Kisah Hajjaj Bin Yusuf at-Thaqafi & Tetamunya

 

Hajjaj Bin Yusuf at-Thaqafi adalah seorang pemimpin kerajaan Umaiyah yang terkenal dengan kezaliman lagi kejam dan banyak membunuh ulama'-ulama'. Namun, beliau juga seorang yang banyak mengetahui mengenai al-Quran dan banyak menghafaz ayat-ayat al-Quran.

Beliau juga seorang yang amat memuliakan tetamu. Diriwayatkan, beliau pernah menyuruh pembantu rumahnya/tenteranya untuk mencari tetamu supaya boleh makan bersamanya. Lalu pembantu rumahnya/tenteranya menjemput seorang Arab Badwi masuk ke tempat Hajjaj.

Apabila sampai di bilik makan, orang Arab Badwi itu bertanya, "Adakah kamu ini Hajjaj Bin Yusuf at-Thaqafi?"

Hajjaj menjawab, "Ya." Orang Badwi itu bertanya lagi, "Mengapa kamu memanggil aku?"

Hajjjaj menjawab, "Kamu menjadi tetamu aku pada hari ini." Arab Badwi itu menjawab, "Aku tidak boleh makan kerana aku telah menjadi tetamu yang lebih tinggi daripada kamu."

Hajjaj bertanya, "Siapakah dia yang lebih tinggi daripada aku ini?" Arab Badwi itu menjawab, "Allah Ta'ala, sebabnya pada hari ini aku berpuasa dan aku menjadi tetamu Allah Ta'ala. Oleh kerana itu, apabila sampai waktu berbuka barulah aku boleh makan."

Hajjaj bertanya lagi, "Bukankah hari ini merupakan hari yang sangat panas?" Arab Badwi itu menjawab, "Aku berpuasa pada hari ini untuk hari yang lebih panas lagi daripada hari ini, iaitu hari Kiamat"

Hajjaj bertanya lagi, "Tidakkah ada Hadith yang menyatakan berbuka sehari dan berpuasa sehari? Berbukalah pada hari ini dan esok kamu boleh berpuasa pula" Lalu Arab Badwi itu menjawab, "Baiklah, kalau aku berbuka pada hari ini, adakah kamu boleh memberi jaminan kepada aku bahawa aku dapat hidup sempai hari esok?"

Hajjaj tidak menjawab pertanyaan tersebut.

Arab Badwi tersebut menunjukkan keberaniannya di hadapan seorang pemimpin dan ketua tentera yang terkenal sebagai seorang yang kejam. Beliau menzahirkan apa yang beliau yakini dan pegang, tanpa menunjukkan sedikit pun rasa takut.

Kita bagaimana? Ketika berhadapan dengan manusia, adakah kita berani meyatakan yang Haq dan menegah yang Batil?

*Kisah ini diolah daripada Tafsir at-Tibyan Surah al-Hujurat, tulisan Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang.

-Allah s.w.t. lebih mengetahui segalanya-

Comments

Popular posts from this blog