SAW terus berpaling muka dan bersabda maksudnya: “Wahai Asma’,
apabila seorang wanita telah sampai masa haid (baligh), maka lelaki ajnabi
tidak boleh melihatnya, kecuali kadar had ini (Rasulullah SAW mengisyaratkan
pada muka dan kedua tapak tangannya).”
BATAS AURAT WANITA MENURUT ULAMA’ MAZHAB:
Antara batas aurat wanita yang telah ditetapkan oleh
syariat menurut pendapat dan fatwa mazhab ialah;
1. Di hadapan lelaki bukan mahramnya ialah seluruh
tubuh. Maksudnya semua termasuk rambutnya, mukanya, kedua tapak tangannya zahir
dan batinnya juga kedua tapak kakinya. Hukum ini berdasarkan sabda Nabi
Muhammad SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya wanita itu adalah aurat”. (HR
Al-Bazar dan At-Tirmizi).
2. Semasa seorang diri atau di hadapan lelaki
mahramnya atau di hadapan wanita Islam yang baik akhlaknya, batas auaratnya
adalah antara pusat hingga lutut. Walau bagaimanapun, bagi menjaga adab serta
memperhalusi akhklak ketika berhadapan dengan lelaki yang mahramnya, eloklah
wanita itu menjaga dan menutup auratnya yang selain dari pusat hingga lutut
agar tidak menimbulkan ghairah kepada lelaki walaupun darjatnya mahrahm
dengannya. Lebih-lebih lagi ditakuti akan timbul fitnah, kes sumbang mahram dan
lain-lain.
3. Di hadapan wanita kafir dan wanita yang rendah akhlaknya,
aurat wanita itu adalah seluruh tubuh kecuali anggota yang zahir ketika bekerja
iaitu kepala, muka, leher, dari dua tapak tangan hingga ke siku sahaja dan dua
tapak kakinya. Selain itu adalah diharamkan membukanya.
4. Aurat wanita sahaya (hamba) kepada lelaki yang
mahram dengannya dan sesama perempuan auratnya adalah dari pusat hingga lutut.
Dengan lelaki bukan mahram dengannya (ajnabi) auratnya adalah seluruh tubuh
badan.
Penjelasan-penjelasan ulama tentang batas-batas aurat
wanita di hadapan lelaki ajnabi (bukan mahram).
Perbezaan pendapat;
1. MAZHAB SYAFI’IE: ada 2 qaul;
a) Qaul pertama: Aurat wanita merdeka di
hadapan lelaki ajnabi ialah seluruh tubuh badan tanpa kecuali. Qaul ini adalah
qaul yang paling soheh dalam Mazhab Syaf’ie.
b) Qaul kedua: Aurat wanita di hadapan lelaki
ajnabi ialah seluruh tubuh badan kecuali muka dan dua tapak tangan. Walau
bagaimanapun, jika mendedah muka dan dua tapak tangan boleh menimbulkan fitnah
kepada wanita itu, maka ketika itu wajiblah menutup seluruh tubuh badan tanpa
kecuali. Fitnah iaitu ( ”apa yang lahir pada dirinya yang mana dengan
melihatnya boleh mendatangkan nafsu syahwat).
2. MAZHAB HAMBALI: ada 2 qaul;
a) Qaul pertama: Semua anggota wanita adalah aurat
tanpa kecuali kepada lelaki ajnabi.
b) Qaul kedua: Semua anggota tubuh wanita bagi lelaki
ajnabi (bukan mahram) adalah aurat kecuali muka dan dua tapak tangan. Tapi jika
mendedahkan boleh mendatangkan fitnah, maka wajiblah juga menutupnya.
3. MAZHAB HANAFI: ada 2 qaul;
a) Qaul pertama: Aurat wanita merdeka di hadapan
lelaki adalah seluruh tubuh kecuali muka dan dua tapak tangan. Walau
bagaimanapun, jika mendedahkan boleh mendatangkan fitnah, maka wajiblah juga
menutupnya.
b) Qaul kedua: Semua anggota tubuh wanita bagi lelaki
ajnabi (bukan mahram) adalah aurat kecuali muka dan dua tapak tangan hingga ke
pergelangan tangan dan dua tapak kaki.
4. MAZHAB MALIKI: Aurat wanita merdeka di
hadapan lelaki adalah seluruh tubuh kecuali muka dan dua tapak tangan. Walau
bagaimanapun, jika mendedahkan boleh mendatangkan fitnah, maka wajiblah juga
menutupnya.
SIAPAKAH YANG DIKATAKAN GOLONGAN MAHRAM BAGI WANITA.
1.
Bapa sendiri ( bapa kandung).
2.
Bapa suami (bapa mertua).
3.
Anak lelaki.
4.
Anak lelaki suaminya (anak tirinya atau anak isteri
lain bagi suaminya sama ada isteri itu masih hidup atau telah bercerai atau
meninggal) tetapi bukan anak dari bekas isteri suaminya dengan suami yang lain
yang dikahwininya setelah bercerai dengan suaminya.
5.
Saudara lelaki (adik atau abang seibu sebapa atau
seibu sahaja atau sebapa sahaja).
6.
Anak lelaki kepada saudara lelaki (anak saudara).
7.
Anak lelaki kepada saudara perempuan (anak saudara).
8.
Kanak-kanak lelaki yang bukan mahram yang belum
mengerti tentang aurat wanita (belum mumayyiz).
9.
Anak lelaki susuan.
10. Bapa susuan.
11. Saudara susuan.
12. Bapa saudara sususan,
datuk saudara susuan hingga ke atas, dan anak saudara susuan hingga ke bawah.
13. Menantu lelaki.
DIBOLEHKAN LELAKI BUKAN MAHRAM MELIHAT AURAT WANITA
DALAM BEBERAPA KEADAAN.
1. Ketika hendak meminang. Kadar sempadan aurat yang
hendak dilihat ialah muka dan kedua tapak tangan sahaja.
2. Ketika berjual beli.
3. Doktor atau tabib bertujuan mengubat.
4. Ketika hendak menjadi saksi.
5. Ketika mengajar.
Beberapa kesalahan yang biasa dilakukan oleh ramai
Muslimah samada mereka sedar atau tidak:
1) Berpakaian ketat dan menampakkan beberapa bahagian
anggota tubuh.
2) Menyerupai pakaian lelaki seperti berseluar panjang
dan berkemeja.
3) Menyerupai pakaian wanita-wanita kafir seperti
fesyen-fesyen terkini yang jelas bercanggah dengan cara berpakaian Muslimah.
4) Tidak menutup sebahagian anggota tubuh. Ada yang
nampak telinganya, nampak lehernya, nampak rambutnya, nampak lengannya, nampak
kakinya dan sebagainya.
5) Pakaian tersebut penuh dengan perhiasan.
6) Kainnya nipis sehingga boleh dilihat walaupun kain
tersebut menutup auratnya.
7) Pakaian yang dipakai mempunyai ciri-ciri
kemahsyuran, ke’glamour‘an dan nilai-nilai kesombongan orang yang memakainya.
Mudah-mudahan dengan tersenarainya beberapa hal di
atas, kita mendoakan agar saudara-saudara Muslimah kita semua dapat berubah dan
mengambil tindakan untuk memperbetulkannya. Bukan mereka semua sengaja mahu
langgar, tapi kadang-kadang akibat salah faham dan pengaruh sekeliling, maka
mereka keliru dan jauh dari petunjuk agama.
Pakaian Muslimah yang betul dan tepat dengan kehendak
syariat Islam ialah:
1) Menutup semua bahagian tubuh melainkan muka dan
tapak tangan.
2) Pakaian tersebut tidak mempunyai ciri-ciri
perhiasan yang boleh menarik perhatian.
3) Mestilah kainnya tebal. Mestilah tidak tembus
cahaya dan tidak boleh nampak anggota tubuh.
4) Mestilah longgar (tidak ketat), supaya tidak
menampakkan bentuk tubuh.
5) Tidak berwangi-wangian.
6) Tidak menyerupai pakaian lelaki.
7) Tidak menyerupai pakaian wanita kafir.
8) Pakaian tersebut mestilah tidak melambangkan
kemasyhuran atau kesombongan.
Lihat Perbincangan tentang Aurat Wanita di:
Akhukum:
Abu Anas Madani, 15 Jan 2013.
www.abuanasmadani.com - www.dartaibah.com
Comments
Post a Comment