Rahsia Istighfar
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.
Segala
pujian bagi Allah SWT pemilik sekalian alam, solawaat dan salaam
keatas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda,
sahabat-sahabat Radiyallaahu 'anhum ajma'iin dan sesiapa yang menuruti
Sunnah Nabi Muhammad SAW hingga ke hari kiamat.
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 199:
“Dan kamu mohonlah keampunan daripada Allah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Tahukah kita akan keajaiban disebalik istighfar itu?
“Daripada
Ibni Abbas Radiallahu Anhuma, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam
bersabda : Sesiapa yang selalu beristighfar nescaya Allah akan
menjadikan baginya kemudahan bagi setiap kesempitan, kesenangan bagi
setiap kesedihan dan memberi rezeki tanpa diduga olehnya”. (Riwayat
Al-Imam Abi Daud)
Hadis di atas jelas nyata menunjukkan
tuhan memberi rahmat kepada yang mereka yang suka beristighfar. Selain
dari beristighfar dari melakukan dosa, ianya zikir untuk yang paling
cukup bermakna, untuk mengingatkan kita agar tidak terjebak dari
melakukan dosa. Sedangkan Nabi juga sentiasa beristighfar seperti dalam
hadis ini :
Ibnu Umar menceritakan, kami pernah
bersama-sama dengan Rasulullah dan kami mendengar Rasulullah
mengulang-ulang membaca sebanyak 100 kali doa yang berbunyi: “Ya Allah
ampunilah aku dan terimalah taubat ku, sesungguhnya Engkau Maha Penerima
Taubat lagi Maha Pengasih.”(Hadis Riwayat Abu Dawud, Turmidzi dan Ibnu
Majah, disahihkan oleh Imam Turmidzi)
Nabi yang maksum
yang terpelihara dari segala dosa pun sentiasa melafazkan taubat,
sedangkan kita yang sukar dari melarikan diri untuk tidak berbuat dosa
amat sukar untuk melafazkan istighfar. Sedarkah kita, segala kesulitan
yang kita terima adalah hasil dosa-dosa yang kita lakukan, hanya taubat
dapat mengatasi rasa sulit tersebut.
Terdapat dua jenis
musibah, yakni musibah yang menguji benteng keimanan kita, atau musibah
untuk memberi balasan atas dosa-dosa yang kita lakukan. Jika menguji
benteng keimanan kita, itu bermakna tuhan sayang kita, dan kepadaNya
kita berserah, memohon keredhaan. Kerana kita akan sentiasa di uji,
tidak kira masa, seperti mana firman Allah :
Apakah
manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah
beriman”, sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah
menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya ALLAH
mengetahui yang manakah orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui
siapakah orang yang dusta.”(Surah al-Ankabut: 2-3)
Tetapi
bagi Musibah azab, inilah yang paling dahsyat, jika kita belum sempat
bertaubat, maka yang menanti kita di alam lain hanyalah seksaan dariNya.
Tetapi bagi mereka yang sentiasa beristighfar, Allah sama sekali tidak
memberi musibah berbentuk azab, seperti mana firmanNya:
“Dan
Allah tidak sesekali mengazab mereka, sedang kamu berada di antara
mereka. Dan tidaklah pula Allah akan mengazab mereka sedang mereka
meminta ampun.” (Surah Al-Anfal, ayat 33).
Tahukah kita kelebihan yang terbesar di dalam istighfar? Mari kita hayati terlebih dahulu maksud-maksud firman Allah.
“Maka
aku (Nuh) katakan kepada mereka: Mohonlah ampun kepada Tuhanmu.
Sesungguhnya Dia Maha Pengampun. Nescaya Dia akan mengirimkan hujan
kepadamu dengan lebat dan memperbanyakkan harta dan anak-anak kamu,
mengadakan kebun-kebun dan sungai-sungai untuk kamu.” (Surah Nuh ayat,
ayat 10-12).
“Dan orang yang apabila melakukan perbuatan
keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah lalu memohon
ampun atas dosa mereka dan siapakah lagi yang dapat mengampuni dosa
selain Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu sedang
mereka mengetahui. Balasan bagi mereka ialah ampunan Allah dan syurga
yang mengalir di dalamnya sungai dan itulah sebaik-baik pahala bagi
orang yang beramal.” (Surah Ali Imran, ayat 135-136).
“Dan
hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepada-Nya.
Nescaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik (secara terus menerus)
kepada kamu.” (Surah Hud, ayat 3)
Demikian telah jelas dan nyata, bahawa dengan bertaubat, insyaAllah akan dikurniakan rahmat dariNya.
Kita lihat kembali hadis sebelum ini :
“Daripada
Ibni Abbas Radiallahu Anhuma, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam
bersabda : Sesiapa yang selalu beristighfar nescaya Allah akan
menjadikan baginya kemudahan bagi setiap kesempitan, kesenangan bagi
setiap kesedihan dan memberi rezeki tanpa diduga olehnya”.(Riwayat
Al-Imam Abi Daud).
InsyaAllah, makbul doa kita jika
sentiasa terus menerus beristighfar kepadanya. Untuk merungkaikan
kefahaman kelebihan istighfar, lihat sahaja kisah mengenai Ahmad bin
Muhammad bin Hanbal Abu ‘Abd Allah al-Shayban yang cukup terkenal dengan
nama mazhabnya, iaitu mazhab Hanbali.
Suatu ketika itu,
Imam Ahmad singgah di sebuah tempat yang kebanyakan mereka tidak
mengenalinya (kurangnya teknologi ketika itu). keadaan sudah larut malam
dan Imam Ahmad merasa letih dan ingin tidur didalam sebuah masjid. Tapi
niatnya tidak kesampaian kerana penjaga masjid tersebut melarang Imam
Ahmad untuk tidur di masjid. Imam Ahmad kemudian bertanya kepada penjaga
tersebut sama ada dia dibenarkan untuk tidur di luar masjid, penjaga
itu melarangnya. Imam Ahmad bertanya lagi jika dia tidak tidur, tetapi
hanya berdiri di perkarangan masjid, penjaga itu melarangnya lagi.
Penjaga itu kemudian menolak Imam Ahmad dari masjid tersebut.
Seorang
pembuat roti ternampak kelakuan antara Imam Ahmad dan penjaga masjid
tersebut. Setelah jelas akan situasi Imam Ahmad, maka si pembuat roti
mempelawa Imam Ahmad untuk bermalam sahaja dirumahnya. Imam Ahmad
menerima pelawaan tersebut.
Ketika Imam Ahmad hendak
tidur, dia terdengar zikir istighfar dari si pembuat roti yang sedang
sibuk membuat rotinya. Imam Ahmad mendengarkan zikir itu sehingga boleh
dikatakan si pembuat roti itu berzikir istighfar sepanjang malam.
Paginya
Imam Ahmad bertanya kepada si pembuat roti mengapa dia beristighfar.
maka si pembuat roti menjawab, “Setakat ini segala doa saya dikabulkan
Allah melainkan satu perkara sahaja belum lagi”.
Imam Ahmad bertanya “Apakah doa kamu yang belum di perkenankan oleh Allah itu?.
Jawab lelaki itu ” Saya berdoa agar dipertemukan dengan Imam Ahmad bin Hanbal”
Maka
kata Imam Ahmad : ” Saya lah orangnya, Akulah Imam Ahmad Bin Hanbal,
demi Allah, sesungguhnya aku telah diseret untuk menuju kepadamu.”
Lihat
sahaja betapa agungnya kuasa Allah memakbulkan doa si pembuat roti itu
untuk menemukan dia dengan Imam Ahmad. Berkat Istighfar yang sentiasa
dilakukan dengan hati yang ikhlas, tuhan telah memakbulkan doa si
pembuat roti tersebut. Nyata kelebihan Istighfar begitu besar buat kita,
dan ikhlaskan hati kita untuk beristighfar kepadaNya, insyaAllah, Allah
itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang.
sumber
https://www.facebook.com/notes/ustaz-al-mubtasim/rahsia-istighfar/10151535364159541
Comments
Post a Comment