- SELAMAT MELAYARI BLOG INI SEMOGA KITA MEMPEROLEHI MANFAATNYA DAN HARAP DISEBARLUASKAN KEPADA PEMBACA YANG LAIN PULA BERSESUAIAN DENGAN SABDA RASULULLAH S.A.W "SAMPAIKAN DARIPADAKU WALAUPUN DENGAN SATU AYAT"

Sunday, September 28, 2014









Tahun 2014 Haji Akbar


Oleh : Ustaz Shauqi

Ada sahabat bertanya tentang Haji Akbar.... Dikatakan bahawa wuquf tahun ini akan jatuh pada hari Jumaat... jadi persoalan yang telah dikemukakan apakah jemaah haji pada tahun ini akan memperoleh haji akbar?....


Ramai juga umat Islam yang prihatin dengan ajaran Islam bertanya-tanya apakah yang dimaksudkan dengan haji akbar itu? Adakah berwuquf pada hari Jumaat sahaja dikatakan memperoleh Haji Akbar? Bagaimana pula dengan jemaah yang menunaikan haji yang kebetulan wuquf mereka pada hari selain Jumaat, maka adakah mereka tidak memperoleh haji Akbar? Segala persoalan-persoalan yang berlegar dalam minda umat Islam mestilah dijawab dan diberi perhatian dengan segera agar mereka tidak terus berada dalam keadaan buntu, dan sekurang-kurangnya satu ilmu baru dapat dipelajari bagi mereka yang amat gemar dalam mengkaji ilmu-ilmu Islam.
Telah dikatakan bahawa jemaah haji yang kebetulan wuqufnya jatuh pada hari Jumaat, maka mereka akan mendapat pahala yang banyak dengan dilipat gandakan pahala melebihi 70 haji. Perkara ini telah disebutkan di dalam beberapa buah buku, dan disandarkan kepada satu hadis yang bermaksud: "Sebaik-baik hari Arafah ialah yang jatuh pada hari Jumaat, dan kelebihannya melebihi 70 haji pada hari selain dari Jumaat". Tambahan daripada itu, dikatakan juga bahawa fadhilat tentang Haji Akbar juga telah disebut di dalam al-Quran. Justeru, apakah kenyataan ini sahih dan benar? Marilah sama-sama kita meneliti maksud haji Akbar dengan lebih terperinci dan pemahamannya menerusi al-Quran dan sunnah nabi s.a.w.

Haji Akbar dari sudut bahasanya bermaksud haji yang besar iaitu ibadat haji yang akan memperoleh pahala yang besar. Istilah 'haji Akbar’ telah disebut oleh Allah melalui firmanNya dalam surah al-Taubah ayat 3 yang bermaksud: "Dan (Inilah) suatu permakluman daripada Allah dan Rasul-Nya kepada umat manusia pada hari Haji Akbar bahawa sesungguhnya Allah dan RasulNya berlepas diri daripada orang musyrikin. Kemudian jika kamu (kaum musyrikin) bertaubat, maka bertaubat itu lebih baik bagimu; dan jika kamu berpaling, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya kamu tidak dapat melemahkan Allah, dan beritakanlah kepada orang kafir (bahawa mereka akan mendapat) siksa yang pedih”.

Para ulama’ tafsir telah berbeza pandangan tentang maksud haji Akbar yang telah disebutkan dalam ayat 3 surah al-Taubah itu. Dalam tafsir al-Baidawi (juzuk 3, halaman 128), dijelaskan bahawa terdapat dua pendapat tentang maksud haji Akbar sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam ayat al-Quran di atas. Pendapat pertama mengatakan bahawa haji Akbar ialah hari raya haji. Pendapat ini disandarkan kepada hadis (Sunan Abu Daud, hadis 1661) yang menjelaskan bahawa ketika Rasulullah saw berdiri pada hari al-nahr (korban) di kawasan Jamrah iaitu semasa Rasulullah menunaikan Haji Wada’, baginda bersabda, inilah haji Akbar. Pendapat kedua mengatakan bahawa maksud haji Akbar ialah hari Arafah bersandarkan kepada hadis Rasulullah saw yang menyatakan bahawa haji itu ialah Arafah (Lihat hadis 2901 dalam Sunan al-Tirmidhi, hadis 2966 dalam Sunan al-Nasa'ei, hadis 3006 dalam Sunan Ibnu Majah). Disebut haji Akbar (haji besar) adalah untuk membezakan dengan ibadat umrah yang disebut sebagai haji Asghar (haji kecil).

Dalam Sunan al-Tirmidhi (hadis 853), nabi saw ditanya tentang ibadah umrah sama ada ia wajib atau tidak, lalu Rasulullah saw bersabda: ’ia tidak wajib, tetapi kalau kamu melaksanakannya, maka ia terbaik untuk kamu’. Lalu hadis ini telah diberikan ulasan oleh Abu ’Isa al-Tirmidhi dengan katanya: ’Hadis ini ialah hadis Hasan Sahih, dan ia merupakan pandangan kebanyakan ahli ilmu yang menyatakan bahawa umrah itu bukan ibadah yang wajib dan ibadah umrah disebut sebagai haji Asghar (haji kecil), manakala hari al-Nahr disebut sebagai haji Akbar (haji besar)’.

Manakala dalam tafsir al-Qurtubi (juzuk 8, halaman 69-70), ketika membincangkan ayat 3 surah al-Taubah ini, djelaskan juga tentang perbezaan pendapat dalam kalangan ulama’ tentang maksud haji Akbar. Dikatakan bahawa haji Akbar ialah hari Arafah. Namun mengikut pandangan Ibnu Abbas, Ibnu Mas’ud, Ibnu Abi Awfa, al-Mughirah bin Syu’bah dan lain-lain haji Akbar ialah hari al-Nahr iaitu merujuk kepada hari raya korban. Perbincangan yang hampir sama juga telah dibincangkan di dalam kitab-kitab tafsir yang lain iaitu perbezaan pendapat tentang haji Akbar hanyalah berkisar sama ada ia merupakan hari Arafah atau ia adalah hari al-Nahr iaitu tanggal 10 Zulhijjah hari permulaan bagi ibadah korban (Sila rujuk al-Tabari 10/69, Ibnu Kathir 2/336, al-Dur al-Manthur 4/128-129, al-Tafsir al-Munir 5/445, dan lain-lain kitab tafsir).

Daripada perbincangan para ulama’ terhadap persoalan haji Akbar ini, didapati bahawa mereka tidak mengaitkan haji Akbar itu dengan hari Arafah yang jatuh pada hari Jumaat. Sebaliknya mereka lebih cenderung mengatakan bahawa haji Akbar ialah hari al-Nahr (penyembelihan korban yang bermula pada 10 Zulhijjah) atau ia adalah hari Arafah yang tidak dikaitkan dengan hari yang tertentu sama ada Jumaat, Sabtu dan sebagainya.

Sehubungan dengan itu, bagaimana pula dengan pandangan yang menyatakan bahawa haji Akbar itu ialah hari Arafah yang jatuh pada hari Jumaat dan pahalanya berlipat kali ganda melebihi 70 kali haji biasa? Bagaimana pula dengan hadis yang diriwayatkan oleh Razin dalam 'Tajrid al-Sihah’ yang menyatakan bahawa sebaik-baik hari Arafah ialah yang jatuh pada hari Jumaat, dan kelebihannya melebihi 70 Haji pada hari selain dari Jumaat?.

Mengenai pandangan yang menyatakan bahawa haji Akbar ialah hari Arafah yang jatuh pada hari Jumaat dan digandakan pahala sebanyak 70 haji itu, kebanyakan para ulama’ menolak pandangan tersebut. Manakala hadis yang diriwayatkan mengenai perkara tersebut, para ulama’ menyatakan bahawa ia hadis yang tidak sahih dan batil. Ibn Qayyim dalam kitab Zad al-Ma’ad menyatakan bahawa hadis itu batil, tiada asal baginya sama ada daripada Rasulullah, para sahabat mahu pun para tabien. Pendapat ini disokong oleh al-Manawi dan Ibn Abidin. Begitu juga pandangan yang dikemukan oleh al-Hafiz Ibn Nasiruddin al-Dimasyqi ketika membahaskan kelebihan hari Arafah telah menyatakan bahawa hadis yang menyatakan bahawa wuquf pada hari Jumaat menyamai pahala 72 haji adalah batil dan tidak sahih.

Syeikh Muhammad Bin Soleh al-Uthaimin ketika ditanya apakah terdapat sumber daripada Rasulullah saw tentang kelebihan haji (Arafah) pada hari Jumaat, telah menyatakan bahawa tidak warid (datang) daripada Rasulullah saw yang menyatakan tentang kelebihan Arafah pada hari Jumaat, namun para ulama’ menyatakan bahawa Arafah yang jatuh pada hari Jumaat membawa kebaikan. Antara kebaikannya adalah seperti berikut:

1- Haji yang dilakukan adalah seumpama haji yang telah dikerjakan oleh Rasulullah saw kerana ketika nabi menunaikan haji wada' , wuquf di Arafah jatuh pada hari Jumaat.

2- Jumaat merupakan penghulu bagi segala hari dan ia merupakan saat dan waktu yang doa seseorang mudah diperkenankan.

3- Hari Arafah merupakan hari 'raya', dan begitu juga hari Jumaat dianggap sebagai hari 'raya'. Jadi apabila Arafah berlaku pada hari Jumaat, maka sudah tentu kebaikannya amat banyak.

Ibn al-Qayyim telah menyenaraikan beberapa kebaikan yang terdapat pada hari wuquf yang jatuh pada hari Jumaat. Antaranya ialah:

1- Bertemunya dua hari (Arafah dan Jumaat) yang merupakan sebaik-baik hari.

2- Hari yang mudah diperkenankan doa oleh Allah.

3- Bersamaan dengan hari wuquf Rasulullah saw ketika mengerjakan haji wada'.

4- Pertemuan besar manusia di Arafah pada hari wuquf, ditambah pula pertemuan pada hari Jumaat untuk khutbah dan solat Jumaat.

5- Kedua-dua hari tersebut merupakan hari 'raya'.

6- Ketaatan dan amalan soleh yang dibuat pada hari Jumaat mempunyai nilaian dan kelebihannya yang tersendiri.

7- Bersamaan dengan Hari Perhimpunan Agung di akhirat kelak. Rasulullah saw juga telah menyatakan bahawa kiamat akan berlaku pada hari Jumaat

Walaupun kebaikan Wuquf pada hari Jumaat tidak dapat dinafikan mempunyai kebaikan yang banyak, namun sesuatu yang masyhur dalam kalangan masyarakat bahawa ia mempunyai nilaian sebanayak 70 haji adalah tidak sahih kerana hadis tentangnya ditolak oleh para ulama'. 
 
 Disesuaikan dari

No comments:

Post a Comment