Fitnah akhir zaman bawa perpecahan umat Islam
By
FACEBOOK media sosial berpengaruh beri ruang kepada penyebaran maklumat.
Masyarakat diselubungi prasangka, jejas keharmonian
KETIKA sahabat bersama Baginda SAW, ada bersama mereka seorang
sahabat terkenal bernama Abu Musa Asa’ri. Lalu mereka bertanyakan kepada
Baginda SAW siapakah orang mukmin yang paling berkualiti di sisi Allah
SWT?
Maka Baginda SAW bersabda dalam keadaan bertentangan mata sambil
tersenyum: “Mukmin yang berkualiti ialah mereka yang menjaga
kesejahteraan orang Islam yang lain daripada kejahatan lidah dan
tangannya.” (Hadis riwayat Bukhari).
Mereka yang mendengar ungkapan serta berita yang sampai kepadanya lalu mereka memilih yang terbaik mengikut hukum agama dan merekalah sebenarnya orang yang mendapat petunjuk dan akal sempurna lagi bijaksana. – Surah Az-Zumar, Ayat 18
Dunia maya tanpa sempadan hari ini telah memberi ruang yang luas
untuk berbicara dan melebarkan pandangan, seterusnya berkongsi maklumat
dalam pelbagai tujuan sama ada untuk kebaikan atau sebaliknya iaitu
menjatuhkan seseorang.
Oleh itu, kita melihat kemudahan ini sudah menjadi fitnah berlarutan
jika tidak mengikut garis panduan Islam yang sentiasa menjaga hak
kemanusiaan. Jika pesanan Baginda SAW tadi tidak diberi perhatian,
apakah bisa kita meyakini akan mendapat syafaat Baginda di mahsyar
kelak?
Fitnah akhir zaman amat bahaya dan boleh menyebabkan perpecahan
kepada semua pihak. Bicara pada hari ini tidak hanya terbatas kepada
mata pena semata-mata seperti dulu, tetapi merangkumi facebook, twitter
dan blog. Maklumat tersebar ke seluruh dunia dalam masa singkat.
Demikianlah bahaya teknologi terkini terhadap masyarakat. Sabda
Baginda SAW: “Akan berlaku fitnah suatu hari nanti di mana orang yang
tidur lebih baik daripada orang yang berjaga, orang yang berjaga lebih
baik daripada orang yang berdiri, orang yang berdiri lebih baik daripada
orang yang berlari. Jadi, sesiapa yang memperoleh tempat berlindung
hendaklah segera ia berlindung.” (Hadis riwayat Muslim).
Menunjukkan kepada kita sesiapa yang dapat berlindung daripada fitnah akhir zaman, hendaklah berlindung daripadanya. Kita sudah melihat kesan di depan mata, pergolakan rumah tangga, keruntuhan akhlak muda-mudi, jiran tetangga bermasam muka, sahabat tidak bertegur sapa, keaiban terdedah serta pelbagai gejala masyarakat akibat fitnah siber ini.
Kesan yang lebih besar adalah mentaliti masyarakat akan diselubungi
prasangka serta berkembangnya unsur negatif yang menjejaskan keharmonian
kehidupan manusia.
Kita mesti mengetahui kenapa ia menjadi bala kepada umat kini kerana
ada yang sanggup menzalimi saudaranya sendiri demi memenuhi kehendak
peribadi masing-masing sehingga menjangkaui batas agama.
Allah SWT menegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan takutlah
kamu akan berlakunya dosa yang membawa bencana bukan saja kepada orang
yang zalim secara khusus, tetapi akan menimpa kamu semua secara umum.”
(Surah al-Anfal, ayat 5).
Ingatlah ketika hampirnya kiamat, akan muncul pelbagai fitnah
merosakkan seluruh masyarakat. Apakah kita bersedia bertemu Allah SWT
dalam keadaan kehidupan dipenuhi permusuhan sesama sendiri, memaparkan
tohmahan tiada bukti dan sandaran kukuh serta membicarakan perkara
mencabar hukum Allah SWT?
Sesungguhnya alam siber telah melenyapkan sifat malu seseorang
menyebarkan segala bentuk fitnah kerana segala-galanya dilakukan dalam
keadaan rahsia dan sendirian. Namun Allah SWT berfirman dengan maksud:
“Katakanlah wahai Muhammad jika kamu sembunyikan di dalam dirimu atau
zahirkan sesuatu di khalayak ramai, nescaya Allah maha mengetahui
segala-galanya.” (Surah ali-Imran, ayat 29).
Kita hendaklah menginsafi serta bermuhasabah terhadap perbuatan yang
telah dilakukan kerana terlalu banyak fitnah berlegar dalam kehidupan
sama ada secara sedar ataupun tidak. Justeru, belum terlambat untuk
membuat perubahan atau transformasi memperbaiki kesilapan lalu.
Setiap berita serta maklumat yang diterima mestilah dipastikan
kesahihannya sebelum ia ditelan sebulat-bulatnya. Sensitiviti kaum,
agama dan perasaan umum haruslah dipelihara serta menjaga kehormatan
orang lain.
Pastikan ahli keluarga juga tidak terjebak dalam kancah ini dengan
mendedahkan gambar peribadi yang tidak sesuai untuk tatapan umum.
Marilah kita menjadi orang yang bijak dalam urusan ini.
Firman Allah SWT bermaksud: “Mereka yang mendengar ungkapan serta
berita yang sampai kepadanya lalu mereka memilih yang terbaik mengikut
hukum agama dan merekalah sebenarnya orang yang mendapat petunjuk dan
akal sempurna lagi bijaksana.” (Surah Az-Zumar, ayat 18).
Marilah kita mencontohi sahabat kerana dalam usaha menjadi mukmin
berkualiti dari aspek rohani, jasmani dan emosi, mereka masih bertanya
cara menjadi mukmin terbaik walaupun mereka adalah orang terawal sekali
menyahut seruan tauhid. Malah ada yang dijanjikan syurga Allah SWT.
Penulis ialah Eksekutif Agama The New Straits Times Press (NSTP
diedit dgn video
http://www.informasi.my/fitnah-akhir-zaman-bawa-perpecahan-umat-islam/
Comments
Post a Comment