HUKUM KE MASJID BAGI LELAKI



 
Rasulullah s.a.w. bersabda, Apabila kamu melihat lelaki yang melazimkan berulang-alik ke masjid, maka Islamlah dia (ada iman dalam hatinya). Riwayat dari Abi Sa’id Al-Khudri,

Bila kamu melihat lelaki beribadah di masjid, maka berimanlah dia kerana firman Allah:-

    <At-Taubah [18] Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang

Dalam satu riwayat yang lain, tiap-tiap masjid ada bendera iman. (Kerana itu bila melihat lelaki berulang-alik ke masjid maka Islamlah dia). Tiap-tiap pasar ada bendera syaitan. (di pasar banyak berlaku penipuan dan percampuran bebas lelaki perempuan).

    Pada waktu fajar ,sesetengah orang akan ke masjid dan sesetengahnya ke pasar.Mereka yang ke masjid adalah pembawa bendera iman dan yang ke pasar pembawa bendera syaitan.

    Selagi mampu, janganlah menjadi orang yang pertama memasuki pasar dan janganlah menjadi orang terakhir keluar dari pasar kerana sesungguhnya pasar adalah medan tempur syaitan dan di situlah benderanya dicacak (Muslim)

Dalam hadith yang lain disebut “Tiada sembahyang bagi orang yang berjiran dengan masjid melainkan di masjid“. “Tiada solat” bermaksud tidak sempurna solat iaitu tidak mendapat pahala penuh.

Dapat pahala walaupun telah selesai jemaah

Dalam sebuah hadith disebut, maksudnya: Berkata Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw bersabda,

    Sesiapa yang telah berwuduk dengan cara yang baik, kemudian terus ia menuju (ke masjid) tetapi didapati orang ramai telah selesai dari bersembahyang (jemaah) Allah swt akan mengurniakan kepadanya pahala (solah jamaah) sama dengan mereka yang hadir berjemaah, dengan tidak mengurangkan sedikit pun pahala (solah) jemaah mereka.

Hukum sembahyang berjemaah bagi lelaki

Dalam mazhab Syafie hukum sembahyang berjemaah adalah Fardu Kifayah, ke atas semua lelaki yang mampu, namun apabila ada sekumpulan yang melakukankannya, gugurlah kewajipan itu. Ini bersandarkan hadis:

    Tidak ada tiga orang (lelaki) dalam sesebuah kampung atau sesebuah desa yang tidak mengerjakan sembahyang berjemaah, melainkan mereka (mudah) dikuasai oleh syaitan (dengan menjadikan mereka mencuaikan perintah syara’); oleh itu hendaklah engkau sentiasa menyatukan diri dengan jemaah (kerana dengan itulah sahaja engkau akan selamat dari angkara syaitan) (Riwayat Imam Ahmad).

Dalam mazhab Hambali, hukum sembahyang berjemaah bagi lelaki ialah Fardu Ain berdasarkan hadis:

    Sabda Rasulullah s.a.w.: Seberat-berat sembahyang atas para munafiqin ialah sembahyang Isyak dan sembahyang subuh. Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung di dalam dua sembahyang berkenaan, tentulah mereka akan mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak. Demi Allah, sesungguhnya mahu sahaja aku memerintahkan orang mendirikan sembahyang berjamaah bersama para hadirin, kemudian aku pergi dengan beberapa yang membawa kayu api kepada orang yang tidak menghadirinya, lalu aku bakar rumah-rumah mereka, sedangkan mereka berada di dalamnya. (HR Bukhari & Muslim dari Abu Hurairah)

Mazhab Hanafi dan Maliki pula berpendapat hukum sembahyang jemaah ialah Sunat Muakkad berdasarkan hadis yang mengatakan sembahyang jemaah itu sunnatul huda (sunnah petunjuk).

    “Dari Ibnu Mas’ud Radhiallaahu anhu, ia berkata, “Sesungguhnya Rasulullah Shallallaahu alaihi wa Salam mengajari kami sunnah-sunnah (jalan-jalan petunjuk dan kebenaran) dan di antara sunnah-sunnah tersebut adalah sembahyang di masjid yang dikumandangkan azan di dalamnya.” (HR. Muslim)

Rujukan : http://nasbunnuraini.wordpress.com

*** Antara ciri-ciri bagi lelaki soleh adalah.. terikat hatinya dengan masjid.. bukan terikat hatinya dengan facebook dan seumpamanya.. bila berkumandangnya azan, sudah sedia untuk menyahutnya.. bukannya masih sibuk dengan chatting dan facebooking.. muhasabahlah.

Comments

Popular posts from this blog