Solat Seorang Penzina!
Solatku Tidak Mencegah Mungkar?
“ Sejahat-jahat aku pun aku semayang jugak”
Seringkali juga saya mendengar ungkapan ini dari kawan-kawan. Juga sering terngiang di kepala pesanan seorang ustaz ketika masih menuntut di Kolej dahulu, jangan sesekali meninggalkan solat tidak kiralah apa sekalipun perbuatan kita. Bagaimana malas pun jangan sesekali meninggalkan solat.
Perkara solat sering kali ditekankan kepentingannya dalam ceramah-ceramah , penulisan dan sebagainya kerana msyarakat islam menyedari penekanan yang diberikan oleh agama terhadap solat.
Beberapa bulan yang lepas saat berkunjung ke Kuala Lumpur, jatung saya tersentap mendengar cerita seorang sahabat yang menceritakan kepada saya akan perilakunya dalam keadaan senyum dan gembira. Dia memang dikenali sebagai seorang yang bersosial, suka pergi ke club, melakukan seks bebas dan macam-macam lagi. Namun, sepermerhatian saya sejak mengenalinya, solat tidak pernah ditinggalkannya. Tiap kali waktu solat dia sering mengingatkan kawan-kawan lain bahawa solat telah masuk waktunya. Saya sendiri sangat kagum kepadanya, disebalik kemungkaran yang meliputi batang tubuhnya, namun jika bab solat tidak pernah dikomprominya.
Dia memang kerap bertukar-tukar pasangan, bukan pasangan untuk ‘bercouple’ seperti remaja biasa, tetapi pasangan seks bebas memenuhi tuntutan hawa nafsu rakusnya. Pada hari itu dia bercerita panjang dengan saya,
“ Aku pernah jumpa perempuan nih, tapi dia cakap dia nih jenis yang tak beragama sangat walaupun islam. Aku tak suka laa perempuan macam tuh. So aku tinggalkan jer laa perempuan tuh “..Katanya kepada saya menceritakan tentang seorang gadis yang tidak mempedulikan soal-soal tuntutan agama.
Saat seronok berborak dengannya, dia menceritakan pula tentang keseronokkannya berkenalan dengan seorang gadis secara rambang dan akhirnya mereka terpikat dan terjatuh ke lembah hina yang gelap. Mereka hanya berkenalan di kelab malam dan sudah dibawa pulang tidur diatas katil.
“ Aku suka perempuan nih sebab lepas kitaorang buat ‘kerja’, pagi tuh dia siap kejut aku bangun subuh. Sweet tak dia. Dia jenis yang hormat aku nih jenis jaga solat”..Katanya kepadaku sambil senyum meleret dibibir tanpa ada sebarang rasa penyesalan yang terdetik dihatinya.
Hatiku terasa panas dan tersentap sungguh mendengar ucapan itu. Entah dimana silapnya. Dia kemudian menyambung lagi.
“ Aku cakap kat dia, bulan puasa nanti kita tak leh buat ‘projek’ sebab aku kena puasa time bulan Ramadhan “. Ucapnya selamba.
Berpinar mata dan kepalaku saat mendengar ungkapannya. Sungguh aku hanya mampu berdoa agar Allah mengampuni dosa aku dan dia, dan memberikan hidayah kepada kamu berdua untuk berubah.
Kutanya padanya,
“Tidak takutkah jika perempuan itu mengandung? Buang anak makin menjadi-jadi lewat belakang ini”
Dijawabnya dengan ringkas, “ Safe Sex ” sambil tersenyum dan mata melirik bangga.
Dalam hatiku berkata sendirian, sedarlah kawanku, tiada hubungan kelamin yang selamat melainkan hanya setelah pernikahan. “Safe Sex” dalam banyanganmu hanya mengundang amarah Tuhan Pencipta Alam. “Safe Sex” itu hanya membawa bakaran api neraka yang gelap dan marak, tidak mampu dibayangkan keperitan dan kesakitannya.
Ku tanya lagi,
” Bila nak kawen? Baik ko kawen dari buat benda-benda x baik camni.”
Dia membalas, “Kawen??” Dengan nada terkejut seperti pertama kali mendengarkan perkataan itu. Harapanku agar dia mendalami maksud disebalik perkataan itu dan cuba memahami nilaiannya.
Jika anda amati bait-bait kisah diatas, pasti anda sedar, bahawa sahabat saya adalah seorang yang menjaga solat dan puasanya, namun kehidupannya tidak mencerminkan nilaian solat dan puasanya. Entah dimana silapnya. Aku sendiri tidak pasti. Puas aku memikirkannya. Sungguh syaitan telah memperdayakannya. Mengaburkan matanya dengan perkataan ‘solat’. Sehingga wanita penzina mengejutkannya untuk solat subuh, dirasakan sebagai sebuah cinta tiada taranya. Sedangkan itulah perangkap cinta syaitan yang menjerat kelemahannya dengan perkataan ‘solat’. Mencari wanita penzina yang menghormati ‘solat’nya. Sungguh aku bingung memikirkannya.
Ku selak kembali ayat Al-Quran,
“Bacalah serta ikutlah (Wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ankabut: 45).
Aku pasti sudah seringkali kita mendengar ayat ini dibacakan. Namun persoalannya mengapakah solat kita tidak mencegah mungkar? Mengapa orang yang bersolat 5 kali sehari dan berpuasa di bulan Ramadhan terjatuh ke lembah zina. Bahkan lebih teruk, pembuangan bayi kian berleluasa. Masyrakat jahiliyah yang jahil dulu menanam anak didalam tanah, ‘memulangkan’ manusia yang diciptakan dari tanah, namun, sedihnya, masyarakat Malaysia membuang bayi ke dalam tangki najis, ‘memulangkan’ manusia ke lubang najis, adakah manusia tercipta dari najis?
Berkali-kali kita mendengar tentang bentuk solat yang mencegah mungkar itu adalah solat yang khusyu’. Namun persoalannya, untuk kita yang masih belum mencapai tahap kekhusyukan para nabi, sahabat, tabi’in dan para solihin, apakah solat itu langsung tiada nilainya kepada diri kita walaupun 5 kali sehari tonggang terbalik menunaikan kewajipan solat? Maka, adakah dengan alasan solat kita masih belum khusyu’ dan sempurna kita bebas melakukan maksiat kepada Allah walaupun kita bersolat?
Ku cuba ingat kembali huraian dan ulasan seorang ustaz di Radio IKIM.fm berkenaan solat yang mencegah mungkar. Aku sungguh sukakan ulasan ustaz kerana ianya lebih berbentuk praktikal. Huraiannya berbeza dengan apa yang sering kudengar. Ustaz membincangkan tetang bagaimana solat itu mencegah dari kita melalukan kemungkaran adalah, dengan kita sentiasa mengingati bahawa kita adalah golongan yang solat.
Saya ulang dirangkap baru, Dengan Mengingati Bahawa Kita Adalah Golongan Yang Solat.
Dengan sentiasa ingat bahawa kita ini golongan yang solat, maka tiap kali kita hendak melakukan maksiat maka berpesanlah kepada diri kita, bahawa aku ini tergolong dalam orang-orang yang bersolat, Maka apakah selayaknya aku melakukan maksiat kepada Allah. Apakah solatku tiada nilaian langsung sehingga aku terheret untuk melakukan maksiat.
Konsep mengingati bahawa kita golongan yang bersolat ini sama sepertimana kita berpuasa. Apabila kita berpuasa, kita sedaya upaya mencegah diri dari melakukan perkara yang membatalkan puasa sehingga terbenam matahari. Kelaparan mengingatkan kita bahawa kita adalah golongan yang berpuasa. Seperti kisah sahabat saya tadi, sedari awal memberi pesanan kepada teman wanitanya bahawa mereka tidak boleh melakukan seks pada bulan Ramadhan kerana dia berpuasa. Itulah bentuk peringatan yang diberikan kepada diri sendiri, ‘bahawa aku sedang berpuasa, tidak boleh melakukan seks di siang hari’
Begitu jugalah solat. Solat itu 5 waktu sehari. Kita hanya melihat solat itu hanya pada waktunya. Selepas kita solat, maka kita sudah tidak berada dalam ‘waktu’ solat itu. Sedangkan waktu-waktu solat berturutan antara satu sama lain, makanya, solat tiada ‘waktu berbuka’ sepertimana puasa mempunyai waktu untuk berbuka. Sebenarnya kita sentiasa berada dalam waktu dan keadaan solat. Maka, lebih mudah untuk kita mengingatkan diri bahawa aku ini dari golongan yang bersolat yang mana sentiasa mengingatkan kita untuk mencegah kita dari kemungkaran. Ingatlah diantara dua waktu solat itu, bahawa kita adalah golongan bersolat, apakah layak untuk kita yang baru sahaja bersolat sebentar tadi untuk melakukan maksiat, yang mana kemudiannya di waktu solat seterusnya kita akan kembali menemui Allah, adakah dalam keadaan pernuh maksiat itu?
Maka tiap kali kita ingin melakukan maksiat kepada Allah, maka ingatlah bahwa kita dari golongan yang bersolat, dan solat itu nilaianya tinggi untuk mencegah kemungkaran. Ia akan menjadi motivasi untuk kita berusaha sedaya upaya meninggalkan maksiat. Ia akan menjadi khabar gembira kepada diri kita dengan sentiasa mengingatkan bahawa diri ini adalah tergolong dalam golongan yang bersolat.
Namun, tidak pernah dinafikan, bahawa kesempurnaan solat itulah yang sebenarnya mencegah kita dari kemungkaran. Kekhusyukan solat kita kan menghindarkan diri dari kemaksiatan. Maka, kita harus sentiasa berusaha meningkatkan kualiti solat dan berusaha dari masa ke semasa untuk menyempurnakan solat dan kekhusukan kita.
Sesungguhnya “Pencegahan itu datangnya dari Allah”, yang mana hati kita diibaratkan berada di dua jari Allah yang mampu dibolak balik kan dengan mudah mengikut kehendak-Nya. Maka sentiasalah berdoa diberi ketetapan hati dan iman.
Bukanlah diri ini untuk menghukum seorang penzina atas kemaksiatannya, kerana saya jugak seorang hamba yang bakal dihakimi Allah, hak menghukum hanya milik Allah. Namun, mengambil pengajaran atas apa yang berlaku sebagai peringatan kepada kita yang sentiasa berfikir. Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk melaksanakan suruhannya, dan meninggalkan larangannya.
Comments
Post a Comment