7 Langkah Berkesan Menuju Khusyuk Di Dalam Solat
Tanyakan pada diri kita, bagaimana fikiran, perasaan dan rasa hati semasa mengerjakan solat?
Adakah fokus kita tertumpu sepenuhnya
kepada Allah? Atau hati masih liar, fikiran masih merawang dan perasaan
masih kacau semasa mendirikan solat?
Bagaimana pula soal penghayatannya?
Adakah kita dapat merasai apa yang telah
kita fahami itu? Semasa mengucapkan bacaan-bacaan dalam solat itu
adakah kita lakukan dengan sedar?
Atau hanya sekadar ucapan biasa yang tidak membawa apa-apa makna dan rasa?
“Dan berjayalah orang yang beriman, yakni orang yang khusyuk dalam solatnya.” [Surah al-Mu’minun 23: 1-2]
.
Apakah itu khusyuk?
Solat
yang khusyuk tercapai apabila hati, fikiran, perasaan dan seluruh
pancaindera tunduk patuh kepada Allah sepanjang waktu mengerjakan solat.
Semasa solat, seseorang itu berhubung
secara langsung dengan Allah. Sepanjang mendirikan solat, seseorang
hamba berdoa terus dihadapan-Nya.
Hubungan dengan Allah ini akan
menimbulkan rasa-rasa tertentu di dalam hati yang kemudian membentuk
hati itu akur, taat dan patuh kepada Allah.
Diriwayatkan apabila para sahabat
Rasulullah SAW solat ditengah padang pasir, burung-burung akan hinggap
dibahu, malah ada diatas kepala dan badan mereka, kerana menyangka
mereka ialah pohon kayu. Begitulah, diam dan pegunnya jasad mereka
ketika solat.
Bagaimana pula dengan kita insan biasa untuk khusyuk di dalam solat?
Saya pasti ramai diantara kita sangat
teringin dan tercari-cari formula untuk menjadi salah seorang hamba
Allah yang khusyuk di dalam solat.
InsyaaAllah, dalam artikel ini akan berkongsi formula yang dengan izinNya, akan membantu kita untuk khusyuk di dalam solat.
.
Tujuh Langkah Menuju Khusyuk Dalam Solat
1. Mencari Pengertian (Faham)
Perkara ini perlu dimulakan dengan memahami makna bacaan (rukun qauli) dan erti setiap perbuatan dalam solat.
Apabila mengucapkan takbiratulihram dan
membaca surah al-Fatihah misalnya, makna setiap kalimahnya perlu
diketahui satu per satu.
Jadi, belajarlah bahasa Arab sekurang-kurangnya untuk mengetahui makna bacaan-bacaan yang wajib dan sunat dalam solat.
“Jangan jadi seperti burung kakak tua yang hanya pandai menuturkan kata-kata tetapi tidak tahu apa makna dan maksudnya.”
Namun memahami makna sahaja tidak memadai, kita perlu melangkah ke tahap seterusnya.
.
2. Memusatkan Fikiran (Fokus)
Tahap kedua ialah pemusatan fikiran.
Menghindarkan gangguan hal-hal lain, sehingga fikiran, perbuatan dan
ucapannya seiring – yakni terfokus sepenuhnya kepada makna bacaan dan
perbuatan dalam solat.
Mungkin kita telah memahami makna
bacaan, tetapi oleh sebab tidak fokus, seseorang yang membacanya hanya
umpama “orang mengigau” dalam tidur.
Sekiranya seketika kita terfikir juga
hal-hal lain, tapi ingatan dan fikiran tetap terikat pada tujuan solat
(mengingati Allah), keadaan ini samalah seperti orang yang sedang
memandu kereta.
Fikirannya tetap fokus kepada destinasi
yang hendak dituju walaupun sekali – sekala ternampak juga objek-objek
dan pemandangan di tepi-tepi jalan.
Semua itu tidak menggangu fokusnya.
Lain pula halnya jika dia “terlalai”
dengan pemandangan-pemandangan di tepi jalan sehingga dia tidak sedar
bahawa sudah terlajak jauh daripada destinasinya.
.
3. Membesarkan Allah (Rasa ‘Haibah’)
Perlu diingat, pemusatan fikiran bukan ditujukan kepada bacaan itu sahaja tetapi pada makna di sebalik bacaan itu.
Ertinya, tumpuan bukan hanya pada huruf
dan ayat serta sebutan, tetapi pada makna dan tafsirannya. Inilah yang
dimaksudkan dengan ‘pengertian’.
Hanya orang yang kenal raja akan bercakap-cakap dengan penuh penghormatan, rasa takut, malu dan rendah diri.
Sebaliknya, orang yang tidak kenal raja, akan bercakap-cakap dengan baginda secara biasa-biasa sahaja.
Apabila orang yang kenal Allah
mengucapkan kalimah “Allahuakbar” misalnya, dia bukan sahaja tahu
maknanya (Allah Maha Besar) malah hatinya turut merasai betapa hebatnya
kuasa Allah yang telah mencipta dirinya, alam semesta, akhirat dan
segala makhluk.
Pada ketika itulah terpancarnya rasa-rasa yang seni dan indah dalam fikiran dan jiwa yang tidak mungkin terjadi diluar solat.
Oleh itu pada peringkat permulaan,
cubalah untuk merasakan kita sedang berhadapan seorang raja yang sangat
berkuasa dan kita perlu fokus dihadapanNya.
4. Kagum dan Takut akan Keagungan Allah (Rasa Khauf)
Hasil daripada merasai kebesaran Allah,
maka timbul pula rasa takut dan kagum kepada-Nya. Rasa takut dan kagum
kepada Allah ini tidak sama dengan rasa takut dan kagum kepada
perkara-perkara lain.
Kita takut kepada harimau kerana
keganasannya, tetapi kita takut kepada Allah kerana kehebatan-Nya. Takut
akan harimau, kita lari menjauhinya, tetapi takut akan Allah kita
datang menghampirinya.
Rasa takut akan timbul apabila seseorang gerun akan kemurkaan Allah dan Neraka-Nya.
Rasa takut ini diterjemahkan dalam solat
dengan perbuatan berdiri betul, menundukkan kepala, mata melihat ke
tempat sujud (tidak berani mendongak), rukuk serta sujud.
.
5. Rasa Mengharap Kepada Allah (Rasa Raja’)
Apa yang dimaksudkan dengan rasa mengharap?
Rasa mengharap ialah pengharapan seorang hamba untuk mendapat keampunan, kasih sayang dan syurga Allah.
Jika rasa takut sahaja dibiarkan mendominasi jiwa, dikhuatiri akan timbul sangka buruk dan jahat sangka terhadap Allah.
Padahal dalam reality, Allah lebih suka mengampunkan dosa berbanding menyeksa hamba-Nya yang berdosa.
Oleh sebab itu, ulama berpesan dalam
keadaan biasa seseorang hendaklah menyeimbangkan rasa takut dan
harapnya umpama dua sayap pada burung yang membolehkannya terbang dengan
stabil dan selamat.
Jangan terlalu takut, nanti timbul
sangka buruk kepada Allah. Jangan terlalu harap, nanti terjadi sikap
sambil lewa serta “berangan-angan” akan keampunan Allah.
Rasa harap dalam solat ini adalah
menerusi penghayatan ketika bacaan al-Fatihah (mengharapkan jalan yang
lurus), bacaan qunut (mengharapkan hidayah, kesihatan dan lain-lain) dan
bacaan ketika duduk diantara dua sujud (mengharap keampunan, belas
kasihan, ditinggikan darjat, dan lain-lain)
Manakala melalui perbuatan duduk dalam
tahiyat awal dan akhir, sujud serta rukuk – semuanya melambangkan rasa
pengharapan seorang hamba yang sedang meminta-minta dan merayu-rayu.
.
6. Rasa Malu dan Hina Diri (Rasa Haya’) dalam solat
Rasa malu dan hina diri ialah kemuncak segala rasa yang timbul sebelumnya. Oleh itu PERLU ditimbulkan rasa berdosa kepada Allah.
Apabila ada rasa berdosa maka barulah timbul rasa malu.
Cara untuk menimbulkan rasa berdosa
ialah dengan menimbulkan kesedaran (insaf) akan kelalaian diri, lemah
melaksanakan tanggungjawab, kurang ikhlas, banyak prasangka buruk, tidak
sabar dan reda dengan takdir dan banyak “berhutang” kepada Allah.
Sewaktu sujud, kita meletakkan kepala,
dahi dan muka yang sentiasa berada “di atas” (sentiasa dihormati) ke
tempat yang paling bawah (tempat sujud).
Manakala dubur yang sentiasa
disorokkan dibawah, ketika sujud telah dijongketkan ke atas sebagai cara
meleburkan kesombongan dan kebesaran diri!
7. Memakai Pakaian Yang Paling Selesa Dan Paling Cantik Ketika Solat
Untuk
kaedah yang terakhir ini, tidak berkaitan dengan enam kaedah diatas.
Nampak seperti remeh, namun ia juga adalah salah satu langkah yang boleh
dipraktikkan untuk mencapai khusyuk di dalam solat.
Sebolehnya pilihlah pakaian yang paling selesa, suci dan khas untuk solat.
Pilih pakaian yang diperbuat daripada
material yang paling baik, yang tidak membuatkan kita berpeluh apabila
panas, tidak longgar atau ketat sehingga mengganggu pergerakan solat.
Dan juga pilihlah yang paling cantik,
sempurna dan dikhaskan untuk solat. Kerana solat kita adalah untuk
menghadap Allah, Raja yang paling Agung dan Allah sangat sukakan
kecantikkan.
Innallah jamil, wa yuhibbu jamal: Allah itu cantik dan sukakan kecantikan.
Buat para Muslimah, boleh mencuba koleksi telekung Siti Khadijah yang sangat selesa digunakan untuk mengerjakan solat. Ianya berbaloi untuk dicuba
.
Penutup: Solat yang Khusyuk Akan Mendidik Hati Membina Rasa Bertuhan
Sebagai ingatan, ada bezanya antara solat yang khusyuk dan solat yang sah. Solat yang khusyuk sudah semestinya sah. Tetapi solat yang sah belum tentu khusyuk.
Solat yang khusyuk ialah solat yang
berjaya menyentuh dan mendidik hati, akal dan nafsu manusia. Ia juga
akan membina rasa bertuhan.
Rasa bertuhan akan mendatangkan rasa gagah, berani dan optimis dalam hidup.
Walau sekuat mana pun ujian hidup
melanda, segala-galanya dapat diatasi dengan baik kerana adanya “talian
hayat” denga Yang Maha Berkuasa.
Diri yang lemah akan menjadi gagah
apabila hati diserahkan sepenuhnya untuk ditadbir oleh Allah. Rasa
bertuhan juga menimbulkan harapan dan impian yang sentiasa hidup dan
menyala-nyala.
Inilah booster utama dalam usaha meraih kejayaan dalam kehidupan =)
****
Artikel ini dirujuk dari buku Pesan Hati Untuk Hati, Ust Pahrol Mohamad Juoi. Semoga memberi manfaat kepada semua pembaca blog Aku Islam
Comments
Post a Comment