HUBUNGAN MAJIKAN DAN PEKERJA DARI PERSPEKTIF ISLAM

Pendahuluan

Islam adalah agama yang syumul dan mencakupi seluruh aspek kehidupan baik kehidupan di dunia mahupun akhirat. Ia mengatur semua urusan hidup manusia sama ada yang melibatkan hubungan manusia dengan Al-Khaliq, manusia dengan sesama manusia, individu dan masyarakat, pekerja dan majikan, rakyat dan pemimpin dan seterusnya.

Apa yang lebih istimewa dan menarik dalam sistem Islam ialah setiap bentuk perhubungan tersebut melibatkan dua dimensi iaitu tidak terlepas dari hubungannya dengan Khaliq dengan makhluk sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Dalam erti kata lain setiap hubungan yang baik antara manusia sesama manusia adalah termasuk dan diiktiraf sebagai sebahagian dari urusan ibadat yang diperintah Allah dan akan mendapat ganjaran secara langsung atau tidak langsung dari-Nya. Demikianlah apabila baik hubungan manusia dengan Tuhan-nya ia akan membawa kesan yang baik dalam kehidupan seharian di dunia iaitu dalam konteks hubungan mereka antara sesama manusia dan makhluk-makhluk Allah yang lain meliputi fauna, flora dan lain-lain.

Pekerja Dan Pekerjaan Menurut Perspektif Islam

Islam mengambil perhatian yang berat terhadap pembangunan dan tamadun ummah. Ibn Khaldun (1986) di dalam kitab al-Muqaddimah menyebutkan bahawa manusia adalah sejenis makhluk yang secara tabi’inya terus menerus membina tamadun. Sedangkan sebagaimana yang dimaklumi bahawa sesuatu tamadun pasti tidak dapat dibina melainkan apabila umat di sesuatu generasi itu bekerja keras untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut. Atas tuntutan inilah syariat Islamiah telah meletakkan nilaian yang tinggi kepada amalan berkerja bagi tujuan mencapai kemajuan hidup di dunia dan akhirat.

Hakikat ini amat berbeza dengan nilai serta pandangan dalam semua agama dan budaya lain. Di mana setengah agama dan kebudayaan bukan sahaja tidak meletakkan kerja di dalam neraca ibadat malahan terdapat agama dan budaya tersebut yang menganggap jijik pada pekerjaan dan usaha mengumpulkan harta. Manakala setengahnya pula membuka ruang tanpa batas sehingga menghalalkan apa jua kerja termasuk pekerjaan yang melanggar batas-batas etika dan nilai moral.
Kebudayaan Greek kuno umpamanya bukan sahaja tidak mengambil berat soal pekerjaan malah memandang hina terhadap sesetengah pekerjaan terutama yang tidak berasaskan daya pemikiran. Anggota masyarakat yang baik menurut mereka bukanlah datangnya daripada kumpulan buruh (Labib Al-Sa’id, 1985).

Dalam agama Yahudi dan Masihi pula menganggap pekerjaan sebagai satu bentuk balasan Tuhan ke atas manusia akibat dosa asal (the original sin) yang dilakukan oleh bapa manusia iaitu Adam. Dalam Old Testament menjelaskan:
“Laknat yang menimpa bumi itu adalah disebabkan daripada perbuatanmu, kamu akan hidup susah untuk mendapatkan makanan di permukaan bumi ini sepanjang hayatmu.”
(Old Testament, The Book of Genesis,3:17)

Berbeza dengan ajaran Islam di mana terdapat banyak ayat al-Quran dan al-Hadith yang menunjukkan perintah kepada umatnya untuk bekerja dan mencari rezeki yang halal (lihat ali Imran,3:195; al-Maidah,4:94; al-An’am,6:135; al-Taubah,9:105; Hud,11:15, 37, 93, 111; al-Kahf,18:30; al-Anbiya’,21:80; Yasin,36:35) malah menuntut kaum muslimin supaya tekun dan bersifat profesional dalam pekerjaan. Di antaranya ialah firman Allah yang bermaksud:
“Dan carilah apa-apa yang Allah sediakan bagi kamu untuk akhirat dan janganlah kamu lupa nasib habuan kamu dalam kehidupan dunia.”
(al-Quran,al-Qashash,28:77)

Dan firman Allah yang bermaksud:
“Dan apabila kamu selesai dari menunaikan solat (jumaat), bertibaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurniaan Allah, dan ingatlah kamu kepada Allah sebanyak mungkin, mudah-mudahan kamu mencapai kejayaan.”
(al-Quran, Jumaat,62:10)

Pandangan semester Islam (Islamic worldview) mengenai pekerjaan dan segala bentuk aktiviti perekonomian tidak hanya terhenti setakat persoalan kerja dan ekonomi semata-mata, sebaliknya ia merupakan asas yang menjamin perimbangan sosial dengan tujuan untuk menegakkan keadilan di kalangan seluruh manusia (Subhi al-Saleh, 1983). Justeru itu Islam memerangi kemiskinan dan menganggap kemiskinan sebagai jalan kepada kekufuran. Sabdanya lagi yang bermaksud:
Hampir-hampir kefakiran itu membawa kekufuran.”
(Al-Akhtar Sharh al-Mukhtar, j.2.)

Sabda Rasulullah saw. bermaksud:
Tangan di atas (memberi) adalah lebih baik dari tangan di bawah (meminta)”.
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin Umar)

Dalam konteks Islam sebagai agama yang menggalakkan umatnya bekerja dan berusaha maka keseluruhan tindakan dan amalan manusia yang melibatkan pekerjaan harian untuk mencari rezeki termasuk di dalam pengertian ibadat. Pekerjaan dan tugas-tugas tersebut dilaksanakan dengan tekun, jujur dan ikhlas semata-mata kerana ianya satu tuntutan yang dituntut oleh Allah dan Rasulullah saw. Aktiviti dan amalan seperti ini dikategorikan di dalam kumpulan ibadat umum, iaitu ibadat yang dilakukan dalam bentuk pekerjaan dan tindakan hamba Allah di ladang, kilang, pejabat, hospital, di rumah dan di mana sahaja serta pada bila-bila masa asalkan memenuhi syarat yang ditetapkan syara’ (Shafie Mohd Salleh dan Mohd Affandi Hassan,1991). Di antara kreteria yang perlu bagi menjadikan sesuatu kerja itu termasuk dalam ibadat ialah:

  1. Pekerjaan tersebut mestilah yang halal dan bertepatan dengan syara’.
  2. Pekerjaan tersebut dikerjakan dengan niat yang ikhlas bagi mencari keredhaan Allah.
  3. Pekerjaan tersebut dilaksanakan dengan tekun, cekap dan profesional serta penuh ihsan.
  4. Dalam melaksanakan pekerjaan tersebut mestilah mengambil kira prinsip-prinsip syara’ seperti amanah, adil, bertanggungjawab, mengamalkan syura dalam membuat keputusan dan sebagainya.
Terdapat banyak hadith yang menjelaskan kreteria-kreteria tersebut baik secara umum atau khusus. Di antaranya ialah sabda Rasulullah yang bermaksud:
“Mencari sara hidup yang halal adalah satu kewajipan di samping kewajipan-kewajipan yang difardhukan.”
(Diriwayatkan oleh al-Tabrani dan al-Baiihaqi)

“Sesungguhnya Allah suka melihat hamba-Nya yang melakukan pekerjaan dengan tekun (teliti).” (Diriwayatkan oleh al-Baihaqi dari A'isyah r.a.)
Allah sukakan hamba-Nya yang bekerja (secara profesional). Barang siapa yang bertungkus lumus mencari sara hidup keluarganya maka ia seperti seorang mujahid pada jalan Allah.” (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad)

Berdasarkan kepada hadith-hadith di atas dapat disimpulkan bahawa syariat Islamiah amat menitikberatkan umatnya agar tidak mengenepikan hukum-hukum syara’ seperti amanah, adil, bertanggungjawab, mengamalkan syura dalam membuat keputusan dan sebagainya. Kerja-kerja yang diusahakan di atas dasar penipuan, kezaliman dan penindasan adalah bertentangan dengan syariat Islam. Sabda Rasululah yang bermaksud:

“Orang yang paling kecewa (rugi) pada hari kiamat kelak ialah orang yang mencari harta secara tidak halal lalu ia masuk ke neraka bersama-sama hartanya.”
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

Di samping itu Islam juga menggalakkan umatnya untuk bekerja dengan penuh tekun dan profesional. Hal ini disebut dengan istilah itqan yang membawa maksud tekun, teliti, cermat dan kemas (Abdul Ghani Shamsuddin, 1989).

Konsep itqan dalam bekerja ini dapat dilihat melalui kehidupan peribadi Rasulullah saw. sendiri dalam semua hal sama ada urusan ibadat mahupun urusan-urusan lain. Diriwayatkan oleh A’isyah r.a bahawa Rasulullah saw. Beribadat diwaktu malam sehingga bengkak tumitnya. Begitu juga dalam masa peperangan Khandak, sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dari al-Barra’, bahawa Rasulullah saw. memunggah pasir dari kubu-kubu sehingga tertutup kulit perut baginda, bahkan baginda sanggup mengikat perut baginda dan diselit dengan batu-batu untuk menahan lapar ( al-Buthi, 1991).

Meskipun Islam menuntut umatnya agar tekun dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan namun janganlah ia menjadi penghalang atau membuatkan mereka lalai dari melaksanakan ibadat-ibadat khusus (wajib) kepada Allah. Firman Allah yang bermaksud:

“Orang-orang yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan perdagangan dari mengingati Allah.” (Al-Quran, al-Nur,24:37)

Rasulullah saw. memerintahkan umatnya supaya apabila mengerjakan sesuatu pekerjaan hendaklah dilaksanakan dengan penuh ihsan. Apabila baginda ditanya mengenai ihsan dalam hadith Jibril yang masyhur, baginda menjawab:

“Ihsan, ialah engkau menyembah Allah sebagaimana engkau melihat-Nya dan jika kamu tidak mampu maka yakinlah yang Dia melihat kamu.”

(Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim dari Abi Hurairah r.a.)

Umum memahami bahawa Ihsan yang dimaksudkan seperti dalam hadith di atas hanya yang bersangkutan dengan hubungan manusia dengan Tuhan semata-mata. Namun bila dihubungkan hadith tersebut dengan konsep ibadat dalam Islam yang tidak memisahkan urusan dunia dengan akhirat, ternyata ihsan membawa maksud yang lebih jauh iaitu melakukan sesuatu dengan cara yang terbaik dan terpakai kepada semua urusan baik urusan dunia mahupun akhirat. Orang yang beriman bekerja kerana dorongan dari dalam. Justeru itu mereka akan berusaha dengan tekun dan ikhlas dan yakin kepada pengawasan Allah terhadap segala aktiviti yang mereka lakukan (al-Qardhawi, 1991).


Di samping memandang pekerjaan sebagai sesuatu yang mulia dan dituntut, Islam turut menganjurkan supaya umatnya sentiasa bekerja di dalam suatu kumpulan atau organisasi. Apa yang dimaksudkan dengan organisasi ini ialah satu bentuk makanisma yang memungkinkan masyarakat manusia bekerja dalam kumpulan yang dibentuk berasaskan kepada matlamat yang dipersetujui bersama (Luis A. Allen, 1958). Dengan itu organisasi menjadi alat untuk mencapai matlamat akhir yang dituju apabila sekumpulan manusia bekerja secara bersama (Ernest Dale,1960). Perintah ini dapat dilihat melalui amalan ibadat-ibadat fardhu seperti solat, haji, jihad dan lain-lain. Allah berfirman maksudnya:
“Sesungguhnya Allah suka kepada orang yang berjuang pada jalan-Nya dalam barisan yang teratur ( berorganisasi) seakan-akan mereka seperti satu binaan yang tersusun rapi.” (Al-Quran, al-Saaf,61:4)

Bahkan Rasulullah saw. mengingatkan:
“Tidak halal tiga orang dari kalangan kamu keluar bermusafir melainkan salah seorang daripada kamu menjadi pemimpin.” (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad)

Hubungan Majikan Dan Pekerja

Sebagaimana yang telah dijelaskan bahawa pekerjaan merupakan suatu tuntutan syariat dan ianya dikira ibadat. Demikian juga dengan berorganisasi merupakan suatu perintah dan ia dikira sebagai ibadat.
Pekerja dan pekerjaan adalah nama terbitan dari kata dasar kerja (usaha, kegiatan atau urusan yang bertujuan untuk menghasilkan sesuatu). Pekerjaan pula bermaksud sesuatu yang diusahakan (dilakukan secara berterusan) kerana mencari nafkah. Manakala pekerja pula bermaksud orang yang bekerja (lazimnya untuk mendapat bayaran atau memperolehi pendapatan), orang yang memegang sesuatu jawatan (dalam perkhidmatan awam atau swasta) (Kamus Dewan, 2002). Sementara majikan pula adalah orang yang mengambi satu atu lebih pekerja (Ibid) untuk bekerja dengannya. Oleh yang demikian pekerja dan majikan adalah mereka yang berada di dalam satu organisasi tidak kira organisasi itu kecil atau besar. Konsep ummah termasuk soal bernegara, misalnya, adalah satu konsep organisasi di peringkata masyarakat yang besar dan kompleks. Rumah tangga juga adalah satu konsep organisasi di peringkat yang lebih kecil (Shafie Hj Mohd. Salleh dan Mohd Affandi Hassan, 1991).

Apabila kita menerima hakikat bahawa pekerjaan dan berorganisasi itu sebagai ibadat, sudah tentu ianya perlu memenuhi pra-syarat yang ditetapkan syara’. Sebarang perlanggaran ke atas peraturan dan pra-syarat tersebut bukan sahaja mengakibatkan kerja-kerja tersebut tidak dikira ibadat dan ia menjadi lagha (sia-sia), malah mungkin akan membawa kepada maksiat. Oleh yang demikian setiap individu di dalam sesebuah organisasi, baik pemimpin atau rakyat, majikan atau pekerja, tuan atau boroh mestilah memberi perhatian yang serius terhadap semua aspek kerja yang dilakukan agar ia tidak tergelincir dari landasan syariat.

Di dunia Barat yang mengamalkan sistem kapitalis, hubungan antara majikan dan pekerja menjadi masalah yang begitu kompleks, kesatuan-kesatuan sekerja tumbuh bercambah sebagai bukti betapa antara majikan dan pekerja saling tidak percaya mempercayai antara satu sama lain, mereka benci membenci dan tuduh menuduh (Hakim Mohamed Said,1989). 

Suasana tidak harmoni yang melibatkan pertembungan antara majikan dan pekerja, piket, demonstrasi dan mogok sering berlaku. Keadaan seumpama ini turut menular ke dalam masyarakat dan negara-negara umat Islam di dekad-dekad yang mutakhir. Sedangkan umum mengetahui bahawa keadaan seumpama itu hanya merugikan semua pihak baik majikan, pekerja mahupun masyarakat yang mengharapkan mutu perkhidmatan yang baik dan cekap dari mereka.

Secara umumnya hubungan majikan dan pekerja di dalam syariat Islam terikat dalam satu acuan yang disebut sebagai hablun min al-nas (hubungan interpersonal) yang wajib dijaga oleh kedua-dua pihak. Menurut perspekif Islam kesempurnaan hubungan antara manusia sesama manusia hanya akan lahir setelah manusia tersebut sempurna hubungannya dengan Allah (hablun min Allah). Secara prinsipnya, tidak akan menjadi baik dan sempurna hubungan manusia dengan sesama manusia melainkan apabila mereka menyempurnakan hubungannya dengan Allah. Dan begitulah sebaliknya tidak akan menjadi baik dan sempurna hubungan manusia dengan Allah jika mereka tidak menjaga hubungan dengan sesama manusia. Pengabaian terhadap hubungan kemanusiaan dan persaudaraan sejagat itu hanya akan mengundang kemurkaan dari Allah seperti yang difirmankan-Nya di dalam al-Quran yang bermaksud:

Mereka ditimpa kehinaan di mana sahaja mereka berada kecuali mereka berpegang kepada tali Allah dan tali (perjanjian) dengan sesama manusia.”
(al-Quran, ali Imran,3:112)

Di sisi Islam, majikan dan pekerja umpama satu anggota dalam satu ikatan persaudaraan. Harapan yang diberikan oleh seorang saudara kepada saudaranya yang lain diberikan oleh pekerja kepada majikannya. Seorang saudara tidak akan merasa tenteram melihat saudaranya berada dalam keadaan sukar. Begitulah keadaannya hubungan majikan dengan pekerja. Tujuan Islam ialah untuk melahirkan perhubungan di antara majikan dan pekerja dengan cara yang betul, dan bebas dari perasaan prejudis. Majikan bebas melakukan usaha untuk mengeluarkan produktiviti serta mencari kekayaan, tetapi bukan dengan jalan memerah keringat pekerja atau orang bawahan demi kepentingan diri sendiri. Islam mempunyai mekanisme yang jelas bagi mencapai tujuan tersebut. Pencapaian tujuan sedemikian disebut di dalam al-Quran melalui kisah nabi Musa as. yang bekerja di rumah nabi Syu’ib as. Nabi Syu’ib berkata:

“Aku tidak hendak memberati kamu. Dan kamu insya Allah akan mendapatiku termasuk orang-orang yang baik.” (al-Quran, al-Qashash,28:27)

Ayat di atas menjelaskan bahawa setiap muslim tidak harus mengabaikan prinsip-prinsip kemanusiaan, keadilan dan kesaksamaan. Ketiga-tiga prinsip tersebut bila diterjemahkan dapat dilihat seperti berikut:

1. Majikan tidak harus membebani pekerja dengan sesuatu kerja yang memang tidak mampu dilaksanakan oleh pekerja tersebut.
2. Majikan seharusnya sentiasa mengutamakan kebajikan kepada pekerja.
3. Ganjaran dan dorongan perlu diberikan kepada pekerja setimpal dengan kerja yang dilakukan. 

Matlamat akhir dari kehidupan insan menurut Islam ialah mencapai al-falah (kemenagan) dan al-sa’adah (kebahagiaan ) di dunia dan akhirat. Oleh yang demikian baik majikan atau pekerja mestilah sentiasa bertaqwa kepada Allah. Perasaan taqwa merupakan tali pengikat antara kedua-dua pihak yang boleh melahirkan sifat belas kasihan, adil, jujur dan amanah. Dalam hal hubungan majikan pekerja ini Rasulullah saw. bersabda yang bermaksud:

“Orang yang bekerja untukmu adalah saudaramu. Allah telah mentakdirkan mereka bekerja di bawahmu.” (Riwayat al-Bukhari dan Tirmizi)

Diriwayatkan oleh Ibn Abbas bahawa Amirul Mukminin saidina Umar al-Khattab pernah dijemput ke satu jamuan yang diadakan oleh Safwan bin Umaiyah. Bila hidangan telah siap disediakan para jemputan terus memakan sambil diperhati oleh beberapa orang khadam Safwan. Lalu Umar bertanya, “Mengapa khadam tuan tidak turut makan, apakah tuan-tuan bencikan mereka?” Kata Safwan; “Tidak, demi Allah wahai Amirul mukminin, kami cuma kemudiankan mereka sehingga kita selesai makan untuk menunjukkan kelebihan kita.” Umar berkata dengan marah; “Tiap-tiap kaum yang merendahkan khadamnya, tentu akan direndahkan pula oleh Allah. Ayuh wahai khadam marilah makan bersama-sama.” Maka khadam-khadam tersebut turut makan, sehingga tidak ada lagi makanan yang akan dimakan oleh Amirul Mukmini (Hamka, 1994).

Secara khusus Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Orang-orang yang bekerja di bawahmu adalah saudaramu. Orang yang bekerja di bawah anda sebenarnya diizinkan Allah mengikut perintahmu. Seorang yang mengambil saudaranya sebagai pekerja wajib memberikannya makanan dari apa yang mereka makan dan memberikan pakaian dari apa kamu pakai. Dan para pekerja tidak harus dibebankan dengan tugas-tugas di luar kemampuan mereka. Jika anda telah memberikan tugas berat maka hendaklah anda menolong mereka.”
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

Al-Marhum Maulana Manazir Ahsan Gilani, salah seorang ulamak abad ke-20 telah menganalisa hadith tersebut dan membuat beberapa peraturan berhubung dengan undang-undang pekerjaan di dalam Islam (Hakim Mohamed Said, 1989) iaitu:

1. Majikan dan pekerja mestilah menganggap mereka sebagai bersaudara . Persaudaraan Islam ini mestilah wujud pada setiap tahap.
2. Majikan dan pekerja adalah setaraf sekurang-kurangnya dalam keperluan asasi. Pekerja patut memperolehi apa yang dimakan oleh majikan dan pakaian seperti apa yang dipakai oleh majikan.
3. Masa dan tempoh kerja mestilah dalam batas kemampuan manusia.
4. Sekiranya jenis pekerjaan itu sukar dilakukan oleh pekerja, ini tidaklah bermakna pekerjaan itu mesti ditinggalkan atau pekerja dipaksa melakukan pekerjaan tersebut tanppa mengira akibatnya. Pekerjaan seharusnya dijalankan mengikut persetujuan bersama dan pekerja hendaklah diberikan semua bentuk pertolongan dan bantuan.

Islam menegaskan agar majikan sentiasa bertimbang rasa, adil, dan baik hati serta membuang sifat keras hati dan bersifat kejam. Sifat pemaaf dan bertolak ansur serta mengasihi pekerja amat dituntut. Seorang sahabat datang bertanya kepada Rasulullah: Wahai Rasulullah berapa kalikah saya harus memaafkan hamba saya ?” Rasulullah menjawab: Mengapa anda bertanya berapa kali ? Jika hambamu tersilap menjalankan perintah atau membuat kesalahan tujuh puluh kali setiap hari, anda hendaklah memaafkan dia sebanyak itu juga kerana mereka adalah saudara-saudaramu.”
(Diriwayatkan oleh al-Tirmizi)

Sebenarnya keluhuran budi seperti ini akan membersihkan pihak majikan dan pekerja dari sebarang penyelewengan yang dengannya akan melahirkan sifat saling percaya mempercayai antara majikan dan pekerja.

Tanggungjawab Majikan Dan Pekerja

Secara umumnya dalam hubungan majikan dan pekerja Islam telah menggariskan beberapa prinsip yang perlu dipatuhi. Antaranya (Hakim Mohamed Said,1989):

1. Majikan dan pekerja melakukan akad (kontrak). Oleh yang demikian majikan bertanggungjawab melayan pekerja sebagai seorang manusia, dan pekerja bertanggungjawab melakukan pekerjaan dengan penuh dedikasi.

Termasuk dalam pengertian layanan yang baik terhadap pekerja ialah menyegerakan pembayaran upah di atas pekerjaan yang dilakukan. Hal ini bertepatan dengan perintah Rasulullah saw. sebagaimana yang tersebut dalam satu hadith yang bermaksud:
Kamu hendaklah membayar upah (gaji) pekerja sebelum keringatnya kering.”
(Diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan al-Tabarani dari Abu Hurairah)

2. Majikan hendaklah memenuhi kewajipan dari aspek kewangan serta menjaga kebajikan pekerja, manakala pekerja mestilah memenuhi tanggungjawabnya dengan cara bekerja bersungguh-sungguh. Firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil bekerja ialah orang yang kuat lagi amanah.” (Al-Quran, al-Qashash,28:26)
Sabda Rasulullah maksudnya:

“Setiap kamu adalah pemimpin, setiap kamu akan ditanya dari hal kepimpinannya, Raja (pemerintah) adalah pemimpin dan akan ditanya dari hal kepimpinannya, seorang lelaki adalah pemimpin dan akan ditanya dari hal kepimpinannya, seorang isteri adalah gembala di rumah suaminya dan akan ditanya dari hal kepimpinannya, seorang pekerja adalah gembala dan akan ditanya dari hal kepimpinannya, setiap kamu adalah pemimpin dan akan ditanya dari hal kepimpinan masing-masing”
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim dan lain-lain)

Islam mencela kelalaian dalam menunaikan tanggungjawab sama ada di pihak majikan atau pekerja. Allah SWT berfirman maksudnya:

“Kecelakaan besarlah bagi mereka yang curang, iaitu orang yang apabila menerima amanah dari orang lain mereka minta dipenuhi dan apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain mereka kurangi.” (al-Quran, al-Mutaffifin,83:1-3)

Menurut ulamak fiqh, perkataan tatfif (mengurangi sukatan) di dalam ayat di atas termasuklah pekerja yang mendapat gaji (upah) yang penuh tetapi cuai menjalankan tanggungjawab mereka dan menggunakan sedikit masa untuk menjalankan pekerjaan rasminya berbanding pekerjaan sampingan lain. Jika dikiaskan kepada majikan pula, majikan yang meminta pekerja bekerja lebih masa daripada yang telah ditetapkan tanpa kerelaan mereka atau tanpa membayar upah yang lebih (Hakim Mohamed Said,1989).

Mencari Al-Falah Melalui Budaya Kerja Kolektif

Bagi mencapai kecemerlangan dan kebahagian dalam kehidupan khususnya sewaktu bekerja semua pihak baik majikan mahupun pekerja mestilah sama-sama berusaha mewujudkan suasana dan budaya kerja tertentu seperti yang disarankan oleh al-Quran dan al-Sunnah. Di antaranya ialah:

a. Sikap Mujahadah

Apa yang dimaksudkan dengan sikap mujahadah ialah semangat dan keazaman yang nekad dalam melaksanakan kerja bagi melepasi sasaran kerja. Matlamat unggul dari usaha tesebut adalah untuk mencapai kecemerlangan bagi kepentingan masyarakat, keluarga dan diri sendiri demi memperolehi kebahagian di dunia dan akhirat.
Firman Allah yang bermaksud:
"Mereka yang bermujahadah kepada Kami, nescaya akan Kami tunjukkan jalan Kami. Dan sesuungguhnya Allah benar-benar bersama orang yang berbuat kebaikan.”
(al-Quran, al-Ankabut, 29 :69)

b. Sikap muraqabah

Muraqabah ialah penelitian dan perhatian bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tugas supaya tidak berlawanan dengan ilmu dan syariat agar mencapai kejayaan dan keberkatan daripada Allah untuk kebahagian di dunia dan akhirat. Sabda Rasulullah yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah suka melihat hamba-Nya yang melakukan pekerjaan dengan tekun (teliti).” (Diriwayatkan oleh al-Baihaqi dari A'isyah r.a.)
 
Dan firman Allah maksudnya:
“Apabila kamu selesai menunaikan solat (Jumaat), bertibaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurniaan Allah. Dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beroleh kejayaan.”
(al-Quran, al-Jumu’ah,62,10)
 
c. Sikap muhasabah

Dimaksudkan dengan muhasabah di sini ialah ada penilaian yang dibuat terhadap pekerjaan yang dilaksanakan dari segi pencapaian dan kelemahannya. Apabila ianya mencapai matlamat, semua pihak harus bersyukur dan jika terdapat kelemahan hendaklah bersabar dan mohonlah pertolongan dari Allah. Firman Allah:
"Minta pertolonganlah dari Allah dengan cara bersabar dan menunaikan solat."
(al-Quran, al-Baqarah,2:45)

d. Penghayatan Jamaah

Maksud penghayatan jamaah ialah di mana majikan dan pekerja berusaha menghidupkan semangat dan budaya kerja secara kolektif untuk kepentingan organisasi. Ia memerlukan sikap bahu membahu antara satu sama lain kerana melaluinya pertolongan Allah akan diturunkan kepada mereka. Sabda Rasulullah yang bermaksud:
"Pertolongan Allah kepada jemaah." (Diriwayatkan oleh al-Tirmizi dari Ibn Abbas)

Penghayatan jamaah perlu pula diikuti dengan amalan syura. Dalam Islam tiada jamaah melainkan dengan perlaksanaan konsep syura. Perkataan al-syura berasal dari uungkapan biasa orang-orang Arab syurtu al-dabbah wa syawwartuha (saya telah mengetahui di mana bitang itu berada) atau syurtu al-‘asal wasytartuh (saya telah mengambil madu dari tempatnya). Dari ungkapan-ungkapan tersebut lahirlah kalimah al-isytisyarah yang bermaksud perundingan atau pemesyuaratan untuk mencari penyelesaian terhadap satu masalah dan keputusan (al-Qurtubi, 1936) Ibn ‘Atiyyah menjelaskan bahawa konsep syura diasaskan bertujuan mewujudkan konsultasi antara cerdik pandai dan ahli agama dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Di samping mengamalkan semangat musyawarah dalam apa jua tindakan sama ada perancangan aktiviti mahupun penyelesaian masalah semua anggota mestilah mempunya sikap berlapang dada untuk menerima keputusan yang telah dibuat secara kolektif tersebut. Firman Allah yang bermaksud:

“Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu(urusan peperangan dan duniawi yang lain). Dan apabila engkau berazam, maka bertawakkallah kepada Allah.”
(al-Quran,ali Imran,3:159)
"…sedang urusan mereka dimesyuaratkan antara mereka."
(Al-Quran, al-Syura, 42 :38)

e. Penghayatan Ukhuwwah

Maksudnya ialah meletakkan setiap anggota dalam organisasi tersebut sebagai saudara. Oleh yang demikian setiap individu mempunyai tanggungjawab terhadap saudaranya yang lain dalam melaksanakan tugas al-amar bi al-makruf dan al-Nahyu an al-munkar. Penghayatan semangata ukhuwah ini tidak akan berlaku melainkan apabila seorang saudara atau seorang rakan sekerja sanggup mengambil tanggung jawab dan tugas yang tidak mampu dilaksanakan oleh saudaranya yang lain. Dalam hubungan pekerja dan majikan pula, pekerja bekerja dengan penuh ikhlas dan responsible bagi menjayakan perusahaan yang diusahakan oleh sauadaranya dan demikianlah sebaliknya di pihak majikan mempunyai rasa kasih sayang dan menghormati pekerja sabagai saudara yang membantunya dan memberikan kemewahan dan kebahagian hidup. 

f. Penghayatan Ta'awun

Bantu membantu dan lengkap melengkapi dalam melaksanakan tugas organisasi demi mencapai al-falah (kemenangan) adalah satu tuntutan. Sifat iri hati, dengki dan buruk sangka mestilah dielakkan bagi mengelakkan manusia ditimpa dengan sifat khusran (kerugian). Dalam konteks masyrakat Melayu tradisi semangat tolong menolong ini sudah begitu sebati dan menebal di dalam jiwa masyarakat sehingga lahirnya beberapa pepatah seperti “Berat sama dipikul ringan sama dijinjing”, “Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah” dan lain-lain. Firman Allah:

"Bertolong-menolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan taqwa dan jangan kamu betolong-menolong dalam perkara dosa dan permusuhan." (al-Quran, al-Maidah,5:2)

Penutup

Syariat Islam adalah rahmat untuk seluruh alam. Penghayatan kepada seluruh aspek syariat Islamiah membawa kita kepada jaminan kerahmatan dari Pencipta. Pekerjaan dan berorganisasi merupakan sebahagian dari aspek-aspek tersebut. Dengan memelihara hubungan yang harmoni di antara majikan dan pekerja dalam sesebuah organisasi akan membawa organisasi tersebut ke arah kejayaan yang cemerlang dan yang lebih penting agar ianya berupaya menjadi jambatan ke arah al-falah dan al-sa'adah kepada setiap individu yang menganggotai organisasi tersebut baik di dunia mahupun di akhirat.
Rujukan
1. Al-Quran al-Karim dan terjemahan. Medinah al-Munawwarah: Mujamma’ al-Malik Fahd li al-Tiba’at al-Mushhaf. 1419H.
2. Abd Halim El-Muhammady, Pengurusan Dalam Islam. Selangor: Persatuan Mahasiswa Islam Timur Tengah. 1996.
3. Abdul Ghani Hj Shamsuddin. Tajdid Dalam Pendidikan Dan Masyarakat. Kuala Lumpur: Dewan Pustaka Fajar.
4. al-‘Ali, Muhammad Muhanna’. Al-Idarah fi al-Islam. Jeddah: al-Dar al-Su’udiah. t.t.
5. Allen, Luis A. Management And Organization. New York: Mc Graw-Hill Book Company.
6. al-Buthi, Sa’id Ramadhan. Fiqh al-Sirah al-Nabawiyyah. Beirut: Dar al-Fikr al-Mu’asir.
7. Chek Mat. Pengurursan Berkualiti Dalam Perkhidmatan. Kuala Lumpur: Utusan Publication. 1996.
8. Dale, Ernest. Bonds of Organization: An Appraisal of Coporate Humen Relations. New York: Harper and Row.
9. Hakim Mohamed Said. The Employer And The Employee –Islamic Concept. Trans. Kuala Lumpur: A.S.Noordeen. 1989.
10. Hamka, Prof. Dr. (1994). Sejarah Umat Islam. Singapura: Pustaka Nasional PTE LTD.
11. Ibn Khaldun. 1986. al-Muqadimah, ter. Jakarta: Pustaka Firdaus.
12. Ismail Hj Ibrahim & Mohd Sahri Asbd Rahman. Penyt. Ilmu Dan Kecemerlangan Dari Perspektif Islam. Kuala Lumpur: IKIM. 1994.
13. Labib Al-Sa’id. Dirasat al-Islamiyyah fi al-‘amal wa al-‘ummal. ter. Shah Alam: Hizbi. 1985.
14. Mustafa Haji Daud. Pengurusan Islam. Kuala Lumpur: Utusan Publication. 1994.
15. Shafie Hj Mohd. Salleh & Mohd Affandi Hassan. Kecemerlangan Pentadbiran: Dasar Dan Amalan Dalam Islam. Kuala Lumpur: Institut Tadbiran Awam Negara Malaysia. 1991.
16. Al-Qardhawi, Yusuf. al-Iman wa al-hayah. Beirut: Mu’assasah al-Risalah. 1991.
17. al-Qurtubi, Abi ‘Abdullah Muhammad bin Ahmad al-Ansari. Al-Jami’ li Ahkam al-Quran. Qaherah: t.pt.


Oleh: Wan Ali bin Wan Jusoh

 

 http://fizziedotcom.blogspot.com/2008/01/hubungan-majikan-dan-pekerja-dari.html

Comments

Popular posts from this blog