GAMBAR TERINDAH… BAITULLAH SENTIASA DI HATI 1


Assalamualaikum jelitawans,

Selama 40 tahun lebih hidup di dunia ini, dalam banyak – banyak gambar dan pemandangan yang saya lihat, rupa – rupanya KAABAH lah gambar terindah yang pernah saya tengok. Memandang Kaabah atau gambarnya memberi satu perasaan yang tenang. InsyaALLAH , saya akan cuba kongsi beberapa keping gambar KAABAH dengan jelitawans dan mr jelitawans. Sebelum itu, lebih baik kita mengetahui sedikit sebanyak sejarah mengenai KIBLAT KE DUA umat Islam ini.

SEJARAH PEMBINAAN BAITULLAH

Menggali Telaga Zam Zam
Ketika berada di atas bukit Marwah, Siti Hajar telah mendengar suatu suara membisikkan kepadanya: Diamlah. Siti Hajar cuba memerhatikan suara tersebut. Suara itu masih tetap kedengaran, lalu suara tersebut berkata: Sesungguhnya aku telah mendengar bahawa di sisimu ada pertolongan. Tiba-tiba dia mendapati malaikat menunjukkan tempat Zamzam, lalu beliau terus menggalinya dengan tumit, ada yang mengatakan beliau menggali dengan menggunakan kedua tangannya sehingga keluar air. Kemudian beliau membatasinya dan beliau berkata dengan tangannya begini untuk memenuhkan bekasnya dengan air tersebut, setelah bekasnya dipenuhi dengan air beliau terus berlalu untuk meminum dan menyusu anaknya, lalu malaikat berkata kepadanya: Janganlah kamu takut kepada kesusahan, sesungguhnya di sana akan dibina sebuah rumah Allah (Baitullah) yang akan dibina oleh kanak-kanak ini dan ayahnya, sesungguhnya Allah tidak akan menyusahkan keluarganya.
Menggali Semula Zamzam:
Ketika Abdul Mutalib sedang tidur di Hijir, datang seseorang di dalam mimpinya dan berkata kepadanya: Galilah “Barrah” (iaitu nama telaga Zamzam). Beliau menjawab: Apakah Barrah? Sehingga keesokan harinya pula, beliau tidur di tempat yang sama. Lalu datang lagi seseorang di dalam mimpinya dan berkata kepadanya: Galilah “Madnunah” (iaitu nama telaga Zamzam). Beliau menjawab: Apakah Madhnunah? Kemudian beliau pun beredar dari situ sehinggalah keesokan harinya, beliau kembali tidur di tempat yang sama. Lalu datang lagi seseorang di dalam mimpinya dan berkata kepadanya: Galilah “Tayyibah” (iaitu nama telaga Zamzam). Beliau menjawab: Apakah Tayyibah? Pada hari yang keempat, beliau bermimpi lagi dan telah dikatakan kepada beliau: Galilah Zamzam. Beliau menjawab: Apakah Zamzam? Beliau berkata: Janganlah kamu menimba air itu dan membatasnya. Kemudian beliau ditunjukkan tempatnya. Setelah itu baginda menggalinya sebagaimana yang telah ditunjukkan kepadanya. Orang-orang Quraisy bertanya kepada beliau: Apakah ini semua wahai Abdul Mutalib? Beliau menjawab: Aku diperintahkan supaya menggali telaga Zamzam. Ketika dijumpai Zamzam dan melihat patung kijang. Orang-orang Quraisy terus mempercayainya. Abdul Mutalib terus menggalinya. Beliau menemui dua ekor patung kijang yang diperbuat dari emas. Kedua-duanya adalah patung kijang yang di tanam oleh Bani Jurhum ketika mereka keluar dari Mekah. Tempat tersebut merupakan telaga Nabi Ismail bin Nabi Ibrahim a.s. Setelah Abdul Mutalib menggali telaga Zamzam dan setelah Allah tunjukkan tempat serta memilih beliau untuk menggali Zamzam, Allah s.w.t telah menambahkan kemuliaan beliau dengan sebab Zamzam tersebut dan kaumnya juga dapat menikmatinya.

Binaan Nabi Ibrahim:
Binaan Nabi Ibrahim a.s merupakan satu-satunya binaan yang disebut di dalam al-Quran
Meninggikan Asas (Tapak):
1.� Nabi Ibrahim Al-Khalil a.s telah pergi ke Mekah untuk menunaikan perintah Allah s.w.t supaya membina Baitullah (Kaabah). Beliau berkata kepada anaknya Ismail a.s: Sesungguhnya Allah telah memerintahkan aku dengan satu perkara, lalu Ismail a.s berkata: Lakukanlah apa yang telah diperintahkan Allah kepada kamu. Nabi Ibrahim a.s bertanya: Adakah kamu akan menolongku? Nabi Ismail a.s menjawab: Aku akan menolongmu, lalu beliau berkata: Sesungguhnya Allah memerintahkan aku supaya membina sebuah rumah (Kaabah) di sana, sambil mengisyaratkan ke arah timbunan tanah yang lebih tinggi dari kawasan sekitarnya. Mereka berdua mendirikan tapak asas Baitullah di kawasan tersebut, dimana Nabi Ismail a.s mengangkut ketulan-ketulan batu manakala Nabi Ibrahim a.s membinanya.
Binaan Al-Umaliqah:
Kaabah telah runtuh setelah beberapa tahun Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s membinanya, lalu ia dibina semula oleh Kabilah Al-Umaliqah.
Binaan Jurhum:
Setelah beberapa tahun selepas Al-Umaliqah siap membinanya, Kaabah telah dilimpahi air banjir dari sebelah atas Kota Mekah menyebabkan dindingnya pecah tetapi masih belum runtuh. Jurhum telah memperbaiki segala kerosakan tersebut dan membina benteng untuk menghalang banjir daripada memasuki Kaabah. Di dalam riwayat yang lain, Kaabah telah runtuh akibat banjir tersebut. Jurhum membinanya semula di atas tapak binaan Nabi Ibrahim a.s serta membina sebuah pintu yang mempunyai dua daun dan satu pengunci
Binaan Qusai bin Kilab:
Orang pertama yang memperbaharui binaan Kaabah daripada golongan Quraisy selepas Nabi Ibrahim Al-Khalil a.s ialah Qusai bin Kilab. Beliau membina atap dengan menggunakan kayu Dum dan pelepah tamar. Al-A’sya membaca syair� dengan irama� iaitu salah satu daripada irama syair Arab
Binaan Quraisy:
1.� Ketika Rasulullah s.a.w telah cukup umur (baligh), dikatakan juga ketika umur baginda dua puluh lima tahun, seorang wanita telah melontar Kaabah. Bunga api yang keluar hasil dari lontaran tersebut terkena pada kelambu Kaabah lalu terbakar. Kebakaran tersebut telah menyebabkan kemusnahan pada Kaabah lalu orang-orang Quraisy membinanya semula. Apabila tiba waktu untuk meletakkan Hajarulaswad, mereka mula bertengkar dan berselisih pendapat tentang kabilah manakah patut mengangkatnya. Mereka berkata: Kemarilah kamu semua! Kita akan melantik orang yang mula-mula datang kepada kita melalui pintu Bani Syaibah sebagai hakim. Setelah beberapa ketika menunggu, ternyata Rasulullah s.a.w adalah orang pertama masuk melalui pintu tersebut lalu mereka meminta baginda menjadi hakim. Baginda memerintahkan agar mereka membentangkan sehelai kain lalu baginda sendiri meletakkan Hajarulaswad tersebut di tengah-tengah bentangan kain serta memerintahkan agar setiap orang memegang hujung-hujung kain tersebut. Dikatakan juga: Mereka mengemukakan ketua kabilah masing-masing agar memegang hujung kain tersebut lalu mengangkatnya. Kemudian sekali lagi Rasulullah s.a.w mengambil Hajarulaswad tersebut lalu meletak di tempatnya. Orang Quraisy mendirikan enam batang tiang di dalam Kaabah.
2. � Orang-orang Quraisy meninggikan pintu Kaabah berdasarkan kepada cadangan Abu Huzaifah bin Al-Mughirah, sebagaimana katanya: Wahai kaum! Tinggikan pintu Kaabah agar ia hanya boleh dimasuki dengan menggunakan tangga sahaja. Kaabah tidak boleh dimasuki melalui tangga tersebut kecuali seseorang yang kamu benarkan sahaja. Jika seseorang yang kamu benci datang, buanglah tangga tersebut agar mereka terjatuh. Semoga peristiwa itu menjadi pengajaran kepada sesiapa yang melihatnya. Berdasarkan kepada cadangan inilah orang-orang Quraisy terus melakukannya. Mereka juga menambahkan ketinggian Kaabah dari sembilan hasta kepada lapan belas hasta. Mereka memendekkannya sebanyak enam hasta di arah utara dari tapak asas binaan Nabi Ibrahim a.s kerana pembiayaan yang halal yang mereka miliki tidak mencukupi untuk mereka menyempurnakannya
Binaan Abdullah Bin Az-Zubair:
1.� Kebakaran Kaabah pada zaman pemerintahan Yazid bin Muawiyah merupakan kebakaran yang agak besar pernah berlaku. Abdullah bin Az-Zubair telah membiarkan keadaan Kaabah yang terbakar itu sehingga tiba musim Haji dimana ramai yang berkunjung untuk mengerjakan Haji. Apabila mereka semakin ramai, beliau berkata: Wahai umat Islam! Tunjukkanlah kepadaku cara memperbaiki Kaabah, samada meruntuh, membinanya semula ataupun memperbaiki kerosakannya sahaja. Ibnu Abbas berkata: Pada pendapatku: Kamu perbaiki kerosakannya sahaja. Biarkan binaan asal Baitullah dan batu-batu binaan asalnya kerana di situlah orang ramai memeluk Islam serta Rasulullah s.a.w diutuskan. Ibnu Az-Zubair berkata: Sekiranya rumah salah seorang di antara kamu terbakar, tentu dia tidak redha sebelum memperbaharuinya. Bagaimana pula dengan rumah Tuhan kamu? Sesungguhnya aku akan memohon kebaikan (beristikharah) daripada Tuhanku sebanyak tiga kali kemudian barulah melakukan urusanku.
Selepas tiga kali beristikharah, mereka telah sepakat untuk meruntuhkannya
Binaan Al-Hajjaj bin Yusuf Ath-Thaqafi:
1.� Apabila Al-Hajjaj bin Yusuf memasuki Kota Mekah selepas pembunuhan Abdullah bin Az-Zubair, beliau terus menulis surat kepada Abdul Malik bin Marwan menyatakan setiap perkara yang telah Ibnu Az-Zubair lakukan. Abdul Malik bin Marwan menjawab surat tersebut dengan katanya: Runtuhkanlah apa yang telah ditambah pada Hijir dan kembalikan ke asalnya serta tutuplah pintu yang dibuka di sebelah barat, kemudian biarkan bahagian-bahagian yang lain begitu sahaja.
2.� Al-Hajjaj telah merobohkan dinding di Hijir dan membina kembali di tempat asalnya yang pertama kemudian memasukkan ruang ini ke dalam Hijir.
3.� Membuang tangga kayu yang diletakkan oleh Ibnu Az-Zubair di dalam Kaabah.
4.� Mengurangkan ketinggian pintu Kaabah sebanyak lima hasta.
5.� Menutup pintu Kaabah di sebelah barat dan mengekalkan pintu yang lama pada kedudukan asalnya.
Binaan Sultan Murad Khan:
1.� Kota Mekah telah dilanda hujan lebat bermula pada hari Rabu 19 Syaaban tahun 1039 H yang mengakibatkan banjir besar mengalir masuk ke dalam Masjidil Haram serta memenuhi hampir keseluruhan kawasannya. Pada hari Khamis, dinding di sebelah Syam dan sebahagian dinding-dinding di sebelah timur dan barat telah runtuh. Hujan yang masih lagi berterusan sangat membimbangkan orang ramai.
2.� Orang-orang Islam diperintahkan bersiap-sedia untuk membina Kaabah sebagaimana keadaan sebelumnya. Kerja-kerja pembinaan Kaabah diteruskan atas perintah Sultan Murad Khan. Dengan limpahan kurnia Allah, kerja-kerja tersebut siap pada 2 Zulhijah, tahun 1040 Hijrah. Pembinaan tersebut memakan masa enam bulan setengah.
3.� Inilah binaan Kaabah yang terakhir dan masih kekal hingga ke hari ini. Projek-projek pembesaran terus dijalankan pada masa pemerintahan Kerajaan Arab Saudi seperti yang kita akan dapat lihat dalam tajuk peluasan al-Haram.
http://melurjelita.com/?p=810

Comments

Popular posts from this blog