Akidah Islam Dan Jenayah Murtad





murtad dan akidah.jpgAkidah merupakan peranan utama dalam pembentukan masyarakat ke arah Islam. Akidah Islam merupakan suatu kepercayaan yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. yang diwahyukan oleh Allah s.w.t. selaku Tuhan dan Pencipta sekalian alam untuk disebarkan ke seluruh alam demi mengeluarkan manusia daripada kegelapan kejahilan kepada sinaran Islam. Akidah ini menafikan wujudnya tuhan selain Allah dan mengiktiraf bahawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah pesuruh-Nya.

Selepas Nabi Isa a.s. diangkat ke langit, manusia kembali terjerumus ke lembah kejahilan. Mereka mula melakukan perkara-perkara terlarang sebagaimana ketika kehidupan mereka sebelum diutuskan nabi dan rasul. Para ahli kitab pula khasnya telah menyelewengkan isi kandungan yang terdapat dalam Kitab Injil. Mereka telah menghalalkan yang haram dan mengharamkan perkara yang halal. Dalam tempoh itu, manusia berada dalam kesesatan yang nyata sehinggalah Nabi Muhammad s.a.w. dibangkitkan .

Bangsa Arab membunuh anak-anak perempuan mereka yang baru dilahirkan kerana mereka mempercayai bahawa anak-anak perempuan mereka apabila sudah dewasa akan mendatangkan kepapaan dan keaiban kepada keluarga mereka. Kaum wanita pula dijadikan seperti alat permainan yang hanya semata-mata untuk memuaskan nafsu lelaki. Wanita diletakkan di martabat paling bawah, mereka tidak dapat mewarisi harta apabila suami mereka mati, bahkan mereka pula diwarisi oleh anak-anak mereka (pada zaman jahiliyah, anak lelaki akan mengambil ibu mereka menjadi salah seorang isteri apabila ayah mereka mati. Namun selepas kedatangan Islam, Islam telah mengharamkan perbuatan ini).

Arak pula merupakan tradisi dalam masyarakat Arab. Meminum arak menjadi kebanggaan bahkan menjadi suatu keaiban kepada masyarakat Arab Jahiliyah apabila ada tetamu yang bertandang ke rumah tidak disajikan dengan minuman arak. Melihat manusia sudah melencong daripada akidah yang sebenar, nilai-nilai moral yang murni sudah terhakis dan kejahilan mendorong manusia melakukan kemaksiatan tanpa segan silu, maka Nabi Muhammad s.a.w. dibangkit sebagai rahmat kepada sekalian alam.

Muslimin dan muslimat (tanpa ada pengecualian) wajib meyakini akidah yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. tersebut secara jazam (secara pasti iaitu tanpa ada sedikit keraguan) dalam diri masing-masing. Bahkan dalam masyarakat yang bergelar Islam, akidah tersebut mesti ditanam, dijaga dan dipelihara dalam setiap individu malah di peringkat masyarakat.

Tidak cukup dengan itu sahaja, akidah islam ini mesti disebarkan ke seluruh pelusuk dunia agar sekalian manusia dapat melihat cahayanya. Hal ini demikian kerana Nabi Muhammad s.a.w. diutuskan sebagai rahmat sekalian alam .

Firman Allah s.w.t yang bermaksud : Tidaklah Kami utuskan engkau (wahai Muhammad s.a.w) melainkan untuk sekalian manusia. (surah Saba' : 28)

Agama Islam merupakan agama untuk sekalian manusia, bukannya kepada bangsa-bangsa yang tertentu sahaja. Dengan hanya satu tujuan iaitu untuk mengeluarkan manusia daripada dunia kejahilan yang menyembah patung-patung, api dan matahari ke suatu alam yang diredhai Allah iaitu dengan mentauhidkan Allah s.w.t..

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : Tidaklah Kami utuskan engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat sekalian alam. (Surah Al-Anbiya' : 107 )

Akidah Islam menyeru sekalian manusia supaya beriman kepada Allah s.w.t., para malaikat-Nya, kitab-kitab yang diturunkan-Nya, para rasul sebagai utusan-Nya, hari akhirat, dan qada’ dan qadar.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : Rasul (Muhammad s.a.w.) beriman dengan apa yang diturunkan kepadanya (Al-Quran) daripada Tuhannya, demikian pula orang-orang yang beriman. Semua beriman kepada Allah, para malaikat-Nya dan rasul-rasul-Nya. (Mereka berkata): “Kami tidak membezakan seorang pun daripada rasul-rasul-Nya. Dan mereka berkata : “Kami dengar dan kami patuh. Ampunilah kami ya Tuhan kami. Kepada-Mu (tempat) kami kembali”.
(Surah Al-Baqarah : 285)

Hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Umar Al-Khattab menceritakan pada suatu hari, para sahabat sedang berkumpul bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w., maka malaikat Jibrail a.s datang dalam bentuk seorang lelaki yang sangat kemas rupa paras dan pakaian lalu bertanya kepada Rasulullah s.a.w. mengenai iman. Lalu, Baginda s.a.w. bersabda :

“Iman ialah kamu beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, para rasul-Nya dan hari akhirat. Dan kamu beriman dengan qada’ yang baik dan buruk (qada’ dan qadar).”

Hadis ini panjang dan sangat masyhur di kalangan awam. Di sini dibawakan sepotong daripadanya berkenaan dengan pertanyaan iman.

Maksudnya : (Jibrail dalam keadaan rupa paras manusia bertanya kepada Nabi): “Katakanlah kepadaku tentang iman”. Maka Nabi Muhammad s.a.w. bersabda : “Hendaklah kamu beriman kepada Allah, para malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, para rasul-Nya dan hari akhirat. Dan kamu beriman dengan qada’ yang baik dan buruk (qada’ dan qadar).

Akidah Islam merupakan suatu kepercayaan yang membina bukannya untuk membinasakan manusia. Akidah ini juga menyeru manusia untuk bersatu dan tidak berpecah belah. Malah, akidah ini langsung tidak mengajar atau menyuruh manusia untuk membeza-bezakan di antara para rasul yang diutuskan. Umat Islam tidak disuruh untuk hanya beriman kepada Nabi Muhammad s.a.w. sahaja tanpa para rasul yang lain. Bahkan, akidah ini (akidah Islam) menyeru manusia untuk beriman dengan setiap utusan Allah s.a.w yang diutuskan tanpa ada sebarang pengecualian walau satu.

Bukanlah yang dimaksudkan dengan beriman dengan kesemua utusan Allah s.w.t. ialah dengan kita menghafal nama-nama mereka satu persatu, akan tetapi yang dimaksudkan dengan beriman dengan semua para rasul ialah kita meyakini dan tidak menafikan kerasulan mereka yang dibangkit oleh Allah s.w.t. di muka bumi ini untuk menyebar akidah yang membawa kepada maksud mengesakan tuhan iaitu Allah s.w.t.. Berbeza dengan agama Kristian, penganut-penganut mereka hanya beriman dengan kenabian Nabi Isa a.s. namun dalam masa yang sama menafikan sifat kenabian yang ada pada Nabi Muhammad s.a.w. sebagai utusan yang terakhir.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: (Orang-orang beriman berkata): “kami tidak membezakan seorang pun daripada rasul-rasul-Nya.” (surah Al-Baqarah : 285) 
 

Tiada Tuhan Melainkan Allah s.w.t.

Akidah Islam seolah-olah satu tembok yang menjadi pemisah di antara hak dan batil. Dengan akidah Islam inilah kita dapat mengenali individu atau masyarakat tertentu samada Islam atau kafir. Akidah ini mendatangkan 2 konsep yang sangat ringkas namun memberi makna yang sangat luas dan mendalam. 2 konsep tersebut diadaptasikan dalam 2 kalimah yang disebut dalam bahasa Arab sebagai syahadataini.

Bermula dengan 2 kalimah inilah, individu yang memperakuinya akan ditaklifkan hukum-hukum sebagaimana seseorang yang bergelar muslim. Namun bagi mereka yang ingkar iaitu kafir, mereka tidak akan ditaklifkan hukum-hukum tersebut di dunia ini namun taklifan tadi tetap akan dipersoalkan di akhirat kelak . Syahadataini ini membawa maksud :

Tiada tuhan selain Allah s.w.t., Nabi Muhammad s.a.w merupakan pesuruh Allah s.w.t..

Akidah ini memimpin manusia untuk melihat (memerhati dan berfikir) alam semesta bagi mengenal siapa penciptanya. Mengajar manusia bahawa alam ini tidak mungkin wujud dengan sendirinya (semulajadi) tanpa ada penciptanya. Mengajar sekalian manusia akan alam ini baginya pencipta. Bahkan mengingatkan manusia akan kehidupan di dunia dan kehidupan selepas kematian. Dengan erti kata yang lain, akidah ini memimpin manusia ke arah perspektif yang lebih meluas untuk melihat sambil berfikir mengenai makhluk dan Penciptanya, dunia dan akhirat, alam yang nyata dan alam yang ghaib.

Secara logik manusia sendiri tidak dapat menerima kenyataan bahawa diri mereka, gunung-ganang, pokok-pokok, batu-bata, dan alam ini terjadi atau tercipta dengan sendirinya. Catatan sejarah membuktikan sejak masa dahulu lagi manusia telah pun mencari-cari siapakah Pencipta bagi alam ini. Hal ini menyebabkan munculnya pemikir-pemikir iaitu orang bijak pandai Yunani yang mula berbicara secara meluas mengenai ketuhanan. Contohnya seperti Aristotle dan Pluto. Kedua-duanya merupakan pemikir atau ahli falsafah di Yunani pada waktu dahulu.

Mereka cuba mengemukakan pendapat mengenai penciptaan alam ini. Walaupun pada akhirnya sebahagian daripada kalangan pemikir-pemikir yang menafikan prinsip ketuhanan kerana kejengkelan akal dalam mendapatkan bukti bagi mencari pencipta sebenar bagi alam ini. Hal ini secara tidak langsung telah membuktikan bahawa sejak dahulu lagi akal manusia tidak dapat menerima kenyataan bahawa alam ini wujudnya dengan sendiri tanpa ada pencipta.

Maka, alam yang terbentang luas ini, dengan bumi dan lapisan langit sebagai bumbungnya yang tidak bertiang, malah segala isi di dalamnya, batu-bata, tumbuh-tumbuhan, haiwan, manusia bahkan jin dan malaikat, semuanya tidak wujud dengan sendirinya atau secara semulajadi sebagaimana yang dikatakan oleh pemikir-pemikir pada zaman dahulu, bahkan tidak pula mereka (seluruh alam) yang mencipta diri mereka sendiri.

Jadi, tidak dapat tidak, mesti ada pencipta yang gagah, berkuasa dan mengetahui yang menciptakan segalanya. Tidak ada pencipta selain-Nya. Dia yang menentukan segala-galanya. Menentukan kadar putaran planet-planet di atas paksi masing-masing.

Tidak pernah ada walaupun sedetik planet-planet tersebut berputar melawan kehendak penciptanya. Lihat sahaja pada bumi, sebuah planet yang diciptakan khas untuk kita sebagai tempat kediaman dan menjalani kehidupan sejak zaman Nabi Adam a.s. Sehingga ke hari ini, bumi tetap berputar di atas paksinya. 24 jam sehari. Tidak pernah bertambah mahupun berkurang. Semuanya berlaku dengan kehendak penciptanya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : Maka apakah mereka tidak memerhatikan unta bagaimana ia diciptakan? Dan langit, bagaimana ditinggikan? Dan gunung-ganang, bagaimana ditegakkan? Dan bumi, bagaimana dihamparkan? (surah Al-Ghasyiah : 17-20)

Dalil-dalil yang lepas semuanya mempunyai satu makna yang sama walaupun berbeza dalam bentuk pembawakan ayat. Dalil-dalil tadi jelas terpampang di hadapan mata mereka. Maka tidak dapat tidak alam ini dan segala isi di dalamnya semuanya diciptakan dan terdapat pencipta baginya.

Allah s.w.t. merupakan Pencipta Yang Maha Agung, Maha Bijaksana dan Maha Berkuasa ke atas segala-galanya. Dialah yang menentukan putaran planet-planet secara tersusun dengan bijaksana. Masa dan waktu yang tidak pernah lewat mahupun cepat walaupun sesaat. Segala makhluk di langit dan di bumi bertasbih kepada-Nya.


Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : apabila datang tempoh (waktu) bagi mereka maka mereka tidak dapat melewatkan walaupun sesaat mahupun percepatkan sesaat. (surah Yunus : 49)

Dialah pencipta langit dan bumi untuk kita. Bumi sebagai dataran yang rata untuk kita diami dan jalani kehidupan siang dan malam. Untuk kita meneroka apa yang terdapat di dalamnya yang Allah telah menjanjikan nikmat dan rezeki yang pelbagai di dalamnya. Langit yang berdiri tegak tanpa sebatang tiang bertindak sebagai bumbung bagi kita.

Memayungi dan melindungi kita daripada sinaran matahari yang panas terik. Dialah tuhan bagi sekalian alam. Tuhan bagi segala sesuatu. Tuhan bagi mahkluk. Tidak ada satu pun yang menyekutui-Nya. Tidak ada yang sama bagi-Nya pada zat, sifat dan perbuatan. Dialah yang kekal. Manusia, bumi dan segala akan binasa melainkan Dia.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : Setiap benda yang berada di dunia itu akan binasa melainkan wajah Allah s.w.t yang memiliki kebesaran dan kemuliaan tetap kekal. (Surah Ar-Rahman : 26 dan 27)

Maha Suci Allah, hanya bagi-Nya segala sifat kesempurnaan. Maha Suci Allah yang tidak bersifatkan segala sifat kekurangan apatah lagi bersifat dengan sifat kekejian. Dialah Yang Maha Esa. Tidak beranak dan tidak diperanakkan. Semua makhluk bergantung dan memohon perlindungan dan pengharapan kepada-Nya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad) Dialah Allah yang Maha Esa. Allah tempat memohon segala sesuatu. (Allah) tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada sesuatu yang setara dengan-Nya. (Surah Al-Ikhlas : 1-4)

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Dialah Yang Awal, Yang Akhir, Yang Zahir dan Yang Batin, Dia Maha Mengetahui segala sesuatu. (Surah Al-Hadid : 3)

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia. Dan Dia yang Maha Mendengar, Maha Melihat. (Surah Asy-Syura : 11)

Setiap benda yang wujud menjadi bukti dan hujah atas keesaan-Nya. Hanya Allah s.w.t. yang mencipta, mentadbir dan menguruskan. Tidak ada yang kedua, ketiga dan selain-Nya. Kejadian-kejadian yang berlaku seperti letusan gunung berapi, ombak besar, tsunami, hujan, puting beliung dan gempa bumi semuanya berada di bawah kekuasaan, kawalan dan perhatian Allah s.w.t..

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : Sesungguhnya Allah s.w.t. berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu. (Surah Al-Baqarah : 20)

Berbeza dengan kepercayaan yang dianuti oleh penganut-penganut agama Hindu. Mereka mempercayai wujudnya tuhan lebih daripada satu. Bagi mereka, ada tuhan yang dikenali sebagai Tuhan Rahmat yang sentiasa menurunkan rahmat ke atas setiap manusia dan menjaga mereka daripada malapetaka. Dan ada juga Tuhan Murka yang menurunkan bala bencana ke atas manusia.

Begitu juga bezanya akidah Islam dengan kepercayaan bagi golongan Atheis yang tidak mempercayai akan kewujudan tuhan. Mereka menganggap segalanya yang wujud, terjadi dan berlaku mengikut ketentuan dan tabiat semulajadi. Mereka menyatakan tidak ada tuhan yang menciptakan alam semesta, bumi, dan langit. Kesemuanya yang ada wujud dengan sendiri tanpa ada pencipta.

Bagi mereka kesenangan, kenikmatan dan malapetaka yang menimpa ke atas diri manusia adalah suatu kebiasaan yang dilalui oleh semua manusia dalam kehidupan bahkan rutin dalam jadual perjalanan alam. Mereka menafikan ketuhanan dan sekaligus menafikan kekuasaan tuhan.

Menurut kepercayaan yang dianuti oleh penganut agama Kristian pula, tuhan adalah berkonsepkan triniti yakni memberi maksud mempunyai 3 tuhan iaitu Tuhan Bapa, Tuhan Ibu dan Tuhan Anak. Mereka menyengutui tuhan dengan memperkatakan bahawa tuhan juga memerlukan isteri dan anak sebagaimana fitrah manusia.

Alangkah kejinya semua kepercayaan mereka ini. Tidak ada satu pun hujah-hujah yang mereka buktikan untuk menunjukkan revelan dan dapat diterima akal bagi orang yang waras. Semuanya ini ditolak oleh akal dari awal-awal lagi.

Akidah Islam berlainan dengan kepercayaan-kepercayaan lain yang wujud di muka bumi ini. Dalam akidah Islam, tuhan yang hanya layak untuk disembah ialah Allah s.w.t.. Dialah yang Esa. Tidak ada selain daripada-Nya.

Dialah yang mengaturkan segala-galanya tanpa memerlukan bantuan daripada makhluk lain. Bala dan ujian yang menimpa manusia di serata dunia turut Dia yang berkuasa sebagaimana Dia juga berkuasa menjaga dan memberikan nikmat ke atas setiap manusia dalam masa yang sama.

Jika ada tuhan yang wujud bersama-sama Allah s.w.t. maka akan lenyaplah hujah dan dalil yang dibentangkan di dalam Al-Quran. Jika berlaku perkara sebegitu, maka telah rosaklah nilai kemurniaan Al-Quran. Bahkan, alam juga akan mengalami kekacauan sistem pentadbiran kerana berlakunya pertembungan di antara kuasa tuhan yang lebih daripada satu.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : Seandainya pada keduanya (di langit dan di bumi) ada tuhan-tuhan selain Allah s.w.t., tentu keduanya telah binasa. Maha Suci Allah s.w.t. yang memiliki arasy dari apa yang mereka sifatkan.
(Surah Al-Anbiya’ : 22)

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Allah s.w.t. tidak mempunyai anak, dan tidak ada tuhan (yang lain) bersama-Nya, (sekiranya tuhan banyak), maka masing-masing tuhan itu akan membawa apa (makhluk) yang diciptakannya, dan sebahagian dari tuhan-tuhan itu akan mengalahkan sebahagian yang lain. Maha Suci Allah s.w.t. dari apa yang mereka sifatkan. (Surah Al-Mukmimun : 91)

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika ada tuhan-tuhan di samping-Nya, sebagaimana yang mereka katakan, nescaya tuhan-tuhan itu mencari jalan kepada tuhan yang mempunyai arasy.” Maha Suci dan Maha Tinggi Dia dari apa yang mereka katakan, luhur dan agung (tidak ada bandingan). (Surah Al-Isra’ : 42 dan 43)

Realitinya ialah setiap benda (makhluk) samada yang berada di bumi dan di langit adalah hamba kepada Allah s.w.t.. Bahkan semuanya milik Allah s.w.t.. Kepada-Nya semua akan dikembalikan kelak. Allah s.w.t. yang mencipatakan kesemuanya. Tidak ada sesuatu yang terdapat di bumi mahupun di langit merupakan seteru bagi Allah.

Tidak juga anak bagi Allah sebagaimana yang didakwa oleh penganut-penganut Kristian dan paderi mereka sebagaimana yang diriwayatkan di dalam Al-Quran. Mereka menfitnah Allah s.w.t.. Mereka mengatakan bahawa Allah s.w.t. mempunyai anak. Ini adalah satu penipuan dan fitnah yang direka. Adakah mereka tidak tahu betapa kejinya dakwaan mereka itu. Amat besar azab yang bakal ditimpakan ke atas mereka.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : Dan mereka berkata Allah s.w.t. mempunyai anak. Maha suci Allah s.w.t. bahkan milik-Nya apa yang ada di langit dan di bumi. Semua tunduk kepada-Nya. (Allah s.w.t.) Pencipta langit dan bumi. Apabila Dia menetapkan sesuatu, Dia hanya berkata kepadanya , “jadilah!” Maka jadilah sesuatu itu. (Surah Al-Baqarah : 116-117)

Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak perlu mempunyai anak mahupun pembantu. Mustahil bagi Allah s.w.t. untuk bersifat dengan sedemikian (untuk memiliki anak dan pembantu). Berlainan dengan fitrah keadaan manusia. Manusia memerlukan kepada anak dalam kehidupan mereka untuk mewarisi apa yang akan ditinggalkan kelak. Manusia memerlukan pembantu untuk menolong dan meringankan kerja-kerja yang dilakukannya.

Bersifat dengan sifat yang memerlukan kepada anak dan pembantu menjadi hujah yang menunjukkan bahawa seseorang tersebut bersifat dengan sifat lemah. Maha Suci Allah s.w.t. daripada yang sedemikian. Bagi Allah s.w.t. apa yang Dia kehendaki, pasti akan terjadi. Tiada siapa yang mampu menahan dan menghalang.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : (Allah s.w.t.) Pencipta langit dan bumi. Apabila Dia menetapkan sesuatu, Dia hanya berkata kepadanya , “jadilah!” Maka jadilah sesuatu itu. (Surah Al-Baqarah : 117)

Maka bagi sesiapa yang menafikan dan cuba menyesatkan hakikat ini sewaktu di dunia, maka di akhirat kelak akan dibukakan segala hijab (halangan) untuk memperlihatkan kepada mereka akan kebenaran sepertimana yang terkandung di dalam Al-Quran dan sebagaimana yang telah disampaikan oleh Rasulullah s.a.w.

Ketika itu, kebenaran yang diperlihatkan kepada mereka sangat jelas bahkan lebih jelas daripada cahaya matahari di waktu pagi. Tidak ada lagi yang boleh mereka nafikan mahupun membantah. Segala-galanya yang terbukti adalah benar, dan mereka adalah silap.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Tidak ada seorang pun di langit dan di bumi, melainkan akan datang kepada (Allah s.w.t.) Yang Maha Pengasih sebagai seorang hamba. Dia (Allah s.w.t.) benar-benar telah menetukan jumlah mereka dan menghitung mereka dengan hitungan yang teliti. Dan setiap daripada mereka akan datang kepada Allah s.w.t. secara bersendirian pada hari kiamat. (Surah Maryam : 93-95)

Maka selepas kita teliti dan perhatikan keterangan-keterangan sebelum ini, maka Allah Yang Maha Besar, Tuhan bagi sekalian alam memang layak disembah dan diberikan ketaatan yang mutlak (tidak mempersoalkan walaupun satu). Dalam erti kata yang lain, layak diberikan sebenar-benar kepatuhan dan sebenar-benar kecintaan.

Memberikan kepatuhan dalam bentuk apa jua yang dianggap sebagai patuh dan taat. Begitu juga dengan kecintaan iaitu segala bentuk yang dikira sebagai cinta dan kasih. Hasil gabungan makna bagi kedua-dua perkataan inilah dinamakan ibadat.

Hal ini demikian kerana ibadat yang sempurna mempunyai perasaan patuh, takut dan cinta akan Allah s.w.t.. Maka kita tidak dianggap 100% melakukan ibadat yang ikhlas jika wujud di dalam diri kita hanya sifat cinta tanpa takut dan patuh akan Allah s.w.t., begitu juga sebaliknya .

Dan inilah yang dikatakan makna yang tepat bagi kalimah "Tiada tuhan melainkan Allah s.w.t" dengan membawa makna tiadalah sebenar-benar ibadat melainkan kepada Allah s.w.t. dan tidak ada sebenar-benar kepatuhan melainkan kepada-Nya.

Maka hanya suruhan-Nya yang layak untuk kita patuhi secara mutlak, untuk disembah akan kebesaran dan keagungan-Nya, untuk kita membasahi lidah kita dengan puji-pujian ke atas kesempurnaan-Nya dan untuk kita menurut akan hukum-Nya dengan jiwa, akal dan anggota kita.

Makna bagi kalimah ‘tiada tuhan melainkan Allah s.w.t.’ ialah kita mencabut iaitu membuang segala bentuk kepatuhan dan ibadat kepada segala kekuasaan melainkan kekuasaan-Nya, segala perundangan melainkan perundangan-Nya, segala suruhan melainkan suruhan-Nya. Dan membuang segala wala’ (kesetian) melainkan kepada-Nya serta kasih dan cinta melainkan kepada-Nya

Unsur-Unsur Asas Dalam Tauhid

Akidah yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. ke seluruh dunia mempunyai 2 konsep yang cukup mendalam dan besar maknanya iaitulah tiada tuhan melainkan Allah s.w.t. dan Nabi Muhammad s.a.w. pesuruh Allah s.w.t.. Dalam bab sebelum ini telah diterangkan secara ringkas mengenai konsep ‘tiada tuhan melainkan Allah s.w.t..’ Dalam bab ini pula akan diterangkan unsur-unsur asas yang terdapat dalam asas tauhid untuk menerangkan lagi kehendak makna yang sebenar dalam konsep ‘tiada tuhan melainkan Allah s.w.t..’ Sebagaimana yang dinyatakan di dalam Al-Quran ada 3 unsur asas dalam kalimah tauhid tersebut. 3 unsur ini dimuatkan di dalam satu surah di dalam Al-Quran, iaitu surah Al-An’am :

1. Tidak ada tuhan melainkan Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : Katakanlah (wahai Muhammad) : “Apakah (patut) aku mencari tuhan selain Allah, padahal Dialah tuhan bagi segala sesuatu. (Surah Al-Maidah : 164)

2. Tidak ada wali (pelindung) melainkan Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : Katakanlah (wahai Muhammad) : “Apakah aku akan menjadikan pelindung selain Allah s.w.t. yang menjadikan langit dan bumi, padahal Dia memberi makan dan tidak diberi makan”.
(Surah Al-Maidah : 14)

3. Tidak ada hukum yang wajib diikuti melainkan hukum Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : Patutkah aku mencari hakim selain Allah s.w.t sedangkan Dia yang menurunkan Kitab (Al-Quran) kepadamu secara terperinci. (Surah Al-Maidah : 114)


Unsur Pertama


Unsur pertama yang dinyatakan ialah tidak mengambil selain daripada Allah s.w.t. sebagai Tuhan. Unsur ini membawa maksud membatalkan atau menafikan segala benda yang didakwa sebagai tuhan kepada manusia samada yang baru atau lama bagi masyarakat di timur mahupun di barat. Menafikan segala-gala tuhan yang didakwa oleh manusia seperti pokok, batu, api, matahari, bulan, jin atau manusia.

Unsur ini membebaskan manusia daripada segala ikatan yang berteraskan ketuhanan sesama makhluk yang pada hakikatnya semua mahkluk di bumi dan di langit adalah hamba kepada Allah s.w.t.. Semuanya menyembah dan patuh kepada tuhan Yang Maha Esa.

Kalimah ‘La ila ha illallah’ dalam syahadataini membawa maksud yang sangat luas. Kalimah ini membebaskan manusia daripada tunduk patuh, menghinakan diri serta beribadat melainkan kepada penciptanya, Allah s.w.t.. Maka tidak harus manusia beribadat dan menyembah selain daripada-Nya. Oleh kerana itulah, Nabi Muhammad s.a.w. yang merupakan utusan yang terakhir menyeru seluruh manusia tanpa mengira perbezaan pangkat dan darjat seperti raja-raja, pendeta-pendeta dan golongan bangsawan daripada kaum Nasrani untuk mentauhidkan Allah s.w.t. sebagai tuhan Yang Esa tanpa ada yang lain selain-Nya sebagaimana yang dinyatakan di dalam Al-Quran.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : Katakanlah (wahai Muhammad) : “Wahai ahli kitab! Marilah (kita) menuju kepada satu kalimat (pegangan) yang sama antara kami dan kamu, bahawa kita tidak menyembah selain Allah s.w.t. dan kita tidak mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun, dan bahawa kita tidak menjadikan satu sama lain tuhan-tuhan selain Allah s.w.t.. Jika mereka berpaling maka katakanlah (kepada mereka), “Saksikanlah, bahawa kami adalah orang muslim.” (Surah Ali Imran : 64)

Maka dengan itu, kalimah bahawa Allah s.w.t. sahaja tuhan yang selayaknya untuk disembah adalah sebagai kalimah yang menghapuskan segala bentuk atau kekuasaan yang berkuasa di atas muka bumi ini selain daripada Allah s.w.t. Hal ini demikian, pada zaman dahulu, mereka yang mempunyai kekuatan, kekuasaan, pengaruh dan kekayaan mendakwa dirinya sebagai tuhan kerana memiliki segala kelengkapan dan hajat yang diingini oleh manusia sekalian. Manusia hidup bersistemkan sistem rimba. Yang mempunyai kelebihan akan memerintah manakala yang lemah dan mempunyai kekurangan akan diperintah. Maka kalimah ini didatangkan untuk melenyapkan segala bentuk dakwaan-dakwaan yang sesat ini.

Maka dengan itulah sejak zaman dahulu pembawa-pembawa risalah tauhid ini mendapat kecaman dan ancaman daripada pihak-pihak yang tidak mahu menerima akan kalimah tauhid ini. Sejarah telah membuktikan apabila Nabi Musa a.s. mendapat ancaman untuk dibunuh oleh Firaun yang merupakan pemerintah yang paling berkuasa di Mesir pada ketika itu.



Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : Dan seseorang yang beriman di antara keluarga Firaun yang menyembunyikan imannya berkata : “apakah kamu akan membunuh seseorang kerana dia mengatakan “tuhanku adalah Allah”.
(Surah Ghafir : 28)

Dan kerana inilah, Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat diseksa, dimaki, diancam dan dihalau daripada tempat tinggal masing-masing.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : orang-orang yang diusir dari kampung halamannya tanpa alasan yang benar, hanya kerana mereka berkata, “tuhan kami ialah Allah”. (Surah Al-Hajj : 40)


Unsur Kedua
Unsur kedua yang menjadi asas dalam kalimah tauhid ialah tidak mengambil selain Allah s.w.t. sebagai wali (pelindung). Iaitu tidak menjadikan selain daripada Allah s.w.t. sebagai tempat bergantung, tempat berharap dan tempat meminta pertolongan. Jadi, unsur yang kedua ini menafikan sebagai bentuk wali ataupun segala bentuk pertolongan selain daripada Allah s.w.t.

Tidaklah dinamakan tauhid sekiranya seseorang itu mendakwa Allah s.w.t. sebagai tuhannya namun dalam masa yang sama, pengharapannya, kecintaannya dan meminta pertolongan adalah sesama makhluk selain daripada Allah s.w.t.. Malah lebih teruk lagi jika ada yang sanggup memberikan pengharapannya dan kesetiaannya kepada musuh-musuh Islam.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksudnya: Janganlah orang-orang yang beriman menjadikan orang kafir sebagai pemimpin, melainkan orang-orang yang beriman. (Surah Ali-Imran : 28)

Hakikat yang sebenar bagi tauhid ialah beriman kepada Allah s.w.t. sebagai tuhannya dengan mengikhlaskan dirinya kepada Allah s.w.t. dengan menyerahkan segala pengharapan, kesetiaan dan mengambil Allah s.w.t. sebagai walinya serta kepada sesiapa yang diperintahkan oleh Allah s.w.t untuk berwalikan dengannya. Sebagaimana firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran :

Sesungguhnya penolongmu hanyalah Allah s.w.t., rasul-Nya dan orang yang beriman, yang melaksanakan solat, menunaikan zakat seraya tunduk (kepada Allah s.w.t). Dan barangsiapa yang menjadikan Allah s.w.t., rasul-Nya dan orang-orang yang beriman sebagai penolongnya maka sungguh, pengikut (agama) Allah s.w.t. yang menang. (Surah Al-Maidah : 55-56)

Berdasarkan ayat di atas, jelas Al-Quran menegah dengan keras akan kaum Musyrikin yang pada ketika itu yang membahagikan hati-hati mereka di antara Allah s.w.t. dan seteru-seteru Allah s.w.t. yang dijadikan sebagai penyembahan. Kaum musyrikin pada zaman dahulu menyembah berhala-berhala yang mereka anggap sebagai tuhan dan sebagai satu cara untuk mendekatkan diri kepada tuhan kepada kaabah iaitu Allah s.w.t. Mereka juga menyerahkan kecintaan dan kepatuhan mereka kepada berhala-berhala yang mereka sembah sebagaimana mereka mencintai Allah s.w.t. dan patuh kepada-Nya dalam masa yang sama.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : Dan di antara manusia ada yang menyembah selain Allah s.w.t. sebagai tandingan, yang mereka cintai seperti mereka mencintai Allah s.w.t.. Adapun orang-orang yang beriman sangat besar cintanya kepada Allah s.w.t.. (Surah Al-Baqarah : 165)

Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak akan menerima sifat syirik di dalam hati orang-orang yang beriman, maka tidak harus untuk diserahkan hatinya sebahagian untuk Allah s.w.t. dan sebahagian untuk toghut (syaitan dan segala benda yang menyeru ke arah kesesatan). Tidak harus meletakkan sebahagian pengharapannya kepada Allah s.w.t. dan sebahagian yang lain kepada makhluk.

Sesungguhnya pengharapan dan hati sepenuhnya hanyalah kepada Allah s.w.t., tiada yang lain selain-Nya, Dialah Pemilik sekalian makhluk, segala urusan terserah bagi-Nya. Inilah perbezaan di antara orang-orang yang beriman dan musyrik. Orang yang beriman menyerahkan segala-galanya kepada Allah s.w.t. semata-mata dan melakukan ibadat kerana Allah s.w.t. tanpa ada selain-Nya. Manakala orang musyrik pula membahagi-bahagikan di antara Allah s.w.t. dan selain Allah s.w.t..

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : Katakanlah (wahai Muhammad) sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah s.w.t., tuhan seluruh alam. (Surah Al-An’am : 162)

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : Allah s.w.t. membuat perumpaan (iaitu) seorang lelaki (hamba sahaya) yang dimiliki oleh beberapa orang yang berkongsi yang dalam perselisihan, dan seorang hamba sahaya yang menjadi milik penuh dari seorang (sahaja). Adakah keduanya hamba sahaya itu sama keadaannya? Segala puji bagi Allah s.w.t. tetapi kebanyakkan mereka tidak mengetahui. (Surah Az-Zumar : 29)

Unsur Ketiga


Yang dimaksudkan dengan unsur yang ketiga ini ialah tidak mencari hukum yang selain daripada hukum yang diturunkan oleh Allah s.w.t. sebagai undang-undang dalam kehidupan. Wajib bagi manusia sekalian untuk membuang atau menolak kepatuhan bagi segala hukum-hakam selain hukum Allah s.w.t., segala suruhan-suruhan selain suruhan Allah s.w.t., segala peraturan selain peraturan Allah s.w.t., segala undang-undang selain undang-undang Allah s.w.t. dan segala ikutan selain ikutan Allah s.w.t..

Sesiapa yang mengambil sesuatu selain daripada apa yang telah diturunkan dan ditetapkan oleh Allah s.w.t. samada dari segi peraturan, undang-undang mahupun ikutan maka secara automatik telah terbatal satu unsur asas daripada unsur-unsur asas di dalam akidah tauhid. Hal ini demikian kerana dia telah mencari sesuatu yang lain selain Allah s.w.t.. Dia telah mengambil hakim yang lain selain daripada Allah s.w.t. di dalam kehidupannya. Dia juga telah menolak hukum syariat yang didatangkan daripada Allah s.w.t..

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Kamu tidak menyembah yang selain Allah kecuali hanya (menyembah) nama-nama yang kamu dan nenek moyangmu membuat-buatnya. Allah tidak menurunkan suatu keterangan pun tentang nama-nama itu. Keputusan itu hanyalah kepunyaan Allah. Dia telah memerintahkan agar kamu tidak menyembah selain Dia. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." (Surah Yusuf : 40)

Unsur asas yang ketiga mempunyai kaitan secara langsung dengan Allah s.w.t. dari segi rububiyah dan uluhiyah. Maka sesiapa yang mengambil manusia yakni apa-apa sahaja selain daripada Allah s.w.t. sebagai hakim dalam mentaati suruhan dan larangan secara mutlak, menghalal dan mengharamkan mengikut kesukaannya, malah memberikan ketaatan kepada perkara yang tidak sepatutnya walaupun menghalalkan perkara yang haram seperti zina, arak, judi dan sebagainya, maka dia telah membuang hukum yang diturunkan oleh Allah s.w.t.. Selain juga, mengharamkan perkara yang halal seperti talak, poligami dan sebagainya. Atau dari sudut menolak kewajipan-kewajipan seperti sistem khalifah, zakat, amal makruf dan nahi mungkar dan sebagainya.

Pada hakikatnya sebegini, mereka telah mengambil tuhan yang lain selain Allah s.w.t. sebagai hakim dalam menetapkan segala peraturan dan urusan hidup walaupun pada zahirnya, mereka tidak menyembahnya. Perkara sebegini ada disebutkan di dalam Al-Quran. Allah s.w.t. berfirman di dalam Surah At-Taubah :

Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah dan (juga mereka mempertuhankan) Al Masih putera Maryam, padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan yang Esa, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia. Maha suci Allah dari apa yang mereka persekutukan. (Surah At-Taubah : 31)

Menjadi persoalan, bagaimanakah yang dimaksudkan dengan mereka (kaum Nasrani) mengambil para rahib mereka sebagai tuhan sedangkan mereka (kaum Nasrani) tidak pernah menyembah mereka (rahib) sebagaimana orang-orang musyrik menyembah berhala secara jelas?

Persoalan ini terjawab dengan jawapan yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, At-Tirmizi dan Ibn Jarir daripada kisah pengislaman ‘Adi bin Hatim At-Toey. Pada zaman jahiliyah beliau seorang yang menganut agama kristian sebagaimana kaum Nasrani yang lain. Suatu hari beliau datang ke Madinah. Maka beliau pun memberitahu hajat kedatangannya ke Madinah kepada orang ramai. Maka beliau pun menuju ke tempat untuk berjumpa dengan Rasulullah s.a.w.. Apabila menghadap Rasulullah s.a.w., maka Rasulullah s.a.w. mendapati terdapat di lehernya lambang salib yang diperbuat daripada perak. Baginda pun membacakan firman Allah s.w.t. :

Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah dan (juga mereka mempertuhankan) Al Masih putera Maryam…. (Surah At-Taubah : 31)

Maka berkatalah ‘Adi bahawa sesungguhnya mereka (orang-orang Nasrani) tidak menyembah rahib mereka. Jadi bagaimana boleh dikatakan bahawa orang-orang Nasrani menjadikan rahib mereka sebagai tuhan? Lalu baginda s.a.w. menjawab kembali : benar (mereka tidak menyembahnya). Akan tetapi rahib-rahib mereka menghalalkan perkara yang haram dan mengharamkan perkara yang halal. Mereka mengikutinya, maka hal ini adalah serupa dengan menyembahnya.

Berkata Ibnu Kathir : Huzaifah ibn Alyaman dan Ibn Abbas telah menafsirkan ayat tersebut sebagaimana berikut, iaitu mereka (orang-orang Nasrani) mengikuti para rahib mereka dalam mengharamkan perkara yang halal dan menghalalkan perkara yang haram.

Telah berkata As-Sadya : Sekumpulan lelaki datang untuk meminta nasihat dan dalam masa yang sama mereka itu mencampakkan Al-Quran di belakang punggung mereka (membelakangi Al-Quran dalam melaksanakan sesuatu perkara) iaitu nasihat tersebut membelakangi Al-Quran. Maka Allah s.w.t. menurunkan ayat. :
Maksudnya : Mereka tidak disuruh menyembah melainkan Tuhan yang Esa, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia… (Surah At-Taubah : 31)

Setiap perkara yang diharamkan oleh Allah s.w.t., maka perkara tersebut adalah haram. Dan setiap perkara yang dihalalkan oleh Allah s.w.t., maka perkara tersebut adalah halal. Dan setiap perkara yang disyariatkan-Nya, maka wajib dituruti. Dan setiap perkara yang diperintahkan-Nya, maka wajib dilaksanakan. Tidak ada tuhan melainkan Allah s.w.t.. Maha Suci Allah s.w.t. daripada apa yang mereka sekutukan.

Maka, inilah makna yang terdapat di dalam kalimah syahadah yang pertama iaitu tiada tuhan melainkan Allah s.w.t. Terdapat 3 konsep asas bagi merealisasikan kalimah syahadah yang pertama iaitu tiada tuhan melainkan Allah, tiada wali (pertolongan dan pengharapan) selain Allah dan tiada hakim selain Allah, sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam Al-Quran pada ayat-ayat yang jelas.



muhammadsaw tomb.jpgMakna ‘ Muhammad s.a.w. Pesuruh Allah’

Adapun kalimah yang kedua dalam syahadah ialah kita bersaksi bahawa Nabi Muhammad s.a.w. ialah pesuruh Allah s.w.t.. Nabi Muhammad s.a.w. sebagai utusan Allah. Utusan Ilahi yang menyeru ke arah mentauhidkan Tuhan Yang Esa. Menghapuskan kepercayaan tuhan yang pelbagai. Nabi Muhammad diutuskan di tengah-tengah masyarakat yang ketika itu penuh dengan pelbagai perkara yang karut.

Ada kaum yang bergelar kaum Majusi yang menyembah matahari dan api. Kaum musyrikin Mekah pula menyembah patung-patung berhala. Setiap kabilah memiliki sekurang-kurangnya satu berhala yang diletakkan di dalam kaabah dan sekitarnya.

Kaabah pada ketika itu dikelilingi dengan ratusan dan ribuan patung-patung berhala kepunyaan setiap kabilah . Ada yang besar dan ada yang kecil. Kaum Yahudi dan Nasrani juga begitu. Masing-masing pada ketika itu mempunyai kepercayaan karut bahkan sesat lagi menyesatkan. Dan ketika itulah diutuskan Nabi Muhammad ke dunia ini.

Ketahuilah, jika hanya beriqrar dengan keesaan Allah s.w.t. dari segi uluhiyah dan rububiyah sahaja masih tidak mencukupi. Bahkan masih berhajat kepada kalimah yang kedua iaitu mengakui akan Nabi Muhammad s.a.w. ialah pesuruh Allah s.w.t.. Pengakuan ke atas Nabi Muhammad s.a.w. sebagai pesuruh Allah s.w.t. merupakan pelengkap bagi 2 kalimah syahadah. Tanpanya, kepercayaan manusia masih sesat.

Pada zaman dahulu, para ahli kitab mempercayai akan keesaan dan ketuhanan Allah namun mereka mengingkari akan kenabian Nabi Muhammad s.a.w sebagai utusan yang terakhir. Jelas, bahawa 2 kalimah syahadah ini saling melengkapi antara satu sama lain. Seseorang akan dikira memasuki Islam dengan memberikan penyaksian kepada kedua kalimah ini. Jika hanya memberikan penyaksian terhadap satu kalimah sahaja maka masih belum layak untuk bergelar muslim.

Sesungguhnya Allah s.w.t. menciptakan manusia bukan sia-sia. Selepas Allah s.w.t. mencipta manusia, Allah mengatur untuk membangkitkan para rasul di kalangan manusia sendiri, tujuannya semata-mata untuk membimbing manusia ke arah yang diredhai-Nya dan sama sekali tidak akan membiarkan manusia dalam keadaan yang terbiar (hidup tanpa arah tuju yang benar), dan untuk menyampaikan hidayah-Nya dan mengancam mereka supaya menjauhi perkara-perkara yang boleh membawa kepada kemurkaan Allah s.w.t..

Penciptaan manusia bukanlah penciptaan sia-sia bahkan manusia diciptakan supaya mereka mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. dan menjadi khalifah di atas muka bumi ini untuk memakmurkan dunia ini. Inilah hakikat sebenar bagi penciptaan manusia iaitu mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. dan memakmurkan bumi ini sebagai khalifah.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud : Mereka Kami utus selaku rasul-rasul pembawa berita gembira dan pemberi peringatan supaya tidak ada alasan bagi manusia membantah Allah sesudah diutusnya rasul-rasul itu. Dan adalah Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (Surah An-Nisa' : 165)

Kepentingan para rasul diutuskan oleh Allah s.w.t. di atas muka bumi ini ialah tidak lain dan tidak bukan untuk meletakkan nilai-nilai hidup yang sebenar dan mengatur sistem kemasyarakatan dalam kehidupan manusia. Mereka diutuskan untuk menyampaikan hidayah ke seluruh kaum dan masyarakat, menghakimi manusia dalam pertelingkahan, menyelesaikan permasalahan yang membawa kepada perselisihan, mengangkat dan mengiktiraf perkara yang hak (benar) sekaligus melenyapkan kebatilan, memberikan keadilan dan kebajikan yang saksama kepada segenap lapisan masyarakat tanpa ada perbezaan di antara mereka samada dari segi warna kulit, kaum dan iklim kerana yang dinilai di sisi Allah ialah ketaqwaan. Sebagaimana firman Allah s.w.t. :

Maksudnya : Sesungguhnya Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti yang nyata dan telah Kami turunkan bersama mereka Al Kitab dan neraca (keadilan) supaya manusia dapat melaksanakan keadilan.
(Surah Al-Hadid : 25)

Maka dengan itulah Allah s.w.t. menurunkan ke atas utusan-Nya (Nabi Muhammad s.a.w.) ‘Al-Kitab’ iaitu sebagai dalil-dalil dan hujah-hujah daripada Ilahi yang tidak ada kesamaran mahupun cacat cela sebagai penguat dan penyokong ke atas kebangkitan mereka selaku utusan Allah s.w.t..

Manakala penimbang yang disebut di dalam ayat di atas memberi makna nilaian dan timbangan daripada tuhan yang didatangkan oleh para utusan Allah s.w.t. dengan memartabatkan dan memuliakan manusia mengikut acuan sebagaimana acuan yang digariskan di dalam Al-Kitab. Seandainya tidak ada utusan Allah iaitu para rasul nescaya manusia sekalian akan berada di dalam kesesatan yang nyata dalam mencari erti kata hidup yang sebenar, mereka akan tersimpang dalam mencari hakikat sebenar ketuhanan dan jalan untuk mendapatkan keredhaan tuhan dan sebagainya.

Lihat sahaja pada zaman jahiliyah, ketika mana Nabi Muhammad masih belum dibangkitkan untuk menghapuskan unsur-unsur yang karut dan sesat. Manusia hidup dalam keadaan yang tidak teratur dan saling menindas serta menzalimi di antara satu dengan yang lain . Hal ini telah diterangkan sebagaimana di dalam ayat-ayat di atas.

Rasul yang terakhir ialah Nabi Muhammad s.a.w.. Baginda diutuskan untuk menyampaikan suruhan-Nya, larangan-Nya dan syariat-Nya. Maka dengan kedatangan Rasulullah s.a.w., dapat kita mengetahui apa yang diperintahkan dan ditegah oleh Allah s.w.t. ke atas kita dalam mengecapi keredhaan-Nya yang hakiki. Maka dengan itu juga, kita dapat mengetahui perjalanan dan susunan hidup kita di atas muka bumi ini, apakah jalan yang sepatutnya kita tempuhi.

Kita dapat mengetahui perkara-perkara yang halal dan haram ke atas kita. Kita juga mengetahui kewajipan dan kefardhuan yang perlu kita lakukan. Sekiranya Nabi Muhammad s.a.w. tidak diutuskan oleh Allah s.w.t. sebagai utusan-Nya, sudah tentu kita akan hidup dalam kesesatan yang nyata, kita tidak dapat mengetahui apakah penghujungnya kehidupan ini dan kita juga tidak dapat mencari hidayat Allah s.w.t.. Sebagaimana yang dijelaskan oleh firman Allah s.w.t. :

Maksudnya : Hai Ahli Kitab, sesungguhnya telah datang kepadamu Rasul Kami, menjelaskan kepadamu banyak dari isi Al Kitab yang kamu sembunyikan, dan banyak (pula yang) dibiarkannya. Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Allah, dan Kitab yang menerangkan. Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredhaan-Nya ke jalan keselamatan, dan (dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu dari gelap gelita kepada cahaya yang terang benderang dengan seizin-Nya, dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus. (Surah Al-Maidah : 15-16)

Dengan kebangkitan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai utusan-Nya, kita dapat mengetahui adanya kehidupan selepas kematian. Kehidupan selepas kehidupan di dunia iaitu kehidupan yang kekal abadi di alam akhirat kelak. Dapat kita ketahui bahawa kehidupan kita di dunia ini merupakan persinggahan bagi mengutip bekalan untuk menuju kehidupan yang kekal abadi . Dengan itu, kita akan bersungguh-sungguh dalam melakukan amalan-amalan yang boleh dijadikan bekalan di akhirat kelak. Kita tidak menjadi seperti penganut agama lain yang tidak mempercayai kehidupan selepas kematian.

Malah kita dapat mengetahui bahawasanya setiap amalan yang dilakukan di atas muka bumi akan dihitung dan dihisab dengan seadil-adilnya tanpa ada kezaliman walau sebesar zarah. Segala amalan yang baik akan dibalas dengan ganjaran yang berlipat kali ganda dan segala amalan yang buruk akan dibalas setimpal dengannya.

Firman Allah s.w.t yang yang bermaksudnya : Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula. (Surah Al-Zalzalah : 7-8)

Melalui kedatangan Rasulullah s.a.w., dapat kita ketahui adanya hari pertimbangan dan perhitungan, dosa dan pahala, syurga dan neraka. Semuanya ini dapat kita ketahui dengan perutusan daripada Allah s.w.t.. Mana mungkin kita dapat ketahui semua ini tanpa perutusan dari-Nya.

Melalui kedatangan Nabi Muhammad s.a.w., diperlihatkan kepada kita dasar-dasar dan prinsip-prinsip kebenaran, kaedah-kaedah dan unsur-unsur keadilan di dalam syariat yang benar lagi tidak menyesatkan. Syariat yang diturunkan oleh Allah s.w.t., Tuhan yang mempunyai pengetahuan meliputi seluas langit dan bumi. Tuhan yang mengetahui perkara yang ghaib lagi nyata. Tidak ada perkara yang tersembunyi daripada-Nya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : Apakah Allah yang menciptakan itu tidak mengetahui (yang kamu lahirkan atau rahsiakan); dan Dia Maha Halus lagi Maha Mengetahui? (Surah Al-Mulk : 14)

Berdasarkan kepada keterangan-keterangan yang lepas, jelaslah bahawa kalimah ‘Nabi Muhammad s.a.w. ialah pesuruh Allah s.w.t.’ adalah pelengkap bagi kalimah yang pertama iaitu ‘tiada tuhan melainkan Allah s.w.t.’ di dalam syahadah. Fokusnya, hanya Allah s.w.t., tuhan yang wajib disembahkan, tiada tuhan melainkan Dia, dan tiada syariat atau jalan-jalan yang wajib diikuti melainkan syariat yang didatangkan oleh ustusan-Nya melalui wahyu-Nya ke atas utusan-Nya.

Comments

Popular posts from this blog