Antara Islam dan Muslim

Bismillah

Seseorang yang menamakan dirinya Intan menulis komen berikut di bawah entry ini;
Nabi berkahwin ramai kerana menyelamat kan kaum wanita di zaman itu. Lelaki zaman sekarang nak kawin lagi untuk selamat kan apa? Nak anak? Ada hikmah disebalik itu. Apa salah ambil Anak angkat?…begitu ramai sekarang terbiar. Allah ada rancangan nya sendiri ke atas anak-anak itu dan manusia yang istimewa dipilih untuk menjadi ibu dan bapa mereka. 
 
Tentang isteri yang mandul.. betul ke isteri yang mandul bukan suami nya? pernah kah melakukan pemeriksaan? Kawan saya suami nya pun begitu, atas nasihat kawan2 , dia memaksa suami nya pergi membuat pemeriksaan doktor dan doktor mengesah kan yang suami nya yang mandul! Siap dengan lapuran lengkap perubatan! Nah! sekarang giliran suami nya pula rasa merundung. Allah maha pengasih dan maha adil. Kerana itu, saya dah tak berapa menyukai Islam…kerana penganutnya yang semakin sempit fikiran…saya sedih dengan keadaan Muslim sekarang yang semakin fanatik. Iblis semakin pintar. Mereka tidak lagi mempengaruhi ke arah yang salah terus seperti menyembah berhala, pergi disko atau minum arak tetapi menyerong secara perlahan2 perkara2 dalam Islam sendiri agar semakin terpesong dari hubungan sebenar dengan ketuhanan. Ramai ustaz2 terkenal bersyarah dan memberi erti pada ayat2 quran dan hadis dgn menyesuaikan perkataan huraian pada cara hidup mereka. Jika mereka berbini ramai, maka dia kempen org kawin ramai, cuba menegak kan perbuatan kawin ramai mereka. Geli sungguh! Allah melihat kita dari dalam diri kita bukan menyuruh  melaku kan perkara yang menyusah kan. 
 
Pakai niqab, pakai stokin…ingat mati…kawin ramai…kawin muda…semua benda keterlaluan, tidak berfikir panjang punya tindakan dan negatif pada jiwa yang menutup cahaya mengenali kearah ketuhanan yang sebenar. Approach secara sudut positif jauh sekali pada kaum muslimin. Segala suruhan berbunyi KERAS, KASAR, MARAH, BENCI, MENAKUT-NAKUT KAN!
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Assalamu’alaikum Intan.

Semoga Intan sentiasa di bawah naungan kasih sayang dan hidayah dari Ilahi.

Saya menghargai pandangan Intan.  Cuma saya ada beberapa pandangan terhadap komen Intan iaitu;

Ada kalimah yang boleh menyebabkan aqidah gugur.  Contoh:

“saya dah tak berapa menyukai Islam…kerana penganutnya yang semakin sempit fikiran…”

~ Islam dari Allah.  Islam tidak sama dengan muslim.  Muslim tidak sama dengan mukmin.

Jika kita sudah nampak Islam itu terfitnah dengan penganutnya yang berfikiran sempit, maka tanggungjawab kita untuk memulihkan imej Islam dengan berusaha menjadi mukmin yang pastinya diredai Allah.

Baca, lihat dan nilai sesuatu menurut kaca mata ilmu wahyu kerana wahyu itu adalah cahaya yang menyuluh.

Jika seseorang individu yang melakukan kesalahan, dia menanggung sendiri kesalahannya.  Sedikit pun Islam tidak terjejas kesempurnaan ajarannya disebabkan dosa penganutnya.

Sekali lagi saya ulangi, Islam adalah cara hidup manual dari Allah, muslim pula adalah penganut Islam.  Ia tidak sama.

Takutlah kepada Allah dalam menulis dan berkata-kata.

Apa rasional Intan berkata,

“Pakai niqab , pakai stokin…ingat mati…kawin ramai…kawin muda…semua benda keterlaluan,” ?

~  Apa maksud keterlaluan di sini jika ia masih termasuk amalan yang diredai Allah?


“tidak berfikir panjang punya tindakan ”

~  Apakah komen yang Intan tinggalkan merupakan hasil berfikir panjang?


“negatif pada jiwa yang menutup cahaya mengenali kearah ketuhanan yang sebenar.”

~  Negatif pada jiwa menyebabkan seseorang itu melihat amalan yang masih termasuk dalam kategori syariat sebagai keterlaluan dan menghukum ‘Islam’ secara umum walaupun hanya penganutnya yang berdosa.  Ini adalah satu bentuk jiwa yang terlindung dari cahaya hidayah Allah.

Solusinya, pelihara solat 5 waktu dan hayati makna bacaan dalam solat.  Menambah ilmu dengan berguru dari insan soleh lagi bertaqwa.  Yang bernama ustaz belum tentu soleh.  Yang bergelar ustazah belum tentu beriman.

‘Ustaz’ dan ‘ustazah’ hanyalah nama yang diberikan masyarakat Malaysia kepada mereka yang mendapat pelajaran agama secara formal.  Ia bukan satu nama yang membuktikan keimanan seseorang.


“Approach secara sudut positif jauh sekali pada kaum muslimin. Segala suruhan berbunyi KERAS, KASAR, MARAH, BENCI, MENAKUT-NAKUT KAN!”

~  Jika Intan diberi kelebihan oleh Allah mampu berdakwah dengan hikmah, maka mulakan dari saat ini supaya mereka yang mempunyai kelemahan itu dapat belajar dari Intan.
Kritikan yang baik adalah kritikan yang membina dan memandu orang lain memahami dan bertindak lebih baik.  Beri solusi kepada mereka.  Beri alternatif kepada mereka dengan lapang dada, kasih sayang dan doa berpanjangan.

Buktikan Intan memiliki jiwa yang mengenali hakikat ketuhanan sebenar dengan mendekati masyarakat bersama jiwa dan pendekatan rabbani itu.

Wassalam.

Ummu Abbas


http://sayangislam.com/2012/12/09/antara-islam-dan-muslim/ 

Comments

Popular posts from this blog