SYARIAT ZIARAH KUBUR & KESALAHAN YANG DILAKUKAN DI KUBUR
UMAT Islam
disyariatkan menziarahi kubur untuk mengingati Akhirat. Syariat ini umum
kepada mana-mana kubur orang Islam tanpa mengkhususkan kubur siapa pun
hatta kubur keluarga sendiri. Perbuatan mengkhaskan kubur tertentu
dikhuatiri membawa kepada niat lain seperti mengkeramatkan kubur,
menganggap kubur itu ada kelebihan, mengambil berkat, dan sebagainya.
Itulah yang berlaku dalam realiti masyarakat. Mereka mendatangi kubur
tertentu dan akhirnya meminta hajat di situ. Ada yang memanggil-manggil
penghuni kubur yang barangkali orang tuanya, meminta tolong atas
musibah yang menimpa. Mereka menamakannya tawassul, tetapi tawassul
dengan orang mati bukan tawassul yang syar’i, sebaliknya ia adalah
Syirik dengan ertikata sebenar.
Sabda Nabi SAW, “Ziarahlah kubur kerana ia mengingatkan kamu akan kematian” (Riwayat Muslim).
Tidak ada tujuan lain kita disuruh ke kubur kecuali untuk
mengingati mati. Maka tidak ada ibadah yang dilakukan di kubur selain
mendoakan kebaikan bagi ahli kubur dan kebaikan secara umum; supaya
jangan kita ditimpa musibah sesudah pemergiannya seperti yang diajar
dalam doa Nabi.
Di samping kubur bukan tempat meminta hajat, kubur juga bukan tempat
untuk solat, iktikaf, baca Al-Quran, zikir yang sepatutnya dilakukan di
masjid. Aisyah RA, isteri yang paling Nabi cintai berkata, Rasulullah
SAW ketika sakit di pembaringan sebelum wafat bersabda,
“Allah melaknat Yahudi dan Nasrani, mereka menjadikan kubur
Nabi-Nabi mereka sebagai masjid (tempat ibadah).” Aisyah berkata, “Kalau
bukan kerana takutkan itu, nescaya kubur Baginda SAW ditempatkan di
tempat terbuka, hanya kerana Baginda takut kuburnya dijadikan masjid.” (Al-Bukhari, Muslim)
Al-Hafiz Ibn Hajar ketika mengulas hadis ini berkata, “Seolah-olah
Nabi SAW telah tahu bahawa Baginda akan pergi selamanya melalui sakit
yang Baginda derita, sehingga Baginda bimbang kubur baginda diagungkan
seperti yang dilakukan oleh orang terdahulu. Oleh itu baginda melaknat
Yahudi dan Nasrani sebagai isyarat celaan bagi orang yang melakukan
seperti mereka.”
MENANAM POKOK DI ATAS KUBUR
Diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA bahawa Nabi SAW pernah melewati dua kubur. Baginda bersabda,
“Sungguh keduanya sedang disiksa, dan tidaklah keduanya
disiksa kerana perkara besar. Seorang darinya tidak bertabir dari
kencing, dan yang satu lagi berjalan sambil mengadu domba.” Baginda
mengambil pelepah kurma yang basah dan membelah menjadi dua lalu
menacapkan di kedua-dua kubur itu. Sahabat bertanya, “Ya Rasulullah,
mengapa anda melakukan ini?” Baginda menjawab, “Semoga ia dapat
meringankan siksanya selama keduanya belum kering.” (Bukhari & Muslim)
Telah timbul salah faham di kalangan masyarakat dalam memahami hadis
ini sehingga ramai yang menyimpang dari sunnah. Mereka berpendapat dalam
hadis ini ada anjuran menacapkan pelepah kurma atas kubur orang Islam.
Alasannya adalah pelepah kurma yang basah itu bertasbih, dan tasbih itu
akan mengurangkan azab di dalam kubur.
Pendapat ini disanggah oleh pendapat lain yang melihat tidak ada
dalil Al-Quran atau Sunnah yang menunjukkan pensyariatan menacap pelepah
kurma di atas kubur. Adapun perbuatan Rasulullah adalah perbuatan khas,
dalam peristiwa khas, dan tidak boleh diambil darinya hukum umum. Ini
kerana Rasulullah SAW tidak melakukan pada kubur-kubur sahabat yang
lain. Dikurangkan azab dua penghuni kubur itu bukan kerana pelepah
kurma, tapi kerana syafaat dan doa yang Baginda ucapkan, “Semoga ini meringankan siksanya selama keduanya belum kering.”
Pendapat ini dikuatkan oleh sabda Rasulullah SAW, “Sesungguhnya
aku melewati dua kubur yang sedang disiksa. Maka aku suka agar dengan
syafaatku, azab keduanya diringankan selama kedua dahan itu masih basah”
(Riwayat Muslim).
Jelas menunjukkan bahawa azab diringankan berkat syafaat Baginda.
Adapun perbuatan Baginda membelah lalu menancapkan pelepah kurma itu
hanya sebagai petunjuk tempoh masa dikurangkan azab, yang bererti
apabila pelepah itu kering, azab mereka kembali seperti sebelumnya.
Pendapat yang mengatakan azab kubur diringankan kerana bertasbihnya pelepah basah juga bercanggah dengan firman Allah, “Dan tidaklah suatupun melainkan ia bertasbih dengan memujiNya, tetapi kamu tidak faham tasbih mereka.” (Al-Isra: 44). Ayat ini menunjukkan semua makhluk, basah atau kering, tumbuhan atau bukan, bertasbih kepada Allah.
Akibat salah faham terhadap hadis ini, akhirnya bukan pelepah kurma
saja yang digunakan, bahkan bermacam-macam pokok, tumbuhan, dan binaan
ditanam atas kubur. Perbuatan ini melebihi apa yang dilakukan oleh
Rasulullah SAW jika hendak dikiaskan dengan hadis tadi, bahkan umat
Islam juga sudah menyamai adat orang kafir bila berlaku kematian iaitu
meletakkan bunga-bungaan di atas kubur.
Tidak berhenti di situ, mereka juga mengqiaskan bahawa bacaan
Al-Quran di kubur tentu lebih meringankan azab jika dibandingkan dengan
tasbih pelepah kurma. Bermula dengan pelepah yang bersifat sementara,
mereka menanam tumbuhan kekal. Dari pelepah kecil kepada pokok besar,
yang berbunga, berbuah, dan akhirnya membaca Al-Quran dan ibadah di atas
kubur.
Qias ini adalah batil. Perlu dibuktikan pelepah itu adalah penyebab
dikurangkan azab, dan telah dijelaskan bahawa itu bukan sebabnya. Maka
apa yang disandarkan padanya adalah tertolak. Di samping itu, siksa
kubur adalah perkara ghaib. Apabila Rasulullah mengatakan penghuni kubur
itu disiksa, ia adalah wahyu dari Allah SWT. “Allah sahaja yang
mengetahui yang ghaib dan Dia tidak memberitahu tentang hal ghaib itu
kepada sesiapapun kecuali kepada mana-mana Rasul yang diredhaiNya.” (Al-Jin: 26-27)
Perbuatan menanam pokok untuk mengurangkan azab seolah-olah
menggambarkan pelakunya tahu orang di dalam kubur itu sedang disiksa.
Ini adalah sangkaan semata-mata, dan amalan yang dikaitkan dengan agama
tidak boleh dilakukan secara sangkaan.
“Dan tidaklah kebanyakan mereka mengikuti kecuali sangkaan
saja. Sesungguhnya sangkaan itu tidak sedikitpun berguna untuk mencapai
kebenaran.” (Yunus: 36)
Nabi SAW turut melarang membuat apa-apa binaan di atas kubur sepertimana riwayat Jabir RA beliau berkata, “Rasulullah SAW melarang menyimen kubur, duduk di atasnya atau membina sesuatu di atasnya” (Muslim).
Baginda juga memerintahkan Ali bin Abi Talib meratakan binaan di atas
kubur seperti yang dikatakan oleh Ali kepada Abul Hayyaj bin Asadi, “Mahukah
kamu aku utuskan sebagaimana Rasulullah SAW pernah mengutusku?
Janganlah kamu tinggalkan gambar (makhluk bernyawa) sampai kamu
hapuskan, dan jangan kamu biarkan kubur yang tinggi sampai kamu
ratakan.” (Muslim)
Rasulullah SAW melarang gambar-gambar dan kubur yang ditinggikan
antaranya kerana ia membuka pintu kesyirikan iaitu penyembahan selain
ALLAH SWT. Sesungguhnya hak untuk diibadahi adalah hak mutlak Allah
semata-mata, dan setiap muslim diperintahkan meninggalkan hal-hal yang
membawa kepada kesyirikan.
Ketika menafsirkan firman Allah surah Nuh, ayat 23: “Dan
mereka berkata, “Jangan kamu tinggalkan sembahan Tuhanmu dan jangan kamu
tinggalkan sembahan Wadd, jangan pula Suwa’, Yaghuts, Ya’uq dan Nasr”, para salaf menafsirkan bahawa kelima-lima nama tersebut adalah nama orang soleh dari kaum Nuh.
Ketika mereka meninggal, kaumnya berkumpul di kubur dan merasa sedih,
lalu syaitan membisikkan supaya dibuat gambar orang soleh itu agar
diingati. Kemudian syaitan membisikkan supaya dibuat patung dan
menamakan dengan nama-nama orang soleh itu. Mereka melakukannya tetapi
tidak menyembahnya, sehinggalah zaman beredar dan hilangnya ilmu, anak
keturunan mereka menjadikan patung-patung itu sebagai sembahan selain
Allah.
KUBUR DALAM TAMAN
Pernah ada cadangan supaya konsep kubur yang suram ditukar kepada
konsep dalam taman. Jika dilihat kawasan perkuburan orang kafir memang
seperti taman, dihiasi pokok-pokok, binaan, bilik-bilik, dan kadangkala
satu keluarga disusun bersama dalam satu bilik. Kita perlu faham kenapa
orang kafir menjadikan kubur sebagai taman-taman.
Ini adalah dilema orang kafir yang tidak beriman kepada Allah dan
Hari Kebangkitan. Bagi mereka, kehidupan adalah di dunia semata-mata.
Mereka berdepan dengan dilema bila berpisah dengan orang kesayangan.
Mereka tidak redha menerima kematian orang yang disayangi kerana bagi
mereka, keluarga mereka sudah tiada. Jauh sekali mereka hendak percaya
bahawa keluarga yang mati itu akan bangkit di Padang Mahsyar dan mereka
akan bertemu kembali.
Maka antara usaha untuk menjaga hubungan dengan orang yang telah mati
adalah dengan terus mendatangi kubur. Mereka ziarah kubur seperti orang
Islam ziarah kubur, tetapi tujuannya berbeza. Orang Islam datang ke
kubur untuk ingat kepada mati, sebaliknya orang kafir datang ke kubur
kerana hendak menjaga hubungan dengan orang yang telah mati dan mengubat
kesedihan.
Namun mereka berdepan dengan musibah lain; setiap kali datang ke
kubur, terbayang kepada mereka kematian. Kematian adalah suatu yang
sangat tidak menyenangkan mereka kerana kematian bererti terputusnya
nikmat dunia. Untuk berdepan dengan perasaan tidak senang itu, mereka
meletakkan tanaman, hiasan, taman-taman supaya fikiran tidak tertumpu
pada kematian. Sebaliknya mereka terus melihat kenikmatan dunia.
Sebaliknya bagi umat Islam, tujuan ziarah kubur memang untuk
mengingat mati. Jadi perbuatan menghias kubur bercanggah dengan syariat
itu sendiri, bahkan menyerupai perbuatan orang kafir. Kita khuatir niat
ziarah kubur bertukar; tidak timbul perasaan ingat Akhirat, tidak timbul
rasa takut.
Maka perlu muhasabah dalam kita hendak berbuat baik kepada si mati.
Hendaklah ia dilakukan dengan cara yang syar’i seperti berdoa kepadanya.
Bukan dengan menanam pokok, membuat binaan, membaca Al-Quran, bertahlil
di kubur. Jika benar hal itu dapat meringankan azab dan memberi manfaat
kepada si mati, pasti ia difahami oleh para sahabat dan Salafussoleh,
dan pasti mereka mengamalkannya dan kita akan dapati mereka
berlumba-lumba melakukannya di kubur-kubur sahabat yang lain. Tetapi
ternyata hal ini tidak pernah berlaku.
Artikel ini disiarkan di akhbar pada Jumaat, 07.02.2014http://ustazidrissulaiman.wordpress.com/2014/02/10/syariat-ziarah-kubur-kesalahan-yang-dilakukan-di-kubur/
Comments
Post a Comment