Persediaan Sebelum Tidur


Diriwayatkan daripada Abdullah bin Zaid al-Ansari ra bahawa dia pernah melihat Nabi Muhammad SAW berbaring terlentang di dalam masjid, meletakkan sebelah kakinya pada sebelah kakinya yang lain. (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Sekiranya hendak tidur kita disarankan mengikut sunnah Rasulullah SAW. Dalam suatu riwayat menerangkan: Daripada Aisyah ra katanya: Nabi SAW apabila berbaring di tempat tidurnya pada setiap malam, Baginda mengangkat kedua tangannya (seperti berdoa), lalu meniup dan membaca surah al-Ikhlas, surah al-Falaq, surah an-Nas, kemudian Baginda menyapukan tangannya itu ke seluruh badan yang dimulai dari kepalanya dan mukanya dan bahagian depan daripada badannya. Baginda melakukannya sebanyak tiga kali. (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Selain itu, sebelum tidur Baginda menunaikan sembahyang witir kerana Nabi SAW juga telah mengingatkan umatnya bahawa syaitan sering mengganggu manusia ketika tidur. Oleh itu kita dianjurkan supaya mengamalkan solat witir setiap kali sebelum tidur.

Ketika Baginda terbangun daripada tidur di tengah malam pula, Baginda akan membasuh muka dan kedua belah tangan sebelum Baginda tidur semula.

Berkenaan dengan cara tidur pula, Rasulullah SAW selain daripada tidur miring (mengiring) ke sebelah kanan, Baginda juga pernah tidur terlentang dengan cara meletakkan satu kaki di atas yang lain sebagaimana maksud hadis di atas.

Amalan Setelah Bangun Dari Tidur

Dari Abu Hurairah ra katanya, Nabi saw bersabda : “Apabila kamu bangun dari tidurmu, hendaklah kamu istintsar (membersihkan lubang hidungmu) tiga kali kerana syaitan tidur di dalamnya”. (Muslim)

Sebagaimana kita semua maklum, tidur merupakan suatu kerehatan untuk tubuh manusia dan Islam menggalakkan kita mementingkan kesihatan demi menjamin kesegaran tubuh badan sepanjang hari. Namun begitu jangan pula kita terlajak tidur sehingga meninggalkan solat-solat yang wajib untuk kita tunaikan terutamanya solat Isya’ dan Subuh yang kebanyakan manusia seringkali lalai dan malas daripada mengerjakannya dek kerana terlalu mengantuk atau sayangkan tidur sehingga terlepas waktu.

Oleh itu setiap Muslim dianjurkan agar membaca doa setiap kali hendak tidur dan juga doa selepas bangun daripada tidur supaya dengan itu diri terpelihara daripada gangguan dan godaan syaitan yang sentiasa memujuk manusia agar lalai daripada mengerjakan perintah Allah SWT. Kita juga diajar oleh Rasulullah saw supaya membersihkan lubang hidung setelah bangun dari tidur sepertimana hadis di atas.

Lebih Baik Daripada Pembantu


Dari Abu Hurairah r.a katanya, Fatimah meminta kepada Nabi s.a.w seorang khadam (pembantu) dan mengadukan bahawa beliau terlalu penat bekerja. Jawab Nabi s.a.w : “Engkau tidak akan mendapatkannya daripada kami. Mahukah engkau kutunjukkan sesuatu yang lebih baik daripada seorang khadam? Iaitu, tasbih 33 kali, tahmid 33 kali dan takbir 34 kali ketika engkau hendak tidur”. (Muslim)

Menurut ajaran Islam, seorang wanita tidak bertanggungjawab untuk mencari nafkah keluarga. Tujuannya supaya isteri itu dapat sepenuhnya mencurahkan perhatian kepada urusan rumahtangga, mendidik anak-anak dan membesarkan mereka. Ini bersesuaian dengan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Umar katanya: Rasulullah bersabda, “Isteri bertanggungjawab dalam urusan rumahtangga suaminya”. (Bukhari & Muslim)

Namun begitu dewasa ini tuntutan semasa memerlukan golongan isteri juga keluar rumah berganding bahu mencari nafkah untuk membantu suami menyara keluarga. Oleh yang demikian komitmen selaku seorang isteri, ibu dan juga seorang pekerja kepada majikan tidak dinafikan mengundang rasa penat yang tidak tertanggung secara sendirian. Oleh itu ramai antara para isteri yang bekerja menginginkan adanya seorang pembantu rumah untuk menolong mereka menguruskan rumahtangga.

Namun begitu masalah ini sebenarnya tidak hanya boleh diselesaikan dengan adanya pembantu rumah semata-mata kerana seorang suami yang memahami keadaan isterinya sudah tentu tidak akan berat tulang memberikan kerjasama, menolong serta bertolak-ansur dalam meringankan tugas isteri di rumah. Ini bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah rumahtangga daripada berlaku pergaduhan dan sebagainya, malah dapat menumbuhkan rasa kasih dan sayang antara suami isteri kerana masing-masing dapat menerima dan mengorbankan kepentingan diri.

Di samping itu si isteri juga dianjurkan mengamalkan petua yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w seperti dalam hadis di atas kerana dengan menyebut nama Allah dengan berzikir kepadanya jiwa akan terasa tenang, hilang keserabutan dan keletihan.

Mukmin Yang Paling Sempurna Imannya

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Orang-orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka yang paling baik akhlaknya dan sebaik-baik manusia daripada kalangan kamu ialah mereka yang paling baik kepada isterinya”. (Riwayat Abu Daud)

Seorang mukmin yang sebenar akan melakukan kebaikan terhadap manusia tanpa mengharapkan balasan melainkan keredhaan daripada Allah S.W.T.

Perbuatan baik yang ikhlas adalah yang paling tinggi nilainya di sisi Allah.

Akhlak yang mulia menandakan kebaikan. Begitulah sebaliknya. Oleh itu umur yang berkat ialah orang yang hidupnya dipenuhi dengan jasa bakti dan kebaikan yang menjadikan masyarakat di sekelilingnya sayang terhadapnya dan merasa kehilangan apabila ketiadaannya. Bak kata pepatah “harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama”.

Begitu juga dalam kehidupan berumahtangga, suami isteri akan kekal bahagia jika saling hormat-menghormati serta kasih mengasihi di antara satu sama lain. Mereka akan disayangi oleh anak-anak dan kaum keluarga.

Wanita Pilihan

Rasulullah SAW bersabda: “Dikahwini wanita itu (untuk dijadikan isteri) kerana empat perkara iaitu harta kekayaannya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka utamakanlah (dalam pemilihanmu itu) wanita yang kuat beragama, nescaya sejahtera hidupmu”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Secara umumnya hadis ini menyenaraikan tentang ciri-ciri wanita yang biasanya menarik perhatian lelaki untuk dijadikan calon isteri. Wanita yang kaya, berharta, berdarjat tinggi dan cantik jelita adalah pakej lengkap yang meruntun hati kaum lelaki untuk menyuntingnya.

Namun yang lebih penting hadis di atas menyarankan kepada kaum lelaki agar memilih bakal isteri yang memiliki ciri “kuat penghayatan agamanya”. Ini disebabkan wanita yang melaksanakan segala ajaran agama akan memberikan pengaruh serta kesan yang besar terhadap kebahagiaan hidup berumahtangga.


Fitnah Terbesar

Dari Usamah bin Zaid r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda : “Tidak ada suatu fitnah (bencana) yang lebih besar bahayanya dan lebih bermaharajalela selepas wafatku terhadap kaum lelaki selain daripada fitnah yang berpunca daripada kaum wanita”. (Bukhari, Muslim, Imam Ahmad, at-Tirmidzi, Nasa’i dan Ibnu Majah)

Dunia mempunyai daya penarik yang kuat kerana Allah SWT telah menjadikannya berkeadaan demikian untuk menguji manusia siapakah yang dapat menguasai hawa nafsunya dan dapat menjalani kehidupan di dunia menurut jalan yang diredhai Allah. Antara daya penarik dunia ialah wanita kerana lazimnya mereka mendorong lelaki dengan tutur kata yang manis, gerak geri yang menggoda dan pakaian yang memberahikan. Semua ini mencabar keimanan kaum lelaki sehingga mereka menjadi lalai terhadap tugas dan kewajipan mereka.

Oleh itu Rasulullah SAW menuntut kita supaya memelihara dan mengawal diri daripada diruntun oleh kemanisan dan keindahan dunia dengan menambahkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah sambil mengingati bahawa segala yang ada di dunia hanyalah sementara sahaja berbanding dengan segala nikmat di akhirat yang kekal abadi. Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah.


Kebaikan Kecil Yang Besar Nilainya

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya aku telah melihat seorang lelaki berguling-guling (bergembira) dalam syurga hanya kerana dia memotong dahan pokok di bahu jalan yang mengganggu manusia”. (Hadis Riwayat Muslim)

Hidup ini harus dipenuhi dengan amal soleh dan meninggalkan semua amal jahat kerana itulah sifat sebenar mukmin. Islam mengajarkan segala perbuatan baik dilakukan dengan ikhlas sama ada besar atau kecil, sedikit atau banyak tetap dinilai oleh Allah SWT dan tersedia baginya ganjaran pahala.

Allah SWT menggalakkan kita berlumba mengerjakan kebaikan dengan tidak menetapkan nilai atau ukurannya seperti firman-Nya bermaksud: “Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Baqarah : Ayat 148)

Adakalanya kebaikan itu mungkin kecil pada pandangan manusia, tetapi nilainya besar pada pandangan Allah.
Hadis ini mengisahkan seorang lelaki melalui sebatang jalan yang biasa dilalui kaum Muslimin dan terlihat sebatang dahan berduri seakan-akan mahu jatuh. Bimbang dahan itu jatuh dan menimpa orang ramai, lelaki berkenaan memotong dahan itu.

Disebabkan kebaikannya, Allah mengampuninya dan memasukkan dia ke syurga. Lelaki tadi kelihatannya membuat sedikit saja kebaikan, tetapi Allah merahmati dan membalas perbuatannya dengan nilai sangat besar iaitu syurga penuh kenikmatan.

Kita tidak tahu sebenarnya apakah amalan kita selama ini yang mendatangkan rahmat dan keredhaan Allah. Mungkin rahmat dan redha Allah datang sewaktu kita mengukir senyuman kepada rakan, sewaktu memberi salam atau memimpin orang yang buta melintas jalan.

Jadi, meremehkan kebaikan kecil itu sebenarnya salah besar kerana siapa tahu, dengan kebaikan kecil itulah yang akan memberikan pahala besar, meraih rahmat dan redha Allah SWT
 http://hadis.cikedis.com/fitnah-terbesar

Comments

Popular posts from this blog