Skip to main content
-
Akhirnya, S'gor ambilalih pengurusan syarikat air
- 2:36PM Feb 26 2014

- |
Selangor
dan kerajaan persekutuan telah mencapai satu persetujuan untuk
membolehkan kerajaan negeri mengambil alih pengurusan syarikat-syarikat
bekalan air, yang akan menerima pampasan RM9.65 bilion.
Kerajaan persekutuan juga akan menyuntik dana berjumlah
RM2 bilion bagi membantu negeri ini menguruskan syarikat-syarikat berkenaan.
Sebagai balasan, Selangor akan membenarkan kerajaan persekutuan untuk meneruskan pembinaan loji rawatan air Langat 2.
Maklumat itu disediakan oleh seorang pegawai dari Pejabat Menteri Besar
Selangor, yang menghadiri sidang akhbar untuk mengumumkan majlis
menandatangani memorandum persefahaman (MOU) tersebut
Ini menamatkan pertelingkahan sejak lima tahun lalu antara kerajaan pusat dan negeri berhubung perkara itu.
Malaysiakini dilarang meliputi sidang akhbar tersebut petang ini di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
Sementara itu, dalam satu kenyataan, Menteri Besar Selangor, Tan Sri
Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan Selangor dan Kerajaan Persekutuan
hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bagi membolehkan
kerajaan negeri mengambil alih ekuiti empat syarikat konsesi air.
Pengambilalihan
ini dijangka selesai sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan dan
keempat-empat syarikat ini akan diletakkan di bawah satu syarikat
konsortium air di bawah Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) iaitu
syarikat milik penuh kerajaan Selangor.
Empat syarikat konsesi itu ialah Puncak Niaga Sdn Bhd, Syarikat Bekalan
Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd
(SPLASH) dan Konsortium ABBAS Sdn Bhd (ABBAS), kata Menteri Besar, Tan
Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, pengambilalihan ini akan
melibatkan pengambilalihan pegangan ekuiti serta tangggungjawab dan
tidak melibatkan pemberhentian kakitangan bukan pengurusan.
"KDEB akan membayar RM9.65 bilion kepada pemegang saham empat syarikat
konsesi terbabit manakala kerajaan persekutuan menyuntik RM2 billion
untuk membantu Kerajaan Negeri dalam urusan pengambialihan saham.
"Sebagai balasan, Kerajaan Selangor akan mengeluarkan kebenaran
merancang untuk pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihan
(LRAL2)," tambahnya.
Sementera menunggu Langat 2 disiapkan, katanya, kerajaan Selangor akan
melaksanakan tiga tanggungjawab utama untuk memastikan bekalan air
bersih mencukupi iaitu:
1. Menjalankan program mitigasi bernilai RM900 juta yang diperuntukkan oleh kerajaan persekutuan.
2. Memulakan projek Horas (Hybrid Off River Augmentation System) di
Sungai Selangor yang mampu membekalkan air bersih antara 600 hingga 700
Juta Liter Sehari (MLD) atau 3 bilion liter pada 2050. Majlis pecah
tanah projek ini akan diadakan dalam tempoh dua minggu dari sekarang
3. Menurunkan peratusan air tidak berhasil (NRW) dari 33 peratus kepada
tahap yang lebih rendah dalam tempoh enam bulan. Peratusan tinggi NRW
yang gagal diturunkan oleh SYABAS adalah punca utama bekalan air bersih
tidak mencukupi.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan dan Menteri
Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili
di atas kerjasama bagi memuktamadkan penstrukturan semula industri air
di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
"MoU ini tepat pada masanya ketika rakyat bergelut dengan krisis bekalan
air dan ini jelas membuktikan industri air perlu distruktur semula
supaya perkhidmatannya lebih cekap dan mampan dengan kadar tariff air
yang munasabah," tambahnya.
Sementara itu, Bernama melaporkan kerajaan Persekutuan dan
kerajaan Selangor hari ini menandatangani MoU untuk penstrukturan semula
industri air di negeri itu yang telah berlanjutan sejak 2008.
Kerajaan persekutuan diwakili Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air,
Datuk Seri Dr Maximus Ongkili manakala kerajaan negeri diwakili Menteri
Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Detik bersejarah yang berlangsung di Kompleks Perdana Putra di Putrajaya
disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana
Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr
Ali Hamsa.
Melalui MoU itu, kerajaan negeri Selangor akan mengeluarkan kebenaran
untuk merancang pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihannya
(LRAL2) berkuatkuasa hari ini dan memastikan semua kelulusan dan
kebenaran berkaitan pembangunan projek LRAL2 diluluskan dalam tempoh 30
hari daripada tarikh MoU ditandatangani.
Sebagai tambahan, kerajaan Persekutuan bersedia menyuntik dana tambahan
untuk membantu kerajaan negeri mengambil alih syarikat-syarikat konsesi
air dan seterusnya membenarkannya menguruskan perkhidmatan bekalan air
di Selangor melalui sebuah syarikat milik kerajaan negeri.
Pelaksanaan penstrukturan semula industri air di Selangor adalah satu
keperluan bagi meningkatkan keberkesanan perkhidmatan bekalan air di
Selangor dengan mengambil kira perkhidmatan bekalan air yang lebih mapan
dan efisien untuk Kuala Lumpur dan Putrajaya.
MoU itu juga membenarkan kerajaan negeri untuk mengemukakan tawaran
kepada syarikat-syarikat konsesi air iaitu Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB),
Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Syarikat Pengeluar Air
Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dan Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABAAS).
Melalui MoU itu, Kerajaan Persekutuan turut bersetuju menjadi pemudah
cara bagi kerajaan negeri Selangor melaksanakan penstrukturan semula
industri air melalui Akta Perkhidmatan Industri Air 2006 (WSIA) dan
mana-mana undang-undang yang terpakai.
Dalam
sidang media selepas itu, Ongkili berkata kerajaan Persekutuan
bersetuju untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa yang akan dianggotai
wakil kerajaan negeri bagi pelaksanaan projek LRAL2.
"Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Selangor berharap agar
syarikat-syarikat konsesi air di Selangor akan memberikan kerjasama
sepenuhnya dalam menjayakan penstrukturan semula industri perkhidmatan
bekalan air demi kesejahteraan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan
Putrajaya," katanya.
Ongkili berkata MoU itu bukan disebabkan krisis air yang sedang melanda
Selangor sebaliknya ia mengambil kira kepentingan rakyat.
“Walaupun Selangor bukan di bawah Barisan Nasional (BN) tetapi kita
mengutamakan kepentingan rakyat... kita telah bekerja keras lebih tujuh
bulan untuk mencapai kata sepakat,” katanya.
Sementara itu, Khalid menyifatkan MoU yang dimeterai itu tepat pada masanya.
“Kita bersetuju untuk melaksanakan satu penyusunan semula industri air
yang kita anggap tepat pada masanya, khususnya dalam keadaan sekarang
industri air disusun semula membolehkan pengguna air di Selangor, Kuala
Lumpur dan Putrajaya mendapat perkhidmatan yang terbaik,” katanya.
Rundingan penstrukuran semula industri perkhidmatan bekalan air yang
berpanjangan sejak 2008 tanpa sebarang penyelesaian telah menjejaskan
industri air di negeri itu selain memberi kesan kepada negara berikutan
projek-projek pembangunan baharu tidak dapat dimulakan kerana kekurangan
bekalan air.
Kemelut itu menyebabkan projek LRAL2 tertangguh, satu daripada komponen
penting untuk menyelesaikan masalah kekurangan bekalan air di Selangor,
Kuala Lumpur dan Putrajaya.
http://m.malaysiakini.com/news/255477
Comments
Post a Comment