Dua Golongan Manusia


Rasulullah s.a.w bersabda, bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang yang paling aku kasihi di kalangan kamu dan orang yang paling dekat tempat duduknya denganku dihari kiamat ialah orang yang paling baik akhlaknya. Sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh dariku pada hari kiamat ialah orang yang banyak bercakap perkara sia-sia, dan berlagak angkuh, sombong malah ia merasa bangga dengan kesombongannya.” Para sahabat bertanya lagi, “wahai Rasulullah, sesungguhnya kami telah mengetahui maksud perkataan orang-orang yang suka bercakap banyak yang sia-sia, dan yang berlagak angkuh dan sombong, tetapi apakah maksud orang yang bangga dengan kesombongannya? Jawab Rasulullah “ialah orang yang takbur.” (Riwayat at-Tarmizi)

Hadis ini menerangkan dua golongan manusia iaitu manusia yang dikasihi dan dibenci oleh Nabi SAW. Orang yang berakhlak mulia adalah orang yang paling dikasihi oleh Rasulullah dan diberi tempat yang paling dekat dengan Baginda di hari kiamat nanti. Bercakap-cakap kosong atau perkara-perkara yang sia-sia dan membuat fitnah adalah perbuatan yang dilarang oleh agama kerana ia tidak mendatang apa-apa kebaikan bahkan bakal mengundang azab di hari akhirat kelak. Islam juga melarang umatnya bersifat membangga diri dan memandang rendah serta menghina orang lain sebaliknya hendaklah bersifat tawaduk dan rendah diri demi menjaga hati dan perasaan orang lain.

Orang Yang Dikasihi Dan Dibenci


Nabi s.a.w bersabda: Apabila Allah hendak membahagiakan seseorang hamba-Nya, Allah Taala menyeru Jibril dengan firman-Nya: Sesungguhnya Allah kasihkan si anu maka hendaklah engkau mengasihinya; Jibril pun mengasihinya; kemudian Jibril mengisytiharkan kepada sekalian penduduk langit katanya: Sesungguhnya Allah kasihkan si anu maka hendaklah kamu sekalian mengasihinya; dengan itu penduduk langit pun mengasihinya; setelah itu orang yang tersebut dikasihi dan diberi sambutan di bumi. Dan apabila Allah Taala bencikan seseorang hamba-Nya, Allah memanggil Jibril serta berfirman: Sesungguhnya Aku bencikan si anu maka hendaklah engkau bencikan dia. Jibril pun membencinya; kemudian Jibril mengisytiharkan kepada sekalian penduduk langit, katanya: Sesungguhnya Allah bencikan si anu maka hendaklah kamu sekalian membencinya; dengan itu penduduk langit pun membencinya; setelah itu orang yang tersebut dibenci dan dipulaukan di bumi. (Abu Hurairah r.a)

Umat Islam dilarang melakukan perkara yang buruk dan dibenci agama dan masyarakat tetapi hendaklah sentiasa berbuat kebaikan.

Orang yang mempunyai sifat dan amalan yang baik sesungguhnya amat dikasihi oleh Allah SWT. Dia juga disayangi oleh sekalian makhluk yang ada di langit dan bumi.

Pengisytiharan kasih mahupun benci oleh Allah terhadap seseorang itu adalah sebagai memberi nilai yang sewajarnya agar kesan kebaikan dan kejahatan tersebut dapat dirasai oleh pelakunya di dunia sebelum ia menerima balasan sepenuhnya di hari akhirat.

Kita selaku manusia biasa adalah tidak layak untuk menilai tentang buruk baiknya seseorang apalagi menghukum dan membenci manusia yang lain kerana hanya Allah sahaja yang berhak berbuat demikian.

Larangan Gila Kuasa


Abdul Rahman Ibnu Samurah berkata; Nabi SAW berkata kepada ku: “Hai Abdul Rahman Ibnu Samurah, janganlah engkau meminta diangkat menjadi penguasa di suatu wilayah. Kerana jika yang demikian diberikan kepada engkau lantaran permintaan, nescaya engkau dibiarkan, tidak diberi pertolongan. Tetapi jika diberikan kepada engkau bukan kerana engkau memintanya, nescaya engkau diberi pertolongan”. (Bukhari dan Muslim)

Nabi menegaskan bahawa kita tidak boleh mengajukan permintaan untuk diangkat menjadi pemimpin atau dengan kata lain menjadi orang yang gila kuasa. Ini adalah kerana menjadi seorang pemimpin bukanlah perkara yang mudah.

Kebiasaannya orang yang ghairah memburu pangkat dan kedudukan belum tentu dapat memikul sesuatu tanggungjawab itu dengan baik. Apatah lagi jika kedudukan itu diberikan atas permintaannya sendiri yang kemungkinan besar akan menimbulkan banyak pertuduhan bahawa individu tersebut mempunyai kepentingan tertentu. Kepimpinannya nanti akan menimbulkan banyak huru hara dan penentangan lantaran wujud golongan yang tidak berpuas hati.

Sebaliknya jika jawatan itu ditawarkan tanpa dia sendiri yang menginginkannya sedangkan dialah orang yang paling layak insyaAllah bebanan tanggungjawab itu walau bagaimana berat sekalipun ia bukanlah akan dipikul sendirian melainkan akan mendapat bantuan daripada Allah SWT dan mereka yang menyokongnya di belakang kerana hakikatnya dia dilantik secara sebulat suara.

Dunia Hanya Persinggahan


Dari Ibnu Umar ra katanya; Rasulullah SAW memegang bahuku lalu ia bersabda: “Hendaklah engkau berada dalam dunia seolah-olah engkau orang berdagang atau orang yang sedang melalui di jalan (pengembara)”. Dan adalah Ibnu Umar ra berkata: “Jika engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu pagi; dan apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu petang. Dan gunakanlah dari sihat engkau bagi masa sakit engkau dan dari hidup engkau bagi masa mati engkau”. (al-Bukhari)

Dunia adalah tempat untuk manusia beramal dalam sekian waktu yang ditentukan dan bukanlah tempat untuk bermukim, bersenang lenang sepanjang hayat kerana kedudukan seseorang itu di dunia ini adalah seperti pedagang atau pengembara yang akan pulang ke kampung halaman tempat asalnya iaitu alam akhirat yang kekal abadi.

Untuk itu, setiap amal ada waktunya di mana apabila luputnya waktu sesuatu amal sudah tentu waktu itu tidak akan berulang kembali. Oleh itu orang yang mengerti nilai waktu akan menyedari bahawa waktu itu sebenarnya adalah umurnya yang jika habisnya suatu detik waktu maka berkuranglah jangka hayatnya dan berkurang pula tempoh amalnya. Selepas itu kekecewaan dan penyesalan tidak berguna lagi.

Oleh itu seseorang yang inginkan kebahagian yang kekal abadi hendaklah memelihara waktunya daripada terbuang dengan percuma atau sebelum tiba waktu yang menghalang seperti sibuk, sakit dan sebagainya. Manusia yang mengejar dan menghabiskan masa dengan mencari “sesuatu yang tidak diciptakan oleh Allah di dunia” (kebahagiaan yang hakiki) adalah manusia yang rugi dan perbuatan yang sia-sia.

Berpendirian Dalam Hidup


Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya : “Janganlah setiap kamu menjadi orang yang tiada pendirian dan berkata: Saya dengan orang, jika mereka berbuat baik, nescaya saya berbuat baik. Dan jika mereka berbuat jahat, nescaya saya berbuat jahat. Tetapi biasakan diri kamu, jika orang berbuat baik, berbuat baiklah, dan jika mereka berbuat jahat, elakkanlah kejahatan mereka”. (at-Tirmidzi)
Hidup memerlukan pedoman yang betul agar kehidupan tidak tenggelam timbul dengan kejahatan dan keburukan tanpa mempunyai pegangan agama, kesedaran dan tanggungjawab. Orang yang mudah terikut-ikut dengan tabiat buruk orang lain lambat laun akan menempah banyak kesusahan bahkan diri tidak akan tertanggung dengan kejahatan tersebut biarpun ia sendiri tidak pernah melakukannya. Ini disebabkan tabiat masyarakat itu mudah menghukum sesuatu berdasarkan apa yang mereka lihat dengan mengambilkira dengan siapakah seseorang itu bergaul atau bersahabat.
Selaku seorang Islam, hendaklah kita berwaspada dengan golongan yang buruk akhlaknya. Tonjolkanlah akhlak yang baik terhadap mereka agar suatu ketika nanti kebaikan tersebut akan menyerap ke dalam jiwa mereka kerana sifat manusia itu mudah dipengaruhi dan terpengaruh. Orang yang lemah pendiriannya akan mudah terpengaruh dan begitulah sebaliknya. Ia mudah cenderung untuk melakukan kejahatan atau khianat terhadap orang lain.

Comments

Popular posts from this blog