Selamat Datang Bulan Rejab


Daripada Anas Bin Malik R.A, beliau mendengar Baginda Rasulullah S.A.W. bersabda (Berdoa):


اللهم بارك لنا فى رجب وشعبان وبلغنا رمضان

"Ya Allah, berkatilah kami pada Bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah (hayat) kami ke Bulan Ramadhan" (Hadis riwayat At-Tabrani)

Alhamdulillah, kita sekali lagi berpeluang menjejaki bulan Rejab dengan Iman dan Islam. Masih lagi diberi pinjaman umur oleh Allah S.W.T. untuk meningkatkan bekal bagi menghadapi kehidupan sebenar kelak.


"Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan, ( yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, antaranya empat bulan yang dihormati (Muharram, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijjah). Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul dan lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laraganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertaqwa" (Surah Taubah: 36)


Ramai umat Islam yang menambahkan amalan mereka pada bulan Rejab. Antara amalan yang sering dilipatgandakan pada bulan Rejab ialah amalan berpuasa sunat.

Mengapa kamu melipatgandakan amalan pada bulan ini?? Apakah ada fadhilat khusus di sebaliknya??

"Puasa pada bulan Rejab, bukanlah ada padanya fadhilat yang berlebih-lebihan dari bulan-bulan yang lain, melainkan sesungguhnya ia dari bulan-bulan yang haram" (Sheikh Sayyid Sabiq)

"Fadhilat bulan Rejab adalah sama seperti yang terdapat di dalam 3 bulan Haram yang lain "(Dr. Yusof al-Qaradhawi, Sheikh Atiyah al-Saqr; Mantan Ketua Lajnah Fatwa Al-Azhar)


Jadi, adakah tiada amalan sunat dibolehkan di bulan Rejab ini??

Jawapannya, ada. Tiada masalah untuk beribadat pada bulan ini, terutamanya berpuasa, tetapi janganlah dikhaskan bahawa amalan dan fadhilatnya hanya pada bulan Rejab sahaja.

Seorang lelaki telah bertanya Rasulullah S.A.W., "Bulan mana kamu perintahkanku berpuasa selepas bulan Ramadhan?. Rasulullah S.A.W. bersabda: "Jika aku berpuasa selepas Ramadhan, maka berpuasalah di bulan Haram, maka sesungguhnya di dalamnya dari taubat (keampunan) Allah ke atas suatu kaum dean terdapat taubat (keampunan) di dalamnya untuk satu kaum yang lain" (Hadith riwayat Ahmad)


Sebenarnya, di dalam bulan Rejab telah berlaku pelbagai peristiwa penting dalam lipatan sejarah Islam. Seharusnya umat Islam mengingati peristiwa-peristiwa penting tersebut sebagai iktibar untuk generasi masa kini. Di antara peristiwa-peristiwa penting yang telah berlaku pada bulan Rejab ialah peperangan Tabuk (Rejab 9 Hijrah, Oktober 630M), pembebasan Al-Quds dari tentera Salib oleh tentera Islam pimpinan Salehuddin Al-Ayubi (27 Rejab 583Hijrah), kelahiran Imam Syafi'e (Rejab 150 Hijrah, 767 M) dan peristiwa Isra' dan Mi'raj pada 27 Rejab (pendapat sebahagaian ulama').

Peristiwa-peristiwa ini adalah peristiwa besar dalam Islam. Ingatlah sejarah amat penting dalam kejayaan hari ini. Sejauh mana kejayaan hari ini, bergantung kepada peristiwa semalam. Kehidupan ini ibarat seperti memandu kereta. Kita memandu sentiasa ke hadapan. Namun, kita amat memerlukan cermin sisi untuk melihat keadaan di belakang, adakah selamat ataupun tidak.

Bayangkan jika kereta tanpa cermin sisi untuk melihat keadaan belakang. Pemandu itu mungkin tidak akan selamat untuk terus memandu. Jika selamat pun, pemandu tersebut pasti tidak mampu memotong atau meningkatkan kelajuan kenderaan kerana ketiadaan cermin belakang yang boleh memastikan keadaan selamat untuk memecut dan memintas kenderaan lain. Cermin sisi itu adalah sejarah silam. Kita mungkin boleh terus melangkah tanpa melihat sejarah, tapi kita pasti tidak akan dapat melangkah jauh tanpa melihat kepada sejarah kejayaan dan kegagalan umat silam untuk dijadikan pengajaran.

Sempena bulan Rejab ini, beramallah dengan sebaiknya tanpa meminggirkan nas. Amat rugi jika melakukan amalan-amalan yang tiada di dalamnya nas-nas yang sahih. Ingatlah, amaran keras Rasulullah S.A.W.:

“Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan selain mereka).

-Allah S.W.T. lebih mengetahui segalanya-

Comments

Popular posts from this blog