BERDAKWAH MELALUI AKHLAK MULIA






Ramai dalam kalangan kita menyangka bahawa urusan berdakwah memerlukan ilmu agama yang luas dan amal ibadah yang hebat. Lantaran itu, usaha berdakwah ini dilihat merupakan antara skop kerja para ustaz, ustazah dan agamawan sahaja. Persepsi sebegini seharusnya diubah dengan memberikan kefahaman yang sahih melalui penerangan menyeluruh mengenai konsep dakwah yang sebenar. Bukankah Islam telah mengatur urusan duniawi kita berpandukan tauladan Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam dan para sahabatnya –ridwanullah Alayhim-. Oleh yang demikian,  mengadaptasikan tauladan tersebut dalam kehidupan merupakan salah satu bentuk dakwah yang dianjurkan Islam dan ia sememangnya tidak mustahil untuk dilakukan oleh individu yang bukan dalam kategori ‘agamawan’.



POSITFKAN DIRI DENGAN PENGARUH MULIA



Dunia kini sedang menyelusuri suatu zaman yang sangat mencabar dek kebanjiran teknologi semasa yang menyibukkan manusia dengan urusan dunianya. Bermula dengan telefon bimbit, tab dan komputer riba dengan pelbagai aplikasi laman sesawang internet seperti facebook, twitter, blog, game dan sebagainya. Kesemua ini banyak menyumbang ke arah perkembangan intelek individu dan tahap produktiviti mereka. Oleh kerana itu, seorang anak yang hidup dalam ruang kehidupan serba canggih, sedikit sebanyak akan mendapat tempiasnya berpandukan pemerhatian terhadap perlakuan si ayah. Seorang murid yang hidup dalam ruang kehidupan serba sosial, sedikit sebanyak akan mendapat tempiasnya berpandukan pemerhatian terhadap perlakuan gurunya dan rakan sekelasnya. Hal ini merupakan kesan psikologi manusia dalam kehidupan seharian mereka yang mudah terpengaruh dengan suasana persekitarannya.



Dalam sebuah hadith pernah dinukilkan sabdaan Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam melalui Abu Hurayrah: “



الرَّجُلُ عَلَى دِيْنِ خَلِيْلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلْ



Terjemahannya: "(Agama) Seseorang bersesuaian dengan agama kawan karibnya, (oleh itu) hendaklah kamu semua melihat siapakah yang menjadi kawan karibnya”[1].



                Menjadi lumrah kehidupan, akhlak seseorang individu akan dipengaruhi oleh akhlak masyarakat di sekitarnya. Sekiranya baik akhlak orang disekelilingnya, nescaya akan baiklah akhlaknya dan begitulah sebaliknya. Hatta Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam sendiri sewaktu kecilnya, pernah diserahkan kepada Halimat al-Sa’diyyah -seorang wanita dari Bani Sa’ad-yang duduk di kawasan desa (kampung) bagi menyusui Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam. Ia sebenarnya, merupakan adat kebiasaan masyarakat Arab menghantar anak mereka untuk disusui dan dibesarkan di desa bagi menanamkan peribadi yang luhur, jauh daripada kesibukan dan pengaruh buruk masyarakat bandar. Sebuah perumpamaan yang pernah diungkapkan oleh Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam yang dicatatkan oleh Abu Musa al-Ash’ari ada menyebutkan bahawa:



مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالسَّوْءِ كَحَامِلِ الْمِسْكِ وَنَافِخِ الْكِيرِ ، فَحَامِلُ الْمِسْكِ إِمَّا أَنْ يُحْذِيَكَ ، وَإِمَّا أَنْ تَبْتَاعَ مِنْهُ ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ مِنْهُ رِيحًا طَيِّبَةً ، وَنَافِخُ الْكِيرِ إِمَّا أَنْ يُحْرِقَ ثِيَابَكَ ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ رِيحًا خَبِيثَة

Terjemahannya: “Perbandingan antara kawan yang baik dan kawan yang buruk laksana seorang penjual minyak wangi dan seorang pakar besi (yang memateri). Penjual minyak wangi berkemungkinan akan memberimu minyak wanginya, atau kamu mampu membeli minyak wangi daripadanya dan kalau tidak pun, kamu tetap akan mendapat tempias bau wanginya. Sedangkan orang yang pakar memateri besi, berkemungkinan percikan apinya akan mengenai pakaianmu dan kalau tidak pun, mungkin kamu tetap akan mendapat tempias bau asapnya yang tidak menyenangkan”[2].



                Berpandukan hadith tersebut, Ibn Hajar al-Asqalani berpandangan bahawa kita dilarang untuk berkawan atau bersahabat dengan individu-individu yang boleh mendorong merosakkan pegangan agama kita mahupun menghancurkan kehidupan dunia kita. Sebaliknya, antara kriteria atau garis panduan dalam memilih kawan yang baik adalah individu yang berupaya memberi manfaat kepada kita terhadap agama mahupun urusan dunia kita[3]. Hadith ini juga memberi galakan kepada kita untuk bergaul dengan sahabat-sahabat yang soleh dan baik, yang memiliki akhlak yang terpuji, merendah diri, berilmu dan beradab.



BERAKHLAK MULIA, KAUTLAH PAHALA



Berbalik kepada konsep dakwah yang diutarakan pada permulaan artikel, melalui penerapan akhlak yang mulia dalam diri setiap individu, ia berpotensi untuk mempengaruhi orang-orang di sekelilingnya. Secara tidak langsung menyumbang ke arah pembentukan ‘biah’ atau suasana Islamik dalam sesuatu komuniti sosial. Sikap saling mempengaruhi antara satu sama lain melalui pengaruh yang positif mampu dijadikan bekalan yang tidak disangka-sangka di akhirat kelak.



                Jarir ibn Abdillah pernah menceritakan sebuah kisah yang panjang mengenai kesedihan Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam tatkala didatangi oleh sekelompok manusia daripada kabilah Mudhor yang compang camping pakaiannya lantaran kefakiran dan kemiskinan mereka. Lantas Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam mengarahkan Bilal ibn Rabah untuk melaungkan azan dan mereka terus menunaikan solat secara berjemaah. Selepas selesai menunaikan solat, Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam berdiri dan berkhutbah dimulai dengan membaca ayat surah al-Nisa’ ayat 1 dan surah al-Hasyr ayat 18. Seraya berkata: “Telah bersedekah seseorang daripada dinarnya (nilaian wang), dirhamnya (nilaian wang), pakaiannya, sebekas kurmanya, sehinggakan sekalipun separuh kurma". Lalu Jarir meneruskan ceritanya dengan berkata: “Aku melihat orang-orang Ansar berturut-turut member (bersedekah), sehinggakan aku melihat makanan dan pakaian (yang disedekahkan, banyaknya) seperti dua bukit, dan aku melihat wajah Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam (ketika itu) bersinar-sinar (kegembiraan) seperti emas. Kemudian Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam bersabda:



مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً فَلَهُ أَجْرُهَا وَأَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا بَعْدَهُ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ وَمَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً سَيِّئَةً كَانَ عَلَيْهِ وِزْرُهَا وَوِزْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ بَعْدِهِ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ



Terjemahannya: “Barangsiapa yang memberi (pengaruh) tauladan yang baik dalam Islam, (maka) ia akan beroleh pahalanya dan pahala orang yang mengamalkannya setelahnya, tanpa mengurangi pahala mereka sedikitpun. (Manakala) Barangsiapa yang memberi (pengaruh) tauladan yang buruk dalam Islam, maka ia akan beroleh dosanya dan dosa orang yang mengamalkannya setelahnya, tanpa mengurangi dosa-dosa mereka (sedikit pun)”[4].



Kisah ini menjadi bukti bahawa sekiranya seseorang individu menonjolkan peribadi akhlak yang mulia dan peribadinya tersebut dicontohi oleh individu lain, ia akan mendapat pahala selagimana individu tersebut mengamalkan tauladan yang dipengaruhinya. Sebagaimana pengaruh yang buruk akan menjerumus pelakunya ke lembah dosa dan maksiat kepada Allah selagimana ia diamalkan oleh pelakunya. Anda menutup aurat di hadapan sahabat-sahabat anda yang mendedahkannya, merupakan dakwah yang dinilai di sisi Allah azza wa jalla. Anda bermain bola sepak dengan mengamalkan permainan bersih tanpa melakukan sebarang provokai, merupakan dakwah ke arah pertalian silaturrahim. Anda pergi ke masjid atau surau untuk menunaikan solat dalam kesibukan bermain futsal atau sebaliknya, merupakan dakwah kepada sahabat-sahabat anda agar tidak meninggalkannya. Sesibukmana pun kita, dakwah ke arah kebaikan senantiasa perlu dipraktikkan.



Sebagaimana seorang ayah atau ibu sewajarnya menjalankan tanggungjawab membesarkan anak-anak mereka dengan pendidikan agama didasari oleh akhlak dan adab yang mulia. Elakkan daripada menjadi ibu bapa yang derhaka kepada anak-anak sendiri akibat membiarkan mereka terumbang ambing dengan godaan dunia tanpa bimbingan. Syaikh Siddiq Hasan Khan pernah berkata: "Allah azza wa jalla akan mengangkat darjat (kedudukan) zuriat keturunan seseorang mukmin, meskipun amalan mereka di bawahnya, agar kedua orang tuanya mendapat ketenangan dan kebahagiaan, (tetapi) dengan syarat mereka beriman dan telah berumur baligh…”[5]. Pandangan beliau ini ditunjangi oleh firman Allah azza wa jalla dalam surah al-Tur ayat 21:



Terjemahannya: “Dan orang-orang yang beriman yang diikuti oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga), dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun daripada pahala amal-amal mereka. (Sesungguhnya) Setiap manusia itu terikat dengan amal yang dikerjakannya”.



MUHASABAH



Sebagai seorang anak, kita berperanan menyelamatkan ibu bapa kita daripada azab api neraka Allah azza wa jalla. Sebagai seorang ibu bapa, kita berperanan menyelamatkan anak-anak kita daripada azab api neraka Allah azza wa jalla. Sebagai seorang teman, kita berperanan menyelamatkan kawan-kawan kita daripada azab api neraka Allah azza wa jalla. Kesemua mereka dapat diselamatkan melalui dakwah dengan penonjolan akhlak dan peribadi yang mulia. Allah azza wa jalla berfirman:



Terjemahannya: “Wahai orang-orang yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnya (ialah) manusia dan batu (berhala). Neraka itu dijaga dan dikawal oleh para malaikat yang keras dan kasar (layanannya). Mereka (malaikat) tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan (Allah kepada mereka).


“Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras dan banyak antaranya orang-orang yang fasik” [Surah al-Hadid : 16]



Wallahu A’lam.


[1] Sahih: Diriwayatkan oleh Abu Dawud dalam Sunannya no.4833, at-Turmuzi dalam Sunannya no.2379, dan beliau berkata: "Hadits ini hasan", dinilai sahih pula oleh Syaikh Al-Albani dalam Silsilah As-Sahihah, no. 927.
[2] Muttafaqun Alayh: Diriwayatkan oleh al-Bukhari no.5534 dan Muslim no.2628
[3] Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari oleh Ibn Hajar al-Asqalani, 4/324
[4] Sahih: Diriwayatkan oleh Muslim no.1017 dan Ahmad dalam Al Musnad, 4/357.
[5] Tafsir Fath al-Bayan oleh Syeikh Siddiq Hasan Khan, 6/434.

Comments

Popular posts from this blog