Soalan
Betul
kah pendapatan kerajaan dibahagi kepada dua akaun? mana
buktinya?.Adakah Kastam Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan
sebagainya telah asingkan cukai halal dan haram. Jika demikian,
bagaimana boleh dikatakan gaji kakitangan awam datang dari akaun yang
halal. ?
JAWAPAN UZAR :
Sebarang
bukti saudara perlulah mengusahakannya sendiri. Saya juga tiada
sebarang bukti, namun bagi saya bukti pembahagian akaun telah dibuat
bukanlah satu perkara asas dalam hal ini, ( sebaliknya yang asas adalah
mengapa sesebuah kerajaan itu ingin meluluskan sesuatu industri yang
haram seperti judi dan lain-lain) . Adapun dalam konteks soalan ini,
kita sedang memberikan fokus kepada pendapatan kerajaan yang TELAH PUN
bercampur.
Perlu kita fahami bahawa wang atau ‘fiat money'
atau duit kertas itu tidak menjadi haram kerana sifat fizikalnya. Ia
bukannya seperti najis yang boleh merebak ke bahagian lain apabila
bercampur. Apa yang haram adalah cara perolehannya dan bukan fizikalnya.
Justeru itu, oleh kerana sememangnya terdapat perolehan
kerajaan dari sumber cukai yang halal dan haram (dari sudut SHariah dan
bukan dari sudut undang-undang), tanpa pengasingan akaun, sudah tentu
percampuran halal dan haram akan berlaku, namun ingin saya tegaskan
bahawa cara perolehan yang haram dan dari sumber haram hanya akan
dipertanggungjawabkan ke atas bahu individu berwajib seperti pegawai
terbabit (pelaksana) dan pemimpin yang membuat dasar.
Adapun,
kakitangan awam yang bekerja di bidang yang halal seperti guru,
pegawai kementerian, pensyarah di IPTA, Jabatan Agama, Mufti, Qadhi,
Jurutera, Akauntan dan ramai lagi, gaji mereka adalah halal. selagi mana
KERJA YANG DILAKUKAN HALAL. Walaupun gaji mereka keluar dari kantung
Negara yang bercampur dari hasil halal dan haram, duit dari sumber haram
tadi tidak akan memberi kesan haram kepada gaji mereka.
Dosa haram adalah bersifat maknawi atau hukmi
atau spiritual yang akan melekat di hati individu terbabit sahaja. Ia
tidak berpindah kepada orang yang tidak berkaitan secara fizikal (iaitu
apabila wang kertas itu berpindah ke tangan orang lain).
Selain
itu, jika wujud orang yang ingin bersikap terlalu keras dan 'strict'
tidak bertempat sehingga ingin mendakwa semua gaji kakitangan awam
adalah haram kerana wujudnya percampuran, maka saya nasihatkannya untuk
melihat dirinya sendiri terlebih dahulu. Dimanakah ia bekerja, jika ia
bekerja di sebuah syarikat maka mungkin percampuran pendapatan syarikat
juga akan berlaku kerana sebahagian besar modal syarikat juga datang
dari sumber haram iaitu pinjaman bank riba dan pengurusan juga banyak
yang mendapatkan kontrak secara rasuah dan lain-lain lagi. Justeru boleh
dikatakan bahawa sebahagian pendapatan syarikat adalah haram.
Jika
ia mengatakan "saya bekerja sendiri" maka ia tetap akan menghadapi
situasi yang sama iaitu pembelinya menggunakan wang yang bercampur dari
sumber haram dan halal.
Perlu
diingat bahawa dalam sebuah negara Islam yang hakiki, adalah harus atau
DIBENARKAN bagi pemerintah sesebuah negara Islam untuk membenarkan
penduduk bukan Islam dalama negaranya menjual arak kepada sesama mereka
DENGAN SYARAT ia diiktiraf oleh agama mereka. Dari sudut percukaian
pula, adalah DIBENARKAN atau harus pihak kerajaan Islam tadi menerima
cukai hasil perniagaan arak tadi memandangkan ia dikutip menurut
peruntukan hukum Islam yang sohih. Harta tersebut boleh digunakan untuk
maslahat awam termasuk membayar gaji kakitangan awam tanpa sebarang
masalah.
KESIMPULAN
semua
kakitangan awam jangan bimbang dengan gaji mereka selagi mana mereka
melakukan kerja-kerja dan tugasan yang halal. Adapun setiap pelaksanaan
perintah oleh orang atasan yag bercanggah dengan Islam akan menjadikan sebahagian gaji mereka haram dan syubhah.
Manakala beban dosa dari tugasan haram tadi pula akan ditanggung oleh
setiap orang atasan yang membuat keputusan termasuklah setiap individu
yang menyokong.
Adapun, jika anda ingin membaca dalil-dalil kepada jawapan yang saya utarakan ini. Anda bolehlah membaca dengan faham artikel berikut.
Maksud saya ‘faham'kan kerana anda perlu mengaitkan dalil itu dengan kerajaan yang bercampur pendapatannya.
Sekian,
Zaharuddin Abd Rahman
http://kerjagomen.blogspot.com/2008/09/halalkah-gaji-kakitangan-awam.html?m=1
Comments
Post a Comment