Perbezaan Orang Pintar Dan Orang Bodoh

 


Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : “Orang pintar ialah sesiapa yang memuliakan dirinya serta membuat persediaan untuk kehidupan selepas mati, sementara orang bodoh ialah sesiapa yang membiarkan dirinya mengikut hawa nafsu serta mengharapkan cita-citanya dikabulkan oleh Allah”. (Riwayat at-Tirmidzi)

Kita wajib menghormati sesama manusia termasuk diri sendiri, ibu, bapa, isteri atau suami, anak-anak, saudara mara, sahabat serta jiran tetangga sama ada dengan berbuat baik, menjaga tutur kata (berbudi bahasa) dan baik hati atau berbaik sangka menurut kemampuan masing-masing. Kematian pasti dihadapi oleh setiap orang sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan”. (Surah al-Anbiyaa’ : Ayat 35).

Oleh itu petanda bagi orang yang sentiasa mengingati mati ialah ia sentiasa memperbanyakkan amal perbuatan yang baik sepanjang hidupnya. Sebaik-baik usaha ialah bermujahadah melawan nafsu dan berusaha memperbaiki diri. Pengekangan nafsu akan menundukkan nafsu agar kita dapat mengawal tingkah laku mengikut syariat dan ketetapan Islam. Setiap amalan yang baik akan mempengaruhi doa yang dipohon atau dengan perkataan lain Allah S.W.T tidak akan mensia-siakan doa orang yang beriman dan selalu melakukan kebajikan. Begitulah hal yang sebaliknya.
  
Nafsu

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya : “Orang yang berjihad itu ialah mereka yang berjihad menentang nafsunya”. (Riwayat al-Bukhari)
Di samping faktor-faktor luaran seperti dunia, manusia dan syaitan, faktor dalaman iaitu nafsu turut mendorong manusia melakukan maksiat kepada Allah S.W.T. Mengendalikan hawa nafsu merupakan jihad terbesar yang sangat berat dan wajib dilakukan manusia. Tanpa kemampuan mengendalikan hawa nafsu, manusia akan jatuh ke jurang kehinaan kerana nafsu sentiasa mengajak kepada keburukan dan kemudaratan.
Orang yang mengikut hawa nafsu sering kali semakin asyik dengan kesesatannya itu bahkan sampai tidak merasa berdosa dengan maksiat yang dilakukan sehingga sanggup dan tanpa malu melakukan tindakan yang melampaui batas. Contohnya muda-mudi hari ini didapati begitu banyak yang berkelakuan tidak senonoh seperti bercumbu-cumbuan di khalayak ramai dan yang seumpama dengannya sedangkan kita mengetahui bahawa menurut hawa nafsu mengakibatkan kehidupan moral dan akhlak mulia manusia menjadi rosak.
Justeru itu, adalah amat penting bagi setiap umat Islam memiliki nafsu yang selalu memperoleh petunjuk dari Allah S.W.T sebagaimana nafsu yang telah dimiliki oleh Nabi Yusuf a.s sehingga beliau dapat menghindarkan dirinya dari segala bentuk kemaksiatan.

Istighfar Penghapus Dosa


Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya : “Demi Allah, kalau kamu tidak berdosa, Allah akan menjadikan satu umat lain yang melakukan dosa, lantas mereka beristighfar kepada Allah lalu diampuni dosa mereka”. (Muslim)

Sudah menjadi lumrah bahawa manusia itu tidak boleh lepas daripada kesalahan dan dosa. Hal ini disebabkan adanya sifat lupa, lalai, mengikut hawa nafsu, godaan syaitan dan sebagainya. Sesungguhnya dosa sebenarnya bukanlah perkara yang pelik dan mengaibkan tetapi yang aibnya ialah apabila seseorang itu kekal dalam dosa tanpa rasa ingin kembali bertaubat serta memohon ampun daripada Allah SWT.

Oleh itu beristighfar amatlah dituntut dalam Islam kerana ia boleh menghapuskan dosa perbuatan yang dilakukan. Tetapi sayang, kita sukar sekali mengamalkan istighfar ini padahal ia sungguh ringkas dan mudah sehingga akhirnya bertambah-tambahlah dosa yang dilakukan dari hari ke hari lantaran kelalaian dan tabiat suka bertangguh. Istighfar juga bukan setakat jalan untuk memohon ampun daripada Allah SWT tetapi ia juga sebagai suatu sinar cahaya yang menerangi wajah dan hati seseorang.


Penghapus Dosa.


Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya : “Mana-mana muslim yang apabila masuk waktu sembahyang yang diwajibkan lalu dia pun berwudhuk dengan wudhuk yang baik, melakukan solat dengan sebaik-baiknya begitu juga dengan ruku’nya, maka sembahyang itu merupakan kafarat (memadamkan) dosa-dosanya yang telah lalu, selagi dia tidak melakukan dosa besar”. (Riwayat Muslim)

Agak menghairankan apabila didapati ada orang yang mengerjakan sembahyang, tetapi masih tidak segan silu melakukan dosa dan maksiat. Mengapa? Jawapannya adalah kemungkinan besar kerana sembahyang yang dikerjakan itu sebenarnya tidak ikhlas kepada Allah melainkan untuk menunjuk-nunjuk, riya’ dan takabur. Sembahyang yang sedemikian ini sama sekali tidak akan memberikan apa-apa kesan terhadap jiwa dan pembentukan peribadi serta tidak dapat menjamin serta mendinding diri daripada melakukan perkara-perkara negatif dan maksiat.

Sesungguhnya sembahyang dalam erti kata yang sebenar ialah sembahyang yang dikerjakan dengan hati yang khusyuk dan menghayati setiap apa yang dibaca. Hasilnya ia berupaya mendidik seseorang kepada pembangunan sahsiah muslim yang sejati. Hal ini bermula dengan berwudhuk yang menganjurkan kebersihan tubuh badan serta pakaian, sehinggalah kepada geraklaku dan tatatertib khusus yang perlu diiltizamkan oleh orang yang sembahyang.

Sembahyang berjemaah contohnya, mendidik seseorang itu mematuhi seorang ketua yang tidak harus bagi seorang makmum mendahului imam dalam apa jua geraklakunya. Manakala dari hal menjaga saf-saf ketika bersembahyang pula memberikan satu pengajaran tentang kepentingan perpaduan dalam suatu masyarakat yang dipimpin.

Selain kebersihan zahir, sembahyang juga mampu melupuskan kotoran dosa yang pernah dilakukan kerana sembahyang merupakan satu-satunya peluang keemasan untuk setiap hamba mencari pengampunan dari Allah S.W.T. Usaha ini diseiringkan dengan amalan zikir dan doa-doa yang dibaca sewaktu sembahyang di mana ia akan menguatkan lagi hubungan dengan Allah S.W.T.
 http://hadis.cikedis.com/penghapus-dosa

Comments

Popular posts from this blog