RASULULLAH SEBAGAI TELADAN
DEMI
sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan
yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah
dan (balasan baik) hari Akhirat, serta ia pula menyebut dan memperingati
Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (al-Ahzab: 21)
Saban tahun di seluruh dunia,
sambutan Maulidur Rasul memperingati hari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w
diadakan termasuk di negara kita. Dendangan selawat dan puji-pujian ke
atas Baginda menghiasi halwa telinga dan cerita-cerita yang dipaparkan
di media banyak mendatangkan keinsafan terhadap peranan kita sebagai
umat Baginda.
Namun bagi umat Islam, keutamaan
kita lebih dari sekadar untuk berarak dan berkumpul bagi merayakannya.
Adalah amat penting untuk umat Islam terutamanya remaja menghayati
keunggulan keperibadian Rasulullah dan menghayati sejarah perjuangan
Baginda. Bagi remaja Islam, kekuatan keperibadian Baginda dapat
dijadikan teladan yang baik (Qudwah Hasanah) untuk dicontohi.
Remaja dan contoh keperibadian Rasulullah
Remaja sentiasa mencari-cari
seseorang untuk dijadikan contoh. Dalam hal ini, nyata remaja hari ini
lebih mengagumi tokoh-tokoh popular, yang menonjol barangkali kerana
rupa paras, ilmu atau kelebihan yang dimiliki dan remaja lebih suka
menjadikan mereka idola atau pujaan hati mereka.
Dalam Islam, menjadikan seseorang
sebagai contoh tidak boleh sehingga terlalu memuja orang tersebut.
Contoh yang terbaik untuk diikuti ialah Rasulullah. Baginda selama 13
tahun berusaha berdakwah kepada umat Islam di Mekah untuk meninggalkan
berhala yang menjadi idola dan sembahan mereka dan mengajak mentauhidkan
Allah yang Esa.
Watak Rasulullah dibentuk oleh
Allah melalui al-Quran. Sifat-sifat Nabi terserlah daripada peribadinya
yang mulia, kebijaksanaan Baginda dalam memimpin negara, berlemah-lembut
dan berhikmah dalam berdakwah serta berwasatiah (bersederhana) dalam
soal kehidupan harian. Malah Rasulullah sentiasa mempamerkan budi
pekerti yang baik dan terpuji kepada umatnya.
Sejarah hidup Rasulullah melalui pelbagai
jalan getir dan hidup yatim piatu sejak kecil lagi apabila bapanya
meninggal dunia ketika Nabi di dalam kandungan ibunya. Tidak dapat
merasai kasih sayang seorang bapa, ibunda yang dikasihi pula meninggal
dunia ketika usia Nabi masih muda. Keperitan Baginda membesar tanpa ayah
dan ibu menjadikan Baginda seorang yang berdikari, matang di bawah
jagaan datuk dan bapa saudaranya, selain perlindungan daripada Allah
s.w.t.
Allah telah memberi tarbiyah kepada
Baginda menjadi seorang yang jujur, amanah dengan menghadiahkan Nabi
pengalaman hidup yang mendidik Baginda seorang yang terpuji. Terpuji
kerana sifatnya yang tidak pernah menyembah berhala, sentiasa melihat
dan merenung terhadap persekitaran dan kekayaan alam sekelilingnya. Atas
sifat terbilangnya dan kepimpinan diri, Rasulullah diberi penghormatan
menyelesaikan pertikaian dan perbalahan kerana perebutan kuasa dalam
kalangan ketua kabilah untuk menempatkan Hajarul Aswad.
Baginda juga terkenal sebagai penggembala
kambing dan peniaga yang memiliki sifat amanah, cekap, jujur, sabar dan
ikhlas sehingga membawa keuntungan yang berganda untuk rombongan
perniagaan Khadijah.
Banyak teladan dan contoh ikutan
ditunjukkan junjungan besar Nabi Muhammad buat pedoman remaja dan belia.
Sesungguhnya kehidupan seorang pemuda dan pemudi Islam tidak dapat lari
daripada menjadikan Rasulullah sebagai model ikutan sepanjang zaman.
Justeru, remaja harus dididik agar
memahami dengan sepenuh hati kaitan penghayatan sirah dengan
kelangsungan hidup mereka terutamanya sebagai remaja serta kepentingan
mereka menghargai sirah demi menjayakan misi hidup. Dengan keyakinan
yang jelas terhadap kepentingan penghayatan sirah ini, ia mampu
menumbuhkan kecintaan dan usaha dari dalam diri mereka sendiri untuk
terus mencari dan menghayati sirah agung sepanjang hayat mereka.
Cara dan gaya mendidik remaja menghayati
sirah harus bersesuaian dengan jiwa remaja iaitu ke arah mematangkan
remaja dan melatih mereka berfikir sebagai manusia yang bertanggungjawab
memikul amanah yang telah Rasulullah tinggalkan kepada setiap umat
Islam.
Minda yang kreatif amat diperlukan demi
menghasilkan produk-produk yang dapat membantu remaja mencerna dan
menghayati sirah Rasulullah supaya produk yang dihasilkan menepati
syarak, dijual dengan harga yang berpatutan dan berkualiti. Malah, usaha
penerbitan filem animasi seperti Muhammad Utusan Terakhir serta filem
Saladin yang menampilkan kebijaksanaan pemimpin-pemimpin agung Islam
perlu terus didokong dan disokong supaya sirah nabi dapat disebar dengan
lebih berkesan dan meluas.
Selain itu, Rasulullah harus ditonjolkan
sebagai tokoh di zaman remaja Baginda. Ketokohan Baginda sebagai tokoh
perniagaan sejak remaja lagi menyerlahkan Baginda sebagai ahli
perniagaan remaja yang pintar membina strategi perniagaan berlandaskan
nilai murni dan kejujuran.
Beliau ialah tokoh remaja yang
kata-katanya dipercayai setiap lapisan masyarakat, tidak kira tua atau
muda. Di sini, Rasulullah telah menetapkan asas kukuh bagi peribadi anak
muda yang ingin bergerak aktif dan berjaya dalam bidang perniagaan
iaitu bersifat amanah dan bertanggungjawab selain daripada mengetahui
kemahiran dan strategi dalam perniagaan, walaupun masih baru dalam
bidang tersebut.
Selain diri Rasulullah sendiri, sirah
Baginda juga menampilkan ramai tokoh remaja lain yang gemilang hasil
didikan Rasulullah seperti Ali bin Abi Talib, Usamah bin Zaid ,Tariq bin
Ziyad, Abdullah bin Abu Bakr, Abdullah bin Zubair, Fatimah binti
Muhammad, Aisyah binti Abu Bakr, Asma binti Abu Bakar, dan ramai lagi
tokoh remaja yang menonjol kewibawaannya dalam masyarakat. Rasulullah
telah berjaya mendidik mereka mewarisi peribadi unggul dan keberanian
dalam menegakkan agama Islam.
Sebagai
remaja Islam, perjalanan sirah akan lebih dihargai jika pengajarannya
dihayati. Remaja akan berasa lebih karib dengan sirah apabila mereka
ditunjukkan dengan pesanan-pesanan penting yang tersirat di sebalik
fakta-fakta sirah. Di sini perlu wujudnya kesan kepada jiwa dan bukan
semata-mata hafalan tarikh atau nama.
Remaja yang dapat menjadikan sirah
sebagai penyegar jiwanya mampu membentuk jiwa dan rohnya supaya lebih
tenang, bersemangat dan kental menghadapi cabaran mendatang.
Kesimpulan
Menampilkan contoh teladan yang baik
adalah amat perlu untuk diri remaja. Contoh yang ditampilkan adalah
mereka yang berakhlak mulia, mempunyai keterampilan dan berwawasan jauh,
berilmu dan bijaksana serta mampu mengajak orang lain menjadi
sepertinya.
Oleh itu, Rasulullah adalah contoh ikutan
terbaik bagi seluruh umat manusia. Hari ini ramai tokoh yang lahir
tampil mengagumkan kita, namun personaliti Rasulullah dan kebijaksanaan
Baginda telah membawa perubahan kepada dunia seluruhnya sejak lebih
1,400 tahun lalu.
Baginda telah menampilkan transformasi
yang besar kepada aspek sosial masyarakat, aspek pemerintahan dan aspek
keteladanan yang boleh dicontohi pengikut.
Sesungguhnya, kelahiran Nabi Muhammad s.a.w membawa rahmat seluruh alam.
Comments
Post a Comment