DAKWAH TUGAS SEMUA INSAN

 


وَالعَصْرِ (1) إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِى خُسْرٍ (2) إِلَّا الَّذِيْنَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّلحَاتِ وَتَوَاصَو بِالحَقِّ وَتَوَاصَوا بِالصَّبْرِ (3 )  Demi masa.   Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasehat menasehati supaya mentaati kebenaran dan nasehat menasehati supaya menetapi kesabaran. ) Al-‘Asr : 1-3 )   

Pengajaran Ayat :  

1.      Imam Ibnu Al-Qayyim Rahimahullah berkata : Setiap sumpah dari Allah SWT dalam Al-Quran mesti membawa dua pengajaran : 1. Bahan sumpah yang Allah gunakan pasti sangat berguna bagi umat manusia. 2. Setelah sumpah pasti ada perkara penting yang Allah akan dedahkan. Contoh pengajaran pertama : Demi Matahari, demi bulan, demi bintang, demi malam, demi Al-Quran. Semua bahan sumpah tersebut sungguh sangat penting bagi umat manusia. Contoh pengajaran kedua : Dalam surah Yasin, setelah bersumpah dengan ( وَالقُرْآنِ الحَكِيْمِ ) : Demi Al-Quran yang penuh hikmah ; lalu diikuti dengan ( إِنَّكَ لَمِنَ المُرْسَلِيْنَ عَلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيْمٍ ) : sesungguhnya kamu salah seorang dari rasul-rasul (yang berada) di atas jalan yang lurus. Pengajaran pertama : Betapa pentingnya manusia berpegang kepada Al-Quran. Pengajaran kedua : Kenyataan Allah bahawa Nabi Muhammad SAW membawa jalan yang lurus membuat setiap muslim yakin bahawa hanya mengikuti sunnah Nabi saja seseorang itu baru mencapai “ Jalan Lurus “ yang mereka mohon setiap hari.

2.      Demikianlah, jika Allah bersumpah dengan ( وَالعَصْرِ ) : Demi Masa, memberi isyarat betapa penting bagi umat manusia menjaga atau mengurus masa (time management). Pengajaran kedua pula kenyataan Allah ( إِنَّ الإِنْسَانَ لَفِى خُسْرٍ ) : Sesungguhnya seluruh jenis insan adalah di dalam kerugian. Alif dan Lam yang berada didepan insan ( الإِنْسَان ) membawa faedah ( لِاسْتِغْرَاقِ الجِنْسِ ) : untuk menyatakan seluruh jenis. Jadi maksudnya : Seluruh jenis manusia, apakah lelaki atau wanita, pemimpin atau rakyat jelata, menteri atau buruh kasar, apapun bangsa dan sukunya, selagi namanya manusia semuanya dalam kerugian. Namun demikian Allah SWT membuat pengecualian dalam ayat berikutnya bahawa setiap insan hanya akan bebas dari kerugian jika memiliki empat sifat, iaitu : Iman, Amal Soleh, Berdakwah (menyampaikan kebenaran kepada orang lain) dan Sabar.    

3.      Pertama : Iman. Keimanan tidak akan sempurna kecuali jika memiliki ilmu. Dan ada tiga cabang ilmu yang paling utama untuk membina iman, iaitu : ( مَعْرِفَةُ اللهِ ) : ilmu tentang Allah ; (مَعْرِفَةُ النَّبِيِّ  ) :  Ilmu tentang Nabi Muhammad SAW ; ( مَعْرِفَةُ الدِّيْنِ الإِسْلَامِيِّ ) : Ilmu tentang selok-belok agama Islam. Kedua : Amal soleh. Tiga cabang ilmu tersebut hendaklah diserlahkan dalam bentuk amal soleh. Syarat amal soleh yang diterima Allah ada dua, iaitu : 1. Setiap amal hendaklah dilakukan dengan ikhlas kerana Allah ; 2. Amal tersebut hendaklah dilakukan mengikuti cara Rasulullah SAW. Ketiga : Dakwah. Keimanan yang diikuti dengan amal soleh belum mencukupi tetapi mestilah dengan dakwah (disampaikan kepada orang lain). Hanya saja yang perlu dipastikan ialah dakwah mestilah dengan Al-Haq (Kebenaran) bukan beradasarkan akal. Dan kebenaran pula adalah segala yang datang daripada Allah dan Rasulullah SAW. Keempat : Sabar. Bila seseorang mula menceburkan dirinya dalam dunia dakwah, maka pasti akan muncul pujian dan cacian terhadapnya. Oleh itu, jika pendakwah dipuji atau disanjung, jangan sombong dan riyak, dan jika dicaci jangan serik atau give up. Kebenaran mesti disampikan walaupun banyak rintangan dari pihak-pihak tertentu yang ingin mengahalangnya.

4.      Selagi hayat dikandung badan, setiap insan mesti berusaha keras untuk memenuhi empat sifat diatas agar kelak menemui Allah di akhirat tidak termasuk ke dalam golongan insan yang merugi. Imam Syafi’I berkata : Jika Allah tidak menurunkan Al-Quran 30 Juzuk ; tetapi hanya menurunkan 3 ayat saja dalam surah Wal-‘Asri, niscaya sudah memadai bagi manusia untuk mengetahui, jalan mana yang mereka patut tempuh dalam kehidupan ini untuk mencapai kebahagiaan yang hakiki di dunia dan di akhirat. Oleh itu, diriwayatkan bahawa menjadi amalan para sahabat Nabi SAW. jika mereka bertemu dengan sesama mereka, setelah memberi salam dan berbual, mereka tidak berpisah atau bersurai kecuali setelah membaca surah Wal-‘Asri. Kenyataan Imam Syafi’I dan amalan para sahabat diatas menunjukkan betapa tinggi nilai pengajaran yang terkandung di dalam surah tersebut.

5.      Berdasarkan surah di atas jelaslah bahawa setiap insan masih berada dalam kerugian, walaupun sudah beriman dan beramal soleh, andaikata tidak berdakwah menyampaikan kebenaran kepada orang lain. Ayat tidak menyebut : ( Sesungguhnya semua ulama atau ustaz atau pendakwah dalam kerugian) tetapi ayat dengan jelas menyebut (إِنَّ الإِنْسَانَ لَفِى خُسْرٍ ) : Sesungguhnya seluruh jenis manusia di dalam kerugian. Hanya saja perlu dimaklumi bahawa diantara hikmah atau rahasia mengapa perintah berdakwah terletak setelah iman dan amal soleh, seolah-olah memberi isyarat bahawa sebelum berdakwah mestilah memiliki iman yang didasari oleh tiga jenis ilmu utama, iaitu tentang Allah, Rasul-Nya dan selok belok agama, agar jangan salah dalam penyampaian kebenaran, yang akibatnya boleh menyesatkan orang lain. Selanjutnya iman dan ilmu yang dimilikinya itu mestilah diamalkannya terlebih dahulu secara peribadi sebelum disampaikan, agar dengan demikian barulah dakwahnya berkesan dan dihormati.

6.      Sudah menjadi Sunnah Allah (Ketetapan Allah) bahawa setiap dakwah kepada kebenaran pasti akan berhadapan dengan cabaran dan rintangan. Selain banyak yang menerima dan menyanjung tugas suci tersebut, juga tidak kurang pihak yang mencela dan mencaci. Para du’at (pendakwah) mesti sabar menghadapinya. Jangan sombong dan riyak jika disanjung, juga jangan cepat panic atau menggelabah jika dicaci dan dihina, apalagi sampai give up atau merajuk lalu berhenti berdakwah jika dituduh oleh pihak-pihak yang masih jahil kepada kebenaran. Inilah diantara hikmah mengapa setelah sifat berdakwah dengan kebenaran disusuli pula dengan sifat berdakwah dengan kesabaran. Para du’at mesti yakin dengan janji Allah dalam firman-Nya ( يَاأَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوا إِنْ تَنْصُرُوا اللهَ يَنْصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ ) : Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu (Muhammad : 7 ). Dan Allah SWT tidak pernah memungkiri janji-Nya.

7.      Setiap muslim dan muslimat yang benar-benar yakin bahawa Al-Quran adalab wahyu yang Allah diturunkan sebagai pedoman untuk umat akhir zaman, mula sekarang wajib memperbetul keyakinannya bahawa tugasnya bukan sekedar beriman dan beramal soleh secara peribadi untuk dirinya sendiri, tapi agar tidak tergolong ke dalam kelompok “Lafii Khusrin” yakni golongan yang sungguh merugi, maka dia wajib berdakwah. Ketika berdakwah setiap kita hanya wajib menyampaikan apa yang sudah kita ketahui dan amalkan, dan kita tidak diwajibkan menyampaikan apa yang kita tidak tahu. Mungkin ada yang berdalih, kononnya dia tidak ada ilmu bagaimana mungkin berdakwah ? Dakwaan ini bohong !!! Apakah dia tidak beriman bahawa solat wajib dilakukan lima kali dalam sehari ? Apakah dia tidak tahu bahawa meminum arak itu haram hukumnya ? Dia sendiri melakukan solat dan tidak meminum arak. Orang ini sudah tergolong beriman dan beramal soleh. Mengapa tidak ajak orang lain solat ? Mengapa tidak cegah jika mengetahui ada rakan yang meminum arak ? Allah berfirman ( لَايُكَلِّفُ اللهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ) : Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya (Al-Baqarah : 286). Jika kita memahami tafsiran surah ini, maka tidak keterlaluan jika saya katakana : Sisa-sisa hidup ini kita mesti focus untuk menyempurnakan empat perkara utama ini agar kita menemui Allah kelak dalam keberuntungan dan bebas dari kerugian. Amin.

Comments

Popular posts from this blog