Bersabar Apabila Dicaci


Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa satu ketika seorang lelaki sedang mencaci Abu Bakar r.a sedangkan Nabi s.a.w sedang duduk di hadapannya. Orang itu terus mencacinya sedangkan Abu Bakar r.a dan Nabi s.a.w terus bersabar mendengarnya. Lantas Nabi s.a.w tersenyum. Apabila orang itu mencacinya dengan keterlaluan, lantas Abu Bakar r.a menjawab akan caciannya. Mendengarkan akan jawaban itu, Nabi s.a.w begitu marah, bangun, lalu meninggalkannya.

Abu Bakar r.a menyusul Nabi s.a.w dibelakangnya dan berkata: Ya Rasulullah s.a.w, apabila orang itu terus mencaciku engkau masih tetap duduk dan apabila aku menjawabnya, tuan nampaknya marah dan bangun?

Nabi s.a.w menjawab: Semasa kamu diam dan bersabar mendengarnya, seorang malaikat bersama denganmu yang mana sedang menjawab caci maki orang itu bagi pihakmu, tetapi apabila kamu menjawabnya semula, malaikat itu meninggalkanmu, dan syaitan telah datang di antara kamu, dan aku tidak mahu duduk bersama dengan syaitan; oleh kerana itu aku meninggalkan kamu.
(Hadis Riwayat Ahmad)

Sebagai umat Islam kita telah diajar oleh Rasulullah saw supaya sentiasa bersabar dan menahan kemarahan kerana dengan tidak bersabar dan marah membuka ruang kepada syaitan untuk menghasut kita. Berdasarkan hadis di atas jelas menceritakan bagaimana malaikat membalas setiap cacian orang terhadap kita. Namun apabila kita membalas cacian tersebut maka syaitan telah mengambil alih dalam usaha untuk menghasut dan memburukkan lagi keadaan.

Berbuat Baik Dan Bersabar


Seorang lelaki bertanya : “Wahai Rasulullah sesungguhnya aku mempunyai beberapa orang kerabat, yang hubungan aku erat dengan mereka tetapi mereka memutuskannya. Aku berbuat baik kepada mereka tetapi mereka berperangai buruk kepadaku, aku bersabar menghadapi sikap mereka itu tetapi mereka menganggap sikapku itu adalah bodoh”. Kemudian Baginda menjawab, “Sekiranya benar sepertimana yang engkau katakan itu maka seolah-olah engkau menyuap mereka dengan abu yang panas, sedangkan engkau sentiasa mendapat pertolongan daripada Allah Taala selama mana engkau berada di dalam kebenaran atas perkara yang demikian itu”. (Riwayat Muslim)

Islam mengajar umatnya supaya banyak bersabar di dalam semua keadaan sama ada ketika senang atau pun susah kerana ia merupakan pengukur darjat keimanan seseorang. Islam mengajar umatnya supaya jangan membalas keburukan orang sebaliknya menambahkan lagi kebaikan terhadap mereka, mudah-mudahan dengan itu hati mereka menjadi lembut dan baik.

Allah sentiasa memberi pertolongan kepada orang yang sentiasa sabar dan benar dalam bertindak. Setiap umat Islam wajib menghubungkan silaturrahim dan haram memutuskannya.

 Sabar

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Sesungguhnya orang mukmin akan menerima tekanan hidup kerana tidak ada satu bencana sama ada kerana terkena duri atau yang lebih besar, tidak juga ketakutan melainkan Allah akan mengangkat darjatnya satu darjat dan menghapuskan satu kesalahan dengan kesabarannya menghadapi bencana dan kesusahan tersebut”. (Riwayat al-Hakim)

Ujian adalah seiringan dengan perjuangan. Oleh itu ia tetap memerlukan bekalan iman, sabar dan istiqamah. Ujian dijadikan Tuhan untuk mengukur tahap keimanan seseorang itu kepada Allah. Bukan setakat di mulut sahaja.

Umat Islam akan diuji dengan lima perkara iaitu saudara seagama yang sentiasa dengki terhadapnya, orang munafiq yang sentiasa membencinya, orang kafir yang sentiasa memeranginya, syaitan yang sentiasa berusaha menyesatkannya dan bisikan hawa nafsu yang sentiasa menggoncang keimanannya. Semuanya ini menuntut kesabaran dan di dalamnya terdapat ganjaran pahala yang besar daripada Allah SWT.

Lawan bagi sabar adalah mengeluh dan ia merupakan perbuatan yang amat dilarang oleh agama kerana dengan mengeluh akan membuatkan semangat menjadi lemah dan terbitnya perasaan kecewa dan putus asa sedangkan Allah SWT berfirman dengan maksudnya : “Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan”. (surah al-Insyirah : Ayat 6)

Tanpa masalah atau ujian tidak akan wujud kematangan kerana pengalaman dalam menyelesaikan masalah adalah guru terbaik dalam menjamin kejayaan dalam kehidupan.

 Redha Menerima Ujian Allah


Nabi s.a.w bersabda : “Apabila seseorang mukmin diuji oleh Allah dengan sesuatu bencana pada tubuhnya, Allah Taala berfirman kepada Malaikat penulis amalnya: “Tulislah juga untuknya amal-amal soleh yang biasa ia lakukan;” kemudian jika Tuhan hilangkan bencana yang menimpanya itu, Tuhan jadikan ia hidup berkeadaan baharu – bersih suci dari dosanya; dan jika Tuhan mengambil nyawanya, diberikannya keampunan serta dikurniakan rahmat kepadanya”. (Anas r.a)

Setiap manusia hendaklah menerima segala ujian Allah dengan hati yang tabah, sabar dan redha kerana sikap yang demikian akan membawa kebaikan pada dirinya. Jika ia membiasakan dirinya dengan amalan yang baik semasa ia sihat atau senang kemudian tidak dapat melakukannya disebabkan kesakitan atau kemalangan yang menimpanya, maka Allah memerintahkan malaikat amal mencatat amalan yang baik yang tidak dapat dikerjakannya itu.

Sekiranya Allah menyembuhkan sakitnya atau menghilangkan bencana yang menimpanya itu maka Allah jadikan ujian-Nya itu sebagai “kaffarah” (yang menghapuskan dosa-dosanya yang telah lalu) serta dijadikan hidupnya berkeadaan baru, suci dan bersih daripada dosa. Namun sekiranya Allah S.W.T sempurnakan ajalnya dengan kemalangan itu, maka ia akan dikurniakan keampunan dan dilimpahkan rahmat kepadanya.

http://hadis.cikedis.com/bersabar-apabila-dicaci 

Comments

Popular posts from this blog