Boleh dibuat rujukan utk para suami
isteri..
'Walau baru sehari, saya amat rindukan
dia...'15 Februari 2015, Pulau Melaka.
Ikuti luahan hati DATIN TUAN SABARIAH
TUAN ISHAK, isteri bekas Mursyidul Am
Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam
wawancara eksklusif bersama wartawan
Sinar Harian, ROSMIZA KASIM dan SITI
FATIHAH AWANG
di kediaman beliau sehari selepas
pemergian suami yang dicintai itu.“Nanti
abang tak dok (meninggal dunia) lepas ni, sapo nak jago Yah,” itulah kata-kata
yang membuatkan hati saya sedih dan sayu
apabila mengenangkan suami yang baru
sehari meninggalkan saya buat selama-
lamanya.
Kata-kata abang itu yang diluahkan tiga
hari sebelum meninggal dunia, ketika
dirawat di Hospital Universiti Sains
Malaysia (HUSM) itu saya sambut dengan
senyuman, sambil memegang tangan insan
yang selama ini berkongsi hidup suka dan
duka dengan saya.
Sambil menggenggam tangan abang, saya
kata “anak-anak kita kan ada, mereka
boleh jaga saya sampai bila-bila.
Abang janganlah risau,” walaupun dalam
hati saya ketika itu sebak tidak terkata.
(Perasaan yang ditanggung itu diluahkan
Tuan Sabariah sambil menyapu air mata
dengan tisu yang dihulurkan saudara-mara yang datang menziarahi keluarganya di
kediamannya).
Kini, anak-anaklah yang akan menjadi
peneman saya, menghilangkan kesunyian
hidup saya. Walaupun baru sehari, saya
mengakui saya sangat merindui beliau.
Dengan izin, hari ini (semalam) saya dan
semua anak-anak awal-awal pagi lagi ke
kubur. Dalam keadaan sayu hati dan reda
dengan ketentuan ALLAH SWT, saya sedekahkan Al-Fatihah dan ayat suci al-Quran kepada
suami tercinta di perkuburannya.
Saya reda dan saya juga tidak 'berhutang' apa-apa
lagi dengan abang. Saya memang menjaga
abang sepenuh hati saya sebagai seorang
isteri sebagaimana yang abang mahukan
selama ini, walaupun saya juga kadang
kala diuji dengan kesihatan yang tidak
menentu.
Sebelum ini, makan, minum dan pakaian
abang dijaga dengan baik. Makanan
sentiasa terhidang untuk suami
tersayang dan tidak pernah sekalipun
saya menyuruhnya
mengambil sendiri.
Cuma, saya perasan satu kelainan kerana
beberapa bulan lalu, abang kadangkala
menyediakan sendiri minumannya tanpa
bantuan saya.
Saya menghormati abang, memang abang
seorang insan istimewa yang tiada galang
gantinya bagi saya. (Beliau terus menyapu air mata dan kemudiannya cuba memujuk
diri dengan melemparkan senyuman kepada
hadirin).
Biarpun abang seorang menteri besar dan
pemimpin masyarakat, namun abang bukanlah seorang yang cerewet,
terutamanya dalam soal memilih makanan.
Senang sangat, malah saya yakin setiap
isteri di dunia ini mengimpikan seorang
suami yang 'mudoh baso' (senang kira)
malah tidak keterlaluan jika saya
katakan, saya antara yang bertuah
kerana memiliki
abang.
Masakan kampung memang menjadi keutamaan
abang. Sedap atau tidak bukanlah satu
kepentingan. Apa yang pasti, itulah menu
pilihan, tambahan pula jika disajikan
dengan ikan darat, ditambah pula kuih
paling digemari, lompat tikam serta jala
emas.
Mengimbas semula kisah hidupnya sebagai
suami isteri,tuan Sabariah juga
memberitahu setiap malam dia akan
mengurut dan menyapu minyak di tubuh
Tok Guru sebelum tidur).
Sentiasa saya ingat, kata-kata abang yang memberitahu,
tidak ada harta yang banyak boleh
ditinggalkan untuk anak-anak. Semuanya
sudah diberikan. Harta yang dimaksudkan
adalah ilmu untuk menjadikan anak-anak
yang soleh, berguna kepada agama dan
bangsa.
Memang abang pentingkan ilmu kepada anak-
anak, kerana baginya, ilmulah darjat yang
paling tinggi di akhirat.
Itulah yang sentiasa menjadi pesanan
abang kepada semua anak-anak.
Bukan sahaja pentingkan ilmu, malah
abang juga seorang yang penyayang. Masih terbayang
-bayang lagi tiga hari sebelum abang
menghembuskan nafas terakhir, kami ketawa bersama apabila
dia mengenyit mata kepada saya ketika
terbaring di katil hospital.
Malah saya membalasnya dengan senyuman
yang penuh ikhlas dari hati saya sambil
menggenggam tangannya.
Walaupun ketika itu abang tidak gagah
namun abang masih lagi memujuk hati saya
dengan bersikap demikian kerana abang
tahu, saya terlalu risaukan kesihatan
abang.
Saya kagum kerana abang masih lagi
(berusaha) menghiburkan saya walaupun
dalam keadaan uzur.
Saya sangat bersyukur kerana dikurniakan
seorang suami yang baik, biarpun dalam
keadaan terlantar, masih lagi menjaga
batas-batas saya sebagai seorang Muslim.
Pernah satu ketika, saya bercakap dengan
seseorang. Pada mulanya abang hanya
menghentak tangannya pada saya dengan
perlahan, tapi lama-lama semakin kuat.
Rupa-rupanya abang tidak suka saya
bercakap perkara yang tidak sedap didengar di telinganya.
Sampai begitu sekali dia sayangkan saya,
supaya saya tidak buat perkara yang
merugikan, malah abang sering berpesan
ia adalah kebaikan untuk dijadikan contoh
kepada anak-anak.
Ini juga yang patut dicontohi dan saya amat bersyukur
semasa dalam keadaan sakit dan tidak bermaya, abang
masih lagi bangun sepertiga malam untuk bertahajud.
Sangat tersentuh hati saya apabila kira-kira jam 3
pagi saya mendengar abang sedang membaca ayat-ayat
suci al-Quran ketika bertahajud dan pernah satu ketika,
bacaannya agak kuat kerana sengaja untuk bangunkan
saya daripada tidur.
Memang inilah amalan abang sejak dulu lagi, malah
tidak pernah abang abaikan dan mengeluh penat untuk
melaksanakannya, walaupun kadangkala balik lambat
sehingga jam 2 pagi (sewaktu menjadi menteri besar)
pun.
Bertahajud tetap menjadi keutamaannya.
Pernah juga abang bergurau, “Pahala solat sunat abang
lakukan ini tidak boleh berkongsi dengan
Yah, amalan masing-masing. Jadi kita
kena sentiasa beribadah”.
Walaupun nada nya bergurau, tapi saya
tahu pesanannya itu adalah daripada
seorang suami yang mahukan yang terbaik
buat isterinya.
Abang memang utamakan solat. Setengah jam sebelum
masuk waktu abang akan bersedia dengan
wuduk dan saya masih ingat perumpamaan
yang ditujukan kepada saya mengenai solat. Katanya, seperti menghadiri majlis
kenduri, jika lewat datang sudah pasti
lauk-pauk tidak akan cukup lengkap.
Katanya sama juga dengan solat,
jadi jangan tangguh-tangguhkan.
(Sekali lagi air mata Tuan Sabariah
mengalir dan tetamu yang berada di ruang
tamu juga kelihatan sayu
sambil kedengaran tangisan kecil apabi
la berkongsi mengenai baju paling disukai oleh Tok Guru yang
digayakan oleh isterinya.
Keadaan menjadi lebih sayu dan masing-
masing memandang Tuan Sabariah apabila
baju kegemaran Tok Guru itu dipakai sehari selepas pemergian Allahyarham, sambil
tangannya digenggam erat oleh penulis)
Baju inilah (baju kurung kain kapas krim
berbunga kecil) yang abang paling suka
saya pakai, malah sering memuji corak
yang katanya begitu sesuai dengan saya.
Abang tidak suka saya pakai baju warna
terang
dan bunga besar dan banyak, tetapi tidak
pula pernah
melarang ataupun menegur sehingga saya
berkecil hati. Pernah juga baju pemberian rakan terpaksa disimpan
walaupun hanya beberapa kali dipakai.
Ini kerana abang pernah menegur saya
secara bergurau, “Yah nampak tua pakai
macam itu." Saya hanya membalas dengan
ketawa dan terus menyimpan baju itu dan
tidak dipakai lagi.
Bagi saya, apa yang terbaik untuk abang
adalah yang terindah bagi saya. Walaupun hal pakaian adalah
perkara remeh bagi sesetengah isteri,
namun begitu itulah keutamaan untuk menjadi isteri yang patuh
kepada suami
Comments
Post a Comment