GOLONGAN USTAZ / USTAZAH SEMAKIN " GLAMOR"
Sedari
dahulu hingga kini, golongan ahli politik adalah mereka yang sentiasa
menjadi perhatian masyarakat. Namun, dari semasa ke semasa akan terdapat
golongan lain yang turut menjadi popular. Penampilan, persembahan
mahupun fikiran mereka akan menjadi rujukan dan ikutan. Pendek kata,
mereka adalah golongan yang glamor pada satu-satu masa itu.
Bila kita susur kembali ke zaman
pra-merdeka dan tahun-tahun akhir 50an, golongan sasterawan adalah
kumpulan yang menjadi perhatian dan ikutan. Karya mereka menjadi bahan
bacaan dan tontonan. Mereka turut berganding bahu dengan golongan
ahli-ahli politik untuk meniup semangat kemerdekaan. Siapa tak kenal
dengan golongan sasterawan Usman Awang, Keris Mas, Mahsuri S N, Samad
Ismail dan A Samad Said pada zaman itu?
Pada ketika itu golongan artis juga
adalah golongan yang glamor. Nama-nama seperti P Ramlee, Jamil Sulong, M
Amin, S Roomai Noor, Nordin Ahmad, Sarimah, Latifah Omar dan
Roseyatimah adalah di antara biduan dan biduanita yang disukai
masyarakat. Kemudian pada tahun-tahun 60an, muncul pula nama-nama artis
seperti A Rahman Hassan, A Rahman Onn, Fatimah M Amin dan Sanisah Huri
di era pop yeh-yeh yang mendapat ruang di hati masyarakat.
Beranjak ke tahun-tahun 70an, golongan
artis masih menjadi sebutan. Penyanyi seperti DJ Dave, Uji Rashid dan
Hail Amir serta pelakon seperti Yusof Haslam, Zulkiflee Zain dan Normala
Omar adalah di antara nama-nama yang meniti di bibir para peminat.
Tahun-tahun 80an pula menyaksikan kumpulan rock kapak mendapat tempat.
Kumpulan Search, Wings, Febians, Lefthanded dan Gersang adalah di antara
berpuluh-puluh band rock yang menjadi glamor.
Namun pada tahun-tahun 90an, minat
masyarakat mula beranjak daripada golongan ahli politik dan artis. Tidak
ramai yang menyedari kemunculan golongan ustaz telah mula mengambil
tempat di hati masyarakat. Kini mereka adalah golongan yang ketiga
terkenal selepas golongan ahli politik dan artis.
Bermula dengan rancangan Forum Perdana di
RTM 1 pada setiap malam Jumaat, nama-nama ustaz seperti Ustaz Hassan
Din, Ustaz Harun Din, Datuk Md Hashim Yahya, Dr Hassan Ali dan Ustaz
Tuan Ibrahim Tuan Man mula dikenali masyarakat bila diangkat ke kaca
televisyen. Mereka membawa imej kemodenan dan persepsi kesemasaan.
Setelah dua dekad berlalu, minat
masyarakat terhadap golongan ustaz semakin kukuh. Malah akan jauh lebih
kukuh berbanding dengan pengaruh ahli-ahli politik mahupun kepopularan
para artis.
Jika kita buka saluran televisyen
berbahasa Melayu di waktu pagi, kita tidak akan terlepas untuk menatap
wajah ustaz memberi ceramah mahupun menjawab kemusykilan agama.
Kemunculan saluran televisyen khas mengisi rancangan berbentuk agama
seperti TV AlHijrah, Astro Oasis dan TV9 serta radio Ikim memperkukuhkan kehadiran ustaz sebagai golongan yang glamor.
Saya tertonton rancangan Pencetus Ummah
di rangkaian Astro, sebuah program realiti untuk mencari penceramah
agama. Di rancangan itu, para pesertanya bukan sahaja diminta
berceramah, malah berlakon dan berlawak, siap dengan persembahan efek
khas bunyi dan imej sebagai cara mereka menarik hati penonton.
Bersyukur kita kerana mempunyai
ustaz-ustaz yang semakin kemas imej dan fasih pertuturan. Ini amat
sesuai dengan kehendak masyarakat. Orang sekarang tidak lagi bertanya
mengenai mandi hadas dan hukum bersugi sebelum solat. Malah, mereka
sudah berani mempersoalkan hal-hal yang lebih berilmu seperti sejarah
Syiah dan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Ustaz sudah tidak berketrampilan jika
hanya berbaju Melayu atau berjubah, berkain pelikat dan bercapal.
Mereka kini mempamerkan imej yang dekat di hati khalayak. Mereka sudah
berkot dan bertali leher. Mereka tidak lagi membuka kitab kuning,
sebaliknya menatap kitab di tab.
Mereka ada akaun Twitter, Facebook dan
Instagram. Mereka tidak lagi dianggap golongan yang elit dan eksklusif.
Malah mereka telah diterima sebagai golongan yang menjadi pakar rujuk
dan penasihat.
Dalam pada memainkan peranan sebagai
penyatu ummah, mereka sendiri perlu dilihat bersatu sesama mereka.
Kadangkala, hujah dan debat sesama mereka dilihat tidak molek dan tidak
thiqah sebagai ustaz. Tidak thiqah itu tidak semenggah.
Perselisihan pendapat sesama mereka perlu
ditangani secara tertib kerana para ustaz adalah penyatu ummah.
Tugasnya berat. Jangan diberatkan lagi.
http://hazis.wordpress.com/2014/01/08/golongan-ustaz-ustazah-semakin-glamor/
Comments
Post a Comment