USAHA, DOA, TAWAKAL, ISTIGHFAR
Bagi umat Islam, Allah SWT telah mendidik
mereka supaya bersegera memohon pertolongan dan bantuan daripada-Nya dalam apa
jua keadaan dan masalah yang mereka hadapi.
Sama ada doa itu berbentuk permohonan agar
diperkenankan sesuatu permintaan, sama ada untuk perkara yang telah berlalu,
sedang dan akan mendatang atau doa itu berbentuk permohonan agar dilepaskan
dari sesuatu mara bahaya atau masalah yang sedang mereka hadapi atau yang akan
mereka hadapi di masa akan datang.
Firman Allah SWT bermaksud: “Dan Tuhanmu
berfirman: “Berdoalah kepada Ku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu.
Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah Aku akan masuk
neraka dalam keadaan hina.” (Surah al-Mukmin, ayat 60).
Sudah menjadi fitrah manusia hidup dalam keadaan
sering mengharapkan perlindungan dan pertolongan Yang Maha Kuasa, apalagi
kedudukannya sebagai makhluk di hadapan Khaliqnya (PenciptaNya).
Kerana tabiat manusia itu adalah lemah dan
tidak berdaya dari semua aspek. Kelemahan dan ketidak upayaan ini boleh diatasi
jika manusia mendekat dan menyandarkan dirinya serta berlindung kepada Yang
Maha Kuasa, kerana hakikat kekuatan itu secara lahir dan batinnya bersumber
daripada Allah SWT.
Oleh yang demikian, manusia tidak boleh
terpisah dari Tuhannya, maka manusia perlu mendekatkan diri kepadaNya dengan
menyembah dan mengingatiNya di setiap waktu dan tempat. Sedangkan wasilah
(cara) untuk mendekatkan diri tersebut adalah melalui perantaraan ‘doa’, sebab
dengan berdoa membuktikan penghambaan kepada Allah SWT.
Orang yang selalu berdoa bererti dia
mengetahui hakikat dirinya dan hakikat Penciptanya yang mesti disembah dan
ditaati, seperti ungkapan seorang ulama’ salaf: “ Siapa mengenal dirinya pasti dia mengenal Tuhannya.”
Kita perlu memohon kepada Allah SWT. Selain bertujuan memohon apa yang dihajati,
doa juga dianggap satu ibadah. Sabda
Rasulullah SAW bermaksud: “Doa itu adalah ibadah, Tuhanmu telah berfirman,
berdoalah kamu kepadaKu, nescaya pasti aku akan perkenankan.”- ( Riwayat Abu
Daud, Tirmizi dan Ibn Majah).
Ketika memohon, hendaklah dilakukan dengan
sesungguh hati. Rasulullah SAW bersabda:
Wahai manusia, pintalah oleh kamu akan Dia dalam keadaan kamu semua yakin
dengan kemakbulan. Bahawasanya Allah tidak akan memakbulkan doa daripada
seorang hamba yang hatinya kosong dan lalai." - (Hadis riwayat Ahmad).
Mereka yang enggan mohon kepada Allah SWT,
dianggap sebagai orang yang sombong.
Allah SWT benci kepada orang yang memerlukan pertolongan, tetapi tidak
mahu memohon pertolongan kepada-Nya. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa
yang tidak memohon kepada Allah, nescaya Dia akan murka kepadanya” - (Hadis
riwayat Bukhari)
Allah sentiasa akan memperkenankan apa yang
dipohon kepada-Nya sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Sabda Rasulullah
SAW bermaksud: "Kalian mintalah kepada Allah daripada anugerah-Nya. Sesungguhnya, Allah senang untuk
diminta." - (Hadis riwayat Tirmizi).
Perkataan doa diambil dari Bahasa Arab
yang merupakan ‘nama terbitan’ (masdar) dari kata kerja (perbuatan) ‘Da’aa,
yang secara etimologinya (bahasa) bererti ‘seruan’, panggilan, ajakan atau
permintaan. Jika ditinjau dari segi terminologi (pengertian syara’), doa adalah
‘memohon kepada Allah SWT dengan meminta kebaikan dari sisiNya dengan penuh
ketulusan hati dan penuh pengharapan.
Doa
merupakan tali penyambung yang kukuh antara hamba dan RabNya. Doa merupakan satu bentuk ibadah kepada Allah Doa merupakan satu bentuk zikir kepada Allah
SWT. Doa merupakan senjata yang ampuh
bagi setiap mukmin dalam menghadapi realiti kehidupan.
Doa adalah permohonan atau pengucapan seorang
hamba dilakukan secara langsung dengan Allah SWT dan setiap rintihan yang
dimohon didengar Allah SWT. Allah SWT tidak suka kepada umatnya yang tidak
pernah memanjatkan doa kepada-Nya.
Firman Allah SWT dalam surah al-A’raaf ayat
55-56 bermaksud: “Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan
perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang melampaui batas. Dan
janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan kebaikan
padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang dan penuh
pengharapan. Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang berbuat
baik.”
Ketika menjelaskan perkara sama, bahawa Nabi
Muhammad SAW bersabda bermaksud: “Tidak ada yang dapat mengubah takdir selain
doa, dan tidak ada yang dapat memanjangkan umur melainkan memperbanyakkan amal
kebajikan, (Hadis riwayat Tirmizi)
Berdasarkan peringatan Rasulullah SAW ini,
ternyata kepada kita bahawa pengaruh doa itu amat hebat sehingga ia mampu
mengubah takdir Allah SWT dan alangkah hebatnya pengaruh amal kebajikan kerana
ia dapat memanjangkan umur seseorang.
Di saat manusia tidak dapat lagi berbuat
apa-apa, selepas habis daya usaha dan tiada sesiapa lagi yang mampu memberi
bantuan yang diperlukan, ketika itu manusia sedar bahawa sesungguhnya kehidupan
manusia tidak dapat dipisahkan daripada Allah SWT.
Kadangkala timbul pertanyaan, kita sering
berdoa tetapi diyakini doa kita tidak dimakbul Allah SWT?
Berdasarkan besar peranan doa dalam kehidupan
umat Islam, maka Islam meletakkan doa sebagai sebahagian daripada ibadah kepada
Allah. Dengan demikian permohonan doa itu hendaklah mematuhi adab tertentu.
Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh
Abu Daud bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah kamu sekalian berdoa untuk
kebinasaan diri, kebinasaan anak, dan janganlah pula berdoa untuk kebinasaan
harta benda lebih-lebih lagi jika waktu doa berkebetulan dalam waktu yang
mustajab”.
Doa adalah senjata ghaib umat Islam untuk
memohon pertolongan Allah. Dalam hal ini ingin saya mengingatkan umat Islam
bahawa terdapat tiga golongan yang doa mereka amat diterima oleh Allah
bersandarkan kepada sebuah hadis Qudsi.
Rasulullah SAW bersabda: “Tiga golongan yang
tidak pernah ditolak doa mereka iaitu pertama, doa orang yang berpuasa; kedua,
doa pemerintah yang adil; dan ketiga, doa orang yang dizalimi, di mana doa
mereka terbuka luas dan Allah memberi jaminan doa mereka pasti dipenuhi”. (Hadis
riwayat Tirmizi)
Adalah menjadi tanggungjawab ulama, sidang
pembaca dan umat Islam sekalian supaya berhati-hati tatkala berdoa.
Sesungguhnya doa orang yang dizalimi dan teraniaya adalah mustajab. Apalagi
kalau mereka itu orang lemah, tiada kuasa dan orang tua. Semakin lemah mereka,
maka semakin besar dan cepat pula pertolongan Allah SWT datang membantu.
Dengan sikap berhati-hati ketika berdoa,
insya-Allah kehidupan kita terjauh daripada melakukan pelbagai bentuk
kezaliman, pembohongan, ketidakadilan, fitnah-memfitnah dan penganiayaan dalam
keluarga, masyarakat, pertubuhan dan organisasi.
Berdasarkan peringatan Allah SWT dan
Rasulullah SAW itu, amat yakin mereka yang melakukan kezaliman, fitnah dan
penganiayaan kepada manusia tidak terlepas begitu saja.
Sebagai peringatan berhubung tingkah laku
kita, marilah kita menghayati firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesiapa yang
mengerjakan amal salih, maka faedahnya terpulang kepada dirinya sendiri dan
sesiapa berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan
Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hamba-Nya.’ (Surah
Fussilat, ayat 46)
Selain berdoa kita perlu berusaha. Firman
Allah SWT bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu
kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri."
- (Surah ar-Rad, ayat 11).
Keterangan-keterangan
daripada al- Quran dan hadis-hadis memperlihatkan bahawa Allah mengharapkan
agar setiap hamba itu berdoa kepada-Nya, dalam setiap keadaan, ketika kaya,
mewah, juga ketika dalam kesusahan, kerana berdoa itu merupakan otak ibadah.
Allah
SWT menjanjikan kemakbulan setiap doa. Namun demikian andainya doa seseorang
itu masih tidak dikabulkan, sakit yang dideritai tidak sembuh-sembuh, biarpun
puas berubat, hutang semakin banyak biarpun usaha bisnes dilakukan bersungguh,
ini tidak bermakna Allah SWT itu memungkiri janji-janji-Nya.
Ada rahsia-rahsia di sebalik ketentuan qada
dan qadar yang perlu difahami untuk dijadikan pegangan dalam usaha melenyapkan
rasa kecewa.
Andainya
seseorang itu mengetahui rahsia qada dan qadar, sudah pasti dia menerima apa
saja yang ditentukan oleh Allah SWT.
Doa
yang dipohon merupakan peringatan seorang hamba kepada Penciptanya. Ingatan
tersebut merupakan susunan kata yang disenangi oleh Allah SWT, yang sentiasa
mahu mendengar suara hamba-Nya yang dikasihi. Kerana itu, seseorang yang tahu
akan hakikat atau rahsia qada dan qadar akan terus berdoa sambil berusaha,
tidak kira doanya terlaksana ataupun tidak.
Jika
seseorang itu memahami bahawa apabila takdir itu telah termaktub di Loh Mahfuz,
tidak ada makhluk yang boleh mengubahnya. Ada rahsia ketuhanan terhadap qada,
qadar yang tidak mudah untuk difahami oleh hamba-hamba-Nya.
Setiap individu mempunyai keinginan dan
keperluan masing-masing sama ada positif atau negatif kerana mereka terpaksa
menghadapi pelbagai ragam hidup seperti cabaran, halangan dan dugaan. Mereka
berdoa kepada Allah memohon limpah perkenan dan rahmat-Nya supaya hajat
terkabul.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Tidak
boleh ditolak qadar Allah melainkan doa. Dan tiada yang boleh memanjangkan umur
melainkan membuat baik kepada ibubapa. (Hadis riwayat Hakim, Ibnu Hibban dan Tirmizi).
Sesungguhnya Allah SWT amat dekat dengan
hamba-Nya. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan
apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku (Allah), maka
jawablah bahawasanya Aku adalah dekat, Aku kabulkan permohonan mereka yang
berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka memenuhi (segala
perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu dalam
kebenaran.” (Surah al-Baqarah, ayat 186).
Firman Allah SWT yang bermaksud: Aku
mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka
hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman
kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran. (al-Baqarah: 186).
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Ada tiga
golongan yang doa mereka tidak ditolak. Pertama, orang yang berpuasa hingga ia
berbuka. Kedua, imam yang adil dan ketiga, doa orang yang dizalimi."
(riwayat Tirmizi)
Dalam hal berdoa orang berpuasa dibandingkan
dengan pemimpin yang adil dan orang dizalimi. Doa orang berpuasa mustajab.
Didengar, tidak ditolak Allah SWT, bahkan dimakbulkan, insya-Allah.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya
orang yang berpuasa memiliki doa yang tidak tertolak pada saat berbuka."
(riwayat Ibnu Majah)
Sesungguhnya, salah satu cara untuk
membebaskan kesempitan hidup ialah dengan melazaimkan kalimah istighfar. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Barang siapa
yang tetap melakukan istighfar, maka Allah SWT akan membebaskannya daripada
segala kesusahan dan melapangkannya daripada setiap kesempitan serta akan
memberinya rezeki dari jalan yang tidak diduganya." (riwayat Abu Daud)
Sedangkan ketika menerima kurniaan atau
nikmat, Nabi SAW menganjurkan kita agar membaca sebagaimana maksud hadis
berikut, “Setiap orang yang diberi kurnia Allah SWT lalu ia membaca
Alhamdulillah maka Allah SWT akan memberikan yang lebih utama daripada apa yang
telah ia terima." (riwayat Ibnu Majah)
Allah SWT telah memuji para hamba-Nya yang
gemar beristighfar, terutama pada waktu-waktu mulia dan istimewa. Sebagaimana
firman-Nya yang bermaksud: “Orang-orang sabar, yang benar, yang tetap taat,
yang menafkahkan hartanya (di jalan Allah) dan yang memohon ampun di waktu
sahur.” (Ali-Imran: 17)
Kesempurnaan istighfar di waktu ini diawali dengan
kegiatan solat malam sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya
orang-orang yang bertakwa berada di dalam taman-taman (syurga) dan di mata
air-mata air sambil mengambil apa yang diberikan kepada mereka oleh Tuhan
mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu di dunia adalah orang-orang yang
berbuat baik. Mereka sedikit sekali tidur di waktu malam dan di akhir-akhir
malam mereka memohon ampun (kepada Allah).” (Az-Zariyaat: 15-18)
Comments
Post a Comment