Kelebihan Surah Al-Kahfi.



Daripada al-Barra ra katanya: Di kala seorang lelaki membaca surah al-Kahfi, tiba-tiba ia melihat binatang peliharaannya berlari dan ia melihat bagaikan sekumpulan mega atau awan, lalu ia datang menemui Rasulullah SAW dan menyebutkan mengenainya kepada Rasulullah SAW. Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Itu adalah as-Sakinah (ketenangan) yang turun bersama al-Quran atau turun di atas al-Quran”. (al-Bukhari, Muslim dan at-Tirmidzi)

Dalam surah al-Kahfi, diceritakan tentang kisah Ashaabul Kahfi (pemuda-pemuda beriman), kisah Nabi Musa as dan Nabi Khidir as serta kisah Dzulkarnain dan Ya’juj dan Ma’juj. Dalam beberapa hadis, Rasulullah SAW menggalakkan kita agar membaca dan menghafal surah ini kerana dengan membacanya dapat menghindarkan diri dari fitnah (musibah).

Di dalam surah al-Kahfi ini terkandung isyarat penting mengenai hari akhirat, sepertimana yang dipelajari daripada kisah-kisah yang dipaparkan iaitu pengalaman Ashabul Kahfi yang tinggal dalam sebuah masyarakat yang kufur kepada Allah SWT, Nabi Musa as yang banyak belajar daripada Nabi Khidir as dan tentang sebuah pemerintahan dalam kisah Dzulkarnain, yang kesimpulannya dapat memberikan kita pengertian tentang nilai-nilai keimanan yang sebenar.

Semua ini perlu direnungkan oleh seluruh umat Islam kerana apabila surah ini dibaca secara keseluruhannya, akan tergambar kepada kita tentang perkaitannya dengan realiti semasa yang dilalui pada tahap-tahap yang berbeza iaitu permulaan, perkembangan dan berakhirnya dunia ini dengan kedatangan Nabi Isa as sebelum kemunculan hari kiamat.

Kelebihan Membaca Al-Quran.


Dari Aisyah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda : “Orang (mukmin) yang mahir membaca al-Quran, maka kedudukannya di akhirat ditemani para malaikat yang mulia. Dan orang yang membaca al-Quran padahal dia gagap sehingga sulit baginya membaca, maka dia mendapat pahala ganda.” (Muslim)

Allah SWT berfirman : “Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah Al-Quran yang mulia (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan), yang tersimpan dalam kitab yang cukup terpelihara, (Lauhul Mahfuzh), yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci; al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan sekelian alam.” (Al-Waaqiah: 77-80).

Dalam kehidupan seharian seorang mukmin, pengajian Al-Quran adalah amat perlu dititikberatkan karena melalui Al-Quranlah Allah memberi petunjuk kepada hamba-hamba-Nya untuk mencapai keredhaan dan keselamatan. Dan kerana Al-Quran pula Allah mengeluarkan hamba-hamba-Nya daripada kegelapan kepada cahaya yang terang. Oleh itu Allah mengangkat dan memuliakan orang yang suka membaca al-Quran sepertimana sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya : “Orang yang paling baik di antara kalian ialah orang yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain.” (Bukhari, Abu Daud, Tarmizi).

Kebaikan membaca al-Quran amat banyak, di antaranya ialah; bagi orang yang membaca Al-Quran dengan maksud untuk menghafalnya dan dilakukan dengan susah payah maka baginya dua kali pahala, iaitu pahala membaca dan pahala susah payah dalam menghafalnya. Manakala orang yang membaca Al-Quran dengan lisan yang tertatih-tatih dan berat dirasakannya (gagap) maka baginya dua pahala. Sesungguhnya orang yang membaca Al-Quran dan mengamalkannya lebih besar darjatnya daripada orang yang tidak membaca Al-Quran.

Ibnu Abbas ra menceritakan bahawa Nabi s.a.w pernah bersabda : “Sesungguhnya orang yang di dalam dirinya tidak ada (tidak hafal) suatu ayat Al-Quran pun, keadaannya sama dengan rumah yang kosong.”

Surah Wajib Dalam Solat


Dari ‘Ata’ r.a katanya, Abu Hurairah berkata : “Dalam setiap solat, Rasulullah s.a.w selalu membaca bacaan (ayat). Oleh sebab itu bacaan yang dinyaringkan kepada kami, kami nyaringkan pula, dan bacaan yang perlahan-lahan dibacanya, kami perlahankan pula kepadamu”. Lalu seorang lelaki bertanya : “Bagaimana jika tidak kutambah lagi bacaanku selain membaca al-Fatihah”? Jawabnya: “Jika kamu menambah itu lebih baik, jika tidak, maka al-Fatihah pun sudah cukup”. (Muslim)

Al-Fatihah merupakan surah pertama yang diturunkan dengan lengkap. Ia dinamakan “Ummul Quran” atau “Ummul Kitab” kerana ia merupakan induk atau ibu bagi semua isi Al-Quran, serta menjadi intisari dari kandungan Al-Quran, dan kerana itu diwajibkan membacanya setiap kali menunaikan solat. Oleh itu bacaan al-Fatihah mestilah baik (mengikut hukum tajwidnya) kerana apabila cacat bacaan al-Fatihah maka akan rosaklah solat dan jika ia disertai dengan penghayatan maksudnya maka itu adalah lebih baik kerana akan mendatangkan kekhusyukan yang lebih sewaktu mengerjakan solat.

Syaitan Jatuh Sambil Menangis


Daripada Abu Hurairah ra katanya; Rasulullah saw telah bersabda: Apabila anak Adam membaca ayat Sajdah, lalu dia sujud; maka syaitan jatuh sambil menangis. Katanya, Celaka aku! Anak Adam disuruh sujud, maka dia sujud, lalu mendapat syurga. Aku disuruh sujud, tetapi aku menolak maka untukku neraka. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Tilawah ertinya bacaan. Maka sujud tilawah ertinya adalah sujud bacaan. Di dalam Al-Quran terdapat beberapa ayat iaitu apabila dibaca ayat tersebut, kita disunatkan bersujud. Ayat inilah disebut ayat sajdah dan sujudnya disebut sujud tilawah.

Sujud tilawah disunatkan tidak hanya pada waktu solat tetapi juga di luar solat. Namun dalam solat berjamaah, sekiranya imam tidak melakukannya, maka makmumnya juga tidak perlu bersujud kerana makmum wajib selalu menyesuaikan gerakannya dengan imam iaitu tidak boleh melakukan gerakan yang tidak dilakukan oleh imam.

Sujud tilawah juga boleh ditangguhkan. Misalnya ketika sedang di jalanan tiba-tiba kedengaran seseorang membaca ayat sajdah. Maka tidak diharuskan sujud seketika itu juga kerana untuk melakukannya, seseorang itu mestilah dalam keadaan suci dan berada di tempat yang suci, sama seperti mahu mengerjakan solat.
Ayat-ayat sajdah itu ialah :
  • Surah As-Sajdah : Ayat 15
  • Surah Al-A’raf : Ayat 206
  • Surah Ar-R’ad : Ayat 15
  • Surah Al-Nahl : Ayat 49
  • Surah Al-Israa’ : Ayat 107
  • Surah Maryam : Ayat 58
  • Surah Al-Hajj : Ayat 18
  • Surah Al-Furqan : Ayat 60
  • Surah An-Naml : Ayat 25
  • Surah Fussilat : Ayat 38
  • Surah Al-’Alaq : Ayat 19
  • Surah An-Najm : Ayat 62
  • Surah Al-Insyiqaq : Ayat 21
  • Surah Sad : Ayat 24
Cara melakukan sujud sajdah di luar solat menurut mazhab Syafi’e ialah dengan mengangkat tangan sambil bertakbir dan terus sujud dan membaca sepotong ayat ketika sujud :

Maksudnya: “Aku bersujud dengan wajahku kepada Dzat yang telah merupakan dan menciptakannya, dan menciptakan pendengaran dan penglihatannya dengan kekuatan-Nya. Maha memberkati Allah, sebaik-baik Pencipta”.
Kemudian kembali duduk dan memberi salam.
Manakala ketika di dalam solat pula cara melakukan sujud sajdah ialah sebaik sahaja membaca ayat sajdah, hendaklah terus bersujud dan membaca bacaan seperti di atas (di dalam sujud). Setelah itu berdiri semula meneruskan bacaan seterusnya.

Amin. Amin. Amin.



Dari Ka’ab Bin ‘Ujrah ra katanya : Rasulullah S.A.W bersabda : Berhimpunlah kamu sekalian dekat dengan mimbar. Maka kami pun berhimpun. Lalu beliau menaiki anak tangga mimbar, beliau berkata : Amin. Ketika naik ke anak tangga kedua, beliau berkata lagi : Amin. Dan ketika menaiki anak tangga ketiga, beliau berkata lagi : Amin. Dan ketika beliau turun (dari mimbar) kami pun bertanya : Ya Rasulullah, kami telah mendengar sesuatu dari tuan pada hari ini yang kami belum pernah mendengarnya sebelum ini. Lalu baginda menjawab :
“Sesungguhnya Jibril as telah membisikkan (doa) kepadaku, katanya : Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampuni. Lalu aku pun mengaminkan doa tersebut. Ketika aku naik ke anak tangga kedua, dia berkata lagi : Celakalah orang yang (apabila) disebut namamu di sisinya tetapi dia tidak menyambutnya dengan selawat ke atasmu. Lalu aku pun mengaminkannya. Dan ketika aku naik ke anak tangga yang ketiga, dia berkata lagi : Celakalah orang yang mendapati ibu bapanya yang sudah tua atau salah seorang daripadanya, namun mereka tidak memasukkan dia ke dalam syurga. Lalu aku pun mengaminkannya”.
(Hadis Riwayat Bazzar dan Imam Bukhari)

Sakaratul Maut


Dari Anas r.a katanya : “Rasulullah s.a.w telah masuk menziarahi seorang pemuda yang sedang berada dalam keadaan hampir mati, lalu bertanya kepadanya” : “Bagaimana keadaanmu?” Pemuda itu menjawab : “Aku berharap kepada (rahmat) Allah – Ya Rasulullah! – dan aku takutkan (balasan buruk) dari sebab dosa-dosa ku”. Mendengarkan yang demikian, Rasulullah s.a.w bersabda : “Tidak berhimpun dalam hati seseorang dua perkara itu (harap dan takut) pada saat yang seperti ini, melainkan Allah memberikannya apa yang diharapkan dan menyelamatkannya dari apa yang ditakuti”. (Anas r.a)

Apabila menghadapi sakaratul maut setiap umat Islam diminta agar sentiasa mengingati Allah dengan bersungguh-sungguh serta berdoa semoga Allah memberi pertolongan kepadanya semasa mengalami penderitaan tersebut. Kita hendaklah menanamkan perasaan takut terhadap kemurkaan Allah dan mengharapkan rahmat daripada-Nya pada setiap masa apatah lagi di saat-saat genting menghadapi sakaratul maut kerana hal ini ada ganjaran dan penghargaan yang besar daripada Allah S.W.T malah dengan adanya perasaan tersebut juga akan menghindarkan kita daripada terdorong melakukan perbuatan yang mengundang kemurkaan Allah

Alam Kubur

Rasulullah s.a.w bersabda:
Apabila si mati dikuburkan, datanglah kepadanya dua Malaikat hitam legam, lagi biru (matanya), salah satu di antaranya disebut dengan nama “Munkar” dan yang satu lagi disebut dengan nama “Nakir”, (lalu keduanya mendudukan si mati itu setelah dikembalikan rohnya ke dalam jasadnya). Kemudian mereka menyoalnya: Apa yang pernah engkau katakan mengenai orang ini (Muhammad s.a.w)?

Dan pada satu riwayat oleh Abu Daud:
Mereka bertanya kepadanya: Apa yang engkau pernah sembah? Maka kalau Allah memberi hidayah petunjuk kepadanya, ia akan menjawab dengan berkata: Aku menyembah Allah!
Kemudian ia ditanya lagi: Apa yang engkau pernah katakan mengenai orang ini (Muhammad s.a.w)?
Dan pada satu riwayat yang lain, oleh Abu Daud juga:

Mereka menyoalnya dengan berkata: Siapa Tuhanmu? Ia menjawab: Tuhanku ialah Allah!
Mereka bertanya lagi: Apa agama mu? Ia menjawab: Agamaku ialah Islam!
Mereka bertanya lagi: Siapa dia orang yang telah diutuskan dalam kalangan kamu?
Maka kalau si mati seorang yang beriman, ia akan menjawab dengan berkata: Orang itu (Muhammad s.a.w) ialah hamba Allah dan RasulNya, aku mengetahui serta meyakini bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Muhammad itu ialah hamba Allah dan RasulNya!
Mereka berkata kepadanya: Kami sedia mengetahui bahawa engkau mengakui yang demikian.
Dan pada satu riwayat oleh Abu Daud bahawa Baginda s.a.w bersabda:
Lalu diseru oleh penyeru dari langit katanya: Sungguh benar hamba-Ku, maka bentangkanlah kepadanya satu hamparan dari Syurga, dan pakaikanlah dia pakaian dari Syurga, serta bukakanlah baginya sebuah pintu ke Syurga.

Rasulullah s.a.w bersabda lagi:
Lalu datang kepadanya sebahagian dari bau Syurga dan keharumannya; kemudian dilapangkan kuburnya seluas tujuh puluh hasta persegi, dan diberikan cahaya yang menerangi kuburnya; kemudian dikatakan kepadanya: Tidurlah! Lalu ia berkata: Bolehkah aku balik kepada keluargaku supaya dapat aku ceritakan kebaikan halku?

Dua Malaikat itu berkata kepadanya: Tidurlah seperti tidurnya pengantin yang tidak dibangkitkan dari tidurnya melainkan sekasih-kasih ahlinya; Demikianlah halnya sehingga ia dibangkitkan Allah dari tempat baringnya itu.
Jika si mati itu seorang munafik, ia menjawab pertanyaan Malaikat itu dengan katanya: Aku dengar orang berkata demikian, maka aku pun turut berkata sama; aku tidak tahu benarkah atau tidak.
Lalu dua Malaikat itu berkata: Memang kami tahu engkau berkata demikian.
Dan menurut satu riwayat oleh Abu Daud:
Lalu diseru oleh penyeru dari langit katanya: Sesungguhnya orang itu berdusta maka bentangkanlah kepadanya satu hamparan dari Neraka, dan pakaikanlah dia pakaian dari Neraka, serta bukakanlah baginya sebuah pintu ke Neraka.

Rasulullah s.a.w. bersabda lagi:
Lalu datang kepadanya sebahagian dari bahang Neraka dan udara panasnya; kemudian diperintahkan bumi supaya mengapitnya lalu bumi mengapitnya sehingga berselisih tulang-tulang rusuknya, maka tinggallah ia dalam azab itu terus menerus ke masa Allah bangkitkan dia dari kuburnya.
(Abu Hurairah r.a)
http://hadis.cikedis.com/alam-kubur 

Comments

Popular posts from this blog